Perbarisan Komander Sempena Pembukaan Rasmi Latihan Kem Tahunan 2011

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam Sejahtera

Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah rahmat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke acara Perbarisan sempena Pembukaan Rasmi Latihan Kem Tahunan, Komander Rejimen Askar Jurutera Diraja Senggara Perhubungan.

2. Membina Pasukan Pertahanan yang moden lagi lengkap, gagah lagi berwibawa adalah satu keperluan bagi setiap negara. Pasukan Pertahanan Negara di bina untuk berupaya mempertahankan negara dari serangan musuh. Dalam istilah ketenteraan, Pasukan Pertahanan dirujuk sebagai instrumen peperangan. Namun demikian dalam dunia yang menjunjung prinsip keamanan, peperangan bukanlah pilihan terbaik untuk menyelesaikan konflik. Doktrin pertahanan moden lebih mengutamakan peranan konstruktif Pasukan Pertahanan dalam suasana negara yang aman, bersama membantu usaha membina dan membangunkan negara bangsa. Pasukan Pertahanan yang gagah perlu dilengkapkan dengan komponen perkakasan terdiri dari peralatan yang moden lagi canggih; sementara kewibawaan Pasukan Pertahanan diperkukuhkan dengan komponen perisian, terdiri dari anggota yang cekap lagi terlatih. Oleh itu memiliki peralatan yang moden lagi canggih dan menjalankan aktiviti latihan secara berterusan adalah satu kemestian dalam hasrat membina Pasukan Pertahanan yang gagah lagi berwibawa.

3. Pasukan Pertahanan diamanahkan tanggung jawab besar untuk mempertahankan kedaulatan sebuah negara merdeka. Keselamatan Negara boleh diancam dari luar juga dari dalam negara. Ancaman dari luar terutama dari negara lain, lebih bijak diatasi melalui saluran diplomasi tanpa perlu menggunakan instrumen peperangan. Namun Negara juga wajib berwaspada menghadapi ancaman dari kumpulan pengganas atau ‘terrorist’ yang boleh muncul dari luar dan dalam negara.

4. Peristiwa-peristiwa yang sedang merebak di negara-negara Asia Barat kebelakangan ini, memperlihatkan rakyat menggunakan rusuhan awam sebagai saluran untuk menyuarakan tentangan terhadap kerajaan. Antara faktor yang menjadi pencetus kepada rusuhan awam tersebut adalah kegagalan pemimpin Kerajaan di negara-negara berkaitan untuk memahami aspirasi rakyat di samping kegagalan mereka memenuhi keperluan asas rakyat. Warga muda yang semakin ramai bilangannya dan semakin terdedah kepada dunia yang lebih luas, semakin menuntut kepada urus tadbir negara yang lebih telus dan lebih terbuka, pentadbiran yang berbentuk lebih ‘inclusive’, pemimpin yang peka kepada kesusahan rakyat serta pimpinan yang bersih dari amalan rasuah – pimpinan yang tidak menyalahgunakan kuasa serta sumber negara.

5. Kegagalan pimpinan di negara-negara tersebut menangani rusuhan awam secara bijaksana, telah mencetuskan pelbagai tragedi buruk dan tragedi malang, hingga berlakunya pertumpahan darah dan kerosakan kepada sumber ekonomi negara; banyak nyawa yang terkorban – banyak harta yang musnah. Nilai kesetiaan yang salah dan langkah yang silap, yang dilakukan oleh anggota Pasukan Pertahanan di negara tertentu, telah memberikan justifikasi membolehkan campur tangan kuasa luar dalam urusan dalaman pemerintahan sesebuah negara. Apabila kuasa asing mula bertapak di dalam negara, berakhirlah hayat kedaulatan sesebuah Kerajaan – tamatlah hayat kemerdekaan sesebuah negara.

6. Sama ada di Yaman atau di Libya, di Myanmar atau di Malaysia, di Asia atau di Amerika, peranan Pasukan Pertahanan ketika berlaku krisis dan situasi darurat akan mencerminkan imej sesebuah negara serta melukiskan watak seseorang pemimpin, yang dunia jadikan kayu ukur keyakinan terhadap sesebuah negara serta darjat penghormatan yang diberikan terhadap seseorang pemimpin. Anggota Pasukan Pertahanan dilatih untuk menggunakan senjata; anggota Pasukan Pertahanan ada lesen untuk menggunakan senjata, tetapi ini tidak bermakna anggota Pasukan Pertahanan dihalalkan menabur peluru sewenang-wenangnya kepada tubuh orang awam yang tidak berdosa tanpa senjata, hingga kota dan desa bermandi darah.

7. Peristiwa-peristiwa yang telah memberikan justifikasi campur tangan kuasa asing dan penglibatan tentera asing, wajib dijadikan pengajaran. Untuk itu dalam menghadapi suasana krisis dan situasi darurat, Pasukan Pertahanan hendaklah menghargai nyawa setiap warga, apatah lagi di kalangan mereka yang tidak bersenjata dan tidak berdosa. Laksanakan tanggung jawab secara bijaksana, secara profesional, secara rasional, secara adil lagi saksama.

8. Pasukan Pertahanan yang berwibawa hendaklah menjauhkan diri dari menjadi instrumen politik kepartian atau instrumen politik individu hingga tergamak melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan nilai-nilai kemanusiaan dan prinsip-prinsip keadilan. Pasukan Pertahanan perlu mempertahankan profesionalisme Pasukan dengan sama sekali tidak membenarkan Pasukan diresapi dengan anasir politik kepartian mahupun agenda sempit individu. Kredibiliti dan integriti Pasukan hendaklah senantiasa dipertahankan, dilandaskan atas prinsip berkecuali lagi berdisiplin, adil lagi saksama, supaya peranan Pasukan ketika menghadapi sesuatu krisis dan situasi darurat, tidak diragui, malah dihormati, disanjung dan diterima tanpa sangsi – tanpa prejudis.

9. Pasukan Pertahanan yang memiliki kredibiliti dan integriti tinggi akan senantiasa dihormati – akan senantiasa disegani serta berupaya memenuhi peranan juga berupaya melaksanakan tanggung jawab secara berkesan ketika tercetusnya krisis atau berlakunya darurat. Imej DIRAJA Pasukan Pertahanan di negara ini, wajib dipertahankan bersandarkan pendirian tegas, bertunjangkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat, berpaksikan doktrin pertahanan dalam sebuah negara pimpinan awam yang berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

10. Beta menzahirkan penghargaan kepada anggota Pasukan Pertahanan di atas semangat dan kesetiaan yang telah dibuktikan untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi – penuh disiplin, mempertahankan Raja dan Negara, berkorban jiwa – berkorban nyawa. Semangat patriotik tersebut amatlah tinggi nilainya. Semangat patriotik tersebut sewajarnya mendapat pengiktirafan tinggi negara. Beta juga menzahirkan penghargaan di atas pengorbanan tinggi di kalangan ahli keluarga para anggota; sesungguhnya mereka memiliki semangat kesabaran dan kecekalan serta senantiasa memberikan sokongan moral dan mendoakan keselamatan para anggota ketika melaksanakan tugas negara. Semoga segala khidmat – segala ketabahan – segala pengorbanan – segala jasa bakti kepada warga dan negara, akan mendapat ganjaran dunia – ganjaran akhirat.

11. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Latihan Kem Tahunan, Rejimen Askar Jurutera Diraja Senggara Perhubungan bagi tahun 2011.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

%d bloggers like this: