Perasmian Loji Rawatan Air Kg. Senawar Kuala Kangsar

Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 68 dan 69 Surah Al-Waqiah  berbentuk pertanyaan bermaksud;

 

“Pernahkah kamu memerhatikan air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan atau Kami yang menurunkan?”[1]

 

Jawapannya terkandung dalam pelbagai ayat di dalam Al-Quran, antaranya dalam ayat-ayat 48, 49 dan 50, Surah Al-Furqaan, bermaksud;

 

“Dialah yang meniupkan angin (sebagai) pembawa khabar gembira sebelum kedatangan rahmat Nya (hujan); dan Kami turunkan dari langit air yang sangat bersih,

 

Agar (dengan air itu) Kami menghidupkan negeri yang mati (tandus) dan Kami memberi minum kepada sebahagian apa yang telah Kami ciptakan, (berupa) haiwan-haiwan, ternakan dan manusia yang ramai.

 

Dan sesungguhnya, Kami telah mempergilirkan (hujan) itu di antara mereka agar mereka mengambil pelajaran tetapi kebanyakan manusia tidak mahu (bersyukur) bahkan mereka mengingkari (nikmat).”[2]

 

  1. Air adalah anugerah daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala. Perkataan air disebut enam puluh tiga (63) kali di dalam Al-Quran;[3] tiga puluh tiga (33) ayat Al-Quran, secara spesifik mengisahkan penciptaan dan nikmat air; air tercipta selepas Allah mencipta syurga dan alam.[4]

 

  1. Air merupakan elemen penting dalam kehidupan. Tubuh manusia mengandungi sekurang-kurangnya enam puluh peratus (60%) air.  Tanpa air, manusia dianggarkan hanya boleh hidup tidak melebihi tujuh hari.[5]  Kesemua sel hidup memerlukan air untuk berfungsi, selaras dengan firman Allah yang terkandung dalam ayat 30 Surah Al Anbiyaa’ dan ayat 45 Surah An Nuur, yang bermaksud;

 

 

“….Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup…”[6]

“Dan ALLAH telah menciptakan semua jenis haiwan dari air,…”[7]

 

  1. Ayat 32 Surah Ibrahim mengisahkan rahmat yang dinikmati daripada air hujan hingga Allah mengeluarkan berbagai buah-buahan sebagai rezeki dan telah menundukkan sungai-sungai untuk manfaat manusia.[8] Pembangunan tamadun berkait rapat dengan air, berlaku di kawasan-kawasan yang mengalir sungai yang besar lagi panjang.  Sungai-sungai Nil, Hwang Ho, Indus, Tigris dan Eupharates adalah sungai-sungai yang telah berperanan mempengaruhi pembangunan beberapa tamadun besar dunia, di Mesir, di China, di India dan di Mesopotamia.[9]  Sungai di lokasi-lokasi tersebut berfungsi sebagai sumber kehidupan, menyuburkan pembangunan ekonomi berasaskan pertanian di samping menjaringkan perhubungan dengan merangkaikan hubungan sesama manusia.  Air turut mendorong manusia mencipta pelbagai inovasi dan teknologi hebat seperti pembinaan akueduk (aqueduct) di Rom dan Iran, ketika kedua-dua empayar tersebut berada di mercu kuasa.

 

  1. Kejayaan mencipta teknologi penjana kuasa berteraskan air, telah menambah peranan air dalam kehidupan insan, berperanan signifikan dalam sektor industri ketika berlakunya revolusi industri. Idea menggunakan air sebagai sumber kuasa untuk menggerakkan jentera bermula dengan penciptaan enjin berkuasa wap yang digunakan untuk menggerakkan lokomotif; di samping turut membantu perkembangan pesat industri tekstil, apabila mesin pemintal kapas (spinning wheel) direka semula oleh Richard Arkwright dengan menggunakan kuasa air.[10]  Ciptaan-ciptaan tersebut, bukan sahaja telah meningkatkan produktiviti pengeluaran, tetapi telah membuka minda manusia bahawa penggunaan air, tidak hanya terbatas untuk tujuan minuman, basuhan dan pertanian.

 

  1. Penggunaan air menggerakkan industri turut berlaku di Negeri Perak. Industri perlombongan bijih timah bermula pada tahun 1848, setelah Long Jaafar menemui bahan tersebut di daerah Larut, dan aktiviti melombong berlangsung dengan menggunakan teknik mendulang.[11]  Jentera-jentera perlombongan berbentuk kapal korek dan pam kelikir yang memberikan hasil lebih produktif, mula dibawa masuk oleh orang-orang Eropah melalui syarikat-syarikat pelaburan mereka; menjadi titik tolak kepada era baru, pengeluaran bijih timah secara besar-besaran,[12] hingga berjaya meletakkan Negeri Perak mencapai status pengeluar utama bijih timah di dunia ketika itu.

 

  1. Walaupun permukaan bumi diliputi tujuh puluh satu peratus (71%) air,[13] tetapi hanya dua perpuluhan lima peratus (2.5%) daripada jumlah tersebut bersifat air tawar.[14] Sungai yang berperanan sebagai pembekal utama bekalan air tawar, hanya membekalkan kurang daripada kosong perpuluhan satu peratus (0.00002%) keseluruhan sumber air dunia.[15]  Jumlah penduduk dunia semakin bertambah; diunjurkan bertambah daripada 7.5 bilion pada tahun 2017 kepada 9.9 bilion pada tahun 2050.[16]  Pertambahan penduduk bermakna permintaan terhadap air yang boleh diminum (potable water) akan turut meningkat.

 

  1. Kekurangan air adalah satu fenomena yang sedang melanda dunia ketika ini. Rakyat wajib sedar bahawa bekalan air yang tidak mencukupi, bakal mencetuskan krisis, kerana air adalah keperluan paling asas kehidupan.  Krisis bekalan air bukan satu fiction atau cerita rekaan.  Malah diramalkan bahawa persaingan dan perebutan mendapatkan sumber air, boleh menjadi punca memungkinkan manusia berperang pada masa akan datang.  Satu perlima penduduk dunia, dilaporkan, tidak mendapat akses kepada air yang boleh diminum.  Lebih separuh penduduk dunia, dilaporkan tinggal di kawasan-kawasan yang menghadapi tekanan untuk mendapatkan bekalan air. Kebelakangan ini, beberapa kawasan di negara kita, turut mengalami krisis kekurangan bekalan hingga catuan air terpaksa dilakukan.

 

  1. Dalam usaha mahu meminimumkan bencana daripada risiko yang sedang dihadapi, tindakan secara proaktif, strategik dan terancang hendaklah dilakukan dalam lima perkara berikut:

 

Pertama:    memelihara dan memulihara sumber-sumber air serta kawasan tadahan air, dengan memastikan alam sekitar yang mapan.

 

Kedua:       mengurus sumber air secara bersepadu.

 

Ketiga:       menaiktaraf sistem air sedia ada dengan merintis teknologi baru.

 

Keempat:   mempelbagaikan sumber air dengan meneroka sumber-sumber alternatif antaranya, potensi air bawah tanah, air yang dikitari semula (recycle water), serta penuaian air hujan.

 

Kelima:      program pendidikan agar pengguna sedar dan turut mengambil tanggungjawab memelihara sumber air dan tidak melakukan pembaziran.

 

  1. Memelihara dan memulihara sumber air serta budaya menggunakan air secara berhemah dan optimum adalah tanggungjawab setiap rakyat. Rakyat yang selama hari ini dilahirkan dan dibesarkan dalam persekitaran tropika, yang beranggapan bahawa air adalah bahan yang mudah diperoleh, wajib disedarkan akan tanggungjawab menghargai air, tidak melakukan pencemaran terhadap sumber-sumber air, dan dididik tidak membazir.  Abdullah ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam pada satu ketika melintasi Saad ibn Abi Waqqas Radiallahuanhu yang sedang berwuduk dengan menggunakan air yang banyak.  Lalu Baginda bertanya;

 

“Mengapakah dengan pembaziran ini?”  Saad bertanya kepada Baginda; “Apakah di dalam soal berwuduk pun dikira pembaziran?”  Baginda menjawab, “Ya, (membazir tetap membazir) walaupun kamu berada di sungai yang mengalir.”[17]

 

  1. Program pendidikan tentang nilai dan kepentingan air, serta tanggungjawab bersama untuk memelihara dan memulihara sumber air perlu disemaikan di dalam keluarga, di bangku sekolah, di tempat bekerja, di kalangan badan-badan bukan kerajaan serta pertubuhan sukarela dan di rumah-rumah ibadat. Mulakan sikap menghargai dan menghormati air, dengan langkah permulaan, tidak lagi membuang sisa buangan dan sampah ke dalam parit, longkang dan sungai.  Langkah tersebut mungkin langkah kecil, tetapi langkah yang besar dan berimpak tinggi, bermula dengan satu langkah kecil yang dilakukan secara beramai-ramai, hingga tersemai satu keinsafan dan satu kesedaran, hingga diperlihatkan sebagai satu amalan harian dan satu budaya di kalangan warga.

 

  1. Menyediakan air bersih kepada rakyat adalah antara matlamat penting yang terkandung dalam agenda pembangunan lestari yang dilancarkan di peringkat global ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992. Agenda tersebut telah dikunjungi semula dan dihidupkan kembali dalam sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2015; dengan memperkenalkan tema baru ‘Transformasi Dunia Kita: Agenda 2030’.  Oleh itu adalah menjadi satu tanggungjawab utama setiap Kerajaan mengambil langkah dan memperuntukkan pelaburan kewangan untuk membolehkan rakyat jelata dapat menikmati bekalan air bersih.  Diriwayatkan dalam satu hadis bahawa Saad bin Ubadah Radiallahuanhu bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam,

 

“Wahai Rasulullah, sedekah apa yang paling utama?” Baginda menjawab, “Memberi air”.[18]

 

  1. Langkah yang diusahakan oleh Lembaga Air Perak membangunkan Loji Rawatan Air Kg. Senawar ini adalah langkah bertanggungjawab, memenuhi peranan yang amat penting untuk memenuhi keperluan asasi rakyat. Langkah yang diambil oleh Kerajaan Beta menyediakan kemudahan asas yang penting ini adalah tanggungjawab fardu kifayah yang disempurnakan selaras dengan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, dan seiring dengan agenda pembangunan lestari yang dirumuskan dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.  Rakyat sewajarnya menghargai usaha Kerajaan dan Lembaga Air Perak ini.  Beta merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd. Kadir selaku Ketua Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Air Perak yang telah memberikan keutamaan kepada pembangunan projek ini dan kepada seluruh warga Lembaga Air Perak yang telah merealisasikan rancangan pembangunan loji ini.  Semoga usaha baik ini diterima oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala sebagai amal makruf yang diberikan ganjaran dunia – ganjaran akhirat.

 

  1. Semoga kualiti hidup rakyat akan terus meningkat, dan rakyat pula menunjukkan sifat syukur terhadap anugerah ILAHI dengan melakukan keadilan terhadap alam dan persekitaran, dan memulihara sumber-sumber air kurniaan ILAHI, demi kepentingan anak cucu kita di masa hadapan.

 

  1. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Loji Rawatan Air Kg. Senawar Kuala Kangsar.

[1] Al-Quran, Al-Waqiah (56:68,69)

[2] Al-Quran, Al-Furqaan, (25:48,49,50,54)

[3] www.ecomena.orgs>tag>water in holy quran.

[4] Imanreza.net

[5] http://www.independent.co.uk/life-style/health-and-families/health-news/how-long-a-person-can-survive-without-water-a6873341.html

[6] Al-Quran, Al-Anbiyaa’, (21:30)

[7] Al-Quran, An Nuur, (24:45)

[8] Al-Quran, Ibrahim (14:32)

[9] http://www.rivervalleycivilizations.com/index.html

[10] Outman, L. James, Outman, M. Elisabeth, 2003, Industrial Revolution Almanac, Thomas Gale, pp71

[11] http://www.arkib.gov.my/web/guest/kota-long-jaafar-perak

[12] http://eesyuen97.blogspot.my/2015/08/perlombongan-bijih-timah-sebelum-dan_31.html

[13] https://water.usgs.gov/edu/earthhowmuch.html.

[14] http://www.greenfacts.org/en/water-resources/

[15] https//water.usgs.gov/edu/earthwherewater.html.

[16] www.newsweek.com.pop.growth.

[17] Hadis Riwayat Ibn Majah.

[18] Shahih Abu Daud.

%d bloggers like this: