Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim Haji 1437 Hijrah

 

Basmalah & Salam

Opening of SpeechFirman ALLAH yang terkandung dalam ayat 96 dan 97 Surah Ali-Imran bermaksud:

“Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Dan ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, ia itu sesiapa yang mampu sampai kepadanya”.[1]

2. Ayat 26 hingga 29, Surah Al-Haj, bermaksud:

“Dan ketika Kami tentukan bagi Ibrahim tempatnya di Kaabah lalu Kami berfirman kepadanya: Janganlah engkau sekutukan dengan Ku bagi orang yang bertawaf, dan orang yang rukuk serta sujud. Dan serulah umat manusia untuk Haji, mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta, yang datangnya dari berbagai jalan dan ceruk rantau yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai faedah bagi mereka, serta memperingati dan menyebut nama ALLAH, pada hari-hari yang tertentu,….Kemudian hendaklah mereka membersihkan diri, dan sempurnakanlah nazar mereka, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah yang tua sejarahnya”.[2]

3. Daripada Jabir bin Abdullah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersabda:

“Orang yang menunaikan haji dan orang yang menunaikan umrah adalah undangan ALLAH. ALLAH menyeru mereka lalu mereka menyahut seruan itu. Mereka meminta daripada ALLAH lalu ALLAH memberikan kepada mereka”.[3]

4. Para jemaah yang terpilih untuk menunaikan Rukun Haji pada tahun 1437 Hijrah ini adalah tetamu yang telah dipilih oleh ALLAH. HAJI adalah ziarah suci yang dilakukan oleh umat Islam menuju ke Makkah dan berhimpun untuk menunaikan ibadah. Ibadah HAJI menunjukkan semangat, penyatuan, perpaduan dan persaudaraan umat Islam sejagat, meskipun masing-masing memiliki perbezaan latar belakang daripada segi kaum, keturunan, budaya, bahasa, taraf sosioekonomi dan usia. Umat Islam daripada seluruh dunia berkumpul untuk membuktikan penyerahan jiwa raga kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala.

5. Para jemaah telah menetapkan niat untuk mengabadikan bukan sahaja masa dan tenaga, malah sebahagian daripada rezeki kurniaan ILAHI untuk menunaikan Rukun Haji. Daripada Abu Zuhir Abdullah bin Buraidah daripada bapanya berkata, sabda Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam, maksudnya:

“Perbelanjaan kerana menunaikan fardu haji adalah seperti perbelanjaan pada sabilillah, ganjarannya 700 kali ganda”.[4]

6. Para jemaah yang hadir berkursus, sedang melakukan sebaik persiapan setelah terpilih menjadi tetamu ALLAH. Pengalaman yang dialami semasa berkursus ini adalah satu pendedahan untuk menyediakan kekuatan minda dan kekuatan emosi serta persiapan membina daya tahan para jemaah menghadapi cabaran sebenar sewaktu mengerjakan ibadah haji.

7. Ada beberapa perkongsian yang dapat Beta zahirkan berdasarkan pengalaman peribadi Beta sendiri ketika menunaikan fardu haji pada tahun 2003;

Pertama: Mengamalkan sifat toleransi, sabar dan beralah; tidak bersifat terburu-buru untuk mahu segera menyelesaikan sesuatu rukun sehingga membahayakan diri.

Kedua: Bersifat pemurah dengan bersedia berkongsi barangan dan kemudahan, tidak terbatas kepada wang ringgit, makanan dan minuman, malah termasuk kesediaan memberi ruang kepada jemaah lain tempat untuk bersolat, memberi laluan kepada warga tua dan jemaah yang berada dalam keuzuran, membantu memandu jemaah yang menghadapi kebuntuan.

Ketiga: Bersifat reda kepada susah senang yang ditempuhi, menerima bahawa segala yang berlaku adalah ujian daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala terhadap hambanya.

Keempat: Mengamalkan sifat merendah diri dengan melupakan status, pangkat dan jawatan; istana, gedung perniagaan atau banglo besar yang ditinggalkan. Menginsafi bahawa manusia adalah sama di sisi ALLAH yang Maha Mencipta, dilahirkan ke dunia tanpa seurat benang dan disemadikan di alam kubur berpakaian kain kafan berwarna putih.

dan

Kelima: Menginsafi kesesakan dan ujian yang dialami di Padang Arafah adalah satu miniature, satu imbasan kecil daripada suasana sebenar yang bakal ditempuhi oleh setiap umat pada hari kebangkitan di Padang Mahsyar nanti.

8. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala melimpahkan para Jemaah dengan segala kelapangan dan kemudahan, dianugerahkan kesihatan dan kekuatan, diperkukuhkan iman diperteguhkan pegangan, dapat melakukan ibadah haji sesempurna mungkin.

9. Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersabda yang bermaksud:

 

“Siapa yang menunaikan haji, dan dalam masa itu ia tidak bercakap kotor dan tidak melakukan kejahatan; nescaya ia pulang seperti pada hari ibunya melahirkannya (suci daripada dosa)”.[5]

Semoga para jemaah dianugerahkan haji yang mabrur.

Ending of Speech

  1. Al-Quran; Surah Ali-Imran (3:96 dan 97)
  2. Al-Quran; Surah Al-Haj (22: 26-29)
  3. Diriwayatkan oleh al-Bazzar,
  4. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tabrani, al-Baihaqi dan Abi Syu’bah.
  5. Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim
%d bloggers like this: