Perasmian Persidangan Speaker-speaker Dewan Parlimen Dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Kali Yang Ke-35

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam Sejahtera

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

  1. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan perasmian Persidangan Speaker-Speaker Dewan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia kali ke 35.
  2. Rakyat di negara ini pertama kali diperkenalkan kepada pilihan raya dalam tahun 1955. Pilihan raya tersebut diadakan sebelum negara mencapai kemerdekaan untuk membolehkan Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan Majlis Perundangan Persekutuan. Majlis Perundangan Persekutuan Pra-Merdeka tersebut, pada 15 Ogos 1957 telah meluluskan Perlembagaan untuk Persekutuan Tanah Melayu yang dikenali sebagai ‘Perlembagaan Merdeka’. Pilihan raya 1959, adalah pilihan raya pertama yang diadakan selepas negara mencapai kemerdekaan berpandukan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam ‘Perlembagaan Merdeka’, lalu terbentuklah Dewan Parlimen di peringkat Persekutuan dan Dewan-Dewan Undangan di negeri-negeri.
  3. ‘Perlembagaan Merdeka’ menggariskan doktrin pengasingan kuasa dalam sistem berkerajaan dan bernegara di Malaysia. Bahawa terdapat tiga cabang utama kerajaan, dikenali sebagai cabang eksekutif, cabang perundangan dan cabang kehakiman; masing-masing memiliki kebebasan untuk membolehkan berlakunya amalan semak dan imbang demi menjamin berlakunya keadilan dalam sistem pemerintahan negara.
  4. Dewan Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri merupakan cabang perundangan kerajaan. Dewan-dewan tersebut di ketuai oleh Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat di peringkat Parlimen dan Speaker di peringkat Dewan Undangan Negeri. Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat mempunyai kedudukan yang tinggi dalam senarai protokol Persekutuan. Mereka diletakkan di bawah Ketua Hakim Negara dan mengatasi kedudukan ahli-ahli Jemaah Menteri. Di peringkat negeri, Speaker Dewan Undangan Negeri dalam senarai protokol berada di atas Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
  5. Yang Dipertua dan Speaker memiliki bidang kuasa yang luas dalam dewan perundangan masing-masing. Mereka menentukan atur urusan persidangan dewan; mentafsir dan mengisytiharkan sesuatu perundangan, peraturan, prosedur dan adat istiadat dewan. Mereka boleh mengizin atau menidakkan sesuatu soalan atau perbincangan, menangguh atau memanjangkan perbahasan. Keputusan Yang Dipertua Dewan dan Speaker di dalam dewan adalah muktamad dan mereka juga adalah jurucakap kepada dewan masing-masing.
  6. Dewan Perundangan dalam sistem demokrasi berparlimen mempunyai tiga fungsi utama; pertama, menggubal undang-undang, kedua, meneliti dan meluluskan belanjawan negara, dan ketiga menyediakan forum membolehkan rakyat menyemak dan menyuarakan pandangan terhadap peranan dan prestasi kerajaan pilihan rakyat. Dewan Perundangan yang dapat memenuhi ketiga-tiga fungsi utama akan dapat meningkatkan imej amalan demokrasi yang berpegang kepada prinsip perwakilan suara rakyat dan doktrin pengasingan kuasa.
  7. Doktrin pengasingan kuasa menyediakan satu mekanisme yang membolehkan amalan demokrasi hidup secara subur; segar tumbuh di dalam negara. Amalan demokrasi yang sihat membantu akan kewujudan sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem pemerintahan bersandarkan undang-undang. Sesungguhnya cabang eksekutif kerajaan bukan sahaja bertanggung jawab melaksanakan urusan harian pentadbiran negara malah perlu melaksanakannya secara telus lagi amanah kerana cabang eksekutif kerajaan ada tanggung jawab untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada cabang perundangan.
  8. Amalan demokrasi yang berada di tahap kematangan memperlihatkan bahawa dewan perundangan memiliki kebebasan dan autonomi dari cabang eksekutif kerajaan. Demokrasi yang mencapai tahap kematangan memiliki tradisi kukuh membolehkan dewan perundangan berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang secara kritikal dan konstruktif terhadap dasar dan program yang dilaksanakan oleh cabang eksekutif. Peranan kritikal dan konstruktif cabang perundangan sebenarnya membantu untuk memperkukuhkan lagi kerajaan kerana cabang eksekutif akan senantiasa mengambil ingatan bahawa tindak tanduk mereka akan disemak dan diaudit oleh anggota-anggota dewan perundangan.
  9. Negara kini hampir setengah dekad merdeka. Sistem kerajaan yang berlandaskan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen hampir mencecah usia 50 tahun. Sejak mencapai kemerdekaan, telah sebelas kali pilihan raya diadakan. Bilangan ahli-ahli dewan perundangan baik di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri telah jauh bertambah berbanding dengan pilihan raya pertama pasca merdeka yang diadakan pada tahun 1959. Kumpulan profesional dan berpendidikan tinggi juga semakin ramai menganggotai dewan-dewan perundangan. Malah bukan sahaja bilangan pengundi bertambah, para pengundi juga terdiri dari kalangan warga yang mempunyai taraf literasi lebih tinggi dan pendedahan lebih luas. Media elektronik dan media cetak turut bertambah, merangkumi kawasan liputan dan kumpulan sasar yang lebih luas, dan turut menjadi lidah penyambung kepada suara rakyat.
  10. Perkembangan semasa ini telah mewujudkan persekitaran politik yang baru; melukis landskap politik yang turut melahirkan budaya politik yang baru; budaya politik yang lebih sesuai dan kondusif untuk memungkinkan berlakunya proses kematangan amalan demokrasi di dalam negara. Ini ditambah pula dengan keprihatinan warga tentang perlunya kerajaan melaksanakan keadilan, menghormati undang-undang, mentadbir secara telus, bersih, cekap dan amanah, serta bebas dari rasuah. Negara pula telah meletakkan wawasan untuk mencapai tahap negara maju dan mahu membina warga berfikiran kelas pertama.
  11. Kekuatan dewan perundangan tidak terletak kepada bilangan anggota, struktur bangunan, estetika seni binanya, keindahan dekor atau perbelanjaan besar untuk membinanya. Komponen perbahasan dari segi kandungan, mutu dan keterbukaan adalah faktor yang akan menentukan tahap kemuliaan dan kehormatan warga terhadap status dewan perundangan. Dewan perundangan yang matang, memiliki kekuatan untuk merealisasikan doktrin pengasingan kuasa. Untuk itu adalah penting bagi dewan-dewan perundangan mewujudkan persekitaran persidangan yang membolehkan berlangsungnya perbahasan secara dinamik, kritikal dan konstruktif.
  12. Yang Dipertua Dewan dan Speaker berperanan amat penting untuk meningkatkan reputasi, kredibiliti dan integriti dewan perundangan masing-masing. Dalam melaksanakan tanggung jawab dan memenuhi peranan, Yang Dipertua Dewan dan Speaker berkemungkinan menghadapi cabaran antara mengimbangkan kepentingan politik parti yang diwakili dengan hasrat untuk menyuntik budaya perbahasan yang lebih terbuka ketika mengendalikan urusan dewan. Pada hemat Beta perimbangan tanggung jawab dan peranan tersebut sukar dicapai melalui usaha secara perseorangan. Untuk membolehkan dewan perundangan ditingkatkan reputasi, kredibiliti dan integriti, selaras dengan hasrat untuk mematangkan amalan demokrasi dan membuktikan ketulinan doktrin pengasingan kuasa, satu persefahaman perlu diterokai antara Yang Dipertua Dewan dan Speaker bersama ahli-ahli dewan perundangan baik dari pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang serta dengan cabang eksekutif kerajaan.
  13. Demokrasi memberi erti dan makna, jika ia tidak sekadar satu slogan tetapi dibuktikan dengan adanya penyertaan rakyat dalam proses berkerajaan dan bernegara. Rakyat telah menunjukkan respons positif dan supportif dengan mengambil bahagian dalam proses demokrasi negara. Majoriti rakyat mendaftarkan diri sebagai pengundi dan majoriti juga keluar untuk mengundi sebagai tanda sokongan dan keyakinan rakyat kepada sistem pilihan raya yang dilangsungkan. Sokongan dan keyakinan rakyat itu perlulah dibalas secara positif dengan usaha dan pendekatan ke arah memartabatkan institusi rakyat yang diwakili oleh cabang perundangan kerajaan. Ahli-ahli dewan perundangan adalah wakil yang mewakili suara keramat rakyat. Suara itu perlu diberikan penghormatan sewajarnya.
  14. Persidangan seumpama ini merupakan sebaik-baik forum untuk Yang Dipertua dan Speaker menerokai formula berkesan dalam usaha meningkatkan imej dan peranan dewan undangan masing-masing. Bahawa urusan perjalanan dewan undangan dibiayai oleh wang rakyat. Sewajarnyalah rakyat perlu diyakinkan bahawa perbelanjaan yang digunakan untuk urusan perjalanan dewan memberikan manfaat secara ketara kepada mereka. Bahawa suara rakyat akan terus dapat digemakan dan diberikan perhatian melalui wakil-wakil yang telah mereka amanahkan.
  15. Persidangan ini harus diperluaskan parameter perbincangannya dengan tidak terbatas kepada perkara-perkara teknikal berbentuk pentadbiran dan prosedur semata-mata. Persidangan seumpama ini hendaklah juga dijadikan forum ilmu bagi Yang Dipertua Dewan dan Speaker dapat menambahkan pengetahuan. Semoga dengan ilmu dan pengetahuan baru, Yang Dipertua Dewan dan Speaker dapat menemui ramuan baru dalam hasrat dan usaha mahu menguruskan perjalanan dewan perundangan secara lebih dinamik. Adalah memanfaatkan negara jika Yang Dipertua Dewan dan Speaker turut menjemput pakar-pakar tertentu dari dalam dan luar negara, dari kalangan mereka yang arif untuk memberikan dimensi tertentu dalam usaha membuka pemikiran dan minda ke arah merealisasikan doktrin pengasingan kuasa.
  16. Semoga para peserta persidangan mendapat cahaya dan petunjuk ILAHI. Semoga persidangan ini dapat merumuskan resolusi yang dapat membantu Yang Dipertua Dewan dan Speaker melaksanakan tanggung jawab dan memenuhi peranan secara lebih berkesan dan meyakinkan. Semoga kebijaksanaan Yang Dipertua Dewan dan Speaker dapat membantu mempercepatkan tahap pencapaian kematangan amalan demokrasi dan merealisasikan doktrin pengasingan kuasa di negara ini.
  17. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan segala sukacitanya merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Dewan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Kali Yang Ke-35.

Wabillahi taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*****************

%d bloggers like this: