Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Al-Quran, ummul kitab, ibu kepada segala kitab. Ia kitab yang diturunkan dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.[1] Ia khazanah agung lagi unggul, mengandungi roh yang menghidupkan batin, memancarkan nur yang menerangi jiwa. Sesungguhnya al-Quran memberi petunjuk ke (jalan) yang paling lurus dan memberi khabar gembira kepada orang mukmin yang melakukan amal soleh, bahawa mereka akan mendapat pahala yang besar.[2]
2. Perkataan Quran berakarkan perkataan qaraa, bermaksud baca. Kalimah pertama yang disampaikan oleh Malaikat Jibrail Alaihissalam kepada Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam di Gua Hiraa’ adalah kalimah iqra bermaksud, bacalah. Allah Subhanahu Wata’ala bukan sahaja mentanzilkan ayat-ayat al-Quran malah turut melengkapkannya dengan panduan mengenai sebaik cara membaca al-Quran seperti yang terkandung dalam maksud ayat 114 Surah Thaahaa:
“Maha Tinggi Allah Raja yang sebenar-benarnya. Janganlah engkau (Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai diwahyukan kepada mu, dan katakanlah: ‘Ya Tuhan ku, tambahkanlah kepada ku ilmu pengetahuan”.[3]
3. Dihuraikan bahawa Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam dilarang oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk mengikuti bacaan secara kalimah demi kalimah sebelum Jibrail Alaihissalam selesai membacakannya, untuk membolehkan Baginda menghafal dan betul-betul memahami ayat yang diturunkan; menunjukkan bahawa al-Quran bukan sekadar bahan untuk dibaca secara sepintas lalu tetapi aspek hafalan dan aspek pemahaman amat diberikan perhatian.
4. Al-Quran ditanzilkan pada abad keenam Masihi, ketika majoriti masyarakat Arab masih belum menguasai kemahiran membaca begitu juga menulis. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam sendiri diriwayatkan memberikan jawapan bahawa Baginda tidak tahu membaca ketika Baginda diseru oleh Jibrail Alaihissalam untuk membaca. Masyarakat Arab pada era tersebut, memelihara fakta sejarah, salasilah keluarga dan puisi melalui hafalan dan ingatan.
5. Pada era tersebut, abjad dan huruf Arab masih belum diperkenalkan tanda diakritik dan vokal; dengan itu ketepatan sesuatu sebutan, lebih sahih diperoleh melalui sumber hafalan berbanding sumber tulisan. ‘Kertas’ yang masih belum terdapat dalam masyarakat Arab pada era tersebut merupakan satu lagi faktor yang membatasi aktiviti penulisan; kerana itu bahan-bahan bertulis dicatatkan atas kulit kayu dan kulit binatang. Tahap literasi, bentuk abjad dan huruf serta ketiadaan kertas telah menempatkan kaedah lisan dan kaedah hafalan berperanan penting dalam sistem pengajaran, pembelajaran dan penyebaran ilmu ketika itu.
6. Dengan latar belakang sedemikian, kaedah menghafal merupakan kaedah asal dan kaedah semula jadi untuk mempelajari dan memelihara ayat-ayat al-Quran sebelum al-Quran dihimpunkan dan dibukukan dalam bentuk kitab yang dikenali pada hari ini. Al-Quran pada akhirnya disempurnakan terhimpun lengkap dalam bentuk tulisan atas usaha Sayidina Uthman ibni Affan Radiallahuanhu pada sekitar tahun 650 ke-656; namun ia tidak sama sekali menghentikan kaedah hafalan yang kekal hidup dan terus dikembangkan. Pada hari ini, al-Quran merupakan satu-satunya kitab yang dihafal oleh begitu ramai umat manusia.
7. Hasrat untuk memahami inti pati al-Quran boleh dicapai melalui dua cara; pertama, dengan menguasai bahasa Arab kerana al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab; kedua, dengan usaha menterjemahkan al-Quran daripada bahasa Arab ke dalam bahasa lain. Pada tahun 1647, Andre du Ryer telah menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa Perancis, pada tahun 1649 Alexander Ross telah melakukan terjemahan ke dalam bahasa Inggeris dan pada tahun 1716, Piotr Postnikov telah menterjemahkannya ke dalam bahasa Russia.[4]
8. Kejayaan usaha menterjemah telah membolehkan lebih ramai umat manusia di luar dunia Arab dapat mengenali, memahami dan menghayati inti pati al-Quran. Insan yang memahami kandungan al-Quran akan dapat menghayati kehebatan Islam sebagai agama yang syumul, agama yang menyeluruh lagi sempurna, agama yang menganjurkan keadilan, kesaksamaan, perdamaian dan kesederhanaan; agama yang tidak mengenakan paksaan terhadap sesiapa, malah agama yang menganjurkan umatnya untuk menerima dan menghormati perbezaan dan umatnya ditegah sama sekali daripada menghina dan mempersendakan agama lain.
9. Sifat-sifat toleransi terhadap kewujudan agama lain terserlah dipamerkan oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam melalui perjanjian yang termaktub di biara St Catherine pada tahun 627 begitu juga dengan perjanjian di antara Baginda dengan Kristian Najran yang dimaktubkan pada tahun 631. Perjanjian-perjanjian tersebut adalah dokumen sejarah yang telah mendahului zaman; dokumen sejarah yang boleh dijadikan bahan bukti kepada dunia bahawa Islam tidak sama sekali menindas agama lain. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam memberikan mesej jelas bahawa Islam adalah agama yang harmonis, agama yang mengutamakan hubungan persaudaraan, agama yang mementingkan elemen kasih sayang.
10. Pada sekitar tahun 1400, teknologi percetakan berkembang lebih pesat apabila kertas lebih mudah diperoleh. Berikutan dengan perkembangan tersebut risalah-risalah agama Buddha dan Kristian telah tersebar luas dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi percetakan. Malang bagi perkembangan Islam, al-Quran dan risalah agama Islam mengambil masa yang lebih lama sebelum dibenarkan untuk mengguna pakai teknologi percetakan moden kerana berlakunya halangan melalui fatwa yang dikeluarkan dari kalangan sebahagian ulama yang mengharamkan ayat-ayat al-Quran dari disentuh oleh mesin cetak. Ulama yang gagal memahami relevansi teknologi moden lalu memberi tafsiran negatif terhadap teknologi telah menghalang risalah Islam daripada dapat disebarkan secara lebih pesat dan lebih meluas.
11. Hari ini al-Quran telah berupaya dicetak dengan bilangan yang lebih besar dan turut diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Hari ini dilaporkan al-Quran telah diterjemahkan ke dalam kira-kira seratus tiga puluh bahasa.[5] Perkembangan ini amat menggalakkan, namun ia juga turut memberikan cabaran baru dari segi kawalan dan pemantauan untuk memastikan kesahihan kandungan al-Quran tetap terjamin. Allah Subhanahu Wata’ala telah memberikan jaminan akan memelihara kesucian dan kemurnian al-Quran menurut yang terkandung dalam ayat 9, Surah Al-Hijr bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.”[6]
12. Janji Allah adalah benar, terbukti melalui peristiwa-peristiwa yang boleh disifatkan miracle atau ajaib. Satu peristiwa yang boleh dijadikan contoh berlaku dalam tahun 1537. Pencetak Venetian di Itali telah cuba mencetak al-Quran dalam bahasa Arab untuk dieksport kepada kerajaan Uthmaniah. Namun naskhah-naskhah al-Quran yang telah dicetak terpaksa dimusnahkan atas tekanan paderi tertinggi Pontifex Romanus yang bimbang akan kemungkinan kitab al-Quran merosakkan kepercayaan penganut Kristian.[7] Bagaimanapun satu naskhah al-Quran daripada edisi cetak tahun 1537 telah ditemui pada tahun 1987 di Perpustakaan Franciscan Friars of Isola di San Michele, Venice.[8] Penelitian yang dilakukan terhadap naskhah tunggal tersebut mendapati terdapat kesilapan pada setiap halaman terutama dari segi ejaan. Malah setiap perkataan dieja dengan salah kerana pengatur huruf atau kompositornya tidak memahami abjad Arab.[9] Sesungguhnya arahan Pontifex Romanus untuk memusnahkan al-Quran yang telah siap dicetak itu, merupakan satu rahmat yang telah dapat memulihara kesucian al-Quran daripada dicemari; demikian satu daripada muslihat keajaiban yang berlaku yang meningkatkan keyakinan kita bahawa al-Quran itu adalah kalam Allah dan pada setiap masa terjamin mendapat perlindungan ILAHI sehingga ke hari kiamat.
13. Untuk sekian lamanya sejak daripada turunnya wahyu pertama, al-Quran itu terpelihara kesuciannya di dada-dada para sahabat dan para huffaz. Anak-anak yang mengikuti didikan di Ma’ahad ini akan menjadi barisan para huffaz yang akan berperanan sebagai angkatan yang akan membantu memelihara keaslian dan melindungi kesahihan al-Quran. Setelah berjaya menghafal tiga puluh juzuk al-Quran, anak-anak pelajar hendaklah lebih gigih lagi menerokai mukjizat yang terkandung di dalam al-Quran. Terdapat ratusan ayat al-Quran yang menyeru orang-orang beriman agar memanfaatkan akal dan kebijaksanaan. Manfaatkan akal anugerah Ilahi untuk menjadi insan yang bijaksana. Gunakanlah ilmu, akal dan kebijaksanaan untuk menjadi pemimpin ummah yang berintegriti, jujur, ikhlas dan luhur dan mengabadikan sepenuh jiwa raga dengan bertuankan kepada ALLAH YANG MAHA ESA dan sama sekali menjauhkan diri daripada tergelincir hingga bertuankan kepada kebendaan atau bertuhankan kepada insan lain.
14. Banyak pihak telah mengabadikan masa, tenaga, fikiran dan harta benda untuk penubuhan Ma’ahad ini. Setiap mereka telah berjaya menyahut seruan Ilahi untuk melakukan amal, memenuhi tanggung jawab besar fardu kifayah untuk mendidik dan mengilmukan ummah. Beta menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada setiap seorang yang telah berusaha dan bergerak aktif menjayakan penubuhan Ma’ahad ini. Ada di antara mereka telah menyahut seruan Ilahi, kembali ke Rahmatullah dan sudah tidak lagi bersama kita. Semoga jasa bakti mereka diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagai amal soleh; semoga roh-roh mereka dilimpahkan rahmat ILAHI; semoga roh-roh mereka turut diberikan ihsan sehingga ke hari kebangkitan. Sama-samalah kita bacakan Surah Al-fatihah di samping memohon kepada ILAHI agar apa jua ganjaran daripada bacaan tersebut dilimpahkan kepada roh para pengasas dan penggerak Ma’ahad ini. Al-Fatihah.
15. Dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim Beta dengan segala kesyukuran merasmikan Ma’ahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran Pondok Air Jernih, Kampung Ulu Kenderong.
Wabillahi taufik, walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.