Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan perasmian Bangunan Mahkamah Syariah Tapah.
Ayat 135 surah An-Nisaa, bermaksud:
“ Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang senantiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana ALLAH, sekalipun terhadap diri mu sendiri ataupun ibu bapa dan kaum kerabat mu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin, (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran), kerana Allah lebih mengetahui keadaan keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu, sehingga kamu tidak berlaku adil. Jika kamu memutarbelitkan, atau enggan menjadi saksi, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu lakukan.”
3. Demikian jelas dan tegasnya prinsip melaksanakan keadilan di dalam Islam yang tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan baik diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahupun ibu bapa; dan tidak pula dibenarkan dilakukan sebarang ketidakadilan kepada sesiapa jua termasuk mereka yang tidak disenangi.
4. Perintah yang terkandung di dalam ayat tersebut diperkukuhkan lagi dengan salah satu hadis Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam yang bermaksud:
“ Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu ia itu sekiranya yang mencuri itu yang berpangkat tinggi, lalu mereka dibiarkan sahaja; tetapi jika yang mencuri itu mereka yang lemah, lalu dengan segera dijatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, yang aku di dalam kekuasaan Nya, kalaulah Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya ku kudungkan tangannya.”
5. Undang-undang hanya ada satu bahasa – satu prinsip – satu hukuman – satu aplikasi kepada sesiapa sahaja. Keadilan yang diamalkan tanpa pilih kasih telah berjaya mengangkat martabat Islam pada zaman Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam. Prinsip keadilan yang dilaksanakan secara telus lagi terbuka turut berjaya membangunkan satu masyarakat adil, saksama, makmur dan sejahtera.
6. Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten, akan tergelincirlah keadilan kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda. Mahkamah akan dilihat sebagai panggung bangsawan yang penuh dengan lakonan. Ketidakadilan akan berlaku; akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa; di sinilah titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan.
7. Mahkamah adalah institusi yang dibina untuk melaksanakan keadilan berlandaskan undang-undang. Perundangan Islam bukanlah sesuatu yang baru dan asing di negara ini. Mahkamah Syariah dan pelaksanaan undang-undang berlandaskan syarak mempunyai sejarah yang sangat lama di negara ini. Islam telah bertapak di Melaka pada kurun kelima belas. Raja-Raja Melayu setelah memeluk Islam menerima pakai sistem perundangan berlandaskan Islam di bumi ini seperti yang terkandung secara bertulis dalam Risalah Hukum Kanun, Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Pahang.
8. Bidang kuasa Mahkamah Syariah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Negara bebas daripada campur tangan mahkamah sivil. Mahkamah Syariah hendaklah membuktikan kecekapan mengendalikan kes-kes yang di bawa untuk mendapat pengadilan. Hakim-hakim Mahkamah Syariah hendaklah bersifat tegas memastikan kes dapat dihakimi dan diputuskan dengan segera. Kerenah untuk secara sengaja menangguhkan kes hingga berlarutan terlalu lama tidak wajar dilayan. Kes yang tertangguh terlalu lama dengan sendirinya telah menidakkan keadilan dari dapat dilaksanakan. Oleh itu para pegawai mahkamah begitu juga peguam syarie, ada tanggung jawab secara kolektif untuk memberi kerjasama memastikan prosiding mahkamah dapat berjalan lancar dan kes-kes yang dibicarakan dapat segera diselesaikan.
9. Beta sering disembah maklumkan bahawa kes-kes keluarga yang melibatkan penjagaan anak dan tuntutan penceraian ada yang mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan. Pihak yang berselisih mengadakan pelbagai alasan dan helah untuk sengaja melengahkan prosiding. Urusan turun naik mahkamah yang berpanjangan tentunya mengganggu urusan kerja, melibatkan kos guaman dan kos perbicaraan, di samping pihak yang terlibat terpaksa menghadapi tekanan emosi. Lebih menyedihkan apabila anak-anak yang tidak berdosa turut melalui gangguan emosi melihat perbalahan ibu bapa yang berlarutan.
10. Pihak yang bertelingkah, turut mempunyai tanggung jawab terhadap keluarga, terhadap anak-anak, terhadap mahkamah dan yang lebih utama terhadap ALLAH Subhanahu Wata’ala untuk berniat murni dan bersikap adil. Roh keadilan yang dianjurkan oleh Islam wajib dihayati. Salah satu elemen penting dalam sistem kehakiman Islam adalah konsep ‘sulh’ atau penyelesaian perdamaian. Islam menggalakkan supaya sesuatu pertikaian itu diselesaikan secara damai.
11. Para hakim, para pegawai mahkamah dan para peguam syarie ada tanggung jawab perundangan kepada pihak yang dibicarakan, tanggung jawab sosial kepada negara untuk mempertahankan integriti mahkamah, dan tanggung jawab syarak kepada ILAHI untuk memenuhi amanah. Laksanakan setiap tanggung jawab ini berlandaskan prinsip keadilan sejati dalam semangat yang mengutamakan keadilan. Keadilan tidak mungkin dapat dilimpahkan jika roh keadilan tidak terkandung dalam sanubari mereka yang telah diberikan amanah untuk melaksanakan keadilan.
12. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melimpahkan segala rahmat dan petunjuk membolehkan setiap seorang dari kita mendukung prinsip-prinsip keadilan dan melaksanakan prinsip berkenaan untuk kesejahteraan ummah.
Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini, mengisytiharkan Mahkamah Syariah Tapah dibuka dengan rasminya.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
****************