Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ketiga Belas

Sultan logo_new

Ending of Speech

Opening of Speech

“Maha Suci ALLAH yang di tangan Nya segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.[1] Katakanlah “Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau beri kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut Kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki; Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”[2]

Yang Dipertua Dewan Negeri

  1. Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ketiga Belas dilangsungkan dalam semangat yang mendukung prinsip berkerajaan berlandaskan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen mengikut yang termaktub di dalam Perlembagaan. Dewan Negeri ialah cabang perundangan kerajaan, dewan mesyuarat tertinggi di peringkat negeri. Ahli-ahli Dewan Negeri yang mendapat mandat kepercayaan majoriti rakyat telah mencalonkan Ketua Kerajaan yang selanjutnya membentuk ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai cabang eksekutif kerajaan setelah diperkenankan lantikan mereka oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan. Setiap ahli Dewan begitu juga Ketua Kerajaan serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, masing-masing bukan sahaja bertanggung jawab kepada rakyat jelata tetapi berhadapan dengan akauntabiliti yang lebih besar iaitu ALLAH Subhanahu Wa Taala.
  2. Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi global tahun ini berada pada tahap sederhana. Perkembangan ekonomi dan kewangan global perlu dipantau dan dinilai secara teliti akan implikasinya terhadap prospek pertumbuhan serta inflasi dalam negara.
  3. Ekonomi Malaysia meningkat lima peratus pada tahun 2015 dan diramalkan akan mencatat pertumbuhan antara empat hingga empat perpuluhan lima peratus pada tahun ini. Permintaan domestik akan terus berperanan sebagai pemacu utama pertumbuhan, disokong khususnya oleh pihak swasta. Sektor luaran akan terus menyediakan sokongan kepada pertumbuhan. Semua sektor ekonomi kecuali pertanian dijangka berkembang, dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan berperanan sebagai pemacu utama.[3] Pada masa yang sama, terdapat risiko berpunca daripada pemulihan lebih sederhana ekonomi utama dunia, kelemahan berterusan harga komoditi global dan pelarasan dalam perbelanjaan isi rumah.
  4. Asas ekonomi negara yang kukuh membolehkan negara mendapat manfaat daripada program pembaharuan serta penyesuaian struktur yang dilaksanakan. Eksport Negara yang lebih pelbagai akan terus menyokong pertumbuhan. Malaysia turut mempunyai sumber pertumbuhan yang pelbagai, kedudukan luaran yang baik serta sistem perbankan yang memiliki modal mencukupi dan pasaran modalnya telah berjaya dibangunkan dengan baik.[4] Bank Negara Malaysia akan terus menitikberatkan risiko ketidakseimbangan kewangan.[5] Dijangkakan aliran tunai akan mengalami turun naik berterusan, dan Bank Negara akan memastikan mudah tunai domestik yang mencukupi dalam sistem kewangan agar pasaran kewangan berfungsi dengan teratur.[6] Negara juga berada pada kedudukan kukuh untuk berhadapan aliran modal besar-besaran berasaskan kemampuan penyesuaian ekonominya, penampan kewangan dan rangka kerja dasar yang mantap.[7]
  5. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas pada 21 Mei 2015, telah mengumumkan perancangan projek-projek yang berfokuskan strategi, inisiatif dan outcome. Negeri Perak diperuntukkan satu perpuluhan dua bilion (1,163,199,568) ringgit dalam Rolling Plan pertama untuk membiayai seratus tiga puluh enam (136) projek baru dan seratus enam puluh tujuh (167) projek sambungan.
  6. Rancangan yang dirangka secara indah dalam bentuk tulisan, carta dan grafik, amat perlu diterjemahkan dalam bentuk ketara untuk segera dapat memberi manfaat kepada rakyat jelata. Oleh itu, pelbagai jabatan dan agensi hendaklah memastikan projek-projek yang telah diluluskan, dilaksanakan mengikut jadual. Pada masa yang sama, Kerajaan perlu mengusahakan tambahan hasil agar berupaya membiayai kos projek-projek yang telah dirancang.
  7. Alhamdulillah Kerajaan Beta berjaya mengurus hasil dan perbelanjaan secara cekap. Dalam tahun 2015, Kerajaan Beta telah mencatatkan lebihan pendapatan bernilai tujuh perpuluhan enam (7.59) juta ringgit berbanding anggaran belanjawan defisit, lima puluh (50.06) juta ringgit semasa belanjawan 2015 dibentangkan. Prestasi ini amatlah baik kerana Kerajaan Beta berjaya mengekalkan rekod lebihan pendapatan selama enam tahun berturut-turut sejak tahun 2010.
  8. Dalam tahun 2015, keseluruhan hasil dan penerimaan pembangunan, berjumlah satu perpuluhan dua tujuh bilion (1,273,691,180) ringgit. Kutipan hasil mencecah sembilan ratus lima puluh tujuh juta (956,932,516) ringgit sementara penerimaan pembangunan berjumlah tiga ratus enam belas perpuluhan lapan juta (316,758,664) ringgit. Perbelanjaan sepanjang tahun 2015, berjumlah satu perpuluhan dua tujuh (1,266,097,113) bilion ringgit; sembilan ratus lima puluh dua perpuluhan lapan (952,847,397.92) juta ringgit belanja mengurus dan tiga ratus tiga belas perpuluhan dua (313,249,716.02) juta ringgit belanja pembangunan.
  9. Selain hasil tanah yang merupakan sumber utama hasil negeri, usaha menambahkan hasil daripada sumber-sumber lain terus diikhtiarkan. Keupayaan meningkatkan hasil amat perlu diusahakan agar Kerajaan Beta memiliki dana yang cukup untuk membiayai lebih banyak projek pembangunan. Kerajaan Beta sedar bahawa kebergantungan keterlaluan kepada sumber tertentu sahaja akan membatas keupayaan untuk meningkatkan hasil. Sumber mineral telah dikenal pasti berpotensi menjana hasil baru.
  10. Kejayaan yang dicapai adalah melalui usaha dan komitmen secara kolektif semua jabatan dan agensi. Di samping kejayaan meningkatkan kutipan hasil, perbelanjaan telah diuruskan secara cekap lagi bijak. Kerajaan Beta mencapai peratusan tertinggi bilangan jabatan di Semenanjung Malaysia yang mendapat penarafan pengiktirafan tertinggi empat bintang Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan, dalam Majlis Sambutan Hari Audit Sektor Awam Tahun 2015.
  11. Tiga belas (13) jabatan dan agensi telah dianugerahkan pengiktirafan tertinggi empat bintang pada tahun 2014 berbanding lapan (8) jabatan dan agensi pada tahun sebelumnya. Ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Beta untuk meningkatkan kecekapan dan mengamalkan budaya pengurusan kewangan berhemah. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah diberi pengiktirafan lima (5) Bintang dalam Indeks Bintang (Indeks SSR) Agensi Sektor Awam Tahun 2015-2016 oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Malaysia (MAMPU). Rekod kejayaan ini hendaklah dijadikan inspirasi untuk mencapai tahap kejayaan yang lebih cemerlang. Usaha mengurus perbelanjaan secara berhemah berlandaskan prinsip ‘value for money’ dan ‘optimal spending’ akan dijadikan budaya dan identiti Kerajaan Beta.
  12. Program Permukiman Daerah yang mula diperkenalkan pada tahun ini, adalah kesinambungan untuk memperkasakan Program Turun Padang dan Klinik Perkhidmatan yang dikendalikan secara langsung oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Program dan aktiviti berorientasikan rakyat dilaksanakan bagi membolehkan Kerajaan memahami secara lebih mendalam dan dapat menyelesaikan masalah rakyat secara lebih efektif di peringkat akar umbi; dan pada masa yang sama diharap dapat meningkatkan kefahaman dan apresiasi rakyat terhadap usaha-usaha Kerajaan.
  13. Rancangan Struktur Negeri Perak 2045 sedang digubal. Rancangan tersebut akan menyediakan pelan pembangunan yang seimbang di antara bandar dan luar bandar, bersifat inklusif, mampan serta berdaya maju; dan aspek-aspek keselamatan, keharmonian, serta kelestarian turut diberikan perhatian.
  14. Sektor perumahan dan hartanah mencatatkan pertumbuhan pesat. Ketika ini projek perumahan swasta kelihatan lebih cenderung memenuhi matlamat meraih keuntungan besar dengan membina rumah mewah. Berdasarkan data Jabatan Perumahan Negara, harga rumah di Malaysia meningkat seratus sepuluh (109.6) peratus di antara tahun 2000 dengan tahun 2014. Peningkatan ini ternyata tidak selari dengan kenaikan gaji di Malaysia pada kadar purata dua perpuluhan enam (2.6) peratus setahun.[8] Tujuh puluh dua perpuluhan lapan (72.8) peratus isi rumah di Perak pada tahun 2014 berada di bawah pendapatan lima ribu ringgit sebulan.[9] Kerajaan Beta peka kepada keperluan perumahan terutama di kalangan rakyat berpendapatan rendah. Langkah-langkah telah, sedang dan akan terus dirintis untuk memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat berpendapatan rendah.
  15. Usaha menyediakan rumah mampu milik janganlah hendaknya hanya menjadi tanggungjawab Kerajaan dan agensi Kerajaan sahaja. Pemaju swasta wajib sama-sama mengambil tanggungjawab, membina lebih banyak rumah kediaman yang mampu dimiliki oleh rakyat berpendapatan rendah. Untuk tujuan tersebut Kerajaan Beta akan menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak (LPHP), bertujuan antara lain mengawal selia pembangunan hartanah dan projek perumahan awam serta membina lebih banyak rumah mampu milik. Langkah tersebut sangatlah bertepatan; langkah tersebut adalah langkah terpuji, langkah tersebut membuktikan kesungguhan Kerajaan Beta mahu membela dan membantu kumpulan rakyat berpendapatan rendah.
  16. Negeri Perak terus mendapat keyakinan pelabur. Pada tahun 2015 pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mencecah tiga perpuluhan sembilan (3.9) bilion ringgit; tiga perpuluhan empat (3.4) bilion ringgit pelaburan asing dan lima ratus dua puluh tujuh (527) juta ringgit pelaburan tempatan.
  17. Dalam hasrat menarik pelabur, di samping insentif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Beta turut menyediakan beberapa insentif tambahan, berbentuk diskaun premium pemberimilikan tanah atau tukar syarat tanah, tempoh pajakan tanah industri sehingga 99 tahun dan pemberian taraf laluan pantas (fast-track) mempercepatkan kelulusan yang diperlukan. Insentif juga disediakan kepada pemaju taman perindustrian untuk menyediakan persekitaran kondusif yang ditadbir urus dengan baik oleh pihak swasta. Antara insentif yang disediakan, adalah pemberian taraf laluan pantas (fast-track), kebenaran pegangan ekuiti 100 peratus oleh pemaju asing, diskaun premium tanah dan cukai taksiran, serta menangguhkan tempoh bayaran cukai tanah dan cukai taksiran sehingga tapak selesai dipindah milik kepada pelabur.
  18. Kerajaan Beta sedang merangka Pelan Pembangunan Wilayah Perak Selatan (WPS), satu pelan rancangan pembangunan yang komprehensif untuk merealisasikan hasrat menjadikan Wilayah Perak Selatan sebagai salah satu koridor utama pembangunan. Daerah-daerah Batang Padang, Hilir Perak dan Muallim yang terletak dalam Wilayah Perak Selatan kini turut dimasukkan dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA).
  19. Negeri Perak ialah negeri pertama yang telah menyediakan Pelan Induk Pembangunan Mineral, bertujuan bukan sahaja untuk meningkatkan pembangunan aktiviti mineral, malah untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara mampan, bertanggungjawab dan mesra alam agar kualiti hidup rakyat tidak akan terjejas. Bahan mineral yang dihasilkan di negeri ini berkualiti tinggi. Tanah liat Trong dieksport kepada pengeluar seramik terbesar dunia sementara kaolin bermutu tinggi dieksport kepada industri kosmetik ternama di luar negara. Permintaan bijih timah semakin meningkat untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah.
  20. Negara kini sedang menghadapi gelombang haba dan cuaca panas berpunca daripada fenomena El Nino. Beberapa kawasan di Utara Semenanjung telah mencatatkan suhu tinggi melebihi 38 darjah Celsius. Fenomena El Nino turut memberi kesan kepada taburan hujan. Negeri Perak telah mengalami kekurangan di antara dua puluh hingga enam puluh (20-60) peratus taburan hujan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini serta turut mengalami kenaikan suhu antara kosong perpuluhan lima (0.5) hingga dua (2) darjah Celsius.
  21. Kekurangan taburan hujan memungkinkan berlakunya pengurangan sumber air pada satu masa nanti. Secara purata 612 juta liter air diperlukan setiap hari untuk kegunaan domestik sementara 263 juta liter lagi diperlukan untuk industri. Negeri Perak mempunyai empat puluh enam loji rawatan air, dengan kapasiti merawat seribu lapan ratus (1,800) juta liter air sehari. Kerajaan Beta, khususnya Lembaga Air Perak serta agensi-agensi yang berkaitan, melihat fenomena perubahan cuaca, berpotensi mencetuskan masalah yang boleh menyusahkan hidup rakyat. Oleh itu, amatlah penting difikirkan rancangan jangka panjang untuk memastikan bekalan air tetap terjamin dalam situasi terpaksa menghadapi krisis akibat daripada perubahan cuaca.
  22. Selaras dengan perkembangan pesat kemajuan teknologi, langkah-langkah terus dirintis untuk meningkatkan kemudahan rangkaian sistem telekomunikasi. Untuk meningkatkan kepantasan dan kecekapan rakyat boleh berinteraksi, infrastruktur Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (High Speed Broadband) melebihi empat megabait sedang diperluaskan di kawasan-kawasan Menglembu, Kampar, Seri Iskandar, Tanjong Malim, Sitiawan dan Taiping. Atas hasrat mahu mengurangkan jurang digital di antara bandar dan luar bandar, serta atas hasrat mahu meningkatkan kadar penembusan jalur lebar, perluasan infrastruktur Jalur Lebar Pinggir Bandar (Sub-Urban Broadband) sedang dibangunkan di semua daerah.
  23. Malaysia dijangka mencapai tujuh puluh lima (75) peratus penduduk bandar menjelang tahun 2020. Negeri Perak akan turut mengalami perkembangan urbanisasi dan kepadatan tinggi penduduk bandar. Sekiranya perkembangan urbanisasi tidak ditangani secara bijak, dikhuatirkan keselesaan sedia ada yang sedang dinikmati oleh penduduk sesebuah bandar akan terjejas, mengakibatkan kualiti kehidupan bandar akan merosot.
  24. Kualiti persekitaran sesebuah bandar pada umumnya dinilai dari segi bebas daripada semak samun, longgokan sampah, air bertakung, jalan berlopak dan longkang tersumbat. Senario tersebut merupakan keperluan minima rakyat di masa lampau. Kini keperluan untuk mencapai tahap persekitaran bandar yang berkualiti tidak lagi terhad kepada elemen tafsiran asas seperti itu, tetapi meliputi kualiti ruang udara dan sumber air yang tidak tercemar, juga merangkumi penyediaan sistem prasarana dan pengangkutan awam yang lebih mesra alam sekitar serta penyediaan kemudahan-kemudahan sosial, pendidikan, kesihatan, rekreasi, budaya dan sukan.
  25. Kerajaan telah membangunkan prasarana jalan raya yang baik. Bilangan kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini adalah antara yang tertinggi di dunia. Di negeri Perak sahaja, tiga puluh tujuh ribu (36,746) kemalangan berlaku sepanjang tahun 2015, meragut tujuh ratus lima puluh sembilan (759) nyawa, sementara lima ratus lapan puluh lapan (588) mangsa menghadapi cedera parah. Dalam tiga bulan pertama tahun ini, sembilan ribu (9004) kemalangan telah berlaku di negeri Perak, meragut 180 nyawa sementara dua ratus (199) mangsa mendapat cedera parah. Secara purata, setiap hari, dua nyawa terkorban akibat kemalangan jalan raya. Ternyata, walaupun negara telah mempunyai infrastruktur jalan raya bertaraf kelas pertama, jaminan keselamatan adalah juga tertakluk kepada beberapa faktor lain, antaranya sikap pemandu, waktu memandu, keadaan cuaca, dan penyelenggaraan kenderaan dengan baik secara berkala, terutama kenderaan komersial. Penguatkuasaan juga, wajib dilaksanakan secara tegas dan tidak boleh dikompromikan.
  26. Sektor pertanian akan terus dibangunkan dalam usaha meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi matlamat jaminan bekalan makanan dan memaksimumkan pendapatan. Negeri Perak berhasrat untuk menjadi pengeluar utama makanan negara. Matlamat ini boleh dicapai melalui pembangunan pertanian bernilai tinggi, dengan membangunkan secara kluster, industri buah-buahan, sayuran, kelapa, padi, herba, taman kekal pengeluaran makanan, pembangunan padang ragut, pembangunan ternakan ruminan dan pembangunan perikanan darat. Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah mengambil inisiatif mewujudkan industri baru, penanaman sayuran tanah rendah, berskala komersial dan berteknologi tinggi di Kerian; kejayaan projek ini memungkinkan daerah Kerian berperanan sebagai pengeluar utama sayuran tanah rendah.
  27. Dalam tahun 2014, Negeri Perak telah mencapai bukan sekadar tahap sara diri (self sufficient level) malah memiliki lebihan bagi pengeluaran padi dan kelapa, berjaya menghasilkan pengeluaran seberat tiga ratus lima puluh tiga ribu (352,930) metrik tan padi dan seratus tiga puluh dua ribu (131,745) metrik tan kelapa. Pendaratan ikan laut seberat tiga ratus empat puluh tujuh ribu (346,852.99) metrik tan bernilai lebih dua (2.01) bilion ringgit dalam tahun 2015, menjadikan Negeri Perak sebagai tempat pendaratan ikan terbesar di Malaysia.
  28. Sepanjang tahun 2015, Negeri Perak berjaya mengekalkan status bebas daripada penyakit ternakan berkepentingan ekonomi dan zoonotik. Status ini telah memberikan keyakinan kepada negara pengimport, akan kualiti produk hasilan ternakan negeri ini. Nilai eksport hasilan ternakan Negeri Perak meningkat dua puluh enam (26) peratus dari sembilan puluh empat perpuluhan tiga juta (94.3) ringgit pada tahun 2014 kepada seratus dua puluh tujuh perpuluhan tiga juta (127.3) ringgit pada tahun 2015.
  29. Kerajaan Beta telah memperuntukkan sepuluh juta ringgit kepada sektor pelancongan pada tahun ini dalam hasrat mahu memastikan industri pelancongan pesat berkembang. Pelbagai program dirangka untuk menaik taraf pusat-pusat pelancongan dan menganjur pelbagai acara promosi melalui program Tahun Melawat Perak 2017. Negeri Perak telah menerima jumlah kedatangan pelancong domestik tertinggi di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut mencecah angka lima perpuluhan tujuh (5.67) juta pada tahun 2012, enam (6.02) juta pada tahun 2013, meningkat kepada tujuh juta dalam tahun 2014.[10]
  30. Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor telah dianjurkan oleh Institut Darul Ridzuan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Dialog tersebut telah berjaya meletakkan Negeri Perak sebagai salah satu platform persidangan bertaraf antarabangsa yang berjaya menarik minat penyertaan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang, daripada kalangan pegawai kerajaan, akademia institusi pengajian tinggi dan kapten industri dari dalam dan luar negara. Dialog tersebut yang telah mendapat sambutan akan terus dianjurkan.
  31. Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) merintis inisiatif bersama-sama dengan Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) Islam dari Negara-negara Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand menubuhkan persatuan, dinamakan Asian Islamic Universities Association (AIUA) yang berhasrat untuk menyatupadukan pendidikan tinggi Islam di negara-negara Asia, bertujuan untuk merangka satu piawaian pendidikan berpaksikan Al-Quran dan Hadith. Bermula dengan penyertaan lima belas (15) IPT Islam, inisiatif ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan keanggotaan tujuh puluh enam (76) IPT Islam dari serata dunia. Meskipun usianya baru setahun jagung, dan darahnya baru setampuk pinang, KUISAS, telah berjaya mencipta sejarah yang membanggakan; pada 9 April lalu, KUISAS telah dianugerahkan, ISLAMIC FINANCE TALENT DEVELOPMENT CHAMPION AWARD dalam kategori akademik oleh Islamic Banking and Finance Institute Malaysia, atas usaha bersungguh dan berterusan KUISAS membangunkan bidang perbankan dan kewangan Islam.
  32. Manusia dilahirkan dengan pelbagai bakat dan kebolehan semula jadi. Di negara maju, setiap bakat dan kebolehan semula jadi akan diberikan peluang untuk berkembang dengan perwujudan pelbagai kemudahan latihan, bimbingan dan asuhan. Sekolah Menengah Kebangsaan Muhibah, Sungai Siput telah dipilih sebagai Sekolah Seni Malaysia bagi menyediakan kemudahan pendidikan seni kepada pelajar-pelajar zon utara merangkumi negeri-negeri Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Sekolah Seni tersebut akan dapat membantu anak-anak yang dilahirkan dengan pelbagai kecenderungan untuk mengasah dan mengembangkan bakat masing-masing agar mereka nanti lebih bersedia untuk menceburkan diri dalam profesion-profesion yang berteraskan seni.
  33. Persidangan Dewan Negeri Perak bertarikh 23 November 2015 telah meluluskan Rang Undang-undang Wakaf (Perak). Pewujudan Enakmen Wakaf (Perak) ini telah membuka dimensi baru dalam pentadbiran wakaf di Negeri Perak. Melalui enakmen ini, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak mempunyai kuasa yang lebih jelas mentadbirurus harta wakaf serta boleh pula merangka pelbagai instrumen wakaf bagi tujuan pembangunan sosioekonomi ummah. Dana Waqaf Ar-Ridzuan yang telah dilancarkan memberikan ruang baru untuk ummah melakukan amal jariah.
  34. Daerah Muallim telah dipilih sebagai lokasi perintis untuk kawasan sub-urban mesra belia. 1Malaysia Youth City (1MYC) adalah rancangan membangunkan bandar secara berintegrasi oleh pihak awam dan swasta bagi membolehkan belia meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam kerjaya dan keusahawanan, di samping menikmati kemudahan rekreasi dan perumahan. Dewan Belia Perak Darul Ridzuan telah ditubuhkan. Dewan ini berfungsi sebagai platform membolehkan belia menyuarakan pandangan, berbincang dan menjana idea-idea berkaitan pembangunan belia. Penubuhan Dewan Belia juga bertujuan untuk melatih dan mengasah bakat kepimpinan belia sebagai barisan pelapis yang bakal mewarisi kepimpinan negara.
  35. Sukan dapat menyemaikan budaya hidup sihat, semangat persaingan, semangat mahu mencipta kejayaan lebih tinggi, semangat tidak riak di kalangan yang menang dan semangat tidak kecewa di kalangan yang tewas. Sukan adalah platform yang berupaya memupuk semangat persefahaman, semangat berpasukan dan semangat bekerjasama. Oleh itu, badan-badan sukan, diberikan pelbagai bantuan dan kemudahan, dan penganjuran acara-acara sukan senantiasa diberikan dorongan dan sokongan. Para penganjur dan mereka yang bergiat aktif dalam aktiviti sukan begitu juga rakyat keseluruhannya, ambillah pengajaran, jadikan rujukan – jadikan sumber inspirasi, jalan cerita yang terkandung dalam filem Ola Bola, betapa semangat pengorbanan, semangat berpasukan, semangat setia kawan dan semangat kenegaraan yang tinggi, berjaya disemai melalui sukan.
  36. Kerajaan Beta menyediakan beberapa jenis bantuan kepada pelajar-pelajar yang berhasrat dan layak melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. Pada tahun 2015, empat belas ribu empat ratus (14,407) orang pelajar telah menerima bantuan melibatkan peruntukan berjumlah sebelas perpuluhan enam juta (11,620,500) ringgit. Kerajaan Beta turut menawarkan pinjaman pendidikan pengajian ke institusi pengajian tinggi; lima ratus (500) orang pelajar telah diluluskan pinjaman pendidikan melibatkan tujuh juta ringgit dalam tahun 2015. Yayasan Perak telah menambah baik, proses permohonan Dermasiswa Pendidikan dengan memperkenalkan kaedah permohonan secara atas talian (online). Kaedah tersebut telah memudahkan urusan mengemukakan permohonan.
  37. Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak turut menyediakan biasiswa pelajaran di bawah Asnaf Fisabilillah untuk pelajar-pelajar mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di luar negara. Pada tahun 2015 lapan ratus tiga puluh tujuh (837) pelajar telah diberikan biasiswa melibatkan perbelanjaan tujuh perpuluhan lima juta (7,508,600) ringgit, sementara empat perpuluhan dua juta (4,198,940) ringgit telah diberikan kepada seribu seratus enam puluh empat (1,164) pelajar yang mengikuti pengajian di dalam negeri.
  38. Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan yang telah ditubuhkan untuk membantu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat telah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Sehingga tahun 2015, tiga ribu lapan ratus lima puluh lima (3,855) orang usahawan kecil telah menerima pinjaman mikro kredit melibatkan dua puluh tujuh perpuluhan tiga juta (27,304,743) ringgit. Yayasan Bina Upaya juga mengambil tanggungjawab membantu menyediakan perumahan selesa kepada golongan miskin melalui skim Infra Bina Upaya. Dalam usaha mahu menangani masalah kos sara hidup yang semakin meningkat, Yayasan Bina Upaya telah memperkenalkan Kedai Bergerak 1 Amanjaya. Kedai bergerak tersebut, menawarkan harga barangan asas, sepuluh peratus lebih murah berbanding harga biasa peruncit.
  39. Sabda Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam bermaksud:“Tahu kah anda, amalan apakah yang lebih baik daripada bersedekah, puasa dan juga sembahyang? Ia itu menjaga hubungan baik sesama manusia, kerana pergaduhan dan buruk sangka itu sesungguhnya merosak dan menghancurkan manusia sejagat.”[11]
  40. Nikmat pembangunan yang di kecapi selama ini adalah hasil permuafakatan penduduk dari pelbagai kaum dan agama. Perak adalah contoh negeri terbaik dari segi kemajmukan dan kepelbagaian yang mewarnai perpaduan. Kebelakangan ini, warga semakin dilanda dengan pelbagai isu dan dihampari dengan pelbagai cabaran yang semakin menggugat keutuhan perpaduan dan keharmonian masyarakat. Terkandung di dalam Surah Al-A’raaf, peringatan ILAHI bahawa kehancuran sesuatu kaum adalah kerana perbuatan mereka sendiri; ALLAH Subhanahu Wa Taala memperingatkan bahawa tiap-tiap bangsa mempunyai masa kejayaan dan masa kehancuran; ALLAH Subhanahu Wa Taala mencuba manusia dengan kekayaan dan kemiskinan. Firman ALLAH dalam ayat 112 Surah An-Nahl bermaksud:“ALLAH telah membuat suatu perumpamaan (dengan ) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram; rezekinya datang melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat ALLAH; maka ALLAH merasakan kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang telah mereka lakukan”.[12]
  41. Keamanan adalah prasyarat untuk mencapai kemakmuran. Keamanan dan kemakmuran adalah anugerah ILAHI. Apabila manusia memilih untuk bersengketa maka akan terjejas ketenteraman awam dan akan rosak keharmonian alam. Lebih mendukacitakan, apabila persengketaan dicetuskan atas nama agama oleh kumpulan militan dengan menjanjikan sistem urus tadbir dunia yang lebih baik. Manusia perlu jelas memilih kaedah untuk mencapai matlamat. Firman Allah Subhanahu Wa Taala di dalam Surah An-Nahl ayat 125 bermaksud:“Serulah ke jalan Tuhan mu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhan mu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”[13]
  42. Melakukan keganasan, melakukan kemusnahan terhadap harta benda dan sumber kehidupan dan bertindak secara militan, membunuh, menyerang, menculik, merogol, mengebom hingga mengakibatkan terkorbannya insan-insan yang tidak berdosa, adalah sama sekali bercanggah dengan ajaran Islam. Islam menyeru dan menganjurkan perdamaian. Ideologi untuk menegakkan negara Islam secara militan, semakin mempengaruhi ummah dan semakin merebak ke serata dunia; turut mempengaruhi pemikiran rakyat di negara ini. Beberapa orang rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh di negara tertentu. Beberapa tangkapan dan tahanan dilakukan. Menangkap dan menahan kalangan yang terlibat menyokong dan menyertai kegiatan militan seperti ISLAMIC STATE hanyalah satu langkah dan tindakan, tetapi langkah tersebut belum menjamin masalah telah atau akan dapat diselesaikan.
  43. Amatlah penting untuk dilaksanakan pendekatan yang lebih komprehensif dalam menangani dan membendung masalah yang sebegini kompleks yang melibatkan ideologi, fahaman dan tafsiran. Faktor-faktor yang telah menjadi daya penarik atau daya penolak hingga berjaya mempengaruhi minda rakyat untuk menyertai pertubuhan sedemikian wajib dikenal pasti, difahami dan dianalisis. Faktor-faktor seperti harapan dan ilusi, kekecewaan dan impian, kemiskinan dan penderitaan, kezaliman dan penindasan, dilaporkan, antara faktor yang menjadi sebab anak-anak muda terdorong untuk menyertai gerakan sedemikian.
  44. Agensi-agensi keselamatan diamanahkan dengan tanggungjawab dan telah menyempurnakan tugas sebaik mungkin untuk memelihara ketenteraman awam dan menjamin keselamatan negara. Tanggungjawab memelihara ketenteraman awam dan menjamin keselamatan negara adalah juga tanggungjawab bersama setiap rakyat jelata agar negara kekal aman dan makmur.
  45. Beta menzahirkan penghargaan atas kejayaan Kerajaan Beta di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada Negeri Perak Darul Ridzuan. Beta menghargai peranan ahli-ahli Dewan Negeri, ahli-ahli Dewan Negara, Orang Besar Negeri, Anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Pegawai Majlis Agama dan Pentadbir Agama Islam, Penghulu, Imam dan Pegawai Masjid, Pemimpin-pemimpin agama, kaum dan masyarakat, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, badan-badan sukan, pertubuhan-pertubuhan belia, tidak ketinggalan pihak swasta yang saling bekerjasama melaksanakan tanggung jawab, memenuhi amanah untuk membangun dan memajukan negeri.
  46. Semoga ALLAH SUBHANAHU WA TAALA melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada negeri dan rakyat negeri Perak Darul Ridzuan. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ketiga Belas.

Ending of Speech

  1. Al-Quran: Al Mulk (67:1)
  2. Al-Quran: Ali Imran (3:26)
  3. Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2015.
  4. Ibid.
  5. Ibid.
  6. Ibid.
  7. Ibid.
  8. Hasil daripada kajia Bank Dunia 10 tahun kebelakangan.
  9. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia
  10. Berdasarkan kajian Penyiasatan Pelancongan Domestik yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
  11. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud dan Imam Tarmizi, Hadith No. 2640
  12. Al-Quran: An Nahl (16:112)
  13. Al-Quran; Surah An-Nahl (16:125)
%d bloggers like this: