Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 152.
3. Umat Islam telah dan sedang melalui bulan-bulan penting dalam takwim Islam. Amalan puasa dan zakat fitrah berserta tadarus dan tarawih telah dapat dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan. Umat Islam kemudiannya telah menyambut Syawal dengan segala keriangan dan kegembiraan. Kini umat Islam dalam persiapan dan perjalanan untuk menunaikan Rukun Haji. Segalanya ini adalah satu nikmat – satu anugerah ILAHI kepada umat Islam yang melalui kehidupan secara normal, aman dan tenteram, terlepas dari malapetaka – bebas dari sebarang bencana; baik disebabkan perbuatan manusia mahupun kerana bencana alam. Kehidupan normal merupakan satu nikmat dan anugerah, untuk umat melafazkan sebanyak-banyak kesyukuran.
4. Pelbagai bencana alam telah berlaku dalam tempoh dua belas bulan yang lalu. Bermula dengan Tsunami, di ikuti dengan Katrina, Rita dan Wilma di Amerika, hinggalah kepada gempa bumi yang berlaku di Pakistan dan Utara India. Ratusan ribu nyawa terkorban dan berbilion ringgit harta benda musnah. Mangsa-mangsa bencana kehilangan ahli keluarga – kehilangan harta benda – kehilangan mata pencarian. Manusia juga turut menjadi punca kepada penderitaan sejagat. Kesan dari peperangan akibat tindakan kuasa besar yang berlaku di Afghanistan dan Iraq masih meneruskan kesengsaraan dan penderitaan umat. Demikian juga keadaan di Palestin yang masih tidak memberi keyakinan ke arah berlakunya pendamaian.
5. Lebih menggelisahkan adalah perbuatan pengganas dari kalangan umat Islam yang sanggup membunuh diri serta menjadikan orang awam yang tidak berdosa sebagai mangsa. Tidak ada tempat di dunia kini terjamin selamat. Ia amat menjejaskan urusan ekonomi dunia, secara langsung mempengaruhi kos urus niaga, dari segi premium lindungan insurans yang lebih tinggi, perbelanjaan keselamatan yang meningkat baik di pihak kerajaan mahupun swasta kerana keperluan peralatan dan kakitangan keselamatan yang bertambah, di samping melambat dan merumitkan urusan perjalanan.
6. Amatlah tidak produktif apabila perjuangan berlandaskan Islam yang begitu luas dan murni kini bagaikan dicolek oleh kumpulan-kumpulan berfikiran sempit dan cetek. Akibatnya seluruh umat Islam menanggung kerugian dan perlu membayar dengan kos yang tinggi. Keadaan ini merupakan cabaran paling besar bagi umat Islam di era ini. Umat Islam sendiri hendaklah mengambil tanggung jawab menentang kumpulan pelampau dan ekstremis ini. Kumpulan pelampau dan ekstremis tidak harus sama sekali diberikan perlindungan. Kumpulan pelampau dan ekstremis adalah juga musuh kepada umat Islam dan kemanusiaan sejagat. Mereka adalah pengganas. Membiarkan mereka bergerak bebas dan memberi perlindungan kepada mereka bererti menyokong kepada keganasan. Kumpulan pengganas boleh memesongkan perjuangan Islam yang murni dan suci.
7. Untuk itu Beta menyeru supaya para ulama khususnya, memainkan peranan lebih penting lagi aktif, tampil ke hadapan dengan tegas, jelas dan terbuka menentang keganasan. Anak-anak muda terutamanya, perlu dilindungi dari terpengaruh dan dijadikan instrumen oleh kumpulan pengganas hingga sanggup melakukan perbuatan yang merugikan diri sendiri, anggota keluarga dan negara. Anak-anak muda khususnya perlu diberikan peringatan secara berterusan bahawa perbuatan ganas, membunuh dan memusnah adalah amat bertentangan dengan ajaran Islam.
8. Tahun Masihi 2005 telah sampai ke hujung waktu. Fajar Masihi 2006 akan menjelma. Majlis sewajarnya meninjau pencapaian yang telah diperoleh sepanjang tahun 2005 berbanding dengan sasaran yang telah ditetapkan. Sebarang kelemahan perlulah diperbaiki dan usaha-usaha penambahbaikan hendaklah diteruskan. Tahap kecemerlangan yang baru perlu dijadikan sasaran.
9. Beta berterima kasih atas kerjasama dan sokongan yang telah diberikan oleh ahli-ahli Majlis serta kakitangan Jabatan Agama Islam Perak di setiap peringkat serta badan-badan bukan kerajaan yang telah sama-sama membantu usaha untuk mengembangkan syiar Islam. Semangat berkhidmat dan bekerja atas nama Allah Subhanahu Wata’ala dengan niat bahawa bekerja itu adalah satu amal makruf hendaklah terus disemai dan dijadikan pegangan.
10. Semoga mesyuarat Majlis pada kali ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang dapat dijadikan panduan dan pedoman untuk pembangunan Islam dan umatnya. Semoga usaha kita mendapat petunjuk dan bimbingan ILAHI.
Wabillahi Taufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
**************