Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 151. Beta mengalu-alukan keahlian Yang Berbahagia Dato’ Zainal bin Mohd.Tahir yang telah mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis Perak mulai 30 Jun 2005.
3. Negara telah selamat menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan kali ke 48. Warga Malaysia wajarlah bersyukur dengan tahap pencapaian kemajuan negara, merdeka lagi berdaulat, aman lagi sejahtera; stabil dari segi politik – makmur dari segi ekonomi. Kejayaan negara telah menjadikan Malaysia negara contoh, terutama di kalangan negara-negara Islam dan negara-negara sedang membangun. Malaysia merupakan negara Islam yang telah berjaya memperlihatkan keadilan secara hakikat, membolehkan warga pelbagai kaum – pelbagai agama meneruskan amalan budaya dan amalan agama mereka tanpa diganggu oleh pihak berkuasa mahupun oleh umat Islam; dan pada masa yang sama, agama Islam diletakkan di bawah perlindungan kuasa Raja-Raja Melayu.
4. Keistimewaan yang terdapat di negara ini adalah satu realiti. Realiti yang merupakan mimpi indah kepada banyak negara lain di dunia. Untuk itu, generasi muda perlulah ditingkatkan apresiasi mereka terhadap keistimewaan yang mereka nikmati ini, agar mereka tergolong menjadi insan-insan yang bersyukur. Generasi muda perlu didampingi oleh barisan pimpinan negara, dibimbing agar lebih memahami sejarah, falsafah dan selok-belok bernegara. Pimpinan kerajaan perlu senantiasa berusaha mendampingi generasi muda melalui majlis-majlis yang dianjurkan. Untuk itu, dalam menyusun Majlis-Majlis Berbuka Puasa di bulan Ramadhan tahun ini, adalah menjadi hasrat Beta, supaya lokasi dan kumpulan yang dipilih, akan memberi peluang kepada Beta dapat lebih banyak berinteraksi dengan generasi muda. Antara lokasi dan kumpulan yang wajar diberikan pertimbangan adalah Universiti, Maktab Perguruan, Institusi Latihan, sekolah berasrama penuh dan badan-badan belia.
5. Kisah kewujudan kerajaan langit yang dianjurkan oleh ‘Ayah Pin’ adalah satu lagi contoh ajaran sesat. Bagaimana umat Islam, termasuk sebahagiannya dari kalangan terpelajar, boleh terpengaruh. Ini memperlihatkan bahawa meskipun terdapat usaha-usaha tersusun menyampaikan ajaran Islam, bermula dari keluarga, di sekolah dan melalui institusi masyarakat, masih ada fikiran umat yang begitu mudah dipesongkan. Dinding pertahanan akidah sebahagian umat Islam ketara rapuh; begitu mudah diruntuhkan melalui ajaran yang disampaikan oleh seorang individu yang tidak pun memiliki organisasi yang hebat. Keadaan ini harus dijadikan loceng amaran kepada umat Islam, kepada keluarga Islam dan kepada institusi Islam. Bayangkan betapa akidah lebih ramai umat Islam dapat digoyangkan, jika umat Islam diberikan kebenaran didampingi secara terbuka oleh organisasi agama yang lebih tersusun dan lebih teratur. Bayangkan ancaman akidah yang demikian terdedah, sekiranya umat Islam tidak dilindungi secara perlembagaan, dari pengaruh ajaran-ajaran agama lain.
6. Umat Islam perlu dibina kekuatan akidahnya. Untuk maju, umat Islam perlu diperkaya dengan modal budaya, melalui program pembangunan insan, program pendidikan dan program penguasaan ekonomi secara berkesan. Majlis hendaklah memberikan fokus, menggariskan program berkesan dengan pemantauan rapi terhadap program pembangunan insan, program pendidikan dan program pembangunan ekonomi umat Islam.
7. Beta sukacita disembah maklumkan bahawa Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) telah dan sedang menganjurkan pelbagai kursus kepada Pengerusi dan Imam Masjid dari seluruh negeri Perak. Program Pembangunan Modal Insan dan Modal Budaya turut dirangka untuk dilaksanakan di Masjid Ubuddiah. Laporan kemajuan kursus dan program yang diadakan, berserta penilaian peserta dan juga pengajar hendaklah dibentangkan pada setiap Mesyuarat Majlis. Langkah-langkah penambahbaikan perlu dilakukan supaya kandungan kursus terus mantap dan kekal relevan. Beta menyarankan, dalam merangka kandungan kursus dan program, input dari tenaga pakar, termasuk tenaga dari luar kerajaan hendaklah dijemput. Ini untuk membolehkan dimensi dan pandangan yang lebih luas dan menyeluruh dapat diperoleh.
8. Beta juga mahu dijadikan agenda tetap, laporan kemajuan sekolah-sekolah agama di negeri Perak; merangkumi bilangan sekolah, bilangan bilik darjah, kemudahan prasarana, kemudahan akademik, bilangan tenaga pengajar, bilangan murid, nisbah murid dan pengajar, kepadatan pelajar, prestasi pencapaian akademik, kegiatan kokurikulum serta kedudukan kewangan untuk dibentangkan sebagai makluman ahli-ahli Majlis pada setiap kali mesyuarat diadakan.
9. Usaha-usaha harus dipertingkatkan untuk membantu prestasi pencapaian akademik pelajar-pelajar Islam. Atas kesedaran itulah Beta secara peribadi telah menaja bekalan akhbar ‘The New Straits Times’ kepada 13 buah sekolah di negeri Perak. Dari 13 buah sekolah tersebut, 4 buah adalah Sekolah Menengah Agama Negeri, dan sebuah lagi Sekolah Menengah Agama Persekutuan. Pada hasrat Beta, usaha tajaan perlu dilakukan untuk membolehkan semua Sekolah Menengah Agama di negeri Perak dapat dibekalkan dengan bilangan naskhah akhbar berbahasa Inggeris yang secukupnya bagi tujuan pembelajaran. Majlis hendaklah mengusahakan peruntukan bagi maksud membantu program penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pengajar dan pelajar di sekolah-sekolah agama.
10. Mulai mesyuarat akan datang, urus setia juga hendaklah membentangkan kepada ahli-ahli Majlis, laporan pungutan dan perbelanjaan zakat di negeri Perak, milik harta serta urus niaga yang dijalankan. Laporan ini hendaklah disediakan secara suku tahunan. Ini untuk membolehkan ahli-ahli Majlis mendapat maklum akan kedudukan pungutan zakat di negeri Perak dan memberikan apa-apa pandangan untuk memperbaiki perjalanan urusan pungutan dan agihan. Urusan pembayaran zakat hendaklah dipermudahkan. Untuk itu, Beta menyarankan supaya perkhidmatan pungutan zakat fitrah di bulan Ramadhan, dipermudahkan untuk keselesaan orang ramai. Tempat-tempat pungutan hendaklah juga diadakan di tempat-tempat awam selain dari masjid, merangkumi di kompleks-kompleks membeli belah. Perkhidmatan pungutan zakat hendaklah mengamalkan sikap dan sifat mesra pelanggan.
11. Dengan sokongan padu ahli-ahli Majlis, adalah menjadi hasrat Beta, supaya Jabatan Agama Islam Perak dan institusi-institusi yang berkaitan dengannya, bergerak pada tahap yang lebih aktif lagi dinamik. Jabatan Agama Islam hendaklah melihat peranannya lebih dari sekadar menjadi badan pentadbir, pengawal dan penguatkuasaan undang-undang, tetapi berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan ummah terutama dalam usaha pembangunan insan, pembangunan intelek, pembangunan ilmu, pembangunan budaya dan pembangunan ekonomi.
12. Semoga mesyuarat Majlis pada kali ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang dapat dijadikan panduan dan pedoman untuk pembangunan Islam dan umatnya. Semoga mesyuarat mendapat petunjuk dan bimbingan ILAHI.
Wabillahi Taufiq Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
********