Yang Dipertua Dewan Negeri
Indeks demokrasi tahunan, kompilasi Economist Intelligent Unit, mendaftarkan, tahun 2017 sebagai tahun paling buruk bagi demokrasi dunia sejak berlakunya krisis kewangan 2010, berdasarkan negara yang amalan demokrasinya menurun adalah lebih tiga kali ganda berbanding negara yang amalan demokrasinya meningkat.[1] Pada tahun 2006, Freedom House menetapkan 46 peratus penduduk dunia tinggal di dalam negara yang mengamalkan persaingan politik terbuka, jaminan kebebasan awam, masyarakat sivil yang kuat dan media yang bebas.[2] Pada tahun 2018, nisbah mereka yang masih berada di dalam negara sedemikian telah turun kepada 39 peratus. Liputan-liputan media dan pelbagai penerbitan, antaranya tulisan David Runciman, “How Democracy Ends” dan Madeleine Albright, “Fascism: A Warning”, merenung secara mendalam akan masa hadapan demokrasi. Ada yang merasakan demokrasi menghadapi zaman kelam, apabila ucapan politik dihukum, agama ditekan dan hak kebebasan jutaan rakyat dinafikan.[3]
- Pilihanraya Umum Keempat Belas (PRU 14) di Malaysia berlangsung di dalam suasana politik dunia yang berlatarbelakangkan, semakin banyak negara cenderung memasuki orbit sistem pemerintahan autokrasi. Pilihanraya untuk memilih ahli-ahli Dewan Negeri Perak keempat belas, berlangsung pada 9 Mei 2018, serentak dengan pilihanraya memilih ahli-ahli Dewan Rakyat. Pilihanraya adalah satu mekanisme demokrasi, memberikan hak kepada rakyat untuk memilih kerajaan, berlandaskan konsep, ‘kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’, diinspirasikan daripada ucapan bersejarah Abraham Lincoln pada 19 November 1863, yang dikenali sebagai ‘Amanat Gettysburg’.
- Satu perpuluhan lima satu juta (1,510,864) rakyat mendaftar sebagai pengundi di negeri Perak, meningkat 7.4 peratus, berbanding satu perpuluhan empat juta (1,406,734) pengundi berdaftar semasa pilihanraya umum ketiga belas. Sembilan ratus tiga puluh dua ribu (932,352), ia itu 62 peratus pengundi berusia melebihi 40 tahun, lima ratus tujuh puluh lapan ribu (578,512), ia itu 38 peratus pengundi berusia empat puluh tahun ke bawah. Satu perpuluhan dua juta (1,214,412) pengundi, keluar mengundi di negeri Perak semasa PRU keempat belas, mencatatkan lapan puluh perpuluhan empat peratus (80.38) purata peratusan keluar mengundi, berbanding purata 82 peratus yang keluar mengundi semasa PRU ketiga belas.
- Gabungan parti politik yang bertanding atas nama PAKATAN HARAPAN (PH) memenangi 29 kerusi Dewan Negeri, BARISAN NASIONAL (BN) memenangi 27 kerusi, PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) memenangi 3 kerusi, sementara Parti Sosialis Malaysia (PSM), gagal memenangi sebarang kerusi. Daripada segi undi popular, PAKATAN HARAPAN meraih 49 peratus undi, BARISAN NASIONAL meraih 33 peratus undi, PAS meraih 16 peratus undi, sementara PSM meraih kurang daripada satu peratus undi. Undi ditolak berjumlah 18,698, dan 6,447 kertas undi tidak dikembalikan.
- Pilihanraya keempat belas mencetuskan kejutan besar, mengabsahkan kata-kata yang diungkapkan oleh Otto Von Bismark, “bahawa politik adalah seni bagi apa juga kemungkinan”. BARISAN NASIONAL yang diasaskan daripada PERIKATAN, yang telah memenangi 13 pilihanraya berturut-turut di peringkat persekutuan, termasuk pilihanraya pra merdeka pada tahun 1955, tewas kepada PAKATAN HARAPAN. Daripada 12 kerajaan negeri[4] yang mengadakan pilihanraya serentak dengan pilihanraya Parlimen, BARISAN NASIONAL sekadar berupaya mengekalkan majoriti di Dewan Undangan Negeri Perlis dan di Dewan Undangan Negeri Pahang, sementara PAS di samping kekal menguasai Dewan Undangan Negeri Kelantan, berjaya melebarkan kuasa ke negeri Terengganu. Di samping kejayaan menubuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan, PAKATAN HARAPAN menguasai lapan kerajaan negeri, sementara kerajaan Negeri Sabah dikuasai oleh sekutu politik PAKATAN HARAPAN.
- Proses peralihan kuasa pemerintahan yang berlaku secara aman dan tenteram di peringkat Persekutuan dan Negeri, meletakkan mercu tanda baru akan tahap kematangan amalan demokrasi yang subur berakar di negara ini. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Raja Pemerintah Negeri, begitu juga Yang di-Pertua Negeri, masing-masing menyempurnakan peranan dan amanah, bersandarkan doktrin raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen, memberikan perkenan dan persetujuan melantik Ketua Kerajaan dan anggota Kerajaan baik di peringkat Persekutuan, begitu juga di peringkat negeri. Malaysia, sebuah negara muda, dengan kompleksiti warga yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa, dengan jurang perbezaan pencapaian taraf sosial, intelek, dan ekonomi, telah membuktikan kepada dunia bahawa akar demokrasi semakin bertunjang dan pohon demokrasi semakin merimbun.
- Budaya demokrasi yang matang ini perlu terus ditingkatkan dengan memberi perhatian kepada perkara-perkara yang menimbulkan beberapa kecurigaan. Langkah-langkah pembetulan menangani sebarang keraguan, wajib dirintis, demi menjamin proses pilihanraya akan dapat dilangsungkan secara berintegriti, dan demi memastikan terjaminnya hak asasi rakyat untuk memilih kerajaan selaras dengan falsafah yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.
- Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mendapat kepercayaan rakyat untuk mewakili mereka di dewan yang mulia ini. Beta zahirkan ucap tahniah kepada ADUN Chenderiang, yang telah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan untuk membolehkan Beta memberikan perkenan beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar, begitu juga ucapan tahniah Beta kepada ahli-ahli Dewan yang diberikan kepercayaan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
- Beta turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memungkinkan PRU 14 dapat dilangsungkan, merangkumi Suruhanjaya Pilihanraya, anggota Perkhidmatan Awam, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, pihak media, parti-parti politik dan rakyat jelata keseluruhannya yang telah memperlihatkan dan mengamalkan sikap bertanggungjawab yang tinggi, membolehkan pilihanraya berjalan lancar tanpa menjejaskan rutin harian kehidupan rakyat, juga terus membolehkan jentera pentadbiran negara dan negeri beroperasi secara biasa.
Yang Dipertua Dewan Negeri
- Prestasi pertumbuhan ekonomi global untuk tahun 2018 dan tahun 2019, diunjurkan meningkat sekitar 3.9 peratus, dengan kadar pertumbuhan secara tidak sekata di antara negara maju dengan negara membangun.[5] Langit cerah ekonomi global kini menghadapi awan mendung disebabkan ketidaktentuan dasar Amerika Syarikat, perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, serta pengetatan semula Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.
- Selain faktor domestik, faktor luaran seperti pengukuhan mata wang dolar dan pengukuhan ekonomi Amerika Syarikat, turut memberi kesan kepada penyusutan pasaran saham bukan sahaja di Malaysia, malah Indonesia menghadapi 15 peratus dan Filipina menghadapi 18 peratus, pasaran saham turun.[6] Faktor luar terutama ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China akan terus meletakkan ringgit di bawah tekanan.[7]
- Pertumbuhan ekonomi Negeri Perak pula meningkat 5.5 peratus pada tahun 2017 berbanding 4.1 peratus pada tahun 2016 dipengaruhi oleh sektor-sektor perkhidmatan, pertanian dan pembuatan. Sektor perkhidmatan tumbuh pada kadar 5.6 peratus, dihasilkan oleh aktiviti perdagangan borong dan runcit, komunikasi dan utiliti. Sektor pembuatan berkembang 8.0 peratus pada tahun 2017 berbanding 5.1 peratus pada tahun 2016, dipengaruhi oleh subsektor produk elektrik dan elektronik, pembuatan minyak, lemak sayuran dan haiwan, serta kenderaan bermotor dan peralatan pengangkutan. Sektor pertanian yang dipacu oleh aktiviti kelapa sawit dan getah, berkembang 9.6 peratus di dalam tahun 2017 berbanding negatif 3.5 peratus di dalam tahun 2016.
- Daripada satu perpuluhan satu lapan bilion (1,176,877,393) ringgit yang diluluskan oleh Dewan Negeri Ketiga Belas untuk belanjawan bagi tahun 2018, empat ratus dua puluh satu juta (421,280,000.00) ringgit adalah untuk perbelanjaan pembangunan. Sehingga 30 April 2018, satu ratus dua puluh lapan juta (127,917,122.56) ringgit, menyamai tiga puluh peratus (30.37%) telah dibelanjakan oleh Kerajaan terdahulu, meninggalkan baki dua ratus sembilan puluh tiga juta (293,362,877.44) ringgit untuk diuruskan oleh Kerajaan Beta di bawah teraju pimpinan PAKATAN HARAPAN. Projek-projek yang memanfaatkan rakyat akan terus dilaksanakan, dengan mengoptimumkan penggunaan peruntukan sedia ada tanpa bercadang mendapatkan bajet tambahan.
- Satu perpuluhan kosong lima bilion (1,046,142,015) ringgit disasarkan sebagai hasil bagi tahun 2018. Sehingga 31 Julai, lebih enam ratus tiga puluh lapan juta (638,638,436.96) ringgit, menyamai 61 peratus daripada sasaran telah berjaya diperoleh. Manakala hampir dua puluh tiga juta (22,554,645.55) ringgit, terimaan pembangunan telah diperolehi, menjadikan jumlah keseluruhan hasil dan terimaan pembangunan mengatasi enam ratus enam puluh satu juta (661,193,082.51) ringgit.
- Kerajaan Beta akan memberi fokus melaksanakan program dan projek, serta akan terus meneroka sumber hasil baru. Dalam hasrat meningkatkan hasil yang lebih tinggi, Kerajaan Beta akan berhati-hati untuk tidak membunuh angsa yang melahirkan telur emas. Dalam hasrat meningkatkan hasil, Kerajaan Beta tidak akan mengeksploitasi secara keterlaluan, sumber-sumber semula jadi hingga ke peringkat boleh menjejaskan kelestarian alam sekitar. Pada masa yang sama, Kerajaan Beta akan turut memperincikan belanja mengurus, merintis usaha berjimat cermat untuk meminimumkan perbelanjaan, di samping mengoptimumkan tahap produktiviti jentera pentadbiran.
- Kerajaan Beta amat menggalakkan peranan sektor swasta untuk membantu memacu pertumbuhan ekonomi negeri. Usaha akan dipertingkatkan untuk menarik pelaburan baru di samping menggalakkan para pelabur sedia ada memperkembangkan pelaburan mereka. Dalam hasrat mahu memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat, Kerajaan Beta telah melantik Majlis Penasihat Ekonomi Perak daripada kalangan tujuh tokoh yang memiliki pelbagai pengalaman dan latar belakang pendidikan.
- Program pembangunan usahawan terutama usahawan muda diberikan penekanan. Sistem Pangkalan Data Usahawan Negeri Perak diperkenalkan, bertujuan menyelaras perkembangan usahawan untuk memudahkan Kerajaan menyalurkan bantuan secara adil lagi saksama. Pangkalan data ini akan menjadi medium bagi mengenal pasti usahawan-usahawan yang berpotensi untuk terus dikembangkan ke tahap pencapaian yang lebih tinggi.
- Pembangunan prasarana merupakan indikator tahap kemajuan sesebuah negeri. Meskipun 21 peratus bajet pembangunan negeri diperuntukkan kepada dua agensi utama pelaksana, ia itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), jumlah 90 juta ringgit adalah jauh daripada mencukupi untuk dapat meningkatkan pembangunan prasarana yang berupaya memberi impak tinggi kepada pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, Kerajaan Beta akan berusaha untuk mendapatkan sumber kewangan penyelenggaraan dan pembangunan prasarana yang lebih besar daripada Kerajaan Persekutuan.
- Dalam usaha meningkatkan kualiti sistem bekalan elektrik berdaya harap tinggi, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memperuntukkan 359.6 juta ringgit, membiayai projek peningkatan prasarana bekalan tenaga elektrik di seluruh negeri Perak dengan sasaran mengurangkan tempoh gangguan bekalan. Sistem bekalan elektrik yang mapan akan mempertingkatkan kemudahan prasarana yang kondusif kepada para pelabur yang sedang beroperasi, di samping memberi daya tarikan kepada para pelabur baru. Di dalam usaha mempromosikan penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy), inisiatif untuk menghasilkan tenaga elektrik daripada sumber tersebut sedang diberikan perhatian. Kajian-kajian sedang dilakukan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi dibangunkan dengan projek mini hidro.
- Air adalah anugerah besar daripada ILAHI. Perkataan air disebut enam puluh tiga (63) kali di dalam Al-Quran;[8] tiga puluh tiga (33) ayat Al-Quran, secara spesifik mengisahkan penciptaan dan nikmat air; air tercipta selepas Allah mencipta syurga dan alam.[9] Air merupakan sumber kehidupan alam. Warga di negara ini sewajibnya bersyukur kerana ALLAH Subhanahu Wata’ala mengurniakan rahmat bahawa bumi ini tidak menghadapi keadaan kemarau keterlaluan hingga mengancam kehidupan alam.
- Lembaga Air Perak sedang berusaha meningkatkan keberkesanan operasi air dengan langkah-langkah menurunkan kadar air tidak berhasil ke tahap yang ekonomik. Dua komponen utama yang menyebabkan kadar air tidak berhasil (Non Revenue Water-NRW) ialah kehilangan fizikal dan kehilangan komersial. Kehilangan fizikal ialah kehilangan air disebabkan kebocoran di dalam sistem bekalan, manakala kehilangan komersial disebabkan kekurangan sistem bacaan penggunaan sebenar, berpunca daripada ketidaktepatan meter, serta disebabkan penggunaan yang tidak dibenarkan. Jumlah kadar air tidak berhasil yang dicatatkan sehingga Jun 2018 adalah 29.9 peratus berbanding sasaran 29 peratus yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjelang 2020. Lembaga Air Perak akan terus berusaha menggunakan pelbagai teknologi terkini untuk meminimumkan kadar air tidak berhasil.
- Menghargai mandat yang diamanahkan oleh pengundi, bermula 1 Ogos 2018, Kerajaan Beta akan menambahbaik program pemberian air percuma untuk kumpulan sasar dengan meningkatkan kuantiti air percuma daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan, serta meningkatkan bilangan kumpulan sasar yang layak daripada 11,000 keluarga sedia ada kepada 26,000 keluarga.
Yang Dipertua Dewan Negeri
- Pemuliharaan alam sekitar amat wajib diberikan perhatian. Pengurusan Hutan Paya Laut Matang diiktiraf sebagai World’s Best Managed Mangrove Forest berdasarkan penerbitan jurnal-jurnal penyelidikan antarabangsa,[10] dan satu-satunya Hutan Paya Laut di Malaysia yang menerima sijil Environmental Management System (EMS) ISO 14001:2004.[11] Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke 171 yang bersidang pada 14 Disember 2015, telah menetapkan catuan tebangan tahunan (CTT) Hutan Simpanan Kekal (HSK) Negeri Perak adalah seluas 38,720 hektar dalam tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Kesebelas, ia itu purata 7,744 hektar setahun. Bermula daripada tahun 2016 sehingga Julai 2018, seluas 17,041 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal telah diluluskan untuk tujuan pengubahsuaian, keluasan tersebut mematuhi ketetapan Majlis Tanah Negara.
- Taman Negeri Royal Belum adalah khazanah berharga yang diiktiraf di peringkat dunia. Sempena lawatan Prince of Wales dan Duchess of Cornwall ke Malaysia, pada 4 November 2017, Beta bersama Prince of Wales telah menyaksikan ‘Deklarasi Royal Belum’ ditandatangani pada Sidang Kemuncak Pemuliharaan WWF yang berlangsung di Pulau Banding, untuk memulihara Taman Negeri Royal Belum.
- Meskipun data menunjukkan selama lima tahun berturut-turut, negeri Perak dikategorikan antara dua negeri yang menerima kedatangan pelancongan domestik paling ramai,[12] usaha mempromosikan produk-produk pelancongan untuk membawa lebih ramai pelancong daripada luar negara akan diberikan tumpuan. Bagi mencapai tujuan tersebut, Kerajaan Beta telah menubuhkan Majlis Konsultasi Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, bertujuan merangka perancangan-perancangan strategik untuk membangun dan memajukan sektor pelancongan secara lebih pesat.
- Dengan penduduk dunia semakin bertambah, kelaparan dan pemakanan kurang berkhasiat di kalangan penduduk menjadi semakin meningkat. Penduduk dunia dijangka melebihi lapan bilion dalam tahun 2025 sedangkan keluasan tanah untuk menghasilkan makanan, dibimbangkan semakin berkurangan. Di samping itu, dianggarkan, dua puluh peratus pembaziran berlaku kepada makanan yang dihasilkan. Sektor pertanian berperanan penting memenuhi peranan sebagai sumber pembekal makanan. Kesuburan tanah, bekalan air yang cukup dan iklim tropika yang pada suatu masa dahulu memberikan kelebihan semula jadi kepada pertumbuhan sektor pertanian di bumi ini, kini semakin menghadapi ancaman. Pencemaran alam telah menjejaskan kualiti tanah, air dan iklim, yang kemudiannya menjejaskan produktiviti dan meningkatkan kos pengeluaran. Pada masa yang sama pelbagai jenis penyakit yang mengancam tanaman dan ternakan menjadi musuh paling besar yang perlu dihadapi. Sektor pertanian turut menghadapi cabaran besar untuk menarik minat penglibatan tenaga kerja muda.
- Sektor pertanian, dan mereka yang terlibat dengannya, memenuhi satu tanggungjawab fardu kifayah yang penting, satu tugas strategik kepada negara daripada segi keselamatan makanan (food security). Konsep menterjemahkan sektor pertanian sebagai sektor yang mencerminkan pemodenan, masih belum dicapai. Hasrat mahu memodenkan sektor pertanian, memerlukan kesediaan kerajaan melakukan pelaburan secara besar-besaran, dengan penyertaan dan sokongan sektor swasta, membangunkan prasarana dan memperkenalkan teknologi baru. Keperluan membangunkan prasarana sektor pertanian, adalah antara perkara yang Kerajaan Beta akan angkatkan untuk mendapat perhatian serius Kerajaan Persekutuan, di samping berusaha menggalakkan penyertaan swasta melakukan pelaburan di dalam aktiviti pengeluaran makanan.
- Negeri Perak berperanan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Ke Sembilan Belas. Beta menghargai peruntukan seratus enam puluh perpuluhan sembilan juta (160,900,000.00) ringgit daripada Kerajaan Persekutuan untuk membantu membangunkan pelbagai prasarana sukan di negeri ini. Kerajaan Beta pula telah memperuntukkan dua belas juta (12,140,000) ringgit untuk membiayai program-program pembangunan atlet, jurulatih, peralatan dan logistik. Setiap negeri dan institusi turut memperuntukkan perbelanjaan kepada kontinjen masing-masing. Kesediaan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri dan institusi-institusi menyediakan peruntukan kewangan yang besar untuk menjayakan SUKMA, hendaklah dimanfaatkan, dengan memahami tujuan SUKMA dianjurkan. SUKMA adalah program untuk menggalakkan remaja berjinak dengan pelbagai jenis sukan; mengenali, membiasakan, dan menguji daya kompeten seseorang individu di dalam sesuatu jenis sukan. SUKMA juga melatih para atlet muda akan semangat kesukanan, meraikan kemenangan dengan kesyukuran – menerima ketewasan dengan keredaan. SUKMA turut menyediakan peluang kepada para atlet membina semangat berpasukan, membolehkan para atlet menjalinkan hubungan kemanusiaan merentasi kaum – merentasi agama – merentasi negeri, dalam semangat bersama dan bersetia membangunkan sebuah negara yang warganya kukuh bersatu – teguh berpadu. SUKMA memberi ruang untuk memperkukuhkan semangat kesetiaan – semangat kenegaraan di kalangan warga. Semangat tersirat ‘bina negara’ ini amat penting dipupuk semasa berlangsungnya SUKMA.
Yang Dipertua Dewan Negeri
- Dewan Negeri Perak ialah sebuah institusi perundangan. Dewan ini bertanggungjawab menimbang, membahas dan meluluskan enakmen-enakmen negeri. Usaha Yang Dipertua Dewan Negeri dan cabang Eksekutif Kerajaan Beta untuk meningkatkan kewibawaan Dewan ini amatlah dialu-alukan selaras dengan semangat yang menuntut kepada perubahan seperti dimanifestasikan oleh para pengundi di dalam PRU 14. Ketetapan untuk mengiktiraf secara rasmi jawatan Ketua Pembangkang adalah satu pembaharuan yang semestinya menambah subur semangat demokrasi. Beta mengucapkan tahniah kepada ADUN Kota Tampan yang telah dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak keempat belas.
- Integriti dan ketelusan akan dijadikan budaya Kerajaan Beta. Sebagai langkah permulaan, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan akan mengisytiharkan harta kepada Menteri Besar dan Menteri Besar pula akan mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri. Kerajaan Beta bertekad untuk melaksanakan budaya integriti dan ketelusan di semua peringkat, merangkumi badan-badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Langkah-langkah penambahbaikan daripada segi struktur dan keanggotaan ahli-ahli lembaga pengarah badan berkanun dan GLC sedang dilakukan dan akan terus dilakukan daripada masa ke masa. Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan para pengurus badan-badan berkanun, begitu juga GLC negeri, diingatkan tentang aspek akauntabiliti, pentingnya memberi perhatian serius di dalam pengurusan risiko, sebelum melibatkan sesuatu pelaburan modal, demi melindungi Kerajaan Beta daripada terperangkap dan terpaksa menanggung beban kewangan, disebabkan kesilapan pengurusan.
- Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan yang baru telah dilantik. Pemilihan dan pelantikan ahli Majlis dilaksanakan dengan memastikan semua konstituen merentasi agama, kaum dan kumpulan diwakili, termasuk wakil daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO); agar suara rakyat dapat diwakili secara menyeluruh. Seramai 329 ahli Majlis bagi 15 Pihak Berkuasa Tempatan telah dilantik mulai 15 Julai untuk tempoh tiga tahun. Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan berperanan penting untuk menyemak pengurusan dan kemajuan pentadbiran pihak berkuasa tempatan menetapi keperluan dan kepentingan rakyat di tempat masing-masing. Salah satu tugas utama yang dipertanggungjawabkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan, ialah untuk menyediakan lebih banyak ruang berniaga dan mempercepatkan kelulusan lesen penjaja kepada peniaga-peniaga tempatan dalam hasrat mahu memajukan industri desa.
- Fungsi dan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah ditetapkan oleh Jemaah Menteri untuk dirombak. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung distrukturkan semula dan dijenamakan sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan mensyaratkan 30 peratus ahli hendaklah terdiri daripada wanita, berperanan sebagai penggerak komuniti kampung dalam usaha-usaha pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan sesebuah kampung. Proses melantik ahli MPKK sedang dilaksanakan.
- Kemudahan dan pembangunan desa perlu terus ditingkatkan. Di samping program-program pembangunan yang diusahakan oleh Kerajaan, setiap GLC Negeri akan dipertanggungjawabkan mengambil kampung angkat, melaksanakan program-program tanggungjawab sosial korporat.
- Kerajaan Beta akan bekerjasama dan memantau projek-projek Kerajaan Persekutuan yang telah diluluskan di dalam Rancangan Malaysia Kesebelas dan akan menyampaikan maklum balas terhadap tahap kemajuan di samping memohon pertimbangan-pertimbangan tertentu ketika sesi kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesebelas dilakukan.
Yang Dipertua Dewan Negeri
- Meskipun berlaku perubahan Kerajaan, perkara-perkara asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan menyentuh Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, akan terus dipertahankan dan tidak akan dikompromikan. Perkara-perkara tersebut jangan sama sekali mahu disensasikan oleh mana-mana pihak. Jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Perbuatan mahu merombak persetujuan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama, semasa menggubal Perlembagaan Merdeka, akan hanya mengundang kepada berlakunya suasana tidak harmonis yang boleh menggugat kestabilan politik dan ketenteraman awam. Rakyat tidak harus dijadikan mangsa, bagaikan kancil terhimpit mati di tengah-tengah, apabila gajah sama gajah memilih untuk terus bertarung.
- Perkara 3(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan, mencatatkan Islam adalah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Perkara 3(2), menetapkan, dalam tiap-tiap negeri melainkan negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam dalam negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya, sebagai Ketua Agama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat… Para VI(1), Bahagian Pertama, Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak, menetapkan Ketua Agama Negeri ini ialah Duli Yang Maha Mulia, dan Duli Yang Maha Mulia akan memerintahkan supaya diadakan undang-undang untuk mengaturkan perkara-perkara agama dan menubuhkan sebuah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu…, bagi menolong dan menasihatkan Duli Yang Maha Mulia berkenaan dengan perkara-perkara yang bersabit dengan agama Negeri ini dan adat Melayu. Perlembagaan Persekutuan dan Negeri secara terang lagi bersuluh, menetapkan urusan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja sebagai ketua agama Islam di negeri.
- Mahkamah Syariah adalah salah satu komponen di dalam urusan pentadbiran agama Islam. Pada ketika ini, terdapat tiga lapisan Mahkamah Syariah, iaitu, Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah adalah terbatas untuk membicarakan kes-kes jenayah yang hukuman maksimum tidak melebihi denda tiga ribu (3,000) ringgit atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun, atau kedua-duanya. Dalam bidang kuasa kes-kes bukan jenayah (Mal), Mahkamah Rendah Syariah, dibatasi kuasa, mendengar dan memutuskan pertikaian yang melibatkan amaun tidak melebihi satu ratus ribu (100,000) ringgit dan tidak termasuk tuntutan hak jagaan anak (hadhanah) dan harta sepencarian. Keputusan kes di peringkat Mahkamah Rendah Syariah berpeluang mengemukakan dua peringkat rayuan ia itu di Mahkamah Tinggi Syariah dan selanjutnya di Mahkamah Rayuan Syariah.
- Struktur Mahkamah Syariah pada masa ini, memberikan hanya satu lapisan rayuan kepada kes-kes yang perbicaraan atau pendengarannya bermula di Mahkamah Tinggi Syariah. Demi menjamin proses keadilan dilaksanakan secara saksama, Beta telah menitahkan, agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan di dalam sistem Mahkamah Syariah di negeri Perak. Satu enakmen Mahkamah Syariah Negeri Perak hendaklah digubal, dibentangi untuk diluluskan di dalam Dewan Negeri Perak di dalam mesyuarat ketiga Penggal Pertama, Dewan Negeri Perak keempat belas.
- Daripada Uthman bin Affan Radiallahuanhu berkata, bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik kamu (ialah) sesiapa yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya (kepada orang lain)”
Permintaan pengajian tahfiz semakin meningkat daripada kalangan keluarga Islam. Dalam hasrat mahu memenuhi permintaan, pelbagai pihak mengambil inisiatif, menubuhkan pusat-pusat pengajian tahfiz di serata negeri. Ketika ini, terdapat sebuah Sekolah Menengah Tahfiz yang baharu dibangunkan oleh Kerajaan Beta, menyediakan tempat untuk 113 pelajar di bawah penyeliaan 28 orang guru. Kerajaan Beta turut menyediakan bantuan pengurusan kepada empat buah Sekolah Menengah Tahfiz, yang memberi manfaat kepada 328 pelajar di bawah bimbingan 108 orang guru. Di samping itu, kurikulum pendidikan tahfiz dimasukkan di tiga buah Sekolah Agama Negeri. Untuk memenuhi permintaan yang meningkat, terdapat 91 buah Maahad Tahfiz al-Quran yang dikendalikan oleh pihak swasta, di serata negeri yang menyediakan tempat pengajian kepada 4,217 orang pelajar, di bawah bimbingan 634 orang guru.
- Pertumbuhan pengajian tahfiz telah mendapat perhatian umum. Harapan ibu bapa dan masa hadapan para pelajar tidak boleh dikorbankan tanpa mekanisme kawalan yang berkesan untuk menentukan kualiti pengajaran, di samping memastikan daripada segi jangka panjang, pelajar-pelajar tidak menjadi mangsa kepada sistem pendidikan yang tidak memberikan cukup persediaan untuk membolehkan para pelajar menghadapi cabaran dan keperluan hidup masa hadapan. Perhatian wajib diberikan kepada aspek-aspek keselesaan prasarana sekolah, keselamatan struktur bangunan, pendawaian elektrik dan kalis api yang berpotensi menyebabkan kebakaran asrama, juga aspek-aspek kelayakan tenaga pengajar, integrasi dengan sistem pendidikan secara holistik, penentuan standard dan akreditasi, serta peluang kesinambungan pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Kegagalan menangani isu-isu berkaitan, bakal mewujudkan jurang dan kelompangan antara harapan tinggi ibu bapa dan pelajar dengan apa yang disediakan di Maahad Tahfiz. Menyedari cabaran-cabaran yang sedang dihadapi, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak telah menyediakan satu kajian komprehensif dan telah mengemukakan saranan-saranan supaya program pendidikan tahfiz dilaksanakan dengan kaedah, arah tuju dan matlamat yang tidak akan mengakibatkan ada pelajar menjadi mangsa, tercicir di dalam arus perkembangan ilmu dan pengajian, masa kini dan masa hadapan.
Yang Dipertua Dewan Negeri
- PRU 14, telah lapan puluh lapan hari berlalu. Semasa berkempen, pelbagai janji diumumkan. Majoriti pengundi telah berani mengambil risiko, melakukan anjakan minda, untuk menukar kerajaan atas keyakinan akan berlakunya perubahan yang akan membawa kebaikan kepada kehidupan rakyat dan kesejahteraan negara. Era berkempen telah berakhir. Penuhilah harapan rakyat – penuhilah amanah rakyat. Laksanakan tanggungjawab secara dedikasi, ikhlas, jujur dan berintegriti.
- Majoriti pengundi yang memilih untuk menukar kerajaan, mahukan sebuah kerajaan yang melaksanakan tadbir urus yang baik (good governance). Kerajaan yang telah Beta beri perkenan untuk dibentuk berikutan pemilihan rakyat, hendaklah mengurus tadbir negeri berlandaskan undang-undang dan peraturan. Jangan sekali-kali melakukan rasuah, salah guna kuasa, menggunakan jawatan untuk meraut keuntungan peribadi dan keluarga, merosakkan khazanah negeri serta melakukan diskriminasi dan penganiayaan. Jawatan dan kuasa adalah amanah daripada ILAHI, dikurniakan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala kepada kalangan hamba Nya sebagai satu ujian, yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa dan ketika.
- Dewan ini dirujuk, dewan yang mulia. Tahap kemuliaan dewan ini ditentukan oleh kualiti perbahasan yang berlaku dan adab sopan yang diamalkan oleh ahli-ahli Dewan. Ahli-ahli Dewan, daripada kedua-dua belah pihak, hendaklah berperanan sebagai anggota cabang perundangan, bertanggungjawab menyemak serta mengimbangi cabang eksekutif kerajaan. Semoga persidangan Dewan akan berlangsung secara harmoni, di dalam semangat saling menghormati, serta berupaya menghasilkan idea-idea bernas untuk manfaat negeri dan rakyat. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala mengurniakan taufik dan hidayah kepada Raja, rakyat dan negeri. Amin Ya Rabul Ala min.
Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Penggal Pertama, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas.
[1] Admiral James Stavridis (Ret.), “Democracy Will Prevail”, Time, July 23, 2018, page 34.
[2] Ibid.
[3] Ibid.
[4] Pilihanraya Dewan Negeri Sarawak telah diadakan pada tahun 2017.
[5] World Economic Outlook, April 2018.
[6] Shahril RidzaRidzuan, “Ekonomi dijangka tidak menentu sehingga Oktober”, Mingguan Malaysia, 29.7.2018, ms 3.
[7] Berita Harian Bisnes, 28.7.2018, ms 22.
[8] www.ecomena.orgs>tag>water in holy quran.
[9] Imanreza.net
[10] Wetland Ecological Management, Chemosphere and Aquatic Botany.
[11] Terima pada 18 Januari 2017.
[12] Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.
In The News:
http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/perak/sultan-nazrin-rasmi-sidang-dun-perak-1.723540
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/458469/sultan-perak-periksa-kawalan-kehormatan-sempena-sidang-dun
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/hak-istimewa-melayu-dipertahan-sultan-nazrin-1.723577