Perasmian Seminar Kesultanan Perak, Pameran Institusi Diraja Malaysia dan Pelancaran Buku Awang Had Salleh: Legenda Pendidikan Global Malaysia.

“Menelusuri Jambatan Penghubung Raja dan Rakyat”

Salam sejahtera.

Ketika tertubuhnya sebuah negara merdeka, Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, sistem pemerintahan beraja terlalu berharga untuk dilepaskan, sebaliknya kekal diluhurkan dengan sebaik-baik pendekatan dalam Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan.  Pemimpin dan rakyat sewaktu mempunyai pilihan, tidak hanya mengekalkan tradisi beraja di peringkat negeri, malah memperkenalkan satu lagi lapisan pemerintahan beraja di peringkat persekutuan, dengan perwujudan takhta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong; Raja kepada seluruh Persekutuan – secara harfiahnya gelaran tersebut bermaksud ‘Dia yang terulung daripada kalangan kami’, primus inter pares. 

2.      Negara memilih, membentuk kerajaan berpaksikan sistem raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen, mengimbangkan peranan serta tanggungjawab antara institusi raja dan institusi rakyat, menggariskan secara nyata akan sempadan dan lingkungan peranan serta tanggungjawab raja pemerintah, berlandaskan peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam perlembagaan.  Sepuluh peratus, ia itu, 19 daripada 183 perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengandungi perkara berkaitan raja.

3.      Pemahaman dan apresiasi terhadap institusi raja akan bersifat elitis, berlegar dalam kalangan bangsawan dan elit akademik, jika institusi raja gagal difahami relevansinya oleh rakyat jelata.  Pemahaman dan apresiasi terhadap institusi raja wajib dirakyatkan, kerana pada asal usulnya, raja itu diangkat ke takhta, didaulat dan ditabalkan oleh rakyat.  Dalam sejarah Kesultanan Perak, Tun Saban bersama Nakhoda Kassim, mewakili rakyat jelata, telah ke Kampar, Riau, memohon perkenan agar Raja Muzaffar Shah ibni Sultan Mahmud Shah berangkat ke bumi ini untuk ditabalkan sebagai Sultan Perak.

4.      Dalam pengembaraan minda, melayari kaedah yang lebih relevan untuk menyemai kefahaman rakyat terhadap institusi raja, dan dalam mendaki gunung fikir untuk menemui formula lebih bermakna yang boleh dipenuhi oleh institusi raja, Beta terpanggil untuk menghalusi lirik korus lagu ‘TIGA KUPANG’, diadaptasi dari lagu kanak-kanak, ‘Song of Three Cents’:

‘The king is in the house

(He is) calculating

The queen is in the house

(She is) eating sugar bread’

Dialih ke Bahasa Melayu

‘Raja dalam rumah

Buat kira-kira

Suri dalam rumah

Makan roti gula’

5.      Perkataan ‘kira-kira’ dalam lirik lagu ini, bukan bermaksud raja membuat matematik, di sebaliknya, membayangkan seorang raja itu, ketika sedang bersemayam, minda baginda, tidak melahu atau idle, malah minda raja itu senantiasa dalam situasi berwaspada, melakukan perkiraan atau percaturan, semestinya mengenai urusan pemerintahan dan negara.

6.      Lirik lagu ini, melalui susunan kata-kata yang begitu simple atau mudah bunyinya, menyelitkan secara tersirat mesej pendidikan, membolehkan anak sekolah mengenali dan menghargai raja.  Minda anak-anak, melalui nyanyian yang menghiburkan, secara halus tetapi berkesan, disemai dan diasuh, mengenali peranan dan tanggungjawab berat seorang raja, yang senantiasa memikirkan urusan negara, walaupun sedang berhadapan dengan hidangan sedap yang dipersembahkan, berdasarkan lirik dalam rangkap sebelumnya:

‘Bila sudah masak

Burung nyanyi sahaja

Tentu sedap makan,

Beri pada raja’

7.      Pada era pra dan pascamerdeka terdapat andaian, bahawa raja itu dekat di hati rakyat, begitu juga rakyat di hati raja.  Tersemai di hati rakyat, sentimen kemuliaan yang amat tinggi terhadap institusi raja, terutama dalam kalangan rakyat berketurunan Melayu.  Pada kaca mata majoriti rakyat, raja dipandang berdarjat dan berdaulat; raja dipercayai memiliki hikmat – memiliki sakti, walaupun sepanjang hayat, mereka tidak pernah melihat wajah raja secara langsung, jauh sekali, peluang bertemu, apatah lagi untuk sampai ke ruang istana.  Kesetiaan kepada raja pemerintah hampir mutlak, malah timbul kebimbangan ditimpa tulah, jika bersangka dan berkata buruk mengenai raja, kerana mereka percaya, niat dan perbuatan sedemikian derhaka sifatnya.

8.      Barang diingat, rakyat pada era pra dan pascamerdeka, pada tahun-tahun empat puluhan sehingga enam puluhan, majoritinya buta huruf, terutama dalam kalangan wanita dan masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar.  Pada era tersebut, majoriti rakyat memiliki kuasa beli yang rendah, di samping infrastruktur perhubungan dan komunikasi yang sangat minimum, menidakkan mereka mempunyai akses kepada bahan berita.  Kebanyakan kawasan di luar bandar tidak dibekalkan elektrik, dan dalam kalangan yang berkemampuan, bergantung pada sumber maklumat yang diperoleh melalui siaran radio yang menggunakan kuasa bateri.  Televisyen memulakan penyiaran pada 28 Disember 1963, bermula di Kuala Lumpur, dan secara berperingkat-peringkat, mengambil tempoh yang agak lama baharu sampai ke seluruh negara.

9.      Dengan latar belakang segala kekurangan saluran komunikasi, begitu menakjubkan, rakyat ketika itu, merasakan hati mereka dekat dengan raja, dan rakyat mempunyai tanggapan yang amat positif terhadap institusi raja.  Untuk sekian lamanya, ramai yang tidak menyedari bahawa dunia hiburan (entertainment), berperanan besar sebagai jambatan penghubung yang menautkan emosi rakyat dengan raja.  Melalui perantaraan hiburan, rakyat lebih mengetahui watak, status dan peranan raja, lantas meningkatkan tahap apresiasi rakyat terhadap raja.  Dua entiti, amat berpengaruh, memenuhi peranan tersebut; pertama, ‘Bangsawan’, kedua radio dan filem, disusuli kemudiannya oleh televisyen.

10.    Bangsawan mementaskan cerita-cerita bertema raja dan orang-orang bangsawan; skripnya menggunakan bahasa istana, prop atau peralatan pentas mempamerkan lokasi cerita di bumi dan di kayangan; selain taman bunga, hutan, gunung dan kolam, balai rong serta istana adalah satu kemestian di dalam prop pentas bangsawan.

11.    Sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua, Bangsawan berperanan besar memperkenalkan adab dan adat istana, pakaian dan bahasa istana, cara bertanjak dan berkeris, cara menghadap dan menjunjung duli.  Peranan Bangsawan semakin berkurangan pada era pasca Perang Dunia Kedua, dan terus pupus pada tahun sembilan belas enam puluhan, tewas daya tarikan kepada populariti filem yang menawarkan opsyen baharu kepada dunia hiburan masyarakat Melayu.  Namun seni persembahan bangsawan diteruskan melalui program mingguan yang diperkenalkan di Radio Malaya pada tahun 1954, dikenali dengan slot ‘bangsawan di udara’. 

12.    Pada era infrastruktur hiburan sangat terbatas, pada era bekalan elektrik masih terhad, radio, yang beroperasi dengan kuasa bateri dengan daya frekuensi transmisi yang lemah, merupakan satu-satunya sumber hiburan pada waktu malam dalam kalangan masyarakat desa.  Para pendengar radio terpaku, mengikuti program bangsawan di udara, dengan kehebatan persembahan audio para pemegang watak, dalam siri  Dandan Setia, Jula Juli Bintang Tiga, Raja Laksamana Bentan, Dang Anom, Intan Terpilih, Siti Zubaidah dan sebagainya.  Pada tahun-tahun sembilan belas tujuh puluhan sehingga sembilan belas lapan puluhan, bangsawan dihidupkan semula di kaca televisyen Radio Televisyen Singapura, tetapi didapati hilang pengikut, tewas kepada populariti filem dan pawagam yang memperkenalkan barisan pelakon yang lebih muda lagi bertenaga. 

13.    Filem-filem Melayu yang dihasilkan antara penghujung tahun lima puluhan sehingga pertengahan tahun enam puluhan, mempersembahkan semula skrip bangsawan dalam bentuk lakon layar.  Kerana itu, filem-filem Melayu pada era tersebut, menumpukan produksi kepada hikayat raja, orang bangsawan dan istana, antaranya filem Hang Tuah (1956), Selendang Delima (1958), Raja Laksamana Bentan (1959), Musang Berjanggut (1959), Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (1961), Hang Jebat (1961), Singapura Dilanggar Todak (1961), Indera Bangsawan (1961), Keris Sempena Riau (1961), Dang Anom (1962), Siti Muslihat (1962), Lancang Kuning (1962), dan Badang (1962). 

14.    Lebih menarik, filem-filem yang bertemakan raja dan berlatar belakang istana di alam Melayu, tidak sahaja diarahkan oleh pengarah-pengarah berketurunan Melayu, antara mereka, Hussein Haniff, Omar Rojik, P. Ramlee, M. Amin, S. Romai Noor dan Jamil Sulung, tetapi filem-filem yang bertemakan raja dan berlatar belakang istana di alam Melayu, turut diarah oleh M. Basker, Phani Majumdar, L. Krishnan. B.N. Rao, dan Diresh Ghosh, yang bukan berketurunan Melayu, tetapi meminati serta memahami secara mendalam selok-belok adat raja dan istana di alam Melayu.

15.    Setiap cerita yang difilemkan, bukannya cerita baharu, malah penonton sedia tahu plot, permulaan dan pengakhiran cerita.  Namun para penonton masih mahu menonton filem-filem tersebut yang dilakonkan oleh seniman dan seniwati pujaan.  Melalui filem-filem berkaitan, para penonton dapat melihat secara visual adab dan adat istana, pakaian dan kelengkapan raja, permaisuri, putera, puteri; perbezaan tanjak, baju, bengkung, samping, dan keris antara sultan, menteri dan pembesar, begitu pula perbezaan pakaian dan hiasan antara permaisuri, inang dan dayang; perbezaan senjata, pedang, keris, tombak dan lembing antara laksamana, panglima, pendekar dan pengawal.

16.    Mulai penghujung tahun enam puluhan, filem bertemakan raja dan istana tidak lagi mendapat perhatian.  Pada tahun 1968, susulan permintaan dan diadaptasi daripada penulisan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra, filem Raja Bersiung (versi kedua) diterbitkan di bawah arahan Jamil Sulung, filem berwarna, diterbitkan berbentuk sinematografi.  Walaupun versi pertama Raja Bersiung telah diterbitkan dalam filem hitam putih, di bawah arahan Ramon A. Estella, lima tahun sebelumnya (pada tahun 1963), versi kedua filem Raja Bersiung, bukan sahaja berjaya menarik minat penonton, malah menarik bilangan yang lebih ramai kerana penonton ingin melihat teknik produksi yang lebih moden.

17.    Pasca tahun 2000, kisah Puteri Gunung Ledang, difilemkan pada tahun 2004 di bawah arahan Saw Teong Hin, kemudiannya dipentaskan secara muzikal di Istana Budaya pada tahun 2006.  Puteri Gunung Ledang, bukan cerita baharu; Puteri Gunung Ledang merupakan ulang tayang cerita lama, namun filem tersebut berjaya menarik minat ramai penonton, termasuk generasi muda, begitu juga sambutan terhadap persembahan teater muzikal di Istana Budaya.  Bermakna, skrip lama, apabila diolah dan disuntik dengan dimensi baharu dan dipersembahkan dengan teknik terkini, tetap mendapat sambutan generasi semasa – generasi muda.

18.    Terbukti, cerita lama tidak semestinya tidak bernilai lagi, cerita lama tidak semestinya tidak dihargai lagi.  Jika ada kebijaksanaan untuk disuntik dimensi baharu dan dipersembahkan dengan teknik baharu yang lebih saintifik, dengan plot cerita yang mengolah romantik baharu, cerita lama akan terus mendapat tarikan seperti yang terbukti dengan penerbitan semula filem-filem Titanic, Cinderella, Beauty and The Beast, dan terkini Aladdin. 

19.    Perlu diimbasi bahawa bahan bacaan berbahasa Melayu dalam tahun-tahun sembilan belas lima puluhan dan sembilan belas enam puluhan sangat terbatas.  Bahan bacaan anak-anak sekolah, begitu juga komik Melayu pada era tersebut, sekali lagi tertumpu pada kisah-kisah berkaitan raja dan istana seperti Hang Tuah, Badang, Singapura di Langgar Todak, Dang Anom, Panglima Nayan, Batu Belah Batu Bertangkup.  Fikiran anak-anak pada era tersebut belum terdedah kepada saluran maklumat yang lebih meluas.  Kehebatan raja, kegagahan Hang Tuah, kekuatan luar biasa Badang, kengerian ditelan Batu Belah Batu Bertangkup, menghidupkan fantasi anak-anak sekolah ketika itu.  Kehebatan raja, dikembarkan dengan keajaiban, kuasa mistik dan kekebalan, ketangkasan bermain senjata – kepantasan menunggang kuda, kekacakan paras rupa, yang dijelmakan melalui lakonan-lakonan secara berkesan oleh para pelakon yang dipilih melakonkan watak raja, permaisuri, putera dan puteri raja, baik di pentas bangsawan begitu juga di dalam filem.

20.    Hari ini bangsawan sudah tinggal dalam sejarah.  Filem bertemakan raja dan istana sudah lama tidak diterbitkan.  Hari ini fantasi yang digambarkan dalam hikayat lama, sudah tidak lagi memiliki nilai pasaran.  Anak-anak pada era ini mempunyai daya fikir yang lebih kritikal, memiliki fantasi yang jauh lebih kompleks – lebih sofistikated.  Karya-karya fiksyen tulisan Enid Blyton dalam Secret Seven dan Famous Five, yang menjadi fiksyen pilihan anak sekolah dalam tahun-tahun enam puluhan, sudah hilang daya tarikan.  Harry Potter karya J.K. Rowling berjaya memperkenalkan fantasi baharu, walaupun mengolah imaginasi yang berada lebih jauh daripada realiti.  Anak-anak pada era ini sudah terdedah dengan pelbagai animasi yang dihasilkan daripada pelbagai sudut dunia, melalui penerbitan, The Incredibles, Spider-Man, Toy Story, The Lego Movie, Samurai Champoo, Code Geass, Fullmetal Alchemist, Dragon Ball Super dan pelbagai lagi.

21.    Para peserta Seminar Kesultanan Melayu Perak, yang berlangsung di dalam kampus sebuah Universiti Pendidikan pada hari ini, perlu mencabar dan menganjakkan minda, menyeberangi sempadan baharu, ketika membicarakan mauduk kesultanan, agar pemikiran tidak terbendung dalam sebuah gedung ilmu, dan penemuan sekadar menambahkan timbunan bahan ilmiah tinggi,  tetapi berakhir sebagai rujukan yang eksklusif dalam kalangan elit akademik, bagaikan kitab berbahasa Latin yang tersimpan di dalam biara, hanya diakses oleh beberapa orang paus dan biskop, tidak sampai kepada, dan tidak difahami oleh majoriti rakyat biasa.  Pendekatan yang lebih kontemporari dan relevan wajib diteroka  dalam hasrat mahu menyemai pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan apresiasi warga, terutama warga muda terhadap sebuah institusi tradisi; institusi tradisi yang memberikan identiti kepada kerajaan dan negara Malaysia. 

22.    Raja juga sewajarnya dipersembahkan sebaik nasihat mengenai realiti yang sedang berlaku, dan aspirasi yang terkandung dalam pemikiran majoriti rakyat, agar raja, ketika bersemayam di takhta pemerintahan, benar-benar memahami, lantas melakukan pengubahsuaian tatalaku dan tataurusan, agar institusi ini kekal relevan, tidak dianggap sebagai cermin lama untuk melihat wajah yang tua; di sebaliknya institusi ini, kekal dan terus dihargai sebagai institusi yang berperanan dan berfungsi; diiktiraf sebagai institusi yang dinamik dan bertenaga, di samping berjaya merangkaikan tradisi dalam era modenisasi.

23.    Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Seminar Kesultanan Melayu Perak, Pameran Institusi Diraja Malaysia, serta melancarkan Buku Awang Had Salleh: Legenda Pendidikan Global Malaysia.

In The News:

https://www.utusanborneo.com.my/2019/10/18/pameran-institusi-diraja-malaysia-pastikan-sejarah-kepentingan-institusi-itu-dihormati

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/raja-perlu-dipersembah-nasihat-mengenai-realiti-sultan-nazrin-220310

%d bloggers like this: