Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah rahmat dan izin dari Nya juga, Beta bersama Raja Puan Besar dapat berangkat ke upacara perasmian Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, daerah Sungai Siput.
3. PASUKAN POLIS dipertanggungjawabkan dengan tugas utama lagi penting dalam sesebuah negara untuk memastikan ketenteraman awam dan menjamin keselamatan negara. Dalam melaksanakan tugas tersebut, Pasukan Polis perlu arif lagi bijaksana mengimbangkan peranan yang mempunyai akauntabiliti kepada negara dan kepada warga.
4. Dalam memenuhi tanggung jawab yang diamanahkan, PASUKAN POLIS diperuntukkan dengan kuasa yang luas untuk menguatkuasakan undang-undang. Kebijaksanaan menyempurnakan tugas secara tegas, adil lagi saksama akan menentukan tahap penghormatan dan kepercayaan warga terhadap PASUKAN POLIS, hatta mengukuhkan integriti kepimpinan negara di kaca mata warga. PASUKAN POLIS yang berwibawa adalah PASUKAN POLIS yang dihormati lagi senang didampingi dan bukannya PASUKAN POLIS yang ditakuti dan dijauhi; ia dianggap dan diterima sebagai rakan, memiliki tahap kebolehpercayaan yang tinggi serta mencerminkan dirinya sebagai kumpulan profesional yang berintegriti. Penghormatan dan kepercayaan akan diperoleh melalui kejayaan PASUKAN membuktikan keupayaan memenuhi peranan secara profesional, berdisiplin dan berintegriti; menguatkuasakan undang-undang secara adil – secara saksama, tanpa memihak – tanpa prejudis, serta keupayaan menyempurnakan tugas secara cekap, pantas lagi telus.
5. Dalam konteks semasa dunia, tugas PASUKAN POLIS semakin mencabar. Warga pada hari ini semakin terpelajar, semakin celik undang-undang, semakin sedar akan hak asasi masing-masing dan semakin mempunyai akses kepada pelbagai maklumat. PASUKAN POLIS memiliki bilangan anggota yang ramai. Sering kali salah laku oleh anggota yang amat kecil bilangannya, mengakibatkan imej keseluruhan PASUKAN tercemar dan PASUKAN menghadapi persepsi negatif di kaca mata warga.
6. PASUKAN sewajarnya memberikan perhatian serius untuk memastikan imej PASUKAN tidak tercalar dan persepsi negatif masyarakat terhadap PASUKAN berjaya ditangani secara berkesan. Di samping melaksanakan tugas-tugas perisikan keselamatan, pencegahan jenayah, penguatkuasaan undang-undang dan memastikan ketenteraman awam terpelihara, PASUKAN POLIS pada hari ini amat perlu memberikan tumpuan kepada usaha-usaha membina imej positif lagi meyakinkan. Menangani isu siar raya dan pengendalian media secara bijak adalah satu keperluan yang wajib dan tidak boleh dilakukan secara sambil lewa. Reaksi terhadap berita melalui kenyataan yang bersifat impulsive tanpa penelitian dan penghalusan, bila dilakukan, lebih membawa mudarat dan lebih memburukkan imej PASUKAN.
7. Di era negara berhadapan dengan ancaman komunis, kebijaksanaan negara mengendalikan pendekatan perang saraf dan gerak saraf adalah antara instrumen yang berperanan besar, berjaya membawa warga lebih memahami dan lebih menghargai langkah-langkah kerajaan hingga pada akhirnya musuh negara dapat disisihkan. Memperkenalkan dan melaksanakan program gerak saraf dan perang saraf secara berkesan untuk memenangi minda warga wajiblah difikirkan, diperkenalkan dan dilaksanakan dengan kaedah yang lebih meyakinkan.
8. Hari ini, warga tidak sekadar menuntut kepada fakta nyata tetapi bersifat lebih kritis terhadap cara sesuatu fakta disampaikan. Jika maklumat disampaikan dengan kaedah yang kurang bijaksana, keterlaluan sifat berat sebelahnya, ia bukan sekadar gagal meyakinkan malah lebih mirip untuk meningkatkan keraguan di hati warga; lalu warga memilih untuk lebih terpengaruh dengan sumber makluman alternatif. Suasana sebegini bukan sekadar semakin memisahkan warga dengan kerajaan malah akan semakin menyemaikan keraguan warga terhadap integriti pelbagai instrumen kerajaan, merangkumi persepsi warga terhadap PASUKAN POLIS.
9. PASUKAN POLIS sedang berhadapan tanggung jawab berat untuk memastikan tidak berlaku krisis keyakinan terhadap kewibawaannya. Segala langkah hendaklah dilakukan supaya PASUKAN POLIS di negara ini tidak akan menghadapi masalah krisis keyakinan seperti yang di alami oleh PASUKAN POLIS di negara ketiga. Selagi tugas-tugas kepolisian kukuh dilandaskan kepada prinsip kedaulatan undang-undang, tidak melindungi sebarang perbuatan salah laku, tidak partisan, tidak berpihak, tidak berat sebelah, InsyaAllah imej dan keyakinan warga terhadap PASUKAN POLIS akan terus dapat dipertahankan.
10. Rukun Negara menggariskan lima prinsip untuk memastikan kerukunan bernegara; Pertama: Kepercayaan kepada Tuhan, Kedua: Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Ketiga: Keluhuran Perlembagaan, Keempat: Kedaulatan Undang-Undang, Kelima: Kesopanan dan Kesusilaan. Prinsip pertama menyentuh pegangan keimanan individu dengan Tuhan Maha Pencipta. Insan yang memiliki pegangan iman dan agama yang kukuh, akan berani berdiri atas prinsip menegakkan kebenaran dan keadilan. Prinsip pertama berserta empat prinsip lain mempunyai hubungan langsung dengan tugas harian kepolisian. Aspek-aspek Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan hendaklah dijadikan panduan dan pegangan, sepanjang waktu para anggota melaksanakan tugas. Komponen-komponen tersebut dan penghayatan kepada komponen-komponen tersebut amat perlu ditekankan dalam kurikulum latihan para anggota demi memastikan tidak berlakunya kegelinciran keadilan semasa para anggota memenuhi amanah dan tanggung jawab.
11. Pada keseluruhannya, PASUKAN POLIS telah menyempurnakan tugas cemerlang, berperanan sebagai tulang belakang menjamin ketenteraman awam dan keselamatan negara hingga membolehkan ekonomi negara berkembang, kemakmuran negara dicapai, keselesaan hidup warga kekal terjamin dan kedaulatan negara dipertahankan.
12. Dalam senario semasa negara dan dalam menghadapi warga yang semakin literate, imej positif PASUKAN akan dapat ditingkatkan lagi jika PASUKAN bijaksana mengimbangkan formula perundingan dan konsultasi dengan pelbagai badan bukan kerajaan dan menggunakan elemen tekanan atau force secara yang paling selektif dan dalam keadaan yang benar-benar memerlukannya.
13. Beta menzahirkan penghargaan kepada pengorbanan dan jasa bakti setiap anggota PASUKAN POLIS DIRAJA MALAYSIA yang telah melakukan pelbagai pengorbanan, baik di kalangan anggota yang masih aktif berkhidmat, begitu juga di kalangan mereka yang telah bersara, serta kepada para anggota keluarga mereka yang telah sama-sama melakukan pengorbanan.
14. Ramai anggota PASUKAN POLIS DIRAJA MALAYSIA telah terkorban ketika bertugas untuk negara dan warga, dan disemadikan tanpa nisan bernama. Semoga pengorbanan mereka dianugerahkan oleh ILAHI ganjaran dunia kepada keluarga mereka dan ganjaran akhirat ke atas roh-roh mereka. Sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah terkorban, sama-samalah kita membacakan surah AL-FATIHAH, semoga amal dari bacaan surah tersebut diterima ILAHI dan ganjarannya disampaikan kepada saudara-saudara kita yang telah kembali menyahut seruan ILAHI. AL-FATIHAH.
15. Dengan keberkatan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini, merasmikan Ibu Pejabat POLIS DIRAJA Malaysia, Daerah Sungai Siput.
Wabillahi taufik, walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.