Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Salam Sejahtera
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan perasmian Pejabat Pentadbiran Agama Islam Slim River.
3. Perbelanjaan membina pejabat-pejabat pentadbiran dibiayai dari peruntukan kewangan kerajaan. Peruntukan kewangan kerajaan sebenarnya adalah wang milik rakyat yang diamanahkan untuk diurus oleh kerajaan. Apabila kerajaan memperuntukkan satu jumlah wang bagi maksud membina pejabat, kerajaan sesungguhnya telah membelanjakan wang yang diamanahkan oleh rakyat dengan tujuan untuk menyediakan satu kemudahan perkhidmatan kepada rakyat.
4. Pejabat yang baru dengan peralatan lebih moden, adalah pemudah cara untuk meningkatkan daya upaya untuk memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan, cepat dan cekap kepada pelanggan. Pejabat yang baru dipercayai dapat meningkatkan keselesaan suasana bekerja kepada para anggota perkhidmatan; dan peralatan lebih moden pula dapat berperanan sebagai instrumen pemudah cara membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti kerja. Keselesaan tempat kerja yang telah disediakan oleh kerajaan hendaklah dipastikan dapat memberikan keselesaan dan peralatan moden yang disediakan hendaklah dioptimumkan penggunaannya untuk memberi kepuasan kepada para pelanggan yang berurusan.
5. Para pegawai yang mengendalikan Pejabat Pentadbiran Agama Islam Slim River berperanan utama dan bertanggung jawab memastikan pencapaian sasaran kerja yang dapat memberikan keselesaan dan kepuasan kepada pelanggan. Untuk itu para anggota pentadbiran hendaklah meletakkan keselesaan dan kepuasan pelanggan sebagai satu keutamaan dalam carta pelanggan ketika melaksanakan tugas. Anggota pentadbiran yang dapat memenuhi carta pelanggan, secara langsung akan dapat membina imej positif rakyat terhadap kerajaan. Semangat untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik, wajiblah dijadikan budaya kerja. Kesedaran bahawa melaksanakan kerja dengan bersungguh itu adalah satu tuntutan ILAHI, hendaklah dijadikan pegangan. Bahawa kerja berkualiti yang dapat memenuhi keperluan rakyat adalah satu amal yang akan dihargai oleh rakyat di dunia ini dan Insya Allah akan dinilai oleh Allah Subhanahu Ta’ala sebagai amal soleh yang diberikan ganjaran di hari kebangkitan.
6. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, Kerajaan Persekutuan turut membuat seruan supaya pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri bersama mengambil tanggung jawab fardu kifayah, berperanan aktif membangunkan ekonomi umat Islam dan membantu usaha pembangunan insan. Tanah dan harta wakaf di bawah tanggung jawab pihak berkuasa agama Islam negeri merupakan sumber modal umat Islam; jika dibangunkan secara produktif dapat membantu usaha mengimbangkan milik kekayaan, milik harta kediaman dan perniagaan umat Islam.
7. Dalam Persidangan kali ke 154 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, yang berlangsung pada 24hb. April yang lalu, Beta telah menyarankan supaya satu kumpulan kerja yang arif dan berpengetahuan berhubung pembangunan hartanah dibentuk dari kalangan anggota kerajaan dan pihak swasta untuk menasihatkan Beta dan Majlis agar dapat merangka program-program berkesan untuk merealisasikan aspirasi yang termaktub di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Pada hemat Beta, kumpulan kerja ini hendaklah mengenal pasti hartanah milik Majlis dan menganjurkan potensi pembangunan yang dapat dilakukan serta menggariskan program pembangunan ekonomi secara bermakna untuk umat Islam di negeri Perak. Sebagai langkah permulaan, Beta menyarankan supaya Pejabat Pentadbiran Agama di semua daerah di negeri Perak, mengemaskinikan maklumat berhubung tanah dan harta wakaf di bawah tanggung jawab pihak berkuasa agama Islam yang terdapat di daerah masing-masing. Maklumat yang kemas kini hendaklah disimpan di dalam satu bank data bagi membantu langkah selanjutnya dapat diambil.
8. Beta berpandangan bahawa usaha membangunkan modal insan dan membangunkan sektor ekonomi umat Islam hendaklah diberikan keutamaan. Pentadbiran agama Islam harus bersedia mengambil tanggung jawab lebih luas dan lebih aktif dalam urusan pembangunan modal insan dan pembangunan ekonomi umat Islam. Urusan menyentuh aspek ekonomi tidak harus terbatas sekadar memungut zakat. Yang penting adalah menguruskan pungutan zakat secara produktif untuk membantu pembangunan ummah secara lebih bermakna hingga manfaatnya dapat dinikmati dan benar-benar dirasakan oleh masyarakat Islam. Tabung zakat yang berjaya diuruskan secara produktif akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadapnya. Keyakinan rakyat yang meningkat terhadap tabung zakat, dipercayai akan dapat meningkatkan kutipan zakat yang lebih berganda.
9. Semoga usaha yang dirintis mendapat petunjuk dan panduan dari ILAHI. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala senantiasa melimpahkan nikmat dan rahmat, memberikan perlindungan serta memberikan petunjuk ke jalan yang mendapat keredaan dariNya.
10. Dengan lafaz kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan segala sukacita menyempurnakan perasmian Pejabat Pentadbiran Agama Islam Slim River.
Wabillahi taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
****************