Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam sejahtera
Bismillahir Rahmanir Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan yang menguasai seluruh alam dan penghidupan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya kepada sekalian para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan perasmian bangunan Majlis Daerah Tanjong Malim.
3. Bangunan baru ini dengan segala kelengkapan yang disediakan dipercayai dapat memberikan satu persekitaran kerja yang lebih selesa kepada warga pentadbiran Majlis Daerah Tanjong Malim. Persekitaran kerja yang lebih selesa diharapkan membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan hingga memberikan kepuasan kepada rakyat jelata yang berurusan dengan pejabat ini. Amatlah perlu disedari, bahawa perbelanjaan membina bangunan ini dibiayai dari hasil negeri dan wang rakyat. Perbelanjaan pengurusan Majlis juga ditanggung dari hasil negeri dan wang rakyat. Majlis Daerah ini diwujudkan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat. Rakyat adalah pelanggan utama dan Majlis Daerah bertanggung jawab memberikan perkhidmatan terbaik untuk keselesaan dan kemudahan rakyat. Agensi-agensi kerajaan hendaklah senantiasa sedar bahawa kewujudan mereka adalah untuk menyediakan perkhidmatan. Agensi-agensi kerajaan adalah entiti perkhidmatan. Untuk itu menyediakan perkhidmatan berkualiti perlu dijadikan matlamat dan pengukur kepada kejayaan setiap agensi.
4. Sistem penyampaian perkhidmatan awam perlu terus diperbaiki hingga mencapai tahap kecemerlangan. Sistem penyampaian perkhidmatan yang kurang cekap mempengaruhi tahap keyakinan dan minat pelabur. Nilai pelaburan yang berjaya diperoleh di sesuatu tempat akan menentukan tahap pembangunan dan kemajuan yang dapat dicapai. Sistem penyampaian sektor awam yang cekap dan pantas dapat membantu meningkatkan daya saing serta meningkatkan tahap produktiviti sektor swasta. Di sebaliknya sistem penyampaian yang lemah akan meningkatkan kos pelaburan. Malah sistem penyampaian yang lembab adalah antara faktor yang bertanggung jawab mendorong kepada berlakunya budaya rasuah di dalam pentadbiran.
5. Untuk itu para pentadbir dalam memenuhi peranan sebagai ‘regulator’ kepada pelbagai prosedur kerajaan perlu juga mengimbangkan dengan peranan sebagai fasilitator untuk memesatkan pencapaian pembangunan. Sebagai ‘regulator’, pentadbir harus memastikan secara adil dan telus bahawa usaha-usaha pembangunan yang dilakukan tidak membawa keburukan yang boleh mendatangkan kesusahan kepada rakyat jelata dalam tempoh jangka panjang. Faktor-faktor mengawal pencemaran alam sekitar, pencemaran air, pencemaran udara dan pencemaran bunyi tidak boleh dikompromi. Kesejahteraan hidup rakyat dari segi jangka panjang sama sekali tidak boleh dikorbankan kerana kepentingan jangka pendek perniagaan.
6. Sebagai fasilitator kepada pembangunan, para pentadbir hendaklah berupaya membuat analisis bijak secara makro akan faedah yang dapat diperoleh rakyat melalui pelaburan yang diperoleh, dari segi mewujudkan peluang niaga, peluang kerja, peluang melahirkan usahawan baru di samping kutipan hasil dan apresiasi hartanah yang akan berlaku. Semangat memudahkan urusan pelaburan dan mempercepatkan proses kelulusan serta melaksanakan keadilan dan ketelusan dalam membuat keputusan hendaklah dijadikan budaya dalam perkhidmatan.
7. Perancangan pembangunan yang bijak perlu berlandaskan kepada unjuran perkembangan yang dijangka berlaku dalam tempoh sekurang-kurangnya sepuluh tahun ke hadapan. Perancangan yang bijak bukan sekadar untuk mengatasi masalah sedia ada dan tidak pula sekadar untuk memenuhi keperluan semasa. Perancang yang bijak akan dapat membaca secara tepat, impak dari setiap usaha pembangunan yang sedang dan bakal berlaku, lalu berusaha menyediakan program pelengkap pembangunan sosial supaya selaras dengan perkembangan pembangunan ekonomi dan pertumbuhan penduduk yang bakal berlaku.
8. Perancangan bercorak futuristik dapat dihasilkan melalui keberanian untuk mendengar dan mencungkil idea baru, melalui keberanian membawa minda meneroka alam fantasi yang baru. Perancangan futuristik akan menjadi realiti melalui pentadbir yang berani keluar dari kepompong pemikiran konvensional untuk mencari penanda arah yang baru. Perancangan futuristik dapat dibangunkan dengan kesediaan memilih dan memberikan tanggung jawab kepada mereka yang terunggul dalam sesuatu bidang kepakaran. Pemikiran futuristik merupakan satu keperluan untuk memastikan kelangsungan sesebuah negara bangsa agar dapat kekal bersaing di peringkat dunia global.
9. Semoga bangunan baru Majlis Daerah Tanjong Malim yang siap dibina ini dapat diperlengkap dengan komponen perisian baru. Komponen perisian ini hendaklah diutamakan di kalangan sumber manusia yang diberikan tanggung jawab bertugas di bangunan baru ini. Pentadbiran di era global memerlukan barisan pentadbir yang senantiasa membincang dan menghargai idea – barisan pentadbir yang pemikirannya mempunyai kekuatan menyelami lautan idea dan mendaki banjaran idea.
10. Dengan harapan dan saranan tersebut, dengan doa semoga setiap anggota yang diamanahkan bertugas di Majlis Daerah Tanjong Malim ini senantiasa mendapat petunjuk menemui jalan yang mendapat keredaan ILAHI, dengan keberkatan kalimah ‘Bismillah’, Beta sukacita merasmikan bangunan pentadbiran Majlis Daerah Tanjong Malim yang baru.
Wabillahi taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
****************