Yang Dipertua Dewan Negeri
Hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan Republik Rakyat China, isu Brexit dan pertumbuhan global lebih perlahan daripada jangkaan, akan memberi kesan pada ekonomi negara. Meskipun menghadapi persekitaran global yang mencabar, momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini, dijangka kekal kukuh, berkembang pada kadar empat perpuluhan tiga hingga empat perpuluhan lapan peratus, disokong oleh pengukuhan perbelanjaan sektor swasta, pemulihan dalam sektor komoditi dan permintaan berterusan daripada negara perdagangan utama.[1] Perbelanjaan sektor swasta akan terus memacu pertumbuhan, sementara perbelanjaan isi rumah mendapat manfaat daripada pertumbuhan pendapatan dan guna tenaga berterusan.[2] Asas yang kukuh dan kepelbagaian struktur ekonomi, dijangka dapat membantu negara untuk menghadapi risiko, pada masa yang sama, terus memastikan keadaan makroekonomi dan kewangan negara kekal stabil.[3]
2. Dalam tahun 2018, Kerajaan Beta berjaya memperoleh hasil, satu perpuluhan kosong tujuh bilion (1,069,162,004.32) ringgit, pencapaian seratus dua peratus berbanding sasaran, ditambah terimaan pembangunan sebanyak tiga ratus sembilan puluh juta (389,733,236.50) ringgit; menjadikan jumlah keseluruhan hasil dan terimaan pembangunan, mencecah satu perpuluhan lima bilion (1,458,895,240.82) ringgit. Satu perpuluhan empat bilion (1,408,789,287.66) ringgit telah dibelanjakan; 75 peratus belanja pengurusan dan 25 peratus belanja pembangunan. Kerajaan Beta menutup akaun kewangan dengan lebihan lima puluh juta ringgit, berjaya mengurangkan baki negatif Akaun Kumpulan Wang Pembangunan, daripada satu ratus tiga puluh tujuh juta (136,580,516.09) ringgit kepada sembilan puluh enam juta (96,391,266.26) ringgit, dan meningkatkan baki Akaun Hasil Disatukan dari enam ratus tiga juta (602,534,655.94) ringgit kepada enam ratus dua belas juta (612,451.359.27) ringgit, sementara rizab negeri kekal pada tahap sembilan ratus juta ringgit.
3. Dewan ini dalam sidang pada November tahun lalu, telah meluluskan, satu perpuluhan dua bilion(1,171,007,000.00) ringgit, bagi belanjawan tahun 2019; tujuh ratus tujuh puluh satu juta ringgit untuk pengurusan, dan empat ratus juta ringgit untuk pembangunan; pada nisbah 66 peratus belanja pengurusan, dan 34 peratus belanja pembangunan. Menyedari pentingnya dilaksanakan lebih banyak projek pembangunan bagi memenuhi keperluan rakyat, Kerajaan Beta akan merintis pelbagai langkah untuk meningkatkan nisbah belanja pembangunan berbanding belanja pengurusan.
4. Dalam Rolling Plan ke-4 Rancangan Malaysia Kesebelas, Kerajaan Persekutuan meluluskan dua ratus sembilan puluh lapan projek untuk negeri Perak, dan memperuntukkan dua perpuluhan enam bilion (2.55) ringgit, meningkat seratus dua belas peratus berbanding peruntukan yang diluluskan dalam Rolling Plan ke-3.
5. Pada tahun lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan dua perpuluhan tiga (2.27) bilion ringgit pelaburan bagi negeri Perak, 59 peratus pelaburan domestik dan 41 peratus pelaburan asing, melibatkan 57 projek. Lapan puluh tiga peratus pelaburan dalam sektor perkilangan, dan tujuh belas peratus dalam sektor perkhidmatan, berpotensi mewujudkan dua ribu enam ratus peluang kerja. Usaha-usaha untuk menarik pelaburan, terutama pelaburan dari luar negara, akan terus ditingkatkan, dengan dasar yang mengutamakan pelaburan berteknologi dan berkualiti tinggi, tidak mencemar alam sekitar, dan tidak bergantung pada tenaga kerja asing bergaji rendah.
6. Kerajaan Beta turut menekankan pentingnya badan-badan dan syarikat-syarikat yang diwujudkan di bawah pelbagai agensi negeri, melakukan penilaian risiko yang teliti, sebelum melibatkan diri dalam projek-projek baharu. Kesilapan melakukan pelaburan dalam urus niaga yang kurang berdaya maju, yang pernah terjadi sebelum ini, sehingga meninggalkan tanggungan berat kewangan kepada negeri, akan dijadikan pengajaran, untuk menghindarkan pisang berbuah berulang kali.
7. Empat kebimbangan utama dalam kalangan warga dunia ialah tadbir urus yang telus, pengangguran, ketidaksamaan sosial dan kemiskinan. Keyakinan rakyat terhadap sesebuah kerajaan bergantung pada keupayaannya menangani kebimbangan-kebimbangan tersebut, melalui kebijaksanaan kepimpinan yang berupaya melaksanakan program-program secara realistik, yang manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat.
8. Menyusun langkah untuk mengutuhkan tadbir urus negeri, Kerajaan Beta akan menerima pakai Pelan Anti Rasuah Nasional. Gejala rasuah wajib diperangi secara tegas, kerana rasuah membebankan rakyat; rasuah terbukti telah meruntuhkan banyak negara dan tamadun. Sesungguhnya, para pemimpin berada di barisan paling utama untuk mempamerkan sebaik contoh, dan untuk membuktikan kesungguhan memerangi rasuah. Tadbir urus yang bersih, cekap, amanah, lagi telus adalah penting untuk meyakinkan rakyat bahawa para pemimpin yang telah diberikan kuasa, mengutamakan kepentingan rakyat.
9. Pengagihan sumber kekayaan negara secara adil lagi saksama, akan membolehkan rakyat hidup sejahtera. Pelbagai program berpaksikan rakyat untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat terus diusahakan. Perumahan, serta kemudahan-kemudahan kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam dan kebajikan, diberikan perhatian. Meringankan kos sara hidup rakyat, merupakan cabaran yang disedari, yang perlu ditangani.
10. Dasar Perumahan Negeri telah diolah agar selaras dengan Dasar Perumahan Negara, direkayasa untuk menangani isu-isu berkaitan pembinaan, kualiti, persekitaran yang kondusif, ketidaksepadanan penawaran dan permintaan, serta keupayaan rakyat untuk membeli. Kerajaan Beta menetapkan sasaran untuk membina lima puluh ribu unit rumah, mengikut strata kemampuan rakyat yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.
11. Dalam hasrat mahu membantu meringankan beban kos sara hidup kalangan rakyat berpendapatan rendah, dua puluh dua juta ringgit diperuntukkan, bagi pelaksanaan Program Kad Perak Prihatin yang memberi manfaat kepada tujuh belas ribu orang. Program ini berbentuk skim perlindungan kesihatan dan bantuan pembelian barangan asas. Penerima Kad Perak Prihatin, layak mendapat peruntukan rawatan kesihatan tiga ratus ringgit setahun, dan peruntukan lapan puluh ringgit setiap bulan untuk pembelian barangan keperluan asas.
12. Banjir mengakibatkan rakyat menanggung kesusahan. Majoriti mangsa banjir terdiri daripada kalangan rakyat berpendapatan rendah. Akibat limpahan air sungai yang berlaku pada setiap musim tengkujuh, dua puluh ribu orang penduduk di Lembangan Sungai Kurau, untuk sekian lama, terdedah kepada bencana banjir; daripada bilangan tersebut, lebih seribu enam ratus orang terpaksa dipindahkan pada setiap musim tengkujuh. Mangsa banjir menanggung kemusnahan sumber rezeki dan kerosakan harta benda; kerajaan pula terpaksa menanggung kos pemindahan dan kos penempatan sementara, di samping kos pembersihan dan kos pemulihan pasca banjir.
13. Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kurau yang melibatkan kos 120 juta ringgit, dilaksanakan untuk menangani masalah limpahan air sungai. Alhamdulillah, sejak projek disiapkan pada Januari 2016, tiada lagi banjir direkodkan berlaku. Kawasan Lembangan Sungai Kurau, seluas lapan ribu dua ratus hektar, kini boleh diisytiharkan bebas daripada bencana banjir. Dilaporkan, nilai tanah pertanian di kawasan berkenaan meningkat 300 peratus, nilai tanah pembangunan meningkat 275 peratus, kegiatan nelayan meningkat 29 peratus, dan hasil tani pada tahun 2018, meningkat 62 peratus berbanding hasil tahun-tahun sebelumnya.
14. Untuk menangani masalah banjir pantai, lima belas juta ringgit dibelanjakan bagi projek penutupan muara pantai Parit A dan Parit B, di Bagan Sungai Belukang, daerah Bagan Datuk. Melalui usaha ini, lapan ratus hektar kawasan pertanian dapat ditebuskembali; kegiatan sosioekonomi penduduk di kawasan berkaitan berjaya ditingkatkan, lebih ramai usahawan tani dapat dilahirkan, dan pendapatan nelayan serta nilai hartanah turut meningkat. Projek RTB Teluk Intan Fasa 1, hampir siap. Projek ini, insya-Allah akan membebaskan lima ratus orang penduduk daripada bencana banjir, di samping turut melimpahkan manfaat kepada lima belas ribu orang penduduk
15. Pencemaran alam sekitar wajib diberikan perhatian serius. Bencana daripada sisa toksik yang berlaku di Pasir Gudang, Johor, hendaklah dijadikan pengajaran. Jabatan Alam Sekitar bersama Kerajaan Tempatan hendaklah bertindak tegas, melakukan pemantauan berkala, dan memastikan tahap piawaian alam sekitar, dipatuhi. Semua kilang kitar semula plastik telah diarah melaksanakan kajian Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekeliling (EIA); kilang yang beroperasi secara haram wajib ditutup tanpa berlengah. Kesedaran untuk meminimumkan penggunaan plastik wajib disemai dalam minda rakyat. Jabatan serta agensi Kerajaan, pihak swasta, sekolah, masjid, rumah ibadat dan pelbagai NGO hendaklah bergerak aktif membantu melaksanakan kempen sifar plastik.
16. Pembangunan, bukan lesen menghalalkan perbuatan memusnahkan alam. Pembangunan yang tidak dirancang secara seimbang, dan pembangunan yang dilaksanakan tanpa kelulusan laporan EIA, khususnya di kawasan tanah tinggi akan merosakkan alam sekitar. Pembangunan yang tidak terkawal, yang dilakukan tanpa kebenaran di Tanah Tinggi Kinta (Perak) yang bersempadan dengan Cameron Highland (Pahang) dan Lojing (Kelantan), dilaporkan telah mengakibatkan berlaku hakisan dan kelodak yang serius. Kerajaan Beta tidak akan berkompromi terhadap peneroka tanah secara haram. Sikap berlembut – sikap bertolak ansur, akan memberikan mesej yang salah, dan bakal menggalakkan berlaku lebih banyak penerokaan tanah secara haram.
17. Kesedaran rakyat untuk menyayangi dan meletakkan nilai yang tinggi kepada hutan penting dipupuk. Program Hutan Sosial telah memperkenalkan konsep pengurusan hutan berpaksikan masyarakat; satu pendekatan yang melibatkan masyarakat dalam usaha pemulihan kawasan hutan, di samping membantu membanteras kegiatan pencerobohan, penerokaan dan pembalakan haram. Masyarakat disedarkan terhadap kepentingan memelihara dan memulihara hutan, di samping berusaha mendapatkan komitmen lebih banyak pihak melaksanakan tanggungjawab sosial korporat menghijaukan alam sekitar. Melalui Program Hutan Sosial, Jabatan Hutan telah menganjurkan aktiviti penanaman pokok bersama masyarakat setempat, pelajar sekolah dan universiti, serta badan-badan bukan kerajaan (NGO). Dalam tempoh dua tahun yang lalu, tujuh ribu lapan ratus lima puluh batang pokok pelbagai spesies telah ditanam.
18. Program menyayangi dan menghargai pokok hendaklah terus diperluaskan sehingga dihayati rakyat. Usaha Majlis Bandaraya Ipoh yang terus melaksanakan pelbagai inovasi ke arah menghijaukan, dengan matlamat mencapai taraf Low Carbon City, telah berjaya merangkul tempat kedua, Anugerah Inovasi Negeri. Kerajaan Beta sebaiknya, hendaklah meletakkan sasaran bilangan pokok yang wajib ditanam setiap tahun. Jabatan Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, badan-badan berkanun, syarikat-syarikat perniagaan, NGO, institusi pengajian tinggi, sekolah, pertubuhan belia, masjid dan rumah ibadat, hendaklah tampil ke hadapan, bergiat aktif, menghijaukan bumi dan merimbunkan negeri Perak dengan melaksanakan program menanam pokok secara lebih bersungguh. Komitmen Tenaga Nasional Berhad yang memberikan peruntukan kewangan secara tahunan untuk projek menanam pokok di negeri Perak hendaklah dijadikan contoh ikutan.
19. Sektor pelancongan terus dibangunkan. Usaha-usaha menambah dan mempelbagaikan produk serta usaha-usaha pemasaran dan promosi, akan diperlengkap dengan langkah-langkah untuk menambah baik perkhidmatan dan khidmat sokongan. Sehingga kini, 88 tapak di negeri Perak, telah mendapat pengiktirafan sebagai tapak warisan; 20 daripadanya bertaraf warisan kebangsaan. Dalam tahun 2018, Muzium Darul Ridzuan, di Ipoh, dan Muzium Telegraf, di Taiping, turut diiktiraf sebagai warisan kebangsaan. Pengisytiharan bandar Taiping sebagai bandar ketiga terbaik dunia dalam Anugerah 100 Destinasi Terbaik di Internationale Tourismus-Borse Berlin, bukan sekadar satu pengiktirafan pelancongan, malah meletakkan Taiping sebagai bandar warisan bernilai sejarah tinggi.
20. Kawasan Geopark Lembah Kinta, meliputi keseluruhan daerah Kinta dan Kampar, kaya dengan unsur-unsur ekologi, arkeologi, sejarah dan budaya. Pengiktirafan Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsaan memberi nilai tambah kepada ikonik pelancongan Perak, dan turut meletakkan kawasan tersebut dikenali sebagai kawasan yang dapat menawarkan pelbagai aktiviti pendidikan dan penyelidikan bertaraf dunia.
21. Susulan pengumuman Menteri Kewangan Persekutuan, mengisytiharkan Pulau Pangkor diberi status pulau bebas cukai, Kerajaan Beta telah mengemukakan permohonan untuk menetapkan tarikh pewartaan pada 1 Januari 2020. Pelbagai gerak kerja untuk merealisasikan status ini sedang dirintis. Usaha-usaha untuk membantu penduduk tempatan agar mendapat limpahan manfaat, hendaklah dijadikan salah satu agenda pembangunan Pulau Pangkor, demi memastikan penduduk di pulau tersebut, tidak bernasib Lebai Malang, menang sorak – kampung tergadai, tertinggal sebagai penonton yang pasif, berputih mata, melihat dagang lalu ditanak – sedangkan anak diriba mati tak makan.
22. Sektor pertanian ialah penyumbang ketiga tertinggi dengan sumbangan tujuh belas peratus kepada KDNK negeri. Negeri Perak mencatatkan jumlah pendaratan ikan marin tertinggi di Malaysia, dan kekal sebagai pengeluar ikan terbesar di Malaysia. Negeri Perak yang sekian lamanya berperanan sebagai pengeluar padi ketiga terbesar, pada tahun lalu, jatuh ke tangga kelapan, disebabkan serangan perosak dan penyakit. Fokus kini diberikan kepada pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit.
23. Program Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan akan terus dibangunkan untuk meningkatkan hasil melalui kaedah pengeluaran secara komersial, di samping menerokai usaha untuk menghasilkan produk bernilai tinggi. Enam Program Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan, mencatatkan peningkatan pengeluaran sayur dan buah-buahan dari empat belas ribu, tujuh ratus tan metrik pada tahun 2017, kepada enam belas ribu tan metrik pada tahun 2018. Durian, yang melibatkan hampir tiga ribu lapan ratus orang petani, semakin menjadi tanaman penting. Melalui pelbagai program peningkatan produktiviti, hasil pengeluaran berjaya ditingkatkan dari 22 ribu tan metrik pada tahun 2017, kepada 29 ribu tan metrik pada tahun 2018. Kejayaan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak diiktiraf oleh Malaysia Palm Oil Board menerima, Anugerah Industri Sawit Malaysia kerana kejayaan Ladang RTB Pulau Tiga, mencatatkan hasil tertinggi di Semenanjung, bagi kategori ladang berkeluasan lima ratus hingga dua ribu ekar, hendaklah dijadikan contoh dalam usaha meningkatkan produktiviti ladang.
24. Malaysia mengimport bahan makanan bernilai lima puluh bilion ringgit pada tahun lalu[4]. Daripada 15 juta orang pekerja di negara ini, hanya satu perpuluhan lapan juta yang terlibat dalam sektor pertanian[5]. Perangkaan ini amat membimbangkan, bagi sebuah negara yang mempunyai 32 juta orang penduduk yang diunjurkan meningkat kepada 36 juta pada tahun 2030. Bilangan satu perpuluhan lapan juta orang pekerja, dan sebahagian besarnya dalam usia tua, terlalu kecil untuk dipertanggungjawabkan menghasilkan makanan kepada 32 juta orang penduduk, apatah lagi jika kaedah pengeluaran tidak dimodenkan untuk dapat mengeluarkan hasil yang lebih tinggi. Keadaan bertambah kronik dengan perangkaan yang menunjukkan berlaku pembaziran makanan pada skala yang besar. Dilaporkan, setiap hari, berlaku pembaziran 17 ribu (16,687.5) ton makanan di negara ini[6]; kuantiti pembaziran yang dapat menyediakan makanan tiga kali sehari, kepada 12 juta orang rakyat[7]. Food Security semakin menjadi cabaran besar kepada mana-mana kerajaan. Kos bahan makanan yang meningkat, semakin membebankan hidup rakyat. Keresahan rakyat terhadap kos bahan makanan yang meningkat, hendaklah dibaca dengan tepat, ditafsirkan sebagai loceng amaran, memperingatkan kerajaan, agar segera merangka langkah-langkah strategik. Peranan penting dan keperluan kritikal sektor pertanian, wajib diberikan keutamaan.
25. Dalam tahun 2018, Negeri Perak bukan sahaja berjaya memenuhi tanggungjawab menganjurkan SUKMA dan PARA SUKMA, tetapi para atlet berjaya meletakkan negeri berada di tangga kelima, dalam SUKMA Kesembilan Belas. Penantian 18 tahun penyokong setia pasukan bola sepak, diakhiri, dengan kejayaan menjuarai Piala Malaysia pada tahun lalu. Pasukan hoki pula berhasil mempertahankan Piala Razak dua tahun berturut-turut. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat mengharumkan nama negeri.
26. Pelbagai prasarana sukan, melibatkan kos 170 juta ringgit, telah dibangunkan untuk penganjuran SUKMA Kesembilan Belas. Atas hasrat mahu memastikan prasarana yang telah dibangunkan, akan digunakan secara optimum, serta berupaya menjana sumber kewangan bagi memenuhi keperluan belanja selenggaraan pasca SUKMA, Kerajaan Beta akan menyerahkan tanggungjawab pengurusan, penyelenggaraan dan pemasaran prasarana-prasarana tersebut kepada sebuah agensi, sama ada berbentuk perbadanan atau syarikat milik kerajaan.
27. Pada hari Jumaat 15 Mac 2019, dunia dikejutkan dengan serangan pengganas di Masjid Al-Noor, diikuti dengan serangan di Pusat Islam Linwood, di Christchurch. Lima puluh nyawa terkorban, empat puluh dua orang cedera. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam ayat 32 surah Al-Maidah bermaksud:
“…, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan siapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…”[8]
28. Apabila pemimpin, menunjukkan contoh mementingkan perdamaian, akan berdamailah para pengikut, akan damailah sekalian isi alam. Pemimpin yang tulen, muncul ketika berlakunya sesuatu krisis. Jacinda Kate Laurell Ardern, Perdana Menteri New Zealand, ialah seorang wanita yang berhati waja, berpendirian cekal, terpancar dari hatinya sinar cahaya keinsanan dan manusiawi. Beliau seorang Perdana Menteri kepada sebuah negara kecil, mempunyai hanya empat perpuluhan lapan juta orang penduduk, tetapi Jacinda Kate, mempamerkan jiwa besar melalui kenyataan dan tindak tanduknya, pasca peristiwa hitam, yang berlaku di Christchurch. Hanya satu peratus penduduk New Zealand beragama Islam, tetapi, Jacinda Kate, memberikan keyakinan kepada umat Islam di New Zealand, keselamatan mereka, dan hak mereka beragama akan diberikan perlindungan.
29. Jacinda Kate, yang berusia 39 tahun, merupakan Perdana Menteri New Zealand yang termuda sejak tahun 1850, tetapi mencerminkan kedewasaan yang luar biasa. Suara keinsanan dan pendirian tegas, Jacinda Kate, ialah suara yang menggemakan kebenaran – pendirian yang berlandaskan keadilan. Suara yang sewajarnya dijadikan teladan, untuk digemakan ke seluruh maya, pendirian yang sewajarnya dijadikan rujukan dalam kalangan pemimpin dunia. Jacinda Kate, melalui kata-kata dan tindakannya telah memberikan wajah dan imej baharu kepada New Zealand, meletakkan warga dan negaranya dipandang tinggi lagi dihormati.
30. Kita doakan, semoga dalam kalangan mereka yang cedera, dapat mengatasi trauma yang dialami, agar mereka segera pulih, dan dapat kembali hidup secara normal. Kita menzahirkan simpati dan ucap takziah kepada keluarga mangsa, dan mendoakan semoga mereka dilimpahkan ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini. Sama-samalah kita bertafakur tanda menghormati roh mereka yang terkorban, dan dalam kalangan umat Islam, kita bacakan ummul kitab, memohon apa juga ganjaran daripada bacaan tersebut, disampaikan rahmatnya kepada roh mereka yang telah terkorban. Al-fatihah.
31. Peristiwa 15 Mac, di Christchurch membuktikan elemen kejutan yang boleh berlaku, pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Peristiwa tersebut turut membuktikan, terbina watak zalim yang melampau, akibat kerosakan minda dan kerosakan jiwa; minda dan jiwa yang berprasangka buruk, minda dan jiwa yang dipengaruhi prejudis yang membara, akibat salah faham dan salah persepsi melalui indoktrinasi yang menyuntik racun kebencian dan menyemai semangat permusuhan. Peristiwa tersebut hendaklah dijadikan pengajaran penting kepada rakyat di negara ini. Perbuatan menyuntik minda dengan racun kebencian dan menyemai jiwa dengan semangat permusuhan, amat membahayakan, apatah lagi apabila dilakukan atas nama kaum – atas nama agama.
32. Enam puluh dua tahun lalu, negara ini dimasyhurkan sebagai sebuah negara merdeka lagi berdaulat. Barisan pemimpin yang mengasaskan pembentukan sebuah negara merdeka, menerima hakikat, bahawa kestabilan, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan negara ini, bergantung pada kejayaan menyemai semangat kerjasama antara kaum, dan memupuk semangat saling menghormati antara agama.
33. Melalui persefahaman yang terjalin dan sikap saling menghormati yang diamalkan dalam kalangan warga, negara merdeka ini muncul di pentas dunia sebagai sebuah negara yang stabil, aman, makmur dan sejahtera; rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum – pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya – bertutur pelbagai bahasa, tetapi hidup secara rukun penuh harmoni. Perbuatan oleh mana-mana juga pihak mensensasikan isu kaum – isu agama, dikhuatiri akan menyalakan api persengketaan yang bakal membakar hangus sebuah keamanan, sebuah perpaduan, sebuah kerukunan, yang telah dibina oleh generasi terdahulu. Demi kestabilan negara, demi keharmonian hubungan antara kaum dan demi kerukunan hidup antara agama, kata-kata dan perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan antara kaum – antara agama hendaklah dielakkan.
34. Beta menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, semua ahli Dewan Negeri, baik di pihak kerajaan, begitu juga dipihak pembangkang; masing-masing ada peranan, pilihlah untuk berperanan secara konstruktif dalam semangat saling lengkap melengkapi agar perkhidmatan terbaik dapat dinikmati oleh rakyat. Beta menghargai peranan dan sumbangan anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, agensi-agensi penyelamat dan pertahanan awam, para guru, para pegawai agama, para penghulu, badan-badan bukan kerajaan, pertubuhan belia dan pertubuhan sukan serta pihak swasta, atas usaha dan komitmen membangun, memaju dan memakmurkan negeri.
35. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala melimpahkan rahmat dan kebahagiaan, keamanan dan kemakmuran kepada rakyat dan negeri. Semoga kita ditunjuk jalan yang lurus. Dengan lafaz, Beta merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas.
[1] Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2018
[2] Ibid
[3] Ibid
[4] Jabatan Perangkaan Malaysia.
[5] Ibid.
[6] Sumber Solid Waste Corporation Management (SWCorp).
[7] New Straits Times, “Food And Water: Being Prepared”, 15.3.2019, page 15.
[8] Al-Quran, Surah Al-Maidah (5:32)
In The News: