Perasmian Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam yang menguasai segala khazanah ilmu. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya kepada sekalian para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan perasmian INSTITUT TADBIRAN ISLAM (INTIM), PERAK pada pagi ini.

3. Manusia adalah makhluk istimewa yang dianugerahkan kelebihan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan akal. Akal adalah komponen penting yang mengupayakan manusia berfikir. Jika akal sempurna, maka manusia hidup secara normal. Di sebaliknya kerosakan atau gangguan kepada akal, mengakibatkan manusia hidup secara tidak normal dan menghadapi gangguan mental. Demikian besarnya peranan akal memandu kehidupan manusia.

4. Sejak janin ditiupkan roh di dalam kandungan, akal mula aktif bekerja; mengumpul dan merakamkan pengalaman yang dialami oleh pelbagai pancaindera – kederiaan lihat, kederiaan dengar, kederiaan rasa, kederiaan sentuh, kederiaan bau. Setiap pengalaman yang ditempuh, dihimpunkan di dalam memori akal hingga menjadi satu khazanah pengetahuan yang berharga kepada diri manusia. Proses pembelajaran sedemikian adalah proses pembelajaran yang diperoleh secara natural. Khazanah pengetahuan yang diperoleh melalui pengembaraan pengalaman sedemikian agak terbatas dan cukup sekadar membantu manusia melalui perjalanan hidup di peringkat prima.

5. Untuk membolehkan manusia menghadapi cabaran yang lebih kompleks, mengendalikan urusan hidup yang lebih sofistikated, akal perlu diperkaya dengan pelbagai dimensi ilmu; diperoleh melalui proses perkongsian pelbagai pengalaman – melalui proses pembelajaran tersusun – melalui proses pendedahan kepada penemuan saintifik – melalui proses pengembaraan pemikiran melakukan penerokaan.

6. Institut latihan diwujudkan untuk berperanan membantu proses memperkayakan akal. Akal, laksana sebidang tanah. Sebidang tanah jika dibiarkan tanpa diusahakan secara bijak, akan ditumbuhi lalang dan tumbuhan liar yang tidak mempunyai nilai ekonomi tinggi. Sedangkan sebidang tanah yang dimajukan secara teratur akan membawa nilai ditambah dan nilai ekonomi yang tinggi.

7. INTIM adalah sebuah prasarana latihan yang dibangunkan dengan perbelanjaan mencecah 15 juta ringgit. Kekuatan INTIM bergantung kepada produk berbentuk kursus yang disediakan untuk memperkayakan akal. Kualiti ilmu yang disampaikan di dalam kursus bergantung kepada kualiti tenaga pengajar dan kaedah penyampaian ilmu secara berkesan. Komponen perisian ilmu perlu diberikan fokus dan prioriti; dilaksanakan secara profesional, berlandaskan nilai-nilai yang dianjurkan oleh Islam yang berpaksikan kepada amalan akauntabiliti yang tinggi. Kandungan kursus berkualiti diperlengkap dengan tenaga pengajar berkualiti serta dilaksanakan secara berkesan akan dapat memperkayakan akal. Akal yang kaya dengan ilmu dan kaya dengan pengetahuan akan dapat meningkatkan nilai modal insan menjadi lebih produktif, lebih kreatif dan lebih inovatif. Program latihan INTIM hendaklah menepati keperluan membangunkan modal insan sehingga memiliki kekuatan untuk menghadapi cabaran dan kompleksiti pengurusan di era teknologi maklumat.

8. Adalah menjadi wawasan Beta untuk mempertingkatkan kualiti pengurusan masjid di negeri Perak. Prasarana masjid amat perlu diperlengkap dengan perisian berbentuk program-program yang dapat ‘mengimarah’ masjid. Masjid perlu dipertingkatkan dan dipelbagaikan aktivitinya agar dapat memenuhi tanggung jawab sosial yang lebih luas terutama dalam membantu memperkayakan akal dan membina kekuatan modal insan. Di samping bimbingan untuk meningkatkan ilmu-ilmu keagamaan, jawatankuasa masjid perlu diperlengkap dengan pengetahuan pengurusan dan kewangan. Untuk mencapai wawasan tersebut Beta menyarankan agar INTIM memperluaskan skop latihan merangkumi modul pengurusan, modul pengenalan teknologi maklumat dan komunikasi serta modul pengurusan akaun, kewangan dan audit untuk ahli-ahli Jawatankuasa Masjid di seluruh negeri Perak.

9. INTIM perlu merangka program latihan dan membina budaya ilmunya bertapak pada gagasan yang selaras dengan perkembangan ilmu ketika ini dan masa hadapan. INTIM hendaklah berwawasan jauh dan luas serta berfikiran ke hadapan dalam merangka pelbagai program latihan sesuai dengan gelombang perkembangan ilmu. Lautan ilmu semakin luas dan dalam. Setiap 30 saat, sebuah buku baru diterbitkan di dunia hari ini. Setiap hari lebih 4000 judul baru muncul di dalam pasaran. Setiap tahun lebih 1.4 juta judul buku baru berada dalam edaran. Ini belum termasuk bahan-bahan dan maklumat yang tersebar melalui saluran elektronik. Amatlah penting bagi INTIM mengikuti perkembangan ini supaya tidak tertinggal dalam satu kepompong yang sempit. Betapa perlunya kini institusi latihan berusaha membangunkan pusat sumber rujukan elektronik dan membina pengkalan data dan pengkalan maklumat yang lengkap.

10. Institusi latihan yang bersifat dinamik tidak boleh berkembang dalam isolasi dan secara persendirian. INTIM wajar membina rangkaian kerja dengan pelbagai institusi latihan lain baik di dalam mahupun di luar negara. INTIM hendaklah meletakkan matlamat menjadi sebuah institusi latihan yang dihormati di rantau ini. Wawasan dan matlamat tersebut boleh dicapai jika pimpinan di INTIM mengamalkan budaya pengurusan yang senantiasa terbuka, bersedia menerima idea baru, bersikap positif kepada teguran dan berani menerokai perbatasan baru sepanjang waktu.

11. Semoga usaha yang dirintis pada hari ini akan terus berkembang. Semoga pimpinan dan pengurusan di INTIM senantiasa mendapat hidayah dan petunjuk dari ILAHI. Semoga INTIM berjaya mencipta kegemilangan.

12. Dengan kebesaran kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan penuh rasa kesyukuran dan sukacita merasmikan INSTITUT TADBIRAN ISLAM (INTIM) PERAK.

Wabillahi taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***************

%d bloggers like this: