Perasmian Bangunan Mahkamah Syariah Parit Buntar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam yang Maha adil lagi saksama. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya kepada sekalian para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan perasmian bangunan Mahkamah Syariah Parit Buntar, Perak pada pagi ini.

3. Beta sukacita kerana bangunan Mahkamah Syariah Parit Buntar telah dapat disiapkan mengikut yang dijadualkan. Semoga kemudahan-kemudahan yang disediakan di bangunan ini dapat membantu usaha melaksana dan menguatkuasakan undang-undang syariah secara lebih tersusun dan lebih cekap. Adalah dipercayai urusan dan pentadbiran yang lebih efisien insya Allah dapat dicapai melalui kemudahan sistem aplikasi e-syariah yang disediakan di Mahkamah ini.

4. Kini telah genap 10 tahun Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak beroperasi di bawah pentadbirannya sendiri, diketuai oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Negeri Perak. Dalam tempoh ini banyak perubahan dan kemajuan telah dicapai sama ada dari segi pentadbiran mahupun dari segi kehakiman.

5. Tugas Hakim Mahkamah Syariah dan pegawainya adalah berat. Seseorang Hakim itu dalam membuat keputusan menggunakan ijtihad, memikul beban amanah dan tanggung jawab bukan sahaja kepada undang-undang Negeri atau kepada pihak berkuasa Negeri, akan tetapi bertanggungjawab kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Di samping itu, mereka turut memikul tanggung jawab untuk membuktikan bahawa undang-undang Islam bukan sahaja undang-undang yang terbaik secara teori, tetapi adalah undang-undang yang terbaik di peringkat amalan dan dari segi kesan yang ditinggalkannya. Kegagalan Mahkamah Syariah melaksanakan proses keadilan secara cekap, adil dan telus boleh memberikan persepsi negatif bahawa undang-undang Islam itu tidak lagi sesuai di era ini. Oleh itu, amatlah penting bagi Hakim, pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah memperlihatkan tahap amalan profesional, berpandukan landasan yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala, yang mencerminkan amalan keadilan ke peringkat yang tidak menimbulkan sebarang kesangsian.

6. Pengetahuan terhadap perundangan Islam masih terbatas, termasuk di kalangan umat Islam. Masih banyak usaha yang perlu dilakukan supaya pengetahuan tentang perundangan Islam itu dapat lebih difahami dan akhirnya dihayati serta dihargai. Nilai-Nilai keadilan sejagat yang menjadi prinsip pegangan dan falsafah perundangan Islam penting di fahami terutama dalam negara dan dalam dunia global yang penduduknya terdiri dari umat yang menganut pelbagai fahaman agama. Bahawa falsafah perundangan Islam itu amat menekankan unsur-unsur pencegahan, pengajaran, pembetulan dan pembaikan. Bahawa pendekatan pendakwaan dan penghakiman itu adalah langkah terakhir untuk menjamin bahawa kesejahteraan hidup umat yang lebih ramai akan dapat dipelihara dan dilindungi. Untuk itu amatlah penting penghakiman yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah itu diperlengkap dengan asas dan ulasan perundangan yang kukuh lalu diambil pula langkah secara bersungguh untuk penghakiman itu diterbitkan dalam Jurnal-Jurnal Perundangan yang boleh dijadikan rujukan.

7. Secara simbolik, pembukaan bangunan Mahkamah Syariah ini wajar ditafsirkan sebagai satu proses evolusi yang memberikan pengiktirafan akan peranan perundangan Islam yang kekal relevan di negara ini. Kebijaksanaan mengendalikan urusan perundangan dan kehakiman secara adil dan saksama, telus dan cekap, akan dapat membina imej positif yang akan mempengaruhi penilaian dan keyakinan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah dalam jangka panjang. Hakim dan kakitangan Mahkamah Syariah hendaklah meletakkan satu azam dan tekad, melaksanakan tugas dan memenuhi tanggung jawab hingga mencapai tahap piawaian perundangan yang tinggi lagi dihormati. Keupayaan, kecekapan serta kebijaksanaan yang diperlihatkan dalam prosiding dan penghakiman, hendaklah berjaya membina satu tahap keyakinan dan kehormatan tinggi kepada Mahkamah-Mahkamah Syariah di negara ini. Ini adalah cabaran, ini juga adalah peluang. Para Hakim dan para pegawai perundangan syarie hendaklah bersedia menghadapi dan memenuhinya. Beta percaya dengan kesungguhan dan keyakinan, cabaran ini dapat dihadapi dan peluang ini dapat dipenuhi .

8. Dengan kepercayaan dan harapan tersebut, dengan kebesaran kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan penuh rasa kesyukuran dan sukacita merasmikan bangunan Mahkamah Syariah Parit Buntar, Perak.

Wabillahi taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*********************

%d bloggers like this: