Persidangan Kali Ke 150 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Segala puji untuk Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak Kali Ke 150.

3. Persidangan kali ini membuka lembaran baru kerana diadakan di luar bandar Ipoh. Kompleks Pentadbiran Agama Islam Teluk Intan dipilih sebagai permulaan dan Pejabat Agama Islam di daerah-daerah lain akan menyusul. Adalah dipercayai, melalui pergiliran lokasi mesyuarat, ahli-ahli Majlis berpeluang mendapat pendedahan lebih luas dan pemahaman lebih dekat dengan isu-isu di peringkat akar umbi, di samping berpeluang pula mendampingi keadaan masyarakat setempat.

4. Beta mengucapkan tahniah kepada Yang Berbahagia Dato’ Haji Zainal Abidin bin Omar yang telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Pembangunan Negeri Perak Darul Ridzuan mulai 1 April 2005. Majlis pada hari ini merakamkan secara rasmi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sumbangan beliau ketika menjawat jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, sekali gus bertanggungjawab sebagai Setiausaha Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak. Majlis juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato’ Asari bin Haji Mokhtar, yang telah bersara wajib dari jawatan Ketua Polis Perak pada 27 Mei 2005.

5. Beta mengucapkan tahniah kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak atas kejayaan memperoleh MS ISO 9001 dan MS 2000 pada April 2005 melalui usaha niaga asas Perbadanan – ‘Pengeluaran Buah Tandan Segar’ Kejayaan ini adalah hasil dari usaha gigih pengurusan Perbadanan bersama pengurusan Ladang Gelang Pepuyu, Beruas.

6. Beta sukacita mendapati bahawa institusi korporat semakin menunjukkan kesedaran menunaikan tanggungjawab berzakat. Sehingga April 2005 sejumlah RM2.7 juta pungutan zakat telah diperoleh dari 11 institusi korporat. Perkembangan ini amat memberangsangkan. Usaha-usaha penerangan tentang tanggungjawab menunaikan zakat di kalangan institusi korporat dan institusi perniagaan perlu terus ditingkatkan. Di samping itu perkhidmatan urusan pembayaran zakat hendaklah dipertingkatkan dengan menyediakan kaunter perkhidmatan yang lebih memudahkan urusan bayaran termasuk membuka kaunter sewaktu makan tengah hari, dan menggalakkan urusan bayaran secara pos. Malah kemudahan perkhidmatan bayaran wajar diperluaskan ke peringkat sedia menerima bayaran secara kad kredit.

7. Beta disembah maklum bahawa Jabatan Kehakiman Syariah telah pun melantik sepenuhnya 9 orang Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Ini bermakna kekosongan bagi tiga jawatan Hakim untuk Mahkamah Rendah Syariah Parit Buntar, Mahkamah Rendah Syariah Taiping dan Mahkamah Rendah Syariah Tapah telah pun diisi mulai 17 Januari 2005. Beta berharap segala kes-kes penghakiman dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna dan cepat di samping berusaha mengurangkan kes-kes tertunggak. Keupayaan menyelesaikan kes dengan cepat hendaklah diutamakan kerana kelewatan penghakiman boleh menindakkan proses keadilan.

8. Di mesyuarat-mesyuarat Majlis yang lalu dan dalam beberapa siri titah yang Beta lafazkan, Beta telah menekankan hasrat untuk masjid berperanan lebih aktif, lebih dinamik dan lebih bermakna terutama dalam memenuhi tanggungjawab untuk membina modal ilmu dan modal budaya insan. Pandangan dan hasrat tersebut sebagai satu ‘idea’ telah mendapat sokongan dan sambutan menggalakkan melalui penulisan yang disiarkan di media cetak dan ulasan yang disuarakan melalui media elektronik. Beta tegaskan sekali lagi akan pentingnya jabatan menyusul dengan satu program kerja yang komprehensif lagi bersungguh, bermula dengan beberapa masjid terpilih dan kemudiannya dikembangkan.

9. Beta dengan ini menyarankan satu program pembangunan insan secara menyeluruh untuk Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar hendaklah dirangka oleh satu pasukan petugas dan dibentangkan di Mesyuarat Majlis akan datang, yang Beta cadangkan diadakan di Kuala Kangsar. Program Pembangunan Modal Insan dan Modal Budaya di Bandar Di Raja Kuala Kangsar yang berpusat di Masjid Ubudiah bolehlah dirangkaikan dengan Maktab Idrisiah dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Pegawai dan agensi kerajaan lain terutama dari Jabatan Pelajaran dan Jabatan Belia serta badan-badan bukan kerajaan hendaklah dibawa bersama dalam merangka satu program menyeluruh lagi dinamik untuk mengimarah masjid.

10. Semoga mesyuarat Majlis pada kali ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang dapat membawa kepada satu gerakan yang benar-benar dinamik untuk membangunkan umat Islam dalam pelbagai sektor terutama dari segi pembangunan intelek, pembangunan budaya dan pembangunan ekonomi.

  1. Demikianlah perutusan Beta dan Beta berharap segala pandangan dan makluman akan mendapat perhatian dan tindakan daripada Ahli Majlis.

Wabillahi Taufiq Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

********

%d bloggers like this: