Persidangan Kali Ke 149 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat serta para Tabiin dan para ulama.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak Kali Ke 149.

3. Beta mengalu-alukan kehadiran Ahli-ahli Majlis, secara bersama memenuhi amanah dan tanggung jawab menyempurnakan satu fardhu kifayah. Semoga amanah dan tanggung jawab ini dapat disempurnakan dengan mendapat petunjuk dan bimbingan ILAHI. Beta menghargai segala pandangan dan pendapat yang disuarakan dengan penuh kesedaran, keinsafan dan keikhlasan supaya apa juga keputusan yang dirumuskan dapat memberikan sebaik-baik munafaat untuk perjalanan Majlis dan kesejahteraan umat.

4. Dunia baru melangkah ke tahun 1426 Hijrah. Semoga kedatangan tahun baru Hijrah akan turut membawa pembaharuan minda – ke arah membantu pembangunan minda yang lebih ‘inquisitive’ hingga berjaya merangka pendekatan baru yang lebih inovatif serta kreatif. Tahun Masehi 2005 bermula dengan pelbagai ujian besar yang harus dijadikan peringatan. Malapetaka berikutan gempa bumi di Aceh dan ombak besar tsunami adalah bencana yang diturunkan Allah sebagai satu peringatan yang perlu dijadikan pengajaran. Begitu banyak harta benda musnah dan nyawa terkorban. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas mereka yang telah pergi dan menambahkan kesabaran serta meningkatkan ketabahan kepada mereka yang menanggung dukacita kerana kehilangan ahli keluarga, sahabat handai dan harta benda. Sama-samalah secara ikhlas kita bacakan suratul ‘Fatihah’ dan memohon ganjaran yang dikurniakan atas bacaan tersebut disampaikan kepada roh-roh mereka yang telah terkorban dalam bencana tersebut. ‘Al Fatihah’

5. Beta juga menzahirkan ucap takziah kepada keluarga Dato’ Syed Ibrahim bin Syed Mohamed yang telah meninggalkan dunia ini pada 31 Januari 2005. Beta merakamkan penghargaan atas segala khidmat yang telah disumbangkan kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam dalam tempoh beliau menganggotai Lembaga Pengarah Perbadanan tersebut.

6. Salah satu matlamat yang harus dijadikan sasaran adalah untuk menempatkan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak terus menjadi badan yang dihormati. Untuk itu Majlis perlu berupaya menggubal dasar dan merumus keputusan yang relevan dan pragmatik dengan keperluan semasa serta disusuli dengan program kerja yang berkesan. Beta telahpun berulang kali memperingatkan dan menggariskan arahan dan tindakan yang perlu diambil dalam hasrat mahu mengukuhkan urusan Majlis. Kesegeraan tindakan amat perlu dilaksanakan dalam usaha mengukuhkan sistem pengurusan dan pentadbiran di Baitulmal Negeri dari segi pendekatan pengurusan dan prestasi kakitangan. Pendekatan-pendekatan baru perlu di laksanakan di Baitulmal terutama untuk meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti.

7. Dua perkara utama yang pernah Beta bangkitkan dan Beta minta diberikan fokus oleh Majlis adalah pertama;- meningkatkan Pungutan Zakat dan kedua;- Program Pembangunan Sumber Manusia. Beta disembah maklumkan bahawa Pungutan Zakat pada tahun 2004 telah meningkat kepada hampir 25 juta ringgit berbanding purata kutipan dalam lingkungan 23 juta ringgit pada tahun-tahun sebelumnya. Ini memperlihatkan perkembangan memberangsangkan hasil dari usaha bersungguh pihak pengurusan. Institusi korporat kian menampakkan kesedaran berzakat dan perkembangan ini menunjukan aliran positif.

8. Beta disembah maklumkan bahawa usaha kesedaran berzakat terus digiatkan. Antara langkah yang dilaksanakan termasuk menggalakkan seluruh pegawai dan kakitangan yang bernaung dibawah Institusi Agama iaitu Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah dan Jabatan Mufti untuk membuat potongan zakat pendapatan dari gaji bulanan mereka. Langkah ini amat bertepatan kerana Institusi Agama ini perlu menjadi contoh kepada Jabatan-jabatan Kerajaan yang lain. Beta berpandangan adalah wajar untuk ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan disusuli oleh Orang Besar – Orang Besar Negeri serta ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri tampil ke hadapan untuk menyokong langkah ini dan memberikan contoh teladan kepada umat Islam di negeri ini.

9. Beta juga disembah maklum bahawa Majlis Agama Islam telahpun menyiapkan Laporan Tahunan 2003 dan sasaran Kerja Tahunan yang menjadi landasan kepada matlamat yang ingin di capai pada tahun ini. Beta berharap semua Pegawai dan Kakitangan di Majlis dan juga di Jabatan-jabatan yang berfungsi dalam urusan Agama bekerja dengan penuh dedikasi dan profesional berpandukan semangat bahawa pekerjaan itu adalah satu amal – satu ibadat, jika dilaksanakan secara ikhlas dan jujur akan memperolehi ganjaran dunia dan akhirat.

10. Beta sekali lagi menzahirkan hasrat untuk melihat program pembangunan sumber manusia ditingkatkan. Seperti yang telah Beta zahirkan dalam Mesyuarat Majlis kali ke 142 yang berlangsung pada 21 Ogos 2003, masjid-masjid di negeri Perak hendaklah dipenuhi dengan pelbagai aktiviti ilmu yang tidak terbatas kepada ilmu-ilmu agama semata-mata. Program tersebut hendaklah segera dilaksanakan, dimulakan dengan beberapa masjid terutama yang lokasinya berada di kawasan-kawasan perumahan.

11. Adalah juga menjadi hasrat Beta untuk mesyuarat Majlis diadakan secara bergilir-gilir di daerah-daerah. Ini untuk membolehkan Beta memahami lebih rapat perkara-perkara pengurusan di peringkat daerah. Taklimat berkaitan isu-isu, pengurusan dan program pendidikan umat Islam bagi daerah berkaitan hendaklah dijadikan satu agenda khas apabila mesyuarat Majlis dilangsungkan di peringkat daerah. Semasa mesyuarat majlis dilangsungkan di daerah tertentu, Beta berhasrat untuk Orang Besar Jajahan, Pegawai Daerah dan Pentadbir Agama Daerah yang berkaitan dijemput hadir bersama sebagai pemerhati.

12. Untuk kemudahan perancangan, Beta menetapkan supaya mesyuarat majlis bagi tahun 2005 diadakan pada 3 Jun, 2 September dan 2 Disember. Tarikh-tarikh tersebut yang jatuh pada hari Jumaat dipilih untuk memberi peluang kepada Beta dapat pula menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di daerah-daerah.

 

13. Demikianlah perutusan Beta dalam Persidangan Majlis pada kali ini. Beta memohon petunjuk dan bimbingan ILAHI supaya persidangan ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang dapat meningkatkan kesejahteraan Ummah.

Wabillahi Taufiq Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

********

%d bloggers like this: