Yang Dipertua Dewan Negeri
- Perasmian Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas, berlangsung dalam suasana di luar norma. Perasmian Dewan kali ini, pertama kali berlangsung dalam bulan Ramadan. Istiadat perasmian diringkaskan, dan tempoh mesyuarat dipendekkan, sekadar memenuhi keperluan asas perlembagaan dan perundangan; kehadiran petugas, begitu juga pemerhati turut dihadkan seminimum yang mungkin dalam suasana dunia sedang menghadapi ancaman penularan virus Covid-19.
- Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Keempat Belas, turut menyaksikan perubahan susunan tempat duduk sebahagian besar ahli-ahli Dewan. Susulan berlakunya polemik politik pada awal tahun ini, kerajaan yang mendapat perkenan Beta dibentuk pasca pilihan raya umum keempat belas, hasil persepakatan ahli-ahli Dewan yang mewakili Democratic Action Party (DAP), Parti Amanah Nasional (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berserta sokongan dua orang Ahli Dewan Negeri (ADUN), untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang diberikan identifikasi, Pakatan Harapan, telah kehilangan majoriti. Ahli Dewan Negeri Chenderiang yang telah Beta perkenan mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak, telah menyembahkan warkah peletakan jawatan pada 10 Mac 2020. Perkenan Beta menerima peletakan jawatan Ahli Dewan Negeri Chenderiang sebagai Menteri Besar, mengakibatkan Kerajaan yang Beta perkenan dibentuk pada 12 Mei 2018, dengan sendirinya bubar.
- Beta menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang terdiri daripada ahli-ahli Dewan yang mewakili Pakatan Harapan, yang masing-masing telah berusaha sedaya mungkin memberikan khidmat terbaik, selama tempoh 22 bulan menjunjung amanah Beta dan memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat.
- Pada 10 Mac juga, Beta turut menerima menghadap tiga orang ketua parti politik peringkat negeri, yang mewakili United Malay National Organisation (UMNO), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), memaklumkan bahawa ketiga-tiga parti telah mencapai persepakatan untuk menubuhkan kerajaan baharu di Negeri Perak. Berpandukan Perkara XVI (2)-(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, pada timbangan Beta, Ahli Dewan Negeri Chenderiang mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri, dan Beta telah memberi perkenan untuk beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak pada 13 Mac 2020. Selanjutnya tujuh ahli Dewan Negeri mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 31 Mac 2020, dan tiga orang lagi telah Beta perkenan mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan pada pagi ini.
- Amanah baharu telah diperkenankan. Laksanakan tanggungjawab dengan penuh jujur – penuh ikhlas, berteraskan undang-undang – berlandaskan perlembagaan. Kepercayaan Beta yang mahukan sebuah pentadbiran yang amanah dan berintegriti hendaklah senantiasa dijunjung; harapan rakyat yang mahukan barisan pemimpin yang bersih dan tidak menyalahgunakan kuasa, wajib dipenuhi. Berpada-padalah berpolitik, berpolitik biar ada sempadannya, kebajikan rakyat jangan dikorbankan dan masa hadapan negeri jangan dimusnahkan kerana kepentingan peribadi, kerana percaturan politik yang keterlaluan, atau kerana dorongan sifat tamak dan haloba untuk mengumpulkan kekayaan diri, bagaikan tidak mengenal batasan.
Yang Dipertua Dewan Negeri
6. Dalam tahun 2019, Kerajaan Beta berjaya mengekalkan pencapaian kutipan hasil mengatasi satu bilion ringgit. Hampir satu perpuluhan satu bilion (1,094,887,096.68) ringgit hasil diperoleh, pencapaian 106 peratus berbanding sasaran; ditambah terimaan pembangunan, lima puluh dua perpuluhan lima juta (52,537,177.71) ringgit; menjadikan jumlah keseluruhan hasil dan terimaan pembangunan, mencecah satu perpuluhan satu lima bilion (1,147,424,274.39) ringgit. Satu perpuluhan satu bilion (1,095,095,949.23) ringgit telah dibelanjakan; 67 peratus belanja pengurusan dan 33 peratus belanja pembangunan. Kerajaan Beta menutup akaun kewangan tahun 2019, dengan lebihan lima puluh dua perpuluhan tiga juta (52,328,325.16) ringgit. Kerajaan Beta akan terus melaksanakan langkah-langkah penjimatan dan akan terus berusaha meningkatkan hasil, demi memastikan kerajaan mempunyai dana yang cukup untuk membiayai pelbagai projek pembangunan.
7. Ketika membahaskan Belanjawan Tahun 2020, Dewan ini telah meluluskan satu perpuluhan dua bilion(1,201,250,200) ringgit; tujuh ratus tujuh puluh satu perpuluhan tiga juta (771,250,200) ringgit untuk belanja pengurusan, dan empat ratus tiga puluh juta (430,000,000) ringgit untuk belanja pembangunan, pada nisbah enam puluh empat (64) peratus belanja pengurusan dan tiga puluh enam peratus (36) peratus belanja pembangunan. Bagi memastikan kelangsungan agenda pembangunan dan dalam memenuhi hasrat mahu membangunkan sosioekonomi rakyat, Kerajaan Beta melaksanakan penjajaran semula projek-projek pembangunan mengikut keperluan semasa, dengan tumpuan kepada projek-projek yang memberi nilai pengganda tinggi.
8. Era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan ekonomi digital ialah fenomena baharu yang sedang dihadapi oleh semua negara. ICT dan teknologi digital berperanan sebagai pemangkin, mempercekap sistem penyampaian serta meningkatkan produktiviti perkhidmatan dan hasil kerajaan. Usaha Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Beta menambah baik infrastruktur telekomunikasi melalui inisiatif Pelan Gentian Optik dan Kesalingan Hubungan Negara (tahun 2019 hingga 2023), di 10 kawasan yang telah dikenal pasti merupakan langkah tepat dan tidak harus dilengahkan. Peningkatan kualiti jalur lebar, liputan meluas, dan bersifat mampu milik, semoga dapat dimanfaatkan oleh seluruh lapisan rakyat. Kerajaan Beta perlu melaksanakan perubahan proses kerja daripada cara konvensional kepada perkhidmatan berasaskan digital yang lebih berintegrasi, berintegriti dan berkesan.
9. Dalam tahun 2019 Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan pelaburan bernilai sepuluh perpuluhan dua bilion (10,200,000,000) ringgit untuk negeri Perak; mencatatkan kelulusan pelaburan tertinggi dalam tempoh sepuluh tahun terakhir.
10. Dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Kerajaan Persekutuan telah meluluskan empat belas perpuluhan tujuh bilion (14,681,820,557.40) ringgit untuk pelaksanaan 312 projek pembangunan di negeri Perak. Enam puluh tujuh (67) projek telah berjaya disiapkan, 164 projek sedang dalam pelaksanaan, sementara 81 projek masih di peringkat pra pelaksanaan. Tahun ini merupakan tahun terakhir Rancangan Malaysia Kesebelas; dan Kerajaan Persekutuan pada tahun ini, meluluskan satu perpuluhan sembilan lapan bilion (1,978,000,000) ringgit untuk meneruskan pelaksanaan projek-projek yang belum siap.
Yang Dipertua Dewan Negeri
11. Dunia melangkah masuk tahun 2020 dengan dilanda pelbagai bencana yang berlaku sepanjang bulan Januari. Australia mengalami kebakaran pada skala yang belum pernah berlaku dalam sejarah, melibatkan kawasan melebihi tujuh juta hektar, mengakibatkan tiga ribu buah rumah musnah dan lebih setengah bilion haiwan terbunuh; asap daripada kebakaran tersebut, menyeberangi benua, sampai ke Santiago yang terletak sembilan belas ribu kilometer dari Australia. Indonesia mengalami banjir besar yang menyengsarakan kehidupan puluhan ribu penduduk. Puerto Rico mengalami gempa bumi berskala 5.8 ke-6.4 Richter, disusuli dengan sebelas gempa bumi lagi. Turki menghadapi gempa bumi berskala 6.8 Richter. Sepanyol dilanda angin kencang, disusuli ribut, curahan salji dan ombak besar hingga menjejaskan bekalan elektrik dan kegiatan ekonomi di seluruh negara. Brazil menghadapi hujan lebat yang mengakibatkan tanah runtuh lalu membinasakan permukaan tanah. Afrika Timur menghadapi kemarau terburuk dalam sejarah, disusuli dengan ancaman seratus lima puluh juta ekor belalang yang memusnahkan tanaman. Madagascar menghadapi banjir besar dan mengisytiharkan darurat. Bencana paling besar yang menghantui seluruh dunia ketika ini ialah wabak virus Covid-19.
12. Pesakit pertama yang mengalami serangan satu virus baharu, dikesan pada 17 November 2019, di Hubei, Republik Rakyat China. Pada 5 Januari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation-WHO) melaporkan secara rasmi mengenai satu kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) di Wuhan, dan mengesahkan penyakit tersebut disebabkan oleh Coronavirus baharu (novel coronavirus). Virus baharu ini, yang dirujuk sebagai Coronavirus Disease 2019 (Covid-19), telah merebak ke seluruh dunia, menjangkiti jutaan manusia dan mengakibatkan ratusan ribu kematian. Di negara kita, kes pertama Covid-19 dilaporkan pada 25 Januari 2020, lalu merebak ke seluruh negara. Kes pertama di negeri Perak dikesan pada 14 Mac 2020, wabak ini telah merebak ke semua daerah.
13. Dunia kini terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat daripada pandemik Covid-19. Kegiatan ekonomi dunia terjejas buruk berikutan langkah-langkah yang perlu diambil dalam usaha mahu membendung penularan virus. Dunia dijangka akan berhadapan kejutan kelok bekalan dan permintaan, serta ketidakseimbangan pasaran buruh yang bakal mengakibatkan berlakunya kemelesetan ekonomi yang amat teruk. Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan ekonomi dunia akan menguncup tiga peratus dalam tahun 2020, lebih buruk daripada penguncupan kosong perpuluhan tujuh (0.7) peratus yang berlaku semasa krisis kewangan global pada tahun 2009. Diramalkan, pasca pandemik, pemulihan ekonomi dunia mengalami kelembapan.
14. Dalam usaha mahu mengawal penularan virus berkenaan, Malaysia tidak ada pilihan, dan perlu memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai 18 Mac 2020. Wabak Covid-19, memberikan impak negatif yang besar kepada ekonomi negara. Diumumkan negara menghadapi kerugian dua perpuluhan empat bilion ringgit setiap hari, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan. Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan pelbagai inisiatif untuk meminimumkan impak negatif berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.
15. Kerajaan Beta turut memperkenalkan beberapa inisiatif. Fasa pertama bantuan atau pakej rangsangan, melibatkan peruntukan hampir dua puluh tujuh juta (26,650,000) ringgit; disasarkan untuk memenuhi keperluan kakitangan barisan hadapan, serta kepada rakyat yang terputus sumber pendapatan, antaranya kalangan penjaja, peniaga kecil dan pekerja bergaji harian.
16. Beberapa inisiatif turut dilaksanakan oleh organisasi-organisasi di bawah Kerajaan Beta. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengagihkan hampir dua belas juta (11,950,000) ringgit dana khas agihan zakat, khusus untuk membantu mereka yang terjejas pendapatan dan kepada para petugas yang terlibat secara langsung mengendalikan urusan menangani wabak. Bantuan ini merupakan tambahan kepada agihan zakat sebanyak seratus lapan puluh lima juta (184,880,000) ringgit, yang sedia terkandung dalam bajet tahun 2020, yang diperuntukkan kepada lebih lapan puluh satu ribu (81,477) asnaf. Dalam hasrat membantu para petani, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) menerusi Skim Agro Prihatin Negeri Perak memperuntukkan dana satu juta (1,000,000) ringgit untuk membeli lambakan hasil pertanian.
17. Semangat bekerjasama, persefahaman dan penyelarasan antara semua jentera pentadbiran di peringkat persekutuan, negeri, daerah, mukim, kampung dan penempatan, amat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dan sampai kepada rakyat yang sangat memerlukan, serta memastikan langkah-langkah pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan secara bermakna lagi berkesan.
18. Ketika sedang berhadapan cabaran mengatasi pandemik Covid-19, Malaysia turut menghadapi tempias, kesan kejatuhan terbesar dalam tempoh tiga dekad, harga minyak mentah dunia, akibat berlakunya perang harga di antara pengeluar utama minyak dunia. Setiap dolar perubahan harga minyak, memberikan implikasi, tambahan atau kekurangan 300 juta ringgit kepada pendapatan negara. Di samping itu, ketidaktentuan harga komoditi, penurunan permintaan produk-produk industri, keadaan suram yang melanda sektor-sektor pelancongan, pengangkutan dan perkhidmatan, serta keadaan tenat aliran tunai yang sedang dilalui oleh sekurang-kurangnya tiga ratus ribu (menyamai tiga puluh peratus) perusahaan kecil dan sederhana; setiap satunya mempengaruhi pendapatan rakyat serta hasil negara. Negara sedang melalui fasa yang sangat mencabar. Rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah sedang memamah kepahitan hidup; diramalkan dua perpuluhan empat juta pekerja sedang menghadapi kemuraman, kemungkinan diberhentikan kerja.
19. Membendung pandemik dengan secepat yang mungkin merupakan agenda paling utama. Namun langkah-langkah mencegah penularan amat perlu diimbangkan supaya tidak mencetuskan darurat ekonomi yang sukar untuk dipulihkan selepas ini. Mengaktifkan dan memulihkan aktiviti ekonomi agar kembali rancak pasca pandemik, merupakan cabaran yang sangat besar; merupakan doa, harapan dan hasrat setiap warga. Satu doa yang mohon dikabulkan, satu harapan yang perlu disusul dengan dasar, langkah, program dan tindakan yang bijak; satu hasrat yang perlu disusuli oleh para penggubal dasar dengan meletakkan sasaran fiskal, monetari dan kewangan yang strategik.
20. Setiap yang berlaku di alam maya ini mengandungi pengajaran. Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 17 Surah Al-Ahzaab bermaksud:
“Katakanlah: “Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (takdir) ALLAH jika Dia menghendaki bencana atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?” (33:17)
Sering kali malapetaka dan bencana yang berlaku di alam maya ini berpunca daripada perbuatan manusia. Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 41 surah Ar-Ruum, bermaksud:
“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia: (timbulnya yang demikian) kerana ALLAH hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (30:41)
21. Walaupun penyekatan pergerakan (lockdown) yang diperkenalkan di serata dunia telah menimbulkan pelbagai kerumitan kerana warga dunia terpaksa mengalami satu pengalaman yang tidak pernah mereka bayangkan, namun pada masa yang sama, dunia turut dilaporkan dengan berita-berita positif mengenai kualiti alam sekitar, berbentuk penurunan pengeluaran gas rumah hijau, suhu yang menurun, pengurangan bahan zarah berbahaya, udara yang lebih bersih dan air sungai yang semakin jernih. Bumi bagaikan berada dalam tempoh berehat dan pemulihan. Bermakna, dengan disiplin yang tinggi, dengan kaedah pembuangan sisa yang terkawal, pencemaran alam dapat diminimumkan. Usaha yang telah Kerajaan Beta rintis dengan sokongan Tenaga Nasional Berhad melaksanakan kempen tanaman pokok untuk menangani isu perubahan iklim sempena Hari Landskap Negara pada 3 Mac lalu, hendaklah ditingkatkan dan dilaksanakan secara meluas – secara bersungguh di seluruh negeri.Cabaran berat yang sedang dialami hendaklah juga dijadikan loceng amaran terhadap keselesaan dan kealpaan yang mungkin telah banyak berlaku secara sedar atau kurang sedar, secara sengaja atau tidak sengaja. Pemuliharaan alam sekitar wajib diutamakan dan tidak boleh lagi dikompromikan. Tindakan penguatkuasaan yang tegas dan pantas untuk memastikan kelestarian alam sekitar hendaklah dilaksanakan oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab.
22. Penularan wabak Covid-19 yang memberi impak sosioekonomi yang berat kepada negara dan rakyat, turut memberi pengajaran yang tidak terjangka, mengundang dan mencabar minda warga, terutama dalam kalangan para pemimpin yang berada di peringkat atasan. Bencana yang sedang melanda turut mendedahkan, betapa rapuhnya rantaian global yang mendominasi sistem dunia selama hari ini, yang kini perlu dipacu melalui perubahan-perubahan keutamaan kepada pelbagai pakatan, institusi dan ekonomi global. Budaya kerja dalam hasrat membendung penularan dan meminimumkan pendedahan kepada virus, pastinya akan merubah tingkah laku dan norma sosial, bakal melahirkan ‘kebiasaan baru’ atau New Normal. Cara bekerja, cara berurus niaga, cara mengurus kewangan, cara beribadah, cara keraian, cara berekreasi dan cara menjalani kehidupan seharian akan berubah. Minda warga hendaklah bersedia melakukan pengubahsuaian untuk menerima budaya kerja, budaya sosial dan budaya hidup yang baharu.
23. Krisis yang sedang melanda, memberi definisi situasi jaminan bekalan makanan. Pendedahan paling membuka mata ialah warna sebenar status jaminan bekalan negara; hakikatnya negara masih belum mencapai status jaminan makanan sepenuhnya. Keselamatan makanan wajib dijadikan agenda paling diutamakan dengan program-program yang memperlihatkan komitmen politik yang tinggi. Negeri Perak dianugerahi Ilahi dengan tanah yang luas, subur, disalir dengan lembangan sungai dan taburan hujan yang sekata sepanjang tahun, komponen-komponen terbaik yang memberi kelebihan dalam usaha ke arah menjamin kelestarian pengeluaran makanan yang mencukupi dan selamat. Negeri Perak mempunyai keluasan tanah dua juta (2,097,600) hektar; empat ratus ribu (401,528) hektar merupakan keluasan bertanam. Sektor pertanian, terutama usaha pengeluaran makanan amat perlu dibangunkan secara saintifik dan lebih produktif, menggunakan teknologi dan peralatan moden, serta dibangunkan oleh tenaga kerja muda yang dinamik, berpendidikan dan menguasai kemahiran pertanian terkini.
Yang Dipertua Dewan Negeri
23. Alhamdulillah warga Malaysia, ketika menghadapi krisis nasional, berjaya membuktikan semangat bersatu – semangat berpadu yang merentasi sempadan agama, kaum, politik dan sosial. Ketika negara dan warga sedang menghadapi ujian yang sebegini getir, warga wajib bersatu, menggabungkan fikiran, usaha, tenaga dan sumber untuk secara bersama mengambil tanggungjawab menghadapi dan mengatasi ujian yang satu. Fahamilah tujuan di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan, patuhilah nasihat yang diberikan oleh tenaga pakar daripada Kementerian Kesihatan. Pengorbanan setiap seorang daripada warga amat diperlukan untuk membolehkan negara secepat mungkin berjaya menewaskan ancaman yang sedang menyerang kehidupan warga, yang menjejaskan alam pendidikan anak-anak di bilik darjah dan para siswa-siswi di dewan kuliah, serta yang mengganggu dunia pekerjaan warga. Insyallah kejayaan warga menangani ancaman ini secara berkesan, akan membolehkan negara kembali membina kejayaan hari esok dan masa hadapan yang lebih gemilang.
24. Beta menzahirkan setinggi penghargaan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia terutama kakitangan di bidang klinikal yang menghadapi risiko besar ketika menyempurnakan tugas merawat para pesakit. Dengan penentuan ILAHI, di samping berjaya berusaha menyembuhkan para pesakit, mereka turut berjaya meminimumkan bilangan kematian, begitu juga bilangan jangkitan. Meskipun prasarana perubatan sektor awam di negara ini dan peralatan yang mampu dibekalkan adalah sangat terbatas, malah tidak dianggap berada dalam zon teratas dunia, namun terbukti Kementerian Kesihatan mempunyai barisan petugas yang berpengetahuan, berpengalaman dan paling utama, amat berdedikasi dan amat komited menyempurnakan amanah – melaksanakan tanggungjawab. Kakitangan Kementerian Kesihatan membuktikan kepada warga bahawa mereka merupakan aset amat berharga kepada negara – kepada bangsa.
25. Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani wabak Covid-19, terdiri daripada warga kerja Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jawatankuasa Keselamatan Negeri, Pegawai Daerah, para penjawat awam, yang masing-masing berperanan penting sebagai petugas barisan hadapan; begitu juga Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran dan badan-badan media, berperanan penting menyampaikan maklumat, panduan dan nasihat melalui berita yang disiar dan dilaporkan. Beta menghargai pelbagai bantuan dan sumbangan, berbentuk material, tenaga, perkhidmatan dan masa yang dihulurkan oleh pertubuhan-pertubuhan agama, pihak swasta, badan-badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO), serta komuniti setempat dan individu. Setiap seorang daripada mereka telah membuktikan semangat patriotisme yang amat tinggi membantu usaha kerajaan untuk melindungi keselamatan kesihatan setiap warga.
26. Dewan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para petugas, yang telah membuktikan semangat kerja dan pengorbanan yang tinggi atas nama negara demi kepentingan warga. Sebagai penghargaan, marilah kita sama-sama berdiri sambil memberikan tepukan tanda apresiasi kepada wira-wira negara yang berada di barisan hadapan menangani ancaman virus Covid-19.
27. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala melimpahkan rahmat dan kebahagiaan, keamanan dan kemakmuran kepada rakyat dan negeri. Dengan lafaz , Beta merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas