Salam Sejahtera
Globalisasi, di samping telah meningkatkan litar persaingan antara organisasi dan antara negara, turut menghamparkan pelbagai peluang dan ruang baru untuk diterokai. Melalui dasar dan usaha yang dirintis oleh Kerajaan, negara kita, telah berjaya mencapai ranking yang membanggakan dalam persaingan global, berada di kedudukan kelapan belas paling kompetitif dari kalangan 140 buah negara yang dinilai.[1] Usaha perlu ditingkatkan untuk terus melonjakkan pencapaian negara. Antara tunggak yang perlu diberikan fokus untuk ditingkatkan usaha adalah aspek pendidikan tinggi dan latihan memandangkan Malaysia berada di ranking ketiga puluh enam, begitu juga aspek kesediaan teknologi (technological readiness) yang menunjukkan Malaysia ketika ini berada di ranking keempat puluh tujuh[2]. Dua komponen tersebut, semakin berperanan kritikal sebagai pemboleh upaya (enabler) untuk terus meningkatkan daya saing dan daya produktiviti sesebuah organisasi mahupun negara.
2. Sumber manusia adalah salah satu faktor penting pengeluaran. Pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki oleh manusia akan menentukan landskap dan budaya ekonomi sesebuah masyarakat atau negara. Ekonomi Malaysia yang berasaskan pertanian pada era pra dan pasca merdeka telah beranjak kepada ekonomi yang berasaskan perindustrian, dan kini sektor perkhidmatan berperanan semakin dominan. Perangkaan guna tenaga pada tahun 2015 menunjukkan daripada jumlah 13.7 juta orang penduduk Malaysia yang bekerja, 8.2 juta ( bersamaan 60 peratus) terlibat dalam sektor perkhidmatan, 2.2 juta (bersamaan 16 peratus) terlibat dalam sektor pembuatan, 1.7 juta (bersamaan 12 peratus) terlibat dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan, 1.3 juta (bersamaan 9 peratus) terlibat dalam sektor pembinaan, sementara 360,000 orang (bersamaan 3 peratus) terlibat dalam sektor-sektor perlombongan, kuari, bekalan gas, elektrik, bekalan air, pembetungan, pengurusan sisa dan lain-lain.[3]
3. Tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran adalah satu kemestian untuk melonjakkan pencapaian ekonomi sesebuah negara. Negara memerlukan sumber tenaga insan terlatih dalam pelbagai bidang untuk mendukung pelbagai peringkat, pelbagai cabang dan pelbagai lapisan kegiatan ekonomi terutama dalam hasrat mahu menerokai peluang-peluang baru yang berteraskan teknologi tinggi. Usaha membangunkan sumber tenaga amat perlu dirancang selaras dengan keperluan guna tenaga untuk menggerakkan aktiviti ekonomi yang lebih dinamik, moden, kontemporari lagi produktif. Spektrum latihan yang disediakan, hendaklah menerima hakikat bahawa manusia, memiliki pelbagai bakat, kecenderungan, minat dan potensi, serta manusia juga berada pada tahap berbeza dari segi keupayaan menerima, memahami, menyerap, dan mengapresiasi kandungan dan kaedah pengajaran sesuatu bidang ilmu. Spektrum latihan wajib memahami proses-proses kerja yang perlu dilalui dalam sesuatu usaha pengeluaran, daripada peringkat cetusan idea, penyediaan input hingga sampai kepada pengguna.
4. Pengeluaran televisyen umpamanya, bermula dengan cetusan idea, disusuli dengan penyelidikan, dirangka reka bentuk, dikenal pasti komponen yang diperlukan, direalisasikan dengan pemasangan, diuji dan dinilai, dipakej lalu dijenamakan, diiklan, dipromosi dan dipasarkan, diedar dan dijual, dihantar kepada dan dipasang untuk beroperasi di tempat pengguna; proses tersebut tidak berhenti di situ, proses tersebut bersambung dengan perkhidmatan pasca jualan, sehingga proses melupuskan set televisyen kerana sudah tamat hayat kegunaannya atau kerana model keluarannya sudah ketinggalan dengan perkembangan dan perubahan teknologi terbaru. Di pihak produksi, penyelidikan untuk menambah baik dan mengolah cipta model baru terus diusahakan, bermakna putaran baru demi putaran baru akan terus berlaku sepanjang masa.
5. Demikian rangkaian proses yang berlaku untuk setiap produk. Ternyata, setiap tahap pengeluaran dan setiap proses kerja memerlukan tenaga manusia yang memiliki pengetahuan dan menguasai kemahiran yang berbeza. Lebih ramai bilangan tenaga manusia yang terlatih dalam bidang teknikal dan vokasional, diperlukan untuk melaksanakan sebahagian besar proses-proses kerja yang berkaitan. Oleh itu, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional adalah kaedah dan pendekatan latihan yang tersangat penting dalam ekonomi yang berasaskan perindustrian dan perkhidmatan.
6. Pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional atau technical and vocational education and training, dirujukkan secara ringkas TVET menyediakan kaedah pendidikan dan latihan yang lebih berorientasikan amali ataupun hands-on berbanding kaedah pengajian ilmiah yang lebih berorientasikan teori. Produk lulusan TVET merupakan tenaga kerja paling penting dan paling ramai yang merealisasikan dan menjayakan wawasan ekonomi di negara-negara yang telah bangkit sebagai negara perindustrian utama, di Jepun, Jerman, Taiwan dan Korea Selatan. Tahap penguasaan kemahiran teknikal dan vokasional di kalangan tenaga kerja dan bilangan yang menguasai kemahiran tersebut, adalah antara faktor penarik yang mempengaruhi pertimbangan para pelabur untuk melabur dalam sesebuah negara.
7. Menyediakan prasarana fizikal membangunkan institusi latihan TVET adalah satu usaha permulaan. Yang lebih perlu diberikan perhatian adalah komponen latihan yang harus terus dikembangkan dan hendaklah bersifat dinamik, supaya latihan yang disampaikan dapat memenuhi keperluan semasa, selaras dengan perubahan teknologi yang terus berlaku dengan fasa perubahan yang amat pesat. Sebagai contoh, telefon bimbit model terbaru, dihasilkan setiap enam bulan sekali. Model kereta, pesawat udara, perkakasan komputer dan telekomunikasi, peralatan perubatan dan persenjataan serta pelbagai peralatan yang diperlukan untuk kegunaan harian, terus diolah dan diubah selaras dengan penemuan-penemuan baru teknologi. Oleh yang demikian, kurikulum pengajian TVET tidak boleh bersifat statik. Kandungan kurikulum TVET wajib terus direkayasa. Kurikulum, alatan mengajar dan kelengkapan makmal dan bengkel wajib dikaji dan dikemaskinikan secara berkala, sementara tenaga pengajar TVET wajib mengikuti latihan sepanjang masa supaya modul latihan akan bersifat semasa, dan para pelatih dibimbing untuk memiliki daya saing dan kompetensi kemahiran yang selaras dengan tenaga pekerja yang diperlukan dalam pasaran.
8. Membangunkan prasarana institusi latihan, begitu juga menyediakan tenaga pengajar melibatkan kos modal yang besar. Untuk itu, kemudahan yang terdapat di institusi latihan, hendaklah digunakan ke peringkat optimum. Program-program latihan separa masa pada waktu malam dan hujung minggu wajar diperkenalkan untuk membolehkan mereka yang sudah bekerja boleh terus meningkatkan kemahiran. Jaringan kerjasama dengan industri wajar diterokai, agar terbinanya satu hubungan kerja dan terjalinnya persefahaman latihan yang dapat mengurangkan jurang antara corak latihan yang diberi dengan keperluan sebenar industri.
9. Penggunaan tenaga kerja asing dengan bilangan yang semakin meningkat adalah perkara yang kini wajib diberikan perhatian. Warga sewajibnya membantu dan mengambil tanggungjawab untuk membetulkan situasi, apabila negara sudah mula terlalu bergantung dan kelihatan semakin cenderung bergantung pada tenaga kerja asing.
10. Data Kementerian Dalam Negeri menunjukkan pas lawatan kerja sosial yang dikeluarkan kepada warga asing meningkat daripada 2.073 juta orang pada tahun 2014 kepada 2.135 juta orang pada tahun 2015. Lebih daripada 745,000 orang (ia itu 35 peratus) pekerja asing bekerja dalam sektor pembuatan, 450,000 orang ( ia itu 21 peratus) bekerja dalam sektor pembinaan, 301,000 orang (ia itu 14 peratus) bekerja dalam sektor perladangan, 197,000 (ia itu 9 peratus) bekerja dalam sektor pertanian, 293,000 (ia itu 14 peratus) bekerja dalam sektor perkhidmatan, dan 149,000 orang (ia itu 7 peratus) bertugas sebagai pembantu rumah. Bilangan pekerja asing tanpa izin (PATI) dikatakan berjumlah sekurang-kurangnya sekali ganda daripada bilangan pekerja asing yang mendapat pas kerja. Jika andaian tersebut benar, bermakna pada ketika ini, terdapat lebih empat juta orang warga asing yang sedang bekerja di negara ini. Pada tahun 2015 sahaja, pekerja asing menghantar balik ke negara mereka melalui saluran rasmi, wang sejumlah 34.7 bilion ringgit, menyamai 2.37 peratus KDNK negara.[4] Dianggarkan jumlah sebenar adalah lebih tinggi kerana sebahagian daripada penghantaran wang ke negara masing-masing, turut dilakukan melalui saluran yang tidak rasmi.
11. Analisis secara objektif wajib dilakukan akan implikasi kehadiran tenaga kerja asing dengan jumlah yang begitu besar. Negara hendaklah bersifat lebih selektif dan mengenakan syarat lebih ketat daripada aspek guna tenaga ketika memberikan kelulusan pelaburan baru dalam sektor pembuatan begitu juga ketika meluluskan pas kerja dalam sektor perkhidmatan. Pelaburan, terutama pelaburan asing di negara ini, hendaklah diluluskan berasaskan kepentingan negara; pekerjaan yang ditawarkan hendaklah membuka peluang kerja kepada warga tempatan. Tidaklah membawa manfaat kepada negara, apabila kerja yang ditawarkan memerlukan kerajaan memberikan kebenaran untuk lebih ramai tenaga kerja asing dibawa masuk.
12. Mendapatkan pas kerja untuk warga asing, kelihatan sebagai jalan senang yang semakin dijadikan opsyen oleh kalangan majikan untuk kepentingan keuntungan jangka pendek urus niaga, tanpa menghiraukan pelbagai implikasi negatif jangka panjang yang mula menjejaskan struktur sosial, struktur budaya, struktur demografi dan turut berpotensi menular menjejaskan struktur politik negara. Pendirian terkini Kerajaan Persekutuan membekukan dan tidak akan membenarkan lagi kemasukan tenaga kerja asing, menurut yang telah diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, sangatlah bertepatan dan amat sesuai waktunya. Syarat-syarat yang lebih ketat amat perlu dikenakan kepada majikan supaya tidak lagi memilih laluan mudah untuk mendapatkan tenaga kerja asing hingga mengakibatkan warga dan negara terpaksa pada satu hari nanti, menanggung kos yang tinggi.
13. Para majikan tidak harus terlalu cepat bersifat berputus asa (defeatist), dengan melabelkan secara umum bahawa tenaga kerja tempatan tidak mahu melakukan kerja-kerja yang berada dalam kategori “Tiga D”, Dirty, Dangerous and Demeaning ia itu kerja-kerja yang dikatakan kotor, bahaya dan merendahkan martabat. Walaupun tanggapan para majikan memiliki asas tertentu, namun pada masa yang sama, tanggapan tersebut perlu ditangani dengan pendekatan yang lebih komprehensif. Tanggapan tersebut turut melibatkan elemen-elemen nilai, sikap dan persepsi, di samping pakej imbuhan yang menarik. Kaedah mengatasi untuk jangka panjang, mungkin memerlukan formula penyelesaian yang lebih kompleks, termasuk memperkenalkan penggunaan teknologi, jentera dan automasi yang dapat meminimumkan guna tenaga manusia. Daya fikir manusia pada umumnya akan menjadi lebih kreatif dan inovatif apabila dibentangkan dengan cabaran daripada diberikan penyelesaian segera lagi mudah. Demi kepentingan jangka panjang negara, demi memelihara martabat kedaulatan sebuah negara bangsa yang merdeka, pendekatan yang lebih strategik wajib diterokai untuk dapat meminimumkan guna tenaga daripada terlalu bergantung pada warga asing. Gurindam lama mengatakan berakit-rakit ke hulu, berenang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang kemudian; jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
14. Menuntut ilmu, menguasai kemahiran, melakukan kerja asalkan yang tidak bercanggah dengan hukum dan undang-undang, adalah ibadah. Melakukan kerja dengan jujur dan ikhlas, adalah satu tuntutan yang akan dilimpahkan rahmat dan keberkatan daripada ILAHI. Fahaman ini, tafsiran ini, semangat ini, wajib diterapkan di hati dan di sanubari setiap pelatih dan petugas di Pusat Latihan ini. Menghidupkan roh dalam diri pelatih hendaklah diterapkan sebagai sebahagian daripada komponen latihan, agar lulusan Pusat ini tidak bersifat robotik, menguasai kemahiran tetapi lompong jiwa keinsanan. Semoga segala usaha dan tenaga untuk memajukan Pusat ini mendapat petunjuk dan dilimpahkan kejayaan.
Beta dengan ini merasmikan kampus Pusat Latihan Teknologi Tinggi Taiping dengan kalimah