Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan perasmian Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, di negeri Perak Darul Ridzuan. Dua jabatan utama, Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan ditempatkan di Kompleks ini. Kedua-dua jabatan tersebut mempunyai sejarah dan peranan menggalas tanggungjawab penting untuk menyemaikan roh kesetiaan warga kepada Raja dan Negara, memupuk semangat perpaduan dan penyatuan di kalangan warga serta menyuntik jiwa patriotik dan jati diri warga terhadap negara bangsa.
2. Kedua-dua jabatan terlibat secara langsung dalam tugasan menyampaikan maklumat dan menyebarkan berita. Berita berperanan penting. Aliran berita, pemilihan berita, pengolahan berita dan pewarnaan berita mencorakkan pandangan, pemikiran, persepsi dan tanggapan. Kerana itu dalam kesibukan menerima empat ratus panggilan telefon seminggu, gergasi media, Ruport Murdoch, setiap hari, meruang masa – memberi perhatian, mengambil tahu urusan media yang berada di seluruh bandar utama di Amerika Syarikat, di Britain, di Australia dan di Hong Kong.1
3. Christoper Francis Patten, Gabenor British terakhir di Hong Kong dan kini Canselor University of Oxford pernah memperingatkan;
“Salah satu tempat terletaknya kuasa, bukan di Dewan Kerajaan, bukan di Sekretariat Kerajaan, bukan di badan perundangan; tetapi di bilik berita stesen televisyen, yang menentukan apakah yang akan ditonton oleh enam juta warga Hong Kong. Bilik berita yang akan menentukan apa yang wajar dilihat dan didengar.”
4. Sejak ditubuhkan, Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran adalah dua agensi yang telah berjaya melaksanakan tanggungjawab secara berkesan untuk menyatukan minda majoriti rakyat dalam sebuah negara Malaysia yang merdeka. Lima puluh lapan tahun yang lalu, pada detik dua belas malam 30 Ogos 1957, telah lahirlah sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat di bumi ini. Pada saat bersejarah tersebut, rakyat dapat merasakan gegaran jantung dan remang roma para petugas radio, menghebahkan secara langsung ke seluruh negara, bahawa ‘Union Jack’ telah diturunkan dan ‘Jalur Gemilang’ telah dikibarkan; bahawa kita telah memiliki sebuah negara bangsa, sebuah negara merdeka. Lalu bernegara dan berbangsalah kita, di bawah panji naungan pemerintahan Raja Berdaulat, menyatukan segala kepelbagaian dalam semangat ‘Bersekutu Bertambah Mutu.’
5. Kemerdekaan negara memulakan fasa baru. Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran dipertanggungjawabkan untuk memberi erti kemerdekaan dan untuk membina minda warga berjiwa merdeka. Antara cabaran besar yang dihadapi adalah:
Pertama: menyuntik keyakinan di kalangan warga agar bersedia menerima dan memberikan kepercayaan kepada barisan pimpinan negara yang dianggotai oleh anak-anak tempatan.
Kedua: menyemai rasa bangga warga kepada negara.
Ketiga: menyatupadukan warga yang berlatar belakangkan pelbagai negeri, agama, kumpulan etnik, budaya dan bahasa.
Keempat: menghadapi diayah subversif dan ancaman militan daripada Parti Komunis Malaya dan setelah penubuhan Malaysia, menangani kesan pemisahan Singapura daripada Malaysia serta ancaman konfrontasi dari Indonesia.
6. Kedua-dua Jabatan tersebut telah melaksanakan tanggungjawab secara berkesan yang berjaya memenangi minda rakyat melalui program-program gerak saraf dan perang saraf yang strategik lagi menepati. Radio Malaya pada era pascamerdeka telah memenuhi peranan bina negara secara kreatif lagi inovatif, menyelitkan elemen tatanegara melalui rancangan-rancangan hiburan; melangsungkan program bina negara secara natural lagi halus tetapi amat efektif, melalui rancangan-rancangan bangsawan di udara, sandiwara radio, siri Kebun Pak Awang, siri Fajar di Bumi Permata, Berbalas Pantun, slot komedi, antara komedian terkenal adalah Mat Kambing dan Ismail Bontak, dalam dialog jenaka yang mencuit hati berjaya menyelitkan mesej-mesej penting; demikian pula program-program muzik dan lagu permintaan. Warga pada tahun 1957, bukan hanya diperkenalkan dengan lagu Negaraku, tetapi pada masa yang sama, berkumandang di udara hit song, lagu Manusia, dendangan biduanita Saloma, lagu yang diperkenalkan dalam filem popular Bujang Lapok arahan P. Ramlee.2
7. Siaran-siaran langsung secara audio disampaikan dengan gaya yang amat hidup sehingga para pendengar dapat menggambarkan acara yang berlangsung, sama ada ulasan selari bola sepak, sambutan Merdeka, lawatan pembesar negara, serta istiadat-istiadat pertabalan dan kemangkatan Raja. Setiap petugas, memiliki kemahiran memukau telinga pendengar untuk berada di sisi radio. Demikian juga kejayaan warga Jabatan Penerangan melaksanakan tanggungjawab menghubungkan kerajaan dengan warga melalui komunikasi bersemuka secara berkesan, ketika tahap literasi warga berada di peringkat yang masih rendah serta pembangunan prasarana komunikasi dan prasarana perhubungan masih amat terbatas.
8. Radio demikian juga komunikasi bersemuka, kemudiannya melalui proses evolusi apabila televisyen mula berperanan pada 28 Disember 1963. Namun demikian, televisyen, radio dan komunikasi bersemuka, beroperasi dalam semangat harmoni saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain kerana ketiga-tiga aktiviti masih berada di bawah satu pengawasan yang mendukung dasar dan agenda penerangan negara. Kemunculan stesen televisyen swasta telah memulakan dimensi dan saingan baru, bermula dengan kemunculan perkhidmatan televisyen swasta, TV3 pada 1 Jun 1984. Kemunculan lebih banyak perkhidmatan media elektronik swasta telah mencetuskan dinamik baru dalam kegiatan penyiaran dan penerangan negara.
9. Abad kedua puluh satu memunculkan landskap baru di peta dunia dalam era pemuda sudah berbaju batik dan pemudi sudah berbaju belang. Perkembangan dan kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau ICT telah mewujudkan galaksi dalam dunia pemberitaan. Himpunan lava pengetahuan telah dilimpahkan susulan daripada ledakan volkano makluman. Dinamik yang dicetuskan melalui ICT telah memberikan satu kebebasan baru. Manusia kini memiliki kemewahan akses perhubungan yang mengupayakan mereka menembusi sempadan agama, sempadan negara, sempadan politik dan sempadan budaya. Bill Gates mengunjurkan:
“the Internet is becoming the town square for the global village of tomorrow”3
10. Dunia sedang menyaksikan perkembangan demokrasi digital, warga siber dan e-government. Warga dunia mempunyai opsyen untuk mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber dan pemikiran mereka turut dipengaruhi oleh sumber yang pelbagai. Suasana yang sedang berlaku memberikan satu kemerdekaan baru. Kemerdekaan baru yang mengupayakan penduduk dunia melakukan penerokaan dan pengembaraan mencari khazanah makluman untuk membolehkan mereka membina kekayaan intelek yang lebih pelbagai. Maklumat, kini tidak lagi terbatas kepada sumber yang ditapis dan dikawal oleh pihak berkuasa. Warga dunia kini berada dalam posisi yang memiliki kelebihan untuk melakukan perbandingan serta bersifat lebih analitis dan lebih kritis terhadap sesuatu laporan atau kenyataan. Lalu manusia semakin berani bersuara atas prinsip kebenaran, bersandarkan fakta dan data, menuntut kepada amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban pemimpin. Pengasas Personal Democracy Forum, Micah L. Sifry menyifatkan,
“we now live in an age of abundant public energies, in addition to abundant information; abundant information, connectivity and time are just the technical ingredients needed to foster an explosion of civil activity.”4
11. Era pihak berkuasa merasakan mereka mengetahui semua sudah berakhir. Era institusi penyiaran milik negara berada di puncak tertinggi telah sampai ke ruang senja. Malah trend semakin menunjukkan bahawa kredibiliti agensi media dan komunikasi milik negara semakin sehari semakin dipertikaikan. Kini media baru bukan sahaja semakin berada di pentas utama malah semakin memperlihatkan peranan mencanai minda dan mempengaruhi pendirian warga di serata dunia. Senario pilihan raya di tiga buah negara besar dunia, wajar dijadikan kes kajian di kalangan institusi media.
12. Barack Obama memilih menggunakan media sosial untuk mendekatkan diri dengan pengundi. Pada November 2008, Barack Obama berjaya menembusi lima juta pengundi melalui lima belas rangkaian sosial, mencatatkan anggaran hampir tiga juta penyokong facebook, 115,000 pengikut twitter dan lima puluh juta penonton YouTube. Para petugas kempen, tidak sekadar mewujudkan facebook atau akaun YouTube untuk dibiarkan berkelana, tetapi mereka mencetuskan dinamik, menyuntik tenaga secara penglibatan, penyertaan dan membisikkan ‘sense of purpose’, dengan mendefinisikan makna dan erti. Agenda dan program mereka tidak sekadar membangunkan prasarana media baru, tetapi media baru dijadikan instrumen untuk merangkaikan Obama dengan para pengundi yang ditiupkan keghairahan untuk berani melakukan perubahan. Obama berjaya mengumpul derma bernilai enam ratus tiga puluh sembilan (639) juta dolar. Perlu diberikan perhatian bahawa derma tersebut tidak datang dari kalangan peniaga, tokoh korporat dan hartawan; lapan puluh peratus daripada penderma terdiri dari kalangan yang hanya mampu menderma dua puluh dolar atau kurang daripada dua puluh dolar.5 Bermakna, sokongan Obama datangnya daripada rakyat golongan bawahan yang ghairah mahu melihat berlakunya perubahan dan sama-sama bergerak melakukan perubahan.
13. Indonesia dikaitkan sebagai ‘the social media capital of the world’, penduduk Jakarta dilaporkan adalah penduduk yang paling aktif di dunia melakukan tweet meskipun penembusan Internet di Indonesia masih pada tahap rendah.6 Joko Widodo, lebih akrab dipanggil Jokowi, anak seorang tukang kayu, berasal dari kawasan penempatan penduduk miskin. Jokowi bukannya tokoh yang berada dalam litaran elit politik Indonesia. Pada tahun 2012, Jokowi telah terpilih sebagai Gabenor Jakarta. Media sosial berperanan penting di belakang kejayaan Jokowi. Memerangi rasuah adalah isu utama yang dijuarai oleh Jokowi. Penyokong-penyokong Jokowi mereka cipta satu permainan elektronik, ‘Angry Birds’, yang melakarkan imej individu-individu yang dikaitkan dengan rasuah untuk dilontar dengan buah tomato.7 Media sosial menjadi medan persaingan di kalangan calon-calon yang bertanding semasa berlangsungnya pilihan raya Presiden pada tahun 2014. Hampir kesemua calon menggunakan media sosial, namun kelebihan berpihak kepada Jokowi kerana para petugas yang mengendalikan media sosial yang menyokong Jokowi, terdiri daripada sukarelawan yang melaksanakan tugas bukan kerana upah dan rupiah, tetapi melaksanakannya berdasarkan komitmen atas prinsip yang amat bencikan rasuah.
14. India dirujuk sebagai negara demokrasi terbesar dunia. Terdapat lapan ratus empat belas (814) juta pengundi daripada jumlah 1.3 bilion penduduk. Narendra Modi memilih media sosial sebagai platform utama berkempen.8 Mesej beliau berjaya menembusi majoriti pengundi. Saluran media sosial, tidak sahaja membolehkan kepincangan kerajaan dan perlakuan rasuah didedahkan, malah saluran tersebut membolehkan Modi berinteraksi dengan pengundi. Modi turut mempamerkan sifat seorang gentleman, bertoleransi dan sama sekali tidak menghalang mana-mana pihak untuk menyuarakan tentangan terhadapnya di dalam media sosial. Data twitter merekodkan, populariti Modi, berada di tempat ketiga selepas Amitabh Bachan dan Shahrukh Khan9. Pada akhirnya, Bharatiya Janata Party (BJP), mencatat kemenangan bersejarah dalam pilihan raya tahun 2014 dan Narendra Modi, anak penjual teh di Stesen Kereta Api Vadnagar, dilantik sebagai Perdana Menteri India yang kelima belas.
15. Demikian tiga episod kejayaan yang dicatatkan oleh tiga individu. Ketiga-tiga mereka tidak datang dari kelas elit pemerintah. Barack Obama berketurunan Afrika, mencatat sejarah di luar dugaan, menjadi Presiden Amerika bukan kulit putih yang pertama, Jokowi anak tukang kayu dipilih sebagai Presiden Indonesia dan Narendra Modi, anak penjual teh dilantik sebagai Perdana Menteri di India. Ketiga-tiga mereka secara bijak – secara strategik menerokai saluran media baru sebagai platform utama berkempen.
16. Setelah lima puluh lapan tahun mencapai kemerdekaan, negara telah berjaya mencipta kejayaan besar dalam bidang pendidikan. Warga hari ini lebih literate dan lebih terpelajar. Negara juga telah membangunkan prasarana komunikasi sehingga memudahkan warga melayari saluran media alternatif. Data menunjukkan pengguna Internet di Malaysia telah meningkat daripada 3.7 juta pada tahun 2000 kepada 20.6 juta pada tahun 2015; dan kini terdapat 18 juta pengguna facebook; angka yang cukup tinggi bagi negara yang mempunyai 30 juta penduduk. Berdasarkan laporan kajian bersama, United Nations International Telecomunication Union dan Georgia Institute of Technology pada tahun 2012, Malaysia berada di tangga keempat dunia, dari segi bilangan digital natives, ia itu remaja dalam lingkungan usia 15 ke 24 tahun yang telah secara aktif menggunakan Internet untuk tempoh tidak kurang daripada lima tahun.10
17. Analisis secara objektif dengan minda yang terbuka wajar dilakukan dalam menghadapi dinamik semasa. Fahaman lama dan kaedah lama, penimbang lama dan kayu ukur lama, wajar direkayasa semula, agar usaha dan kerja, tidak janggal dan sia-sia, ibarat memasang pelita pada tengah hari, ibarat mencari bayang pada malam hari. Episod-episod yang telah disentuh, wajar dijadikan kes kajian untuk memikirkan doktrin baru dan gerak kerja baru supaya apa juga usaha yang dirintis akan membuahkan hasil, jika berladang biar menjadi, jika bersawah biar berpadi.
18. Lebih dua ribu tahun yang lalu, Archimedes dilaporkan berkata;
“Give me a lever long enough and a place to stand, and I will move the world”11
Media adalah lever atau pengungkil atau mekanisme penting yang boleh mempengaruhi arah haluan dunia berdasarkan kebijaksanaan pengamal dan pemilik media. Media rasmi negara hendaklah menjadi tanda aras, mengamalkan etika pengolahan berita yang seimbang lagi autentik, berfungsi sebagai jambatan penghubung dua hala antara kerajaan dengan rakyat dan rakyat dengan kerajaan, berupaya merentasi dan dapat diterima oleh semua lapisan rakyat dan menjadi mekanisme penting untuk mengukuhkan demokrasi. Oleh itu etika pengolahan berita secara bijaksana adalah satu keperluan. Pada setiap masa, kepentingan umum wajib diutamakan dan lebih penting, hendaklah dipastikan, kredibiliti institusi negara dan integriti institusi negara, sama sekali tidak dikompromikan kerana kepentingan jangka pendek. Pengolahan berita yang keterlaluan memihak, memutihkan yang hitam dan menghitamkan yang putih, tidak memberi manfaat, bersifat counter productive, dan jika dilakukan secara keterlaluan oleh institusi media rasmi negara, dibimbangkan perbuatan sedemikian, pada akhirnya semakin memisahkan rakyat dengan kerajaan. Pengarang Timothy B. Tyson, pemegang “Grawemeyer Award 2006, mengingatkan “If there is to be reconcilliation, first there must be truth”. Oleh itu laporan yang menjunjung prinsip kebenaran, keadilan, ketepatan dan kesahihan adalah penentu kepada kredibiliti dan integriti institusi media. Bahawa fakta yang tepat itu suci sifatnya – murni kandungannya, dan institusi media wajib berpegang kepada prinsip kebenaran yang kudus; sementara para petugas pula menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan hati dan iman yang penuh takwa, insaf, bahawa setiap perkataan, setiap perbuatan di dunia ini, akan dinilai oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala pada hari pengadilan nanti.
19. Semoga warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah Subhanahu Wata’ala, menjunjung amanah dan menggalas tanggungjawab, dengan penuh berintegriti dan tidak sama sekali bersubahat melakukan kemungkaran. Bekerja, adalah satu fardu kifayah, satu ibadah, laksanakanlah dengan penuh keluhuran, keikhlasan, kejujuran dan ketelusan agar rezeki mendapat berkat.
20. Beta menghargai hasrat Yang Berhormat Menteri dan Kementerian untuk kompleks ini mendapat perkenan Beta dinamakan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Kompleks ini adalah kompleks sulung atau bangunan pertama yang diabadikan atas nama SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH. Kepada Yang Berhormat Menteri dan Kementerian, Beta menzahirkan ucapan terima kasih.
21. Dengan kalimah Bismillahi Allahu Akbar, Beta dengan nama ALLAH Yang Maha Besar melafazkan pengisytiharan perasmian Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Wabillahi taufik, walhidayah.
Wassalamualaikum, warahmatullahi wabarakatuh.
[1] Nicolas Coleridge, Paper Tigers, Read Consumer Books Ltd., London, 1993
[2] Farish A. Noor, Islam Embedded, Vol 1, Malaysian Sociological Research Institute, Kuala Lumpur, 2004, 133
[3] John Keane, Democracy and Media Decadence, (Cambridge: University Press, 2013), 109.
[4] Ibid.
[5] Jennifer Aaker and Andy Smith, The Dragonfly Effect: Quick, Effective and Powerful Ways to Use Social Media to Drive Social Change, (Josey-Bass, 2010)
[6] Sam Bollier, “Voting in the world’s social media capital”, Al-Jazeera English, 2 July 2014, 09:30 GMT.
[7] Ibid.
[8] Matthew Syed, in “Turning Data Into Bold Innovation: From Formula One to Narendra Modi” in Alastair Campbell, Winners and How They Succeed, (London: Hutchinson, 2015), 305-315
[9] Amit Sharma, “How Social Media Played Imperative Role in Narendra Modi’s Historic Political Win”, http://www.digiperform.com/social-media.
[10] Report: Malaysian youths fourth most active Internet users; http://www.themalaymailonline.com/malaysia.
[11] Paul Star, The Creation Of The Media: Political Origins Of Modern Communication, (New York: A Member Of The Perseus Books Group, 2004), 402.