Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ketiga Belas

Yang Dipertua Dewan Negeri

 

  1. Persekitaran pembangunan global pada tahun 2016 menyaksikan beberapa peristiwa menyimpang daripada norma biasa, dibawa oleh arus perubahan dasar dan sosiopolitik yang begitu ketara.[1]  Beberapa perubahan asas di tengah-tengah gelora politik dan sosial telah menjadikan persekitaran dunia tambah berisiko; diburukkan lagi dengan perkembangan luar jangkaan termasuk referendum EU oleh United Kingdom (Brexit) dan keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat, yang telah mewujudkan rentak baharu dalam persekitaran dan perkembangan ekonomi global.[2]  Tahun 2016, turut menyaksikan ekonomi dunia mencatat pertumbuhan ekonomi paling rendah sejak Krisis Kewangan Global.[3]

 

  1. Keadaan ekonomi di dalam negara terus berhadapan dengan rintangan yang berpunca daripada kos sara hidup yang lebih tinggi dalam keadaan guna tenaga yang lembab.[4] Pada masa yang sama, sentimen perniagaan dan pengguna terjejas disebabkan beberapa faktor global dan dalam negeri, termasuk keadaan pasaran kewangan yang semakin tidak menentu dan prestasi ringgit yang nyata kurang menggalakkan.  Berlatarkan cabaran daripada dalam dan luar negara, semua sektor ekonomi negara mencatat pertumbuhan yang sederhana.  Meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang mencabar, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan empat perpuluhan dua (4.2) peratus.[5]  Permintaan dalam negeri terus menjadi peneraju pertumbuhan, di sokong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta.[6]  Penggunaan awam meningkat sederhana, pada satu peratus, berikutan langkah rasionalisasi perbelanjaan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan disebabkan kejatuhan harga minyak mentah.[7]  Daya tahan ekonomi Malaysia terus diperkukuh oleh usaha berterusan memantapkan sistem kewangan dan perbankan domestik.[8]

 

  1. Dalam senario ekonomi yang sedemikian, pada tahun 2016, Kerajaan Beta, berupaya memungut dan mendapatkan hasil, satu perpuluhan kosong satu bilion (1,011,500,828) ringgit, meningkat lima perpuluhan tujuh (5.7) peratus berbanding hasil tahun 2015, dan terimaan pembangunan bernilai dua puluh enam perpuluhan empat juta (26,420,941) ringgit, menjadikan jumlah keseluruhan hasil dan terimaan pembangunan menghampiri satu perpuluhan kosong empat bilion (1,037,921,769) ringgit. Satu perpuluhan kosong tiga bilion (1,033,504,745) ringgit telah dibelanjakan; enam puluh empat (64.2) peratus untuk perbelanjaan pengurusan dan tiga puluh enam (35.8) peratus untuk pembangunan. Ketika penutupan akaun 2016, tercatat lebihan empat perpuluhan empat juta (4,417,024) ringgit, membuktikan, kejayaan mengekalkan prestasi lebihan, bagi tempoh tujuh tahun berturut-turut, satu rekod pencapaian kerajaan mengurus hasil negeri secara cekap lagi cemerlang.

 

  1. Kerajaan Beta, diiktiraf antara pentadbiran negeri terbaik dalam tadbir urus kewangan. Sebelas jabatan dan agensi, dianugerahkan pengiktirafan tertinggi lima bintang, Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan dalam Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan yang berlangsung pada 22 Ogos 2016.

 

  1. Para penjawat awam hendaklah senantiasa mempertahankan nama baik perkhidmatan, teguh dengan prinsip menolak rasuah serta tegas menentang perbuatan salah guna kuasa yang boleh mengakibatkan berlakunya ketirisan hasil negeri. Para penjawat awam hendaklah menjadikan inspirasi, kisah Nabi Sulaiman Alaihissalam yang tidak tergugat dengan sogokan kebendaan.  Baginda secara tegas, menolak hadiah yang dipersembahkan oleh Raja Perempuan negeri Saba; seperti yang diriwayatkan dalam ayat 36 surat An-Naml bermaksud:

 

“Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang menghadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman: Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta benda, apa yang  ALLAH berikan kepadaku lebih baik dari apa yang diberikan Nya kepada kamu;..”[9]

 

  1. Islam ialah agama yang syumul, menganjurkan tatacara hidup yang merangkumi segenap aspek, menyentuh hubungan antara hamba dengan Penciptanya, serta hubungan sesama insan (hablum minallah – hablum minannas). Demi memastikan kesejahteraan dan keselamatan hidup terpelihara, manusia perlu sentiasa diingatkan agar membudayakan prinsip amar makruf – nahi mungkar.  Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali-Imran, ayat 104, bermaksud:

 

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”[10]

 

  1. Masyarakat Islam Madinah pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, terkenal dengan gelaran ‘khairu ummah’ bermaksud, ummah terbaik; ummah yang benar-benar menjiwai prinsip amar makruf – nahi mungkar. Untuk membina generasi ‘khairu ummah’, anggota perkhidmatan awam perlu menjiwai semangat kuat bekerja serta bersifat amanah,  selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 26, surah Al-Qasas:

 

“…sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat lagi amanah”[11]

 

Pemantapan urus tadbir, bukan sahaja melibatkan sistem dan prosedur, bahkan cara berfikir – cara bertindak.  Pemikiran anggota perkhidmatan awam wajib dipupuk untuk terus menghasilkan perkhidmatan yang lebih profesional, progresif lagi dinamik.  Alhamdulillah, beberapa agensi telah mendapat pengiktirafan, hasil daripada daya usaha para penjawat awam yang berani bereksperimen, melakukan transformasi di luar kotak kelaziman.

 

  1. Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, mendapat pengiktirafan Inovasi Zakat Terbaik (Kutipan) sempena Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan. Pejabat Pengarah Tanah dan Galian mendapat tempat pertama Anugerah Ketua Setiausaha Negara dalam Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam, melalui inovasi penambahbaikan sistem kerja untuk menangani masalah  pengeksportan secara haram bahan batuan dan mineral.  Majlis Bandaraya Ipoh mendapat anugerah Naib Johan Inovasi Sektor Awam melalui kempen ‘Hari Tanpa Kereta’ untuk program pemuliharaan alam sekitar, dan Ladang Rancangan Tanah Berkelompok Pulau Tiga yang diusahakan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak, yang berjaya menghasilkan tiga puluh dua (32) tan metrik sehektar, menerima Anugerah Industri Sawit Malaysia kategori pencapaian hasil tertinggi di Semenanjung Malaysia.

 

  1. Kemudahan prasarana yang baik berperanan sebagai pemangkin untuk menyokong usaha-usaha pembangunan. Prasarana yang berkualiti diperlukan untuk menghubungkan masyarakat bandar dan luar bandar, menghubungkan masyarakat dengan dunia global, serta meningkatkan akses kepada maklumat terkini dan pasaran perniagaan yang lebih meluas.

 

  1. Sistem pengangkutan awam darat yang baik berupaya menjana perkembangan sosioekonomi, penambahan pelaburan dan peluang pekerjaan, serta meningkatkan produktiviti dan mutu kehidupan. Di samping jalan dan lebuh raya, perkhidmatan rel dikenal pasti sebagai tulang belakang pengangkutan awam darat. Perkhidmatan ETS, laluan Gemas-Kuala Lumpur-Padang Besar mula beroperasi pada tahun 2015.  Purata pengguna ETS laluan ini, meningkat daripada lima ribu empat ratus (5,378) penumpang sehari pada tahun 2015 kepada lapan ribu sembilan ratus (8,880) penumpang sehari pada tahun 2016.  Perkhidmatan komuter laluan Padang Rengas, Taiping, Kamunting, Bagan Serai dan Parit Buntar ke Butterworth dimulakan pada September 2015.  Purata penumpang harian, meningkat daripada lima ratus enam puluh lima (565) penumpang ketika mula beroperasi kepada empat ribu tujuh ratus (4,702) penumpang dalam tahun 2016.  Kedua-dua perkhidmatan rel tersebut, telah mempermudahkan pergerakan rakyat untuk aktiviti harian, perniagaan dan pelancongan.

 

  1. Perkhidmatan rel diselaraskan dengan perkhidmatan yang dapat menghubungkan stesen rel dengan destinasi terakhir. Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti atau SBST (Stage Bus Services Transformation – SBST) yang dikenali sebagai myBAS, diolah untuk meningkatkan daya maju pengendali dan memperluaskan laluan.  Bandaraya Ipoh terpilih sebagai salah satu daripada lima bandar utama untuk melaksanakan program permulaan SBST. Sejak diperkenalkan pada Jun 2016, perkhidmatan myBas di Bandaraya Ipoh, yang menyediakan perkhidmatan di dua belas laluan utama dan sembilan laluan perantara, mencatatkan penggunaan hampir empat ratus empat puluh ribu (437,000) penumpang.

 

  1. Untuk meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kapasiti pengurusan kargo, kerja-kerja pembesaran dan pemodenan Pelabuhan Lumut telah dimulakan. Negeri Perak menjana tenaga elektrik terbesar di Semenanjung Malaysia dengan jumlah kapasiti penjanaan lima ribu (5,054) Megawatt.  Penduduk di pinggir dan di luar bandar mendapat manfaat bekalan elektrik berkualiti, apabila enam mini pencawang pembahagian utama telah mula beroperasi.

 

  1. Rangkaian sistem telekomunikasi yang membolehkan rakyat meningkatkan kecekapan berinteraksi menggunakan teknologi Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi terus diperluaskan. Telekom Malaysia (TM) telah menambah kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan pertambahan premis pass unifi melebihi tiga ratus peratus.  Kadar penembusan jalur lebar talian tetap Telekom Malaysia, berbanding isi rumah, meningkat daripada dua puluh lapan peratus pada tahun 2015 kepada tiga puluh dua peratus pada tahun 2016.
  2. Walaupun negeri Perak dianugerahkan curahan hujan melebihi dua ribu empat ratus (2,400) milimeter setahun, namun taburan ruangnya (spatial) tidak sekata dan terpengaruh dengan elemen masa (temporal), menyebabkan kebolehdapatan air, berbeza di antara kawasan. Sumber air wajib diuruskan secara cekap untuk menangani masalah bekalan yang semakin dipengaruhi oleh perubahan iklim.  Oleh itu, projek-projek berkaitan sekuriti air dan pengurusan risiko kemarau, wajib diberikan perhatian, terutama di kawasan-kawasan strategik tadahan air.

 

  1. Banjir berlaku disebabkan faktor-faktor cuaca atau iklim. Projek Pembangunan Sistem Ramalan dan Amaran Banjir Negara sedang dilaksanakan di Lembangan Sungai Perak, Sungai Kerian dan Sungai Kurau. Tenaga Nasional Berhad bersama Angkatan Pertahanan Awam telah mengambil inisiatif bersepadu, memperkenalkan program pengurusan bencana berteraskan komuniti, dengan pemasangan siren amaran banjir di Chegar Galah dan Kampong Gajah.  Sistem ramalan kenaikan paras air untuk membolehkan amaran awal, turut diperkenalkan di Tasik Temengor.   Melalui program-program yang diperkenalkan, ramalan dan amaran banjir akan dapat dipercepatkan, membolehkan pihak-pihak yang berkenaan dapat segera bertindak.  Rancangan Tebatan Banjir, terutama di lembangan Sungai Kerian dan Sungai Kurau, terbukti berupaya mengurangkan kejadian banjir.  Dianggarkan tujuh puluh lima ribu (75,000) orang telah diberikan perlindungan tambahan daripada risiko banjir, di samping menyelamatkan enam belas ribu (16,000) tan metrik hasil padi dan dua puluh ribu (20,000) tan metrik hasil kelapa sawit.

 

  1. Usaha menarik pelaburan terus digiatkan. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mencatatkan kelulusan pelaburan berjumlah tiga perpuluhan sembilan (3.9) bilion ringgit, melibatkan lima puluh lima (55) projek dalam tahun 2016. Tujuh puluh dua (71.8) peratus pelaburan merupakan pelaburan domestik dan dua puluh lapan (28.2) peratus adalah pelaburan asing. Berdasarkan sasaran Pelan Tindakan Pembangunan Perindustrian Perak (PIDAP), jumlah kemasukan pelaburan pada tahun 2016, melebihi daripada sasaran purata pertumbuhan tujuh (7.1) peratus.

 

  1. Potensi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menjana pertumbuhan ekonomi terus diterokai. Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp Malaysia) terlibat melaksana, menyelaras dan bekerjasama dengan pelbagai agensi, membantu membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), melibatkan hampir empat puluh ribu (39,979) usahawan dan bakal usahawan sepanjang tahun 2016.

 

  1. Perbadanan Menteri Besar Perak (PMB) telah menerajui sektor pembangunan mineral secara berhemah, mengurus aset negeri secara cekap, membangunkan semula tapak bekas lombong dan memulihara warisan perlombongan. Pelan Tindakan Pembangunan Mineral Negeri Perak yang diuruskan oleh PMB telah menarik minat negeri-negeri lain untuk mempelajari keberkesanan strategi dan pengurusan mineral yang diperkenalkan di negeri ini.

 

  1. Negeri Perak adalah pengeluar padi kedua tertinggi di Malaysia, menghasilkan tiga ratus enam puluh ribu (358,679) tan metrik, mencapai seratus dua puluh enam (126) peratus tahap sara diri. Hampir tiga ribu dua ratus (3,175) pesawah menghadapi nasib malang, kehilangan hasil padi, dianggarkan bernilai lima puluh enam juta (56.4) ringgit, apabila berlakunya Super El-Nino pada tahun 2016, yang telah menjejaskan bekalan air di lebih lapan ribu (8,097) hektar kawasan sawah di daerah Kerian. Pelbagai kaedah dirintis menambahbaik prasarana, pengairan dan perataan sawah untuk meningkatkan purata hasil pengeluar.  Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara atau NCIA (Northern Corridor Implementation Authority) telah memperkenalkan Projek Model Pengurusan Estet Padi untuk meningkatkan pengeluaran, agar dapat mencapai tahap purata pengeluaran daripada empat perpuluhan lima (4.5) tan metrik kepada enam tan metrik sehektar.

 

  1. Negeri Perak adalah pengeluar kedua terbesar kelapa sawit di Malaysia, menghasilkan keluaran tujuh juta (6,978,461.28) tan metrik, daripada kawasan tanaman seluas tiga ratus sembilan puluh lapan ribu (398,314) hektar. Pembangunan industri kelapa, memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti, penanaman semula, dengan keragaman jenis berhasil tinggi, dan pemulihan kawasan tanaman.  Projek tanaman sayuran tanah tinggi berskala besar dilaksanakan oleh sebuah syarikat tempatan, di kawasan seluas seribu (1,052.20) hektar. Peringkat pertama projek melibatkan pembangunan kawasan seluas lima puluh tiga (52.61) hektar dengan pelaburan seratus lima puluh juta (150,000,000) ringgit, berjaya menghasilkan enam ratus (600) tan metrik sayuran sebulan, memenuhi pasaran domestik serta turut dieksport keluar negara.  Negeri Perak juga adalah pengeluar buah-buahan kelima terbesar di Malaysia; mengeluarkan seratus dua puluh lapan ribu (127,873) tan metrik setahun.  NCIA turut melabur dua belas perpuluhan lima (12.5) juta ringgit untuk meningkatkan rantaian nilai industri durian yang dapat menghasilkan produk bernilai tinggi untuk pasaran eksport dan turut memperkenalkan Konsep Perkongsian Nilai bagi tanaman melon.  Komoditi berpotensi tinggi seperti cendawan, herba, rempah ratus serta madu lebah dan kelulut, juga bunga-bungaan akan terus dimajukan.

 

  1. Lapan ratus lima puluh (848.99) tan metrik ikan sungai bernilai tiga belas juta (12.69) ringgit, dan tiga ratus enam puluh tujuh ribu (367,346) tan metrik ikan laut bernilai dua perpuluhan dua (2.19) bilion ringgit, berjaya didaratkan. NCIA turut melaksanakan inisiatif membangunkan industri abalone serta Pusat Pengurusan Udang Harimau. Aktiviti penternakan unggas telah melepasi tahap sara diri malah mencapai tahap eksport.  Industri ternakan ruminan dibangunkan untuk mencapai tahap sara diri.  Seratus (101) hektar padang ragut dibangunkan sepanjang tahun 2016.  Negeri Perak juga adalah pengeluar rusa terbesar di dalam negara.

 

  1. Produk-produk sejarah dan budaya setempat yang memiliki daya tarikan pelancongan terus dikenal pasti dan dimajukan. Perak Agro Tourism Resort (PATRO) telah dibangunkan. Taman Eko-Rimba Kledang Saiong, merupakan Taman Nepenthes pertama di Malaysia, menghimpunkan tujuh puluh spesies Nepenthes, lebih dikenali dengan nama Periuk Kera.  Taman ini merupakan Taman Nepenthes keempat di dunia, selepas Kew Garden di United Kingdom, Taman Botani Singapura dan Taman Bonn di Jerman.[12]  Perbadanan Menteri Besar Perak (PMB) sedang mengusahakan kapal korek terakhir,  Tanjung Tualang Dredge No.5 (TT5) yang dibina pada tahun 1938, untuk dijadikan produk pelancongan berasaskan warisan perlombongan.  NCIA turut menganjurkan pelbagai program pembangunan dan latihan, untuk memastikan sektor pelancongan mempunyai cukup modal insan yang terlatih.

 

  1. Seyogia diingatkan produk pelancongan terutama berkaitan dengan alam semula jadi perlu dilindungi daripada dirosakkan kerana aktiviti komersial yang keterlaluan. Taman negeri di Pulau Sembilan adalah khazanah negeri yang unik lagi istimewa.  Kini, keindahannya, terancam akibat perbuatan para pengusaha yang tidak menghormati peraturan dan kawalan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.  Kerajaan Beta telah mengambil keputusan tepat, menutup taman tersebut kepada para pelancong sehingga digubal dan diperkenalkan langkah-langkah lebih mantap untuk melindungi eko sistem dan bio diversiti di kawasan berkaitan.  Masjid Ubudiah, disenaraikan berada di tempat keempat di kalangan lima masjid yang cantik lagi menakjubkan di dunia, terdiri daripada Masjid Abu al-Abbas al Mursi di Alexandria, Masjid Kul Sharif di Kazan Russia, Masjid Biru di Istanbul, Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar dan Masjid Sheikh Zahid di Emiriah Arab Bersatu.  Masjid Ubudiah hendaklah dilindungi dalam keaslian yang dapat dipertahankan sebagai satu warisan; saiz dan reka bentuknya hendaklah dikekalkan dan sama sekali tidak diusik untuk tujuan membesarkannya, hingga boleh merosakkan keindahan asalnya.

 

  1. Satu perpuluhan kosong tiga bilion (1,025,300,000) ringgit diperuntukkan kepada negeri Perak, menerusi Rolling Plan pertama dan satu perpuluhan tiga bilion (1,297,350,000) ringgit menerusi Rolling Plan kedua, Rancangan Malaysia Kesebelas. Peruntukan tersebut membolehkan tiga ratus tiga puluh tujuh (337) projek dilaksanakan dalam Rolling Plan pertama dan dua ratus lapan puluh tujuh (287) projek dalam Rolling Plan kedua.  Sehingga Mac 2017,    enam ratus sembilan puluh sembilan juta (699,276,296) ringgit daripada peruntukan Rolling Plan Pertama dan tujuh puluh enam (75,994,468) juta ringgit daripada peruntukan Rolling Plan kedua, telah dibelanjakan oleh pelbagai agensi Persekutuan.

 

  1. Kerajaan mengambil tanggungjawab kewangan yang besar menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat. Sepanjang tahun 2016, perangkaan kemasukan pesakit  wad, di lima belas hospital Kementerian Kesihatan di Negeri Perak, termasuk Hospital Bahagia Ulu Kinta, melebihi dua ratus empat puluh lima ribu (245,367), meningkat empat peratus daripada tahun sebelumnya. Kedatangan pesakit luar mencecah angka lebih dua perpuluhan empat (2,417,749) juta meningkat tiga (2.47) peratus, daripada tahun 2015. Sementara itu tiga ratus enam puluh lima (365) klinik kesihatan, menerima empat perpuluhan empat juta (4,407,453) kedatangan pesakit luar.  Kedatangan pesakit ke Klinik Kesihatan Bergerak, meningkat lima puluh empat (53.8) peratus, daripada kedatangan enam puluh sembilan ribu (69,046) pada tahun 2015 kepada lebih seratus enam ribu (106,193) pada tahun 2016.  Bilangan pesakit yang bertambah dan kedatangan pesakit yang terus meningkat, melibatkan perbelanjaan kesihatan tinggi yang perlu ditanggung oleh kerajaan.  Untuk membantu mengurangkan tanggungan kewangan kerajaan, usaha mendidik rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dan usaha pencegahan penyakit amat penting diberikan tumpuan.

 

  1. Perancangan pembangunan wajib mengimbangkan hubungan manusia dengan alam sekitar. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:

 

“Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.”[13]

 

Pokok berfungsi menyerap dan menyimpan karbon dalam kitaran perubahan bagi menjamin kestabilan iklim. Kajian menunjukkan dua puluh dua batang pokok dewasa boleh membekalkan oksigen kepada seorang insan dewasa setiap hari; manakala kosong perpuluhan empat (0.405) hektar kawasan berhutan mampu membekalkan oksigen kepada lapan belas (18) orang setahun[14]. Setiap kawasan berhutan Negeri Perak mengandungi sekurang-kurangnya empat ratus (404) pokok[15].  Ini bermakna, sembilan ratus sembilan puluh lapan ribu (997,604.12) hektar kawasan Hutan Simpan Kekal di Negeri Perak, berupaya menghasilkan seratus lapan puluh satu ribu (181,364) tan metrik oksigen setahun, cukup untuk membekalkan oksigen kepada lebih tiga puluh juta (30) orang[16].

 

  1. Pada tahun 2013, Kerajaan Beta telah melancarkan ‘Kempen Tanaman Lima Juta Pokok’ dalam tempoh lima tahun. Sehingga Disember 2016, dua belas perpuluhan lima juta (12,439,456) pokok telah di tanam di seluruh negeri, melibatkan kawasan hampir tujuh ribu (6,862.25) hektar.  Kerajaan Beta komited dalam program restorasi landskap di persekitaran paya laut dan kawasan pesisir pantai bagi menghindar atau meminimumkan hakisan pantai dan mengurangkan risiko bencana tsunami.  Usaha telah dirintis sejak tahun 2005; sehingga Disember 2016, satu perpuluhan satu juta (1,128,105) pokok bakau dan spesies bersesuaian telah ditanam di kawasan seluas tiga ratus dua puluh empat (323.6) hektar paya laut dan persisiran pantai.  Tenaga Nasional Berhad dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia turut melancarkan program menanam seribu batang pokok bertujuan memupuk kesedaran rakyat untuk sama-sama menghargai alam sekitar dan mengambil tanggungjawab memuliharanya.  Program tersebut sewajarnya dijadikan contoh untuk diperluaskan di pelbagai peringkat, di setiap bandar, mukim dan kampung, di semua jabatan, di masjid dan rumah-rumah ibadat,  oleh pelbagai agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan. Dalam semangat melentur pada usia rebung, sekolah adalah institusi paling baik untuk menyemaikan kesedaran menghargai dan memulihara alam sekitar di kalangan pelajar; kawasan sekolah amat wajar dibangunkan dalam persekitaran taman, yang kaya dengan pelbagai pohon dan tumbuhan.

 

  1. Terdapat sebelas lembangan sungai utama di negeri Perak, meliputi kawasan seluas lapan puluh kilometer persegi. Sungai berperanan sebagai punca utama bekalan air yang dirawat untuk minuman. Mengambil kira lokasi kawasan industri, projek pembangunan, pembukaan tanah, perlombongan dan pembalakan, tiga puluh lima sungai, dikenal pasti terdedah kepada pencemaran yang tinggi.  Pemantauan menunjukkan, dua puluh empat sungai memiliki kategori bersih, sepuluh sungai berada pada status sedikit tercemar dan satu sungai berstatus tercemar.  Firman ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA, dalam Surah Ar-Rum ayat 41 bermaksud:

 

“Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat.”[17]

 

Rakyat sama-sama bertanggungjawab melindungi sungai daripada tercemar.  Kesedaran rakyat untuk tidak melakukan perbuatan yang boleh mencemari sungai, wajib disemaikan.

 

  1. Dianggarkan secara purata di negara ini, tiga puluh tiga ribu (33,000) tan metrik sisa pepejal dibuang setiap hari, menyamai dua belas juta (12,000,000) tan metrik setahun. Daripada jumlah tersebut, sembilan puluh lima peratus sisa pepejal berakhir di tapak pelupusan, dan hanya lima peratus yang diproses dan dikitari semula.  Jumlah buangan sisa pepejal di negeri Perak dalam tahun 2016, mencecah lebih lapan ratus enam puluh ribu (861,370.8) tan metrik, dua puluh peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya[18]. Jumlah buangan sisa pepejal yang terus bertambah, memerlukan Kerajaan Beta merancang secara serius, agar kegiatan kitar semula dimaksimumkan dan sisa lebihan diminimumkan.  Kesedaran terhadap kerosakan alam disebabkan oleh sisa bahan plastik, wajib diberikan perhatian, dan pengguna disedarkan untuk meminimumkan penggunaan beg-beg plastik.

 

  1. Projek jalan baharu sepanjang dua puluh empat perpuluhan lima (24.5) kilometer, menghubungkan Pos Bersih dengan Pos Tenau, di Daerah Muallim memberi manfaat kepada hampir dua ribu (1,853) penduduk Orang Asli dari segi kemudahan perhubungan, membawa kepada pemodenan kehidupan, selain mempermudahkan pelbagai urusan. Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, Sungai Siput, sekolah menengah harian pertama yang khusus dibina untuk pelajar Orang Asli, mula beroperasi pada September 2016, dengan dua ratus sembilan belas (219) pelajar perintis.

 

  1. Program pengantarabangsaan negeri Perak turut dianjurkan. Institut Darul Ridzuan melalui ‘Pangkor Dialogue 2016’, telah berjaya menarik penyertaan antarabangsa termasuk kehadiran beberapa pemimpin negara, manakala  Universiti Sultan Azlan Shah telah menganjurkan ‘World Conference On Islamic Thought and Civilization 2016’ bertemakan ‘Future World’ dengan penyertaan barisan ahli panel tersohor dari dalam dan luar negara.

 

  1. Kolej Universiti Sultan Azlan Shah telah dinaiktaraf berstatus universiti penuh berkuat kuasa 10 Jun 2016. Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berkembang pesat dan kini menawarkan tiga puluh empat program pengajian pelbagai peringkat.  Untuk memenuhi keperluan penempatan pelajar yang telah mencecah angka empat ribu empat ratus (4,392) orang, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, mengambil langkah, membiayai pembinaan apartmen lima tingkat, yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

 

  1. Dewan Belia Negeri Perak menyediakan platform membolehkan generasi muda bersuara secara bertanggungjawab lagi konstruktif. Perwakilan Dewan Belia Negeri Perak melakukan engagement secara proaktif dengan pelbagai agensi serta kelompok belia bagi membincangkan isu-isu semasa, merangkumi perumahan, peluang pekerjaan, pembangunan sukan dan pengurusan sisa pepejal.

 

  1. Gerakan pembudayaan sukan secara massa mendapat sambutan baik daripada segenap lapisan masyarakat. Negeri Perak mencapai jumlah sasaran penyertaan ‘Hari Sukan Negara’ tertinggi di Malaysia, mencatatkan pencapaian hampir seratus lima puluh (149) peratus dengan penyertaan lebih tujuh ratus tiga puluh ribu (730,239) peserta.  Kejayaan anak-anak negeri di persada sukan antarabangsa telah menjadi “role model” kepada generasi muda. Khairul Idham Pawi berjaya menaiki podium Moto GP dan Cheong Jun Hoong berjaya memperoleh pingat perak acara terjun Sukan Olimpik Rio.  Sukan berupaya menyatupadukan rakyat, terbukti apabila begitu ramai warga Malaysia, merentasi kaum, usia dan ikutan politik, terpaku di hadapan kaca televisyen, bersatu hati – bersatu impian – bersatu semangat, sama-sama memberikan sokongan untuk kejayaan pasukan regu dan perseorangan negara, semasa siaran langsung pertandingan akhir badminton di Olimpik Rio.

 

  1. Kerajaan Beta dan Kerajaan Persekutuan menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan berpendapatan rendah bertujuan meringankan beban perbelanjaan mereka. Pada tahun 2016 hampir tiga puluh lapan ribu (37,863) orang menerima bantuan kebajikan melibatkan peruntukan, seratus dua puluh enam juta (125,995,640) ringgit. Dalam hasrat membantu rakyat berpendapatan rendah, Kerajaan Beta memperkenalkan Rumah Amanjaya Satu[19] berharga empat puluh dua ribu (42,000) ringgit dan Rumah Amanjaya Dua[20] berharga tujuh puluh ribu (70,000) ringgit.  Dalam tahun 2016, seribu dua ratus lima puluh lapan (1,258) buah rumah telah dibina.  Untuk menggalakkan lagi pembinaan rumah kos rendah, Kerajaan Beta melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak, telah memperkenalkan pelbagai insentif dan mengecualikan pelbagai caj.  Adalah menjadi hasrat Kerajaan Beta untuk melihat pemaju swasta lebih ke hadapan mengimbangkan matlamat perniagaan dengan tanggungjawab sosial terhadap rakyat, dengan membina lebih banyak rumah mampu milik daripada lebih tertumpu membina rumah mewah, apatah lagi, jika rumah mewah tersebut dibina untuk dijual kepada bukan rakyat negara ini.

 

  1. Ancaman terhadap ketenteraman awam dan keamanan negara berlaku dalam berbagai bentuk. Dalam negara yang memiliki warga terdiri daripada pelbagai latar belakang, ketenteraman awam dan keamanan negara boleh terjejas disebabkan faktor-faktor agama, kaum dan budaya.  Isu-isu agama, kaum dan budaya yang dieksploitasi bagi kepentingan politik kepartian jangka pendek, ibarat api yang membara di dalam sekam, berpotensi mencetus permusuhan dan meluap kemarahan dikalangan warga.

 

  1. Penularan pelbagai aliran pemikiran konvensional dan baharu yang menongkah arus pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan satu cabaran yang bakal merungkai pegangan akidah dan boleh memporak-perandakan ummah. Ulama dan cendekiawan Islam hendaklah mencari titik pertemuan dan kata sepakat menangani isu berkaitan daripada berlarutan.  Dalam matlamat mahu mencari titik pertemuan, perbincangan  yang dirintis, lebih bijaksana dilakukan dalam semangat permuafakatan secara halus dan di belakang tabir, daripada digembar-gembur di khalayak ramai, disebabkan masing-masing mahu menegakkan kebenaran hingga mengakibatkan umat keliru.

 

  1. Setiap agama menyeru kepada perdamaian dan keamanan, menyemai rasa keinsanan dan kemanusiaan, melarang permusuhan, mencegah pembunuhan. Kini ada rakyat yang telah terpengaruh dengan fahaman-fahaman ekstremis, hingga ke peringkat bersedia menyertai kumpulan militan, sanggup meninggalkan tanah air, dan ada yang telah terkorban di negara orang. Polis Diraja Malaysia telah melakukan beberapa tangkapan.  Namun tangkapan tidak menjamin masalah telah selesai, kalau punca masalah gagal difahami secara mendalam.  Untuk membolehkan langkah-langkah menangani yang lebih komprehensif dapat difikirkan, amatlah penting diperhalusi, faktor-faktor yang telah berupaya memesong pemikiran anak-anak muda, sehingga hilang pertimbangan rasional, lalu memilih menyertai kumpulan-kumpulan militan.

 

  1. Walaupun menghadapi suasana dunia dan negara yang semakin mencabar, Kerajaan Beta telah berjaya mengurus tadbir negeri sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan rakyat. Masih banyak yang perlu dilakukan dan masih banyak yang boleh dilakukan melalui kerjasama dan persepakatan yang wajib terus dipupuk di antara rakyat dan kerajaan.  Beta menzahirkan penghargaan atas kejayaan Kerajaan Beta di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd. Kadir,  melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada Negeri Perak Darul Ridzuan.  Beta menghargai peranan ahli-ahli Dewan Negeri, ahli-ahli Dewan Negara, Orang Besar Negeri, anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Pegawai Majlis Agama dan Pentadbir Agama Islam, Penghulu, Imam dan Pegawai Masjid, pemimpin-pemimpin agama, kaum dan masyarakat,  badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, badan-badan sukan, pertubuhan-pertubuhan belia, tidak ketinggalan pihak swasta yang saling bekerjasama melaksanakan tanggung jawab, memenuhi amanah untuk membangun dan memajukan negeri.

 

  1. Semoga ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada negeri dan rakyat negeri Perak Darul Ridzuan. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ketiga Belas.

[1] Bank Negara Malaysia (BNM), Laporan Tahunan 2016, Perutusan Gabenor.

[2] Ibid.

[3] Bank Negara Malaysia, Laporan Tahunan 2016, 3.

[4] Ibid, 4.

[5] Ibid.

[6] Ibid.

[7] Ibid.

[8] Ibid, Perutusan Gabenor.

[9] Al-Quran, Surah An-Naml (27:36)

[10] Al-Quran, Surah Ali-Imran (3:104)

[11] Al-Quran, Surah Al-Qasas (28:26)

[12] Maklumat dari Suara Perak berjudul Taman Eko Rimba Kledang Saiong terbitan 18 Julai 2016

[13] Hadis Riwayat Muslim

[14] Sumber dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

[15] Sumber dari Panduan Teknikal Inventori Hutan Nasional Kelima (IHN-5), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia

[16] Sumber dari Jabatan Lanskap Malaysia, 2008

[17] Al Quran (30:41)

[18] Data Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malasysia.

[19] Berkeluasan 750kps

[20] Berkeluasan 860kps

%d bloggers like this: