PERASMIAN MESYUARAT PERTAMA TAHUN KEEMPAT DEWAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN KEEMPAT BELAS

TITAH DIRAJA

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

IBNI

ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH

AL-MAGHFUR-LAH

PERASMIAN

MESYUARAT PERTAMA

TAHUN KEEMPAT

DEWAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

KEEMPAT BELAS

TARIKH: 25 OGOS 2021 (RABU)

MASA: 10.30 PAGI

TEMPAT: DEWAN NEGERI

BANGUNAN PERAK DARUL RIDZUAN

IPOH, PERAK DARUL RIDZUAN

Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris

Yang Dipertua Dewan Negeri,

  1. Alhamdulillah, dengan penentuan Ilahi, Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas dapat dilangsungkan meskipun menghadapi penangguhan disebabkan Proklamasi Darurat yang meletakkan negara berada dalam darurat antara 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021.  Dalam negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen, Dewan Negeri sebagai sebuah badan perundangan, berperanan penting untuk mengukuhkan amalan demokrasi, juga untuk mengimbangi peranan cabang eksekutif, terutama untuk menyemak, membahaskan dan meluluskan perbelanjaan negeri.  Dewan ini juga merupakan tempat yang membolehkan rintihan rakyat didengari melalui suara ahli-ahli dewan yang telah dipilih dan mendapat mandat rakyat semasa berlangsungnya pilihan raya.     
  • Pada akhir tahun 2019, dunia dikejutkan dengan penemuan virus COVID-19.  Virus COVID-19 mencetuskan pandemik global; mencatat dua ratus dua belas juta (212,357,898) angka jangkitan dan empat perpuluhan empat juta (4,439,843) angka kematian sehingga 24 Ogos 2021.  Kes jangkitan pada tarikh yang sama di negara kita mencecah satu perpuluhan enam juta  (1,593,602) dengan 14,553 bilangan kematian, sementara 59,977 kes kumulatif positif COVID-19 dicatat berlaku di Negeri Perak, dengan 418 angka kumulatif kematian. 
  • Wabak COVID-19 memberi impak besar kepada kelangsungan hidup penduduk dunia.  Pada tahun 2020, ekonomi Malaysia mengalami penyusutan lima perpuluhan enam (5.6) peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), merekodkan pertumbuhan ekonomi kedua terendah selepas krisis kewangan 1998.  Kesemua negeri mencatat pertumbuhan negatif pada tahun 2020; namun lapan buah negeri merekodkan kadar pertumbuhan lebih baik berbanding penyusutan peringkat nasional; dan Negeri Perak yang mengalami penguncupan dua perpuluhan tiga (2.3) peratus, merekodkan pencapaian ekonomi di kedudukan kelima dalam senarai negeri di Malaysia.  Sektor pembuatan dan sektor pertanian, masing-masing mencatat pertumbuhan tiga perpuluhan lima (3.5) peratus dan satu perpuluhan empat (1.4) peratus, merupakan dua sektor yang memberikan sumbangan positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
  • Di sebalik menghadapi krisis kesihatan yang membawa kesan luar jangka, sembilan ratus lapan puluh tiga perpuluhan lima juta (983,527,286.74) ringgit hasil, berjaya diperoleh pada tahun 2020, pencapaian sembilan puluh tiga (93) peratus berbanding sasaran; ditambah terimaan pembangunan tiga puluh enam perpuluhan dua juta (36,185,656.30) ringgit; menjadikan jumlah keseluruhan hasil dan terimaan pembangunan, mencecah satu perpuluhan kosong dua bilion (1,019,712,943.04) ringgit.  Hampir satu perpuluhan satu bilion (1,097,085,124.50) ringgit telah dibelanjakan; pencapaian sembilan puluh satu (91) peratus berbanding sasaran.  Berlaku pengurangan belanja mengurus pada tahun 2020 disebabkan penyusunan semula perbelanjaan mengikut keutamaan serta penangguhan beberapa inisiatif, program dan acara rasmi kerajaan.  Dalam usaha mahu membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik, berlaku lebihan belanja pembangunan untuk membiayai pelbagai inisiatif kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE).  Kerajaan Beta menutup akaun semasa tahun 2020 dengan defisit tujuh puluh tujuh perpuluhan empat juta (77,372,181.46) ringgit yang ditampung daripada sumber rizab.
  • Pandemik COVID-19 turut memberi kesan terhadap kutipan hasil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).  Secara keseluruhan, hasil PBT tahun 2020 menurun dua ratus lima puluh tujuh (256.74) juta ringgit, bersamaan dua puluh (20.2) peratus berbanding hasil tahun 2019.  Majlis Perbandaran Kuala Kangsar mengalami hampir lima puluh lapan (58) peratus penurunan hasil, berjumlah seratus enam puluh empat (164) juta ringgit, merupakan PBT yang mengalami penurunan hasil paling ketara; sementara Majlis Daerah Perak Tengah mengalami enam puluh satu (61) peratus penurunan hasil berjumlah empat puluh lapan (47.84) juta ringgit.  Walaupun kemudahan-kemudahan seperti stadium dan dewan tidak mendatangkan hasil kerana tidak digunakan, namun PBT masih perlu menanggung pelbagai kos penyenggaraan.  Di samping menghadapi hasil yang terjejas, PBT diperlukan pula menampung pelbagai perbelanjaan tambahan kerana anggota-anggota PBT turut terlibat sebagai petugas barisan hadapan.
  • Rancangan Malaysia Kesebelas (RM ke-11) telah pun berakhir pada penghujung tahun 2020.  Sepanjang tempoh pelaksanaan, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih lapan bilion (8,063,107,728.52) ringgit ke Negeri Perak.  Daripada jumlah peruntukan tersebut, tujuh perpuluhan lima bilion (7,544,114,568.82) ringgit, bersamaan sembilan puluh empat (94) peratus telah dibelanjakan.  Daripada lima ratus lima puluh enam (556) projek yang diluluskan, dua ratus lima puluh lapan (258) projek berjaya disiapkan, dua ratus sembilan puluh enam (296) projek masih dalam peringkat pelaksanaan untuk disambung ke Rancangan Malaysia kedua belas, manakala dua projek, iaitu kajian kemungkinan projek menaik taraf Padang Terbang Stolport Gerik dan perolehan tapak Balai Bomba dan Penyelamat Sungkai, dibatalkan.

Yang Dipertua Dewan Negeri,

  • Memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat akibat pandemik COVID-19, Kerajaan Beta telah melaksanakan pelbagai Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dan inisiatif bantuan berjumlah dua ratus juta (200,060,777.48) ringgit; peruntukan seratus tiga puluh juta (129,907,586.00) ringgit pada tahun 2020, dan tujuh puluh juta (70,153,191.48) ringgit dalam tahun 2021.  Sektor kebajikan awam dan kesihatan mendapat peruntukan terbesar, berjumlah enam puluh tiga juta (63,162,923.00) ringgit sementara peruntukan kedua terbesar berjumlah empat puluh enam juta (46,372,006.00) ringgit disediakan untuk bantuan kepada penjaja, peniaga kecil dan usahawan.  Memandangkan masih belum ada kepastian tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berakhir, Kerajaan Beta sedang meneliti keperluan melakukan penjajaran selanjutnya untuk menampan impak negatif dalam hasrat membantu golongan rentan, memastikan kelangsungan perniagaan dan seterusnya membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi. 
  • Kerajaan Persekutuan pula memberikan peruntukan perbelanjaan operasi barisan hadapan kepada pelbagai agensi Persekutuan, merangkumi Jabatan Kesihatan, Polis Diraja, Angkatan Tentera, RELA, Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Keselamatan Negara.  Enam puluh empat perpuluhan lapan juta (64,819,444.62) ringgit diperuntukkan dalam tahun 2020; empat puluh lapan peratus daripada jumlah tersebut, berjumlah hampir tiga puluh dua juta (31,685,555.00) ringgit diperuntukkan ke Jabatan Kesihatan Negeri.  Untuk tahun semasa, sehingga Jun 2021, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan tiga puluh sembilan juta (39,251,323.00) ringgit untuk perbelanjaan operasi barisan hadapan; empat puluh dua peratus daripada peruntukan tersebut berjumlah enam belas juta (16,303,117.20) ringgit diperuntukkan ke Jabatan Kesihatan.
  • Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) turut menyediakan dana khas dari sumber zakat berjumlah hampir dua puluh tujuh juta (26,556,000.00) ringgit; dua belas juta (11,950,000.00) ringgit pada tahun 2020, dan lima belas juta (14,606,000.00) ringgit pada tahun 2021, membiayai pelbagai pakej bantuan kepada golongan sasar, antaranya bantuan kos operasi pusat jagaan anak yatim, rumah orang tua dan warga emas; bantuan kebajikan pelajar dalam dan luar negeri, bantuan kecemasan kelangsungan hidup, sumbangan ke pusat gelandangan dan petugas barisan hadapan, serta tajaan peralatan kesihatan dan perubatan.  Kerajaan Beta juga pada tahun 2020 telah meluluskan bantuan dua juta (2,240,000.00) ringgit kepada lapan ratus sembilan puluh enam (896) institusi pendidikan di bawah Jabatan Agama Islam bagi pembelian peralatan kesihatan dan nyah kuman.
  1. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak terkecuali berperanan aktif memenuhi pelbagai peranan.  Sehingga Julai 2021, dua ratus lima puluh empat (254) NGO berganding bahu memberikan sumbangan kepada  seratus lima puluh empat ribu (154,353) individu dengan sumbangan berjumlah hampir empat juta (3,918,590.00) ringgit.  Golongan belia bergerak aktif mewujudkan sukarelawan perkhidmatan bukan kesihatan, berperanan sebagai pemudah cara membantu petugas barisan hadapan di pusat-pusat pemberian vaksin.  Pasukan sukarelawan yang ditubuhkan menjadi platform membolehkan belia membantu kerajaan dalam program imunisasi kebangsaan di peringkat akar umbi.  Pada masa yang sama, para belia terlibat aktif mewujudkan kumpulan sukarelawan gelembung sukan (sports bubble volunteer), berperanan memantau kelancaran serta panduan keselamatan dan pematuhan prosedur operasi standard ketika penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi.

Yang Dipertua Dewan Negeri,

  1. Warga pendidik, murid, ibu bapa dan pelbagai pihak yang terlibat langsung dengan pendidikan, menghadapi ujian dan cabaran berat.  Pandemik turut mengubah landskap pendidikan ke arah andragogi dan pedagogi secara digital.  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan penutupan sekolah dan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), menggantikan sesi pembelajaran secara bersemuka. Hampir tiga ratus ribu (298,318) pelajar bersamaan sembilan puluh lima (95) peratus murid di kawasan bandar dan enam puluh empat ribu (64,001) pelajar bersamaan sembilan puluh tujuh (97) peratus di kawasan luar bandar telah mengikuti norma baharu pembelajaran secara PdPR.  Selain kaedah atas talian, PdPR juga dilaksanakan secara luar talian atau luar kawasan sekolah mengikut kesesuaian kemudahan pembelajaran guru dan pelajar.  Sepanjang tahun 2020, hanya seratus empat puluh hari persekolahan dapat beroperasi secara bersemuka, sementara PdPR diperkenalkan untuk lapan puluh tiga baki hari persekolahan.  Peperiksaan awam,  Sijil Pelajaran, Sijil Vokasional, Sijil Tinggi Agama dan Sijil Tinggi Persekolahan terpaksa ditunda selama empat bulan; sementara Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa ditunda hampir lapan bulan.  Beta menzahirkan penghargaan kepada warga pendidikan yang telah merintis segala usaha untuk memastikan murid-murid yang diamanahkan tanggungjawab ke atas bahu mereka, dapat diilmukan sebaik mungkin.         
  1. Perangkaan keseluruhan jenayah indeks kekerasan dan harta benda dalam tahun 2020 menunjukkan penurunan tiga puluh satu (31) peratus; menurun dari empat ribu sembilan ratus (4,911) kes pada tahun 2019 kepada tiga ribu empat ratus (3,388) kes pada tahun 2020.  Jumlah tangkapan penagih dadah turut menunjukkan penurunan dari tiga ratus dua puluh tiga (323) orang dalam tahun 2019 kepada enam puluh (60) orang dalam tahun 2020.  Penurunan angka jenayah ini mungkin dipengaruhi oleh Perintah Kawalan Pergerakan.  Meskipun terdapat penurunan jenayah indeks, beban tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM), ditambah dengan tanggungjawab tugas-tugas barisan hadapan untuk menguatkuasakan arahan-arahan Perintah Kawalan Pergerakan.  Di samping Polis Diraja, agensi-agensi keselamatan lain, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, RELA, dan Angkatan Pertahanan Awam turut terlibat aktif bertugas melaksanakan pelbagai tugas barisan hadapan.
  1. Sektor pelancongan antara sektor terjejas teruk, menerima impak negatif yang besar dan sekali gus memberi kesan signifikan kepada operasi sektor sokongan berkaitan pelancongan terutamanya industri perhotelan dan penginapan, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.  Data Persatuan Hotel Malaysia Negeri Perak menunjukkan trend penurunan kadar penginapan dari lima puluh tujuh (57) peratus pada tahun 2019 kepada tiga puluh lima (35) peratus pada tahun 2020, sementara kadar penginapan purata menunjukkan trend penurunan dari empat puluh empat peratus (44) dalam tahun 2019 kepada dua puluh enam (26) peratus dalam tahun 2020.  Sebuah hotel telah ditutup pada tahun 2020, mengakibatkan pemberhentian seratus lapan puluh (180) pekerja; enam puluh lima buah hotel ditutup sementara, memberi kesan kepada seribu seratus lima belas (1,115) pekerja.
  1. Penggunaan homestay Negeri Perak yang mencatatkan pertumbuhan positif tiga tahun berturut-turut pada tahun-tahun 2016, 2017 dan 2018 telah mendorong ramai pihak, melabur dan mencebur diri dalam subsektor tersebut.  Akibat kawalan pergerakan, penggunaan homestay mencatatkan penurunan pengunjung dari lima belas ribu (15,206) dalam tahun 2019 kepada empat ratus lima puluh empat (454) dalam tahun 2020, penurunan sembilan puluh tujuh peratus.  Hasil terimaan hampir satu juta (961,060.30) ringgit yang direkodkan dalam tahun 2019, turun kepada tiga puluh satu ribu (31,324.00) ringgit dalam tahun 2020.
  2. Usaha-usaha giat dirintis untuk membantu sektor pelancongan.  Tourism Perak telah merangka pelbagai inisiatif pelan pemulihan sektor pelancongan, antaranya, aktiviti promosi secara atas talian, seminar secara langsung, pertandingan berkonsepkan pelancongan, sesi libat urus, geran sokongan pelancongan, seni dan budaya bersama Tourism Malaysia serta penganjuran padanan perniagaan secara maya.  Tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan dan status semasa penularan wabak, Tourism Perak turut merancang beberapa acara secara kehadiran fizikal pada penghujung tahun 2021.
  1. Keadaan keselamatan makanan dunia semakin kritikal.  Program Makanan Sedunia (World Food Program) memberi amaran, daripada angka dua puluh tujuh juta orang yang diancam risiko kebuluran pada tahun 2019, kini telah meningkat kepada empat puluh satu juta orang, di empat puluh tiga buah negara.  Peningkatan risiko kebuluran didorong oleh kenaikan harga barang makanan penting, ditambah dengan konflik, perubahan iklim dan masalah ekonomi, diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19.  Kebuluran paling teruk akibat ancaman COVID-19 dan peperangan, sedang dialami di empat buah negara, Ethiopia, Madagascar, Sudan Selatan dan Yaman, melibatkan hampir enam ratus ribu orang.  Pra sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berlangsung di Rom, pada bulan Julai lalu, menyuarakan kebimbangan, disebabkan ancaman COVID-19 yang mengekang kegiatan pertanian, berkemungkinan menyebabkan negara-negara pengeluar, mengurangkan eksport makanan kerana lebih mengutamakan keperluan domestik.  Setiap negara wajib memikirkan langkah-langkah strategik untuk menghadapi segala kemungkinan dalam suasana wabak COVID-19 terus merebak.  Kerajaan Beta perlu memberikan perhatian serius terhadap ancaman keselamatan bekalan makanan dengan mengaktifkan sektor-sektor pertanian, ternakan dan perikanan.  Sektor-sektor pertanian, ternakan dan perikanan amat perlu diperkenalkan dengan budaya kerja dan budaya pengeluaran baharu, dengan menyuntik kaedah-kaedah dan mekanisme moden supaya produktiviti bahan makanan dapat segera ditingkatkan.  Program melahirkan petani, penternak dan nelayan moden wajib diberikan keutamaan.    

Yang Dipertua Dewan Negeri,

  1. Hasrat untuk membangunkan negeri dengan lebih pesat bergantung kepada kekuatan sumber kewangan kerajaan.  Usaha meningkatkan hasil negeri dengan mengenal pasti sumber hasil baharu oleh sektor-sektor berpotensi terus dirintis.  Dianggarkan dalam perut bumi Negeri Perak terkandung satu perpuluhan tujuh juta (1,687,500) tan sumber nadir bumi bukan radioaktif (non-radioactive rare earth element-NR-REE).  Sumber NR-REE, merupakan mineral terpenting pada masa kini dan masa hadapan kerana digunakan secara meluas dalam pelbagai industri teknologi tinggi,  industri perubatan dan industri pertahanan.  Kerajaan Beta telah memulakan projek perintis perlombongan NR-REE di atas tanah seluas dua ratus empat belas (213.8) hektar.  Pada masa yang sama, Kerajaan Beta mengambil pendirian sangat berhati-hati dan tidak akan bersifat gopoh untuk melonjak terlalu cepat, meluluskan lesen melombong NR-REE secara besar-besaran.
  1. Pengalaman kerosakan muka bumi yang ditinggalkan, dan harga yang perlu dibayar oleh negeri dan rakyat pasca aktiviti perlombongan bijih timah, wajib dijadikan sebesar-besar pengajaran.  Faktor kesihatan, faktor keselamatan, faktor alam sekitar dan manfaat jangka panjang negeri dan rakyat wajib diutamakan dan tidak boleh dikorbankan.  Pada masa yang sama Negeri Perak tidak wajar berpuas hati berperanan semata-mata sebagai pengeluar bahan mentah; di sebaliknya pengeluaran bahan mentah hendaklah dilengkapi dengan aktiviti hiliran agar bahan mentah yang dilombong, dilengkapi dengan nilai tambah, yang dapat memberikan pulangan hasil yang lebih bermakna dan membuka peluang kerja aras tinggi kepada rakyat tempatan.  Berasaskan pendirian tersebut, Perbadanan Menteri Besar Perak telah mengorak langkah meneroka ruang menjalinkan kerjasama dengan saintis dan pakar untuk menjalankan penyelidikan ke atas mineral yang baru ditemui ini; sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak merintis usaha untuk membantu membangunkan industri pertengahan dan industri hiliran.
  1. Air ialah khazanah alam yang tidak ternilai dan merupakan sumber penting kepada kehidupan manusia dan penjanaan pelbagai sektor ekonomi.  Di Negeri Perak terdapat sebelas lembangan sungai utama; Lembangan Sungai Perak adalah lembangan sungai terbesar yang meliputi keluasan hampir lima belas ribu (14,908) kilometer persegi, menyamai tujuh puluh peratus keluasan lembangan sungai utama Negeri Perak, dan merupakan lembangan sungai kedua terbesar di Semenanjung Malaysia.  Berdasarkan laporan Indeks Kualiti Air tahun 2020 terbitan Jabatan Alam Sekitar, Sungai Tapah diiktiraf sebagai sungai terbersih di Malaysia; di samping itu, Sungai Licin, Sungai Nyior dan Sungai Manong, diiktiraf antara sepuluh sungai terbersih dalam negara. Kebersihan sungai hendaklah diutamakan.  Tanggungjawab memelihara kebersihan sungai ialah tanggungjawab semua pihak.  Masjid, surau, sekolah, badan-badan belia dan persatuan-persatuan penduduk hendaklah mendidik setiap rakyat, bermula daripada usia kanak-kanak untuk tidak mencemari sungai dengan langkah kecil dan langkah permulaan,  tidak membuang sampah ke dalam longkang, parit dan sungai.
  • Sepanjang tahun 2020, Jabatan Alam Sekitar melaksanakan hampir lima ribu (4,937) pemeriksaan di hampir dua ribu lima ratus (2,465) premis, merangkumi sektor industri, pertanian, ladang hutan, kuari, loji kumbahan, juga projek-projek pembangunan, yang berpotensi mencetuskan pencemaran alam sekitar.  Tiga ribu empat ratus (3,358) kompaun dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan pelanggaran perundangan alam sekitar, dan seratus satu (101) kertas siasatan dibuka untuk diambil tindakan perundangan di mahkamah.  Sembilan belas premis dikenakan sitaan peralatan, dan tujuh premis dikenakan perintah larangan beroperasi.  Data pada tahun 2020, menunjukkan ramai operator dan pengusaha kurang memberi keutamaan kepada komponen alam sekitar.  Langkah-langkah pemantauan dan kuat kuasa amat perlu ditingkatkan agar mesej yang jelas disampaikan kepada semua pihak untuk tidak mengkompromikan faktor alam sekitar.     
  • Negeri Perak mempunyai tanah Rizab Melayu yang kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan keluasan sembilan ratus lima puluh tiga ribu (953,075.55) hektar.  Keluasan ini meliputi empat puluh lima peratus daripada keluasan keseluruhan negeri Perak.  Sepanjang tempoh selepas kemerdekaan, seluas lima belas ribu (14,960.23) hektar Tanah Rizab Melayu di Negeri Perak telah dibatalkan, tetapi telah digantikan semula dengan jumlah yang lebih tinggi, iaitu seluas dua puluh tujuh ribu (27,255.92) hektar.  Data ini menunjukkan komitmen Kerajaan Beta mahu mencapai sasaran lima puluh peratus tanah Rizab Melayu selaras dengan hasrat untuk menjunjung salah satu daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu.

Yang Dipertua Dewan Negeri,

  • Islam ialah agama yang mendasari segala aspek kehidupan seiring dalam apa jua perubahan keadaan dan peredaran zaman.  Norma baharu kaedah beribadah ketika menghadapi pandemik, merupakan salah satu contoh yang menggambarkan agama Islam amat memahami realiti suasana tanpa menafikan kesempurnaan pelaksanaan ibadah seseorang hamba. Pendekatan maqasid syariah, konsep darurat, fiqah al-awlawiyat dan seumpamanya yang berlandaskan kerangka syariat melalui Al-Quran dan As-Sunnah menjadi ukuran dan pertimbangan, demi menjamin kemaslahatan serta menolak sebarang bentuk fasad yang sangat bertentangan dengan prinsip Ilahi.  ALLAH Subhanahu Wata’ala berfirman yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu menjatuhkan diri mu sendiri ke dalam kebinasaan.”

(Al-Quran, [Al-Baqarah, 2:195].)

  • Penerimaan terhadap perubahan kaedah beribadah ini dapat dihayati melalui interaksi ilmu agar wujud kefahaman yang hakiki supaya tidak timbul salah faham mengenai Islam sehingga boleh merosakkan kredibiliti agama.

Yang Dipertua Dewan Negeri,

  • Virus COVID-19 mencetuskan medan tempur baharu, kehidupan alam kini menghadapi serangan musuh biologi.  Wabak COVID-19 akan terus berada dalam kalangan dan persekitaran kehidupan alam.  Virus ini masih muda dan baharu, namun telah menunjukkan daya lawan dan daya tahan tersendiri, berkeupayaan bermutasi, menghasilkan pelbagai varian baharu untuk mengatasi vaksin ciptaan manusia.  Pertembungan vaksin dan virus akan berterusan sehingga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan kebijaksanaan akal manusia berupaya mengatasi daya lawan dan daya tahan virus ini.  Vaksinasi merupakan inisiatif pencegahan.  Imunisasi merupakan perisai pertahanan untuk meningkatkan daya imuniti.   Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan merupakan langkah semasa dilaksanakan secara besar-besaran untuk meningkatkan daya tahan rakyat menghadapi ancaman virus.  Sehingga 24 Ogos 2021, sejumlah satu perpuluhan   satu   juta (1,118,358)  orang   telah menerima dos pertama, dan hampir lapan ratus ribu  (797,317) orang  telah   lengkap   menerima dos  kedua,  merupakan   empat   puluh   dua    perpuluhan lapan  (42.8) peratus daripada jumlah                                                                      populasi dewasa Negeri Perak.  Kerajaan Beta sedang mengusahakan inisiatif untuk mencapai kadar imunisasi kelompok dengan mempercepatkan program vaksinasi.  Program pemberian vaksin juga dipertingkatkan dan ditambah baik melalui program jangkauan, menggerakkan pasukan khas ke lokasi pedalaman, mendekati dan menyantuni masyarakat di luar bandar dan masyarakat Orang Asli. 
  • Di samping bekalan vaksin yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak melalui anak syarikatnya Majuperak Holdings Berhad dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Ar-Ridzuan telah merintis program pelengkap, SilverVax, menawarkan program vaksinasi berbayar yang ditanggung oleh majikan.  Program vaksinasi berbayar ini diperkenalkan di Negeri Perak mulai 2 Ogos 2021, telah mendapat sambutan daripada para majikan yang berhasrat mahu mempercepatkan semua pekerja mereka mendapat vaksinasi agar tercapai sasaran imuniti kelompok yang memberikan rasa selamat kepada majikan, pekerja dan pelanggan.
  • Para doktor, jururawat, petugas kesihatan dan perubatan, pemandu ambulans, pemandu kereta jenazah dan penggali kubur serta pengurus rumah-rumah jenazah tiba-tiba dilanda tanggungjawab berat di luar jangka, berada di barisan paling hadapan, menghadapi risiko jangkitan paling tinggi; satu beban tanggungjawab yang mereka tidak pernah terbayang perlu dihadapi oleh profesion masing-masing.  Begitu juga risiko besar yang dihadapi oleh penghantar makanan, petugas-petugas di kedai runcit, di pasar raya dan di farmasi; para pengendali pengangkutan awam, para anggota pasukan keselamatan dan agensi-agensi berkaitan, serta pegawai-pegawai awam di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang mengendalikan pelbagai perkhidmatan penting.  Mereka telah melaksanakan satu tugas fardu kifayah yang wajib dihargai.  Semoga Allah Subhanahu Wata’ala menganugerahkan khidmat dan pengorbanan mereka dengan sebesar-besar ganjaran.  Sebagai tanda apresiasi kita kepada setiap seorang petugas di barisan hadapan serta ahli keluarga mereka, marilah kita sama-sama berdiri dan memberikan mereka satu tepukan penghargaan.
  • Semasa berlangsungnya Istiadat Pelantikan ahli Dewan Negeri Kota Tampan sebagai Menteri Besar Perak, Beta telah menzahirkan titah agar kerajaan Beta merintis jalan meminimumkan perselisihan politik.  Demi kepentingan rakyat, agenda kemakmuran ekonomi, agenda pembangunan negeri dan agenda kesejahteraan sosial wajib diutamakan.  Menyahut titah tersebut, Yang Amat Berhormat Menteri Besar ketika membentangkan belanjawan 2021, telah mengumumkan peruntukan saksama untuk kesemua lima puluh sembilan (59) orang ahli Dewan Negeri, tanpa sebarang diskriminasi sama ada ahli Dewan dari parti pembangkang atau parti pemerintah.  Semua ahli Dewan juga dijemput hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Kumpulan Fokus Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.  Langkah tersebut telah memungkinkan semua ahli Dewan mengambil bahagian secara langsung lagi membina, untuk mencari formula memenuhi keperluan rakyat secara lebih berkesan – lebih bermakna.  Langkah yang dirintis oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar merupakan langkah berani, memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran negeri.  Langkah tersebut mungkin satu langkah permulaan yang kecil, tetapi langkah kecil ini jika terus disuburkan, akan membantu melonjakkan budaya politik baharu aras tinggi yang kurang berkonfrontasi sifatnya.  Setiap ahli Dewan hendaklah menyambut langkah tersebut dengan menunjukkan sikap timbal balik yang menghargai budaya baharu ini dengan mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi, saling bekerjasama – saling menghormati – saling membantu usaha-usaha yang dilaksanakan untuk kepentingan negeri dan kepentingan rakyat; di samping sama-sama berusaha memupuk semangat perpaduan dan semangat kewarganegaraan antara rakyat berbilang kaum yang menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.
  • Beta menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ahli-ahli Dewan Negara, ahli-ahli Dewan Negeri, pegawai-pegawai awam kerajaan di semua peringkat, anggota pasukan keselamatan, badan-badan berkanun, pihak swasta, ahli-ahli Majlis Kerajaan Tempatan, para pegawai masjid, pemimpin-pemimpin agama, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, anggota Rukun Tetangga, serta badan-badan sukarela, badan-badan kebudayaan, belia dan sukan yang telah berganding bahu, bekerjasama untuk membangunkan negeri Perak Darul Ridzuan.
  • Semoga Negeri Perak Darul Ridzuan dilimpahi keamanan dan kemakmuran, serta rakyatnya terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan taufik dan hidayah.
  • Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, Beta merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas.
%d bloggers like this: