Perasmian Istiadat Perbarisan Diraja Dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Awam (PALAPES IPTA) Kali Ke 25

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan, Perasmian Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah, Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan, Institut Pengajian Tinggi Awam (PALAPES IPTA) kali ke 25.

3. Saudara-saudari yang berdiri gagah di Majlis ini adalah lambang kejayaan. Kejayaan yang dicapai melalui ketekunan usaha dan kesungguhan tekad. Selama tiga tahun, saudara-saudari secara gigih – secara tabah, telah melalui latihan ketenteraan. Setiap ujian diharungi dengan gigih, setiap dugaan didaki dengan tabah. Saudara-saudari adalah anak bangsa yang memiliki kekuatan mental – kekuatan fizikal; sedia berkorban – sedia berbakti. Saudara-saudari kini terbaris di kalangan mereka yang bersemangat waja – berhati cekal – selayaknya diletakkan dalam barisan yang bergelar kesateria negara.

4. Telah tamatlah ujian – telah lengkaplah latihan. Hari ini adalah hari merayakan kejayaan; hari ini adalah satu lagi hari bersejarah dalam perjalanan hidup saudara-saudari. Hari ini, negara memberikan pengiktirafan kepada barisan kesateria muda ini, ditauliahkan sebagai seorang pegawai tentera dalam Angkatan Tentera Diraja Malaysia; di dalam Kor Askar Wataniah Tentera Darat, Pasukan Simpanan Tentera Laut dan Pasukan Simpanan Tentera Udara.

5. Usaha memenuhi keperluan akademik, membantu mengembangkan minda saudara-saudari. Usaha menjalani latihan ketenteraan, membantu pembangunan fizikal dan pembangunan sahsiah, di samping membantu menyemai disiplin tinggi di dalam diri. Lengkapkanlah diri dengan pembangunan rohani supaya diri saudara-saudari dibangunkan secara seimbang dan menyeluruh.

6. Kekuatan fizikal, kekuatan minda dan kekuatan rohani, akan saling melengkapi, membantu meletakkan saudara-saudari bertaraf kesateria sejati; tampan dan gagah, bertunjang akar di bumi nyata; cerdas dan bernas, mengungkap kata – merangkai bahasa; teguh iman dan cekal semangat, bertiangkan agama – bersendikan adat. Kesateria sejati akan mempunyai daya tahan – daya fikir, berupaya mengharungi gelombang dugaan, bertenaga merenangi ombak globalisasi.

7. Kesateria sejati adalah aset berharga kepada negara bangsanya; bila diberikan tanggung jawab dilaksanakan dengan bersungguh, bila diserahkan kepercayaan dijunjung dengan amanah. Ikhlas pada hati – jujur pada diri; berbudi tinggi – merendah diri. Dalam alam kehidupan yang dikatakan semakin tercemar, insan yang memiliki nilai-nilai kesateria sejati, semakin sukar dicari – semakin jarang ditemui. Kerana itu, telah terlalu banyak sokong yang membawa rebah; pagar yang memakan padi, padi disemai – lalang yang tumbuh, laba tiada – modal tertimbus. Setiap kejadian seperti ini, amat merugikan negara – sangat merugikan bangsa.

8. Dalam hasrat membanteras rasuah dan dalam usaha memajukan negara, kekuatan insan menolak pancing kebendaan dan umpan sogokkan, amat diperlukan; apatah lagi untuk merealisasikan wawasan mencapai taraf negara maju. Taraf negara maju perlu didukung dan bermula dari warga yang berjiwa maju, warga yang bersifat maju, warga yang bersikap maju dan warga yang berfikiran maju. Saudara-saudari merupakan barisan utama untuk mendukung impian dan wawasan negara bangsa. Setiap ilmu berharga yang dipelajari dan setiap latihan berguna yang telah dilalui, hendaklah dipraktikkan, dijadikan amalan dan budaya dalam kehidupan harian, untuk dimanfaatkan bagi kebaikan diri, kebaikan keluarga, kebaikan institusi dan kebaikan negara bangsa.

9. Kejayaan hari ini, jadikan tangga untuk mendaki kejayaan yang lebih tinggi. Pada setiap tangga kejayaan yang didaki, insaf dan sedarlah, bahawa tangga kejayaan itu dicapai bukan hanya dengan keringat sendiri, tetapi dengan usaha tenaga pendidik – dengan kesungguhan tenaga pengajar, dengan doa ibu bapa – dengan restu keluarga, dengan persekitaran negara yang menggalakkan perkembangan minda dan dengan dasar negara yang menekankan pembangunan insan. Berterima kasihlah kepada mereka yang telah berjasa kepada saudara-saudari, bersyukurlah kepada ILAHI, dan senantiasa membukti dan mengamalkan semangat setia yang tidak berbelah bagi kepada Raja dan Negara.

10. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan bimbingan dan pertunjuk kepada saudara-saudari untuk mencipta kejayaan yang lebih gemilang. Beta merakamkan penghargaan kepada setiap pihak yang terlibat, melatih dan membimbing dengan sabar, tekun dan ikhlas dalam usaha melahirkan barisan kesateria negara yang berdiri gagah di bumi ini.

11. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah, Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan, Institut Pengajian Tinggi Awam (PALAPES IPTA) Kali ke 25.

Wabillahi taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***************

%d bloggers like this: