Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 153.
3. Umat Islam baru sahaja menyambut tahun baru Hijrah 1427. Pelancaran sambutan di peringkat negeri telah Beta sempurnakan pada 30hb. Januari lalu. Beta dapati bahawa setiap tahun sambutan Maal Hijrah dianjurkan dengan acara yang hampir sama. Pada pandangan Beta acara sambutan ini wajarlah diberikan dimensi baru melalui pendekatan baru, dengan program yang lebih hidup lagi dinamik, supaya memberi satu impak yang lebih berkesan terutamanya kepada generasi muda.
4. Segala yang diusahakan hari ini hendaklah berasaskan wawasan untuk memperlengkapkan generasi muda dengan pengetahuan, pengalaman dan pendedahan untuk membolehkan mereka mengambil tanggung jawab menghadapi hari muka. Usaha-usaha negara hendaklah dengan matlamat untuk menyediakan generasi bagi masa hadapan negara. Untuk itu adalah menjadi hasrat Beta supaya kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh Majlis dan Jabatan Agama Islam Perak, seperti sambutan Maal Hijrah, sambutan Maulidur Rasul, majlis berbuka puasa, acara-acara agama dapat membawa penglibatan aktif generasi muda dengan bilangan penyertaan yang ramai dari kalangan mereka.
5. Penyertaan mereka juga tidak harus terbatas sebagai penonton yang pasif; malah mereka hendaklah dikedepankan. Aktiviti yang dianjurkan hendaklah dapat menggalakkan mereka untuk melakukan kajian dan penyelidikan, mendalamkan ilmu dan melebarkan pengetahuan; hingga dapat memberikan kesan dalaman serta penghayatan sesuatu peristiwa penting Islam di hati sanubari mereka. Ini dapat dilakukan antaranya, melalui pertandingan menulis, berkarya dan melukis bertemakan Islam, pertandingan mentafsir al quran, pertandingan syarahan dan perbahasan, di kalangan belia dan pelajar dari pelbagai peringkat umur.
6. Perlu disedari bahawa 75 peratus penduduk di negara ini berada dalam usia di bawah 40 tahun, dan 45 peratus berada di bawah usia 20 tahun. Majlis dan Jabatan agama perlu peka terhadap perangkaan ini. Kegiatan Majlis dan Jabatan hendaklah dihalakan dan melibatkan generasi muda ini. Dalam menganjurkan acara-acara, Majlis dan Jabatan tidak wajar melaksanakannya secara isolasi. Jabatan Pelajaran, Jabatan Pendidikan, Majlis Belia serta badan-badan bukan kerajaan, perlu dibawa bersama supaya program yang lebih selaras (integrated) antara Jabatan, agensi dan badan-badan bukan kerajaan dapat dianjurkan dengan suntikan inovasi; lebih hidup, lebih menarik, lebih dinamik dan lebih partisipatif.
7. Dalam hasrat dan semangat untuk membina generasi muda yang lebih bersedia bagi menghadapi hari muka, Beta telah meminta dalam mesyuarat kali ini, supaya taklimat tentang program pendidikan dan sekolah agama diberikan. Generasi muda Islam perlu dibekalkan dengan pengetahuan yang membolehkan mereka menghadapi cabaran dunia global. Mereka perlu dibekalkan dengan pengetahuan yang mengupayakan mereka menghadapi era ekonomi global berpaksikan pengetahuan. Mereka harus disediakan dengan kemahiran untuk memenuhi keperluan sumber manusia di sektor perkhidmatan, di sektor industri dan di sektor pertanian moden. Kurikulum dan kokurikulum di sekolah-sekolah agama perlu berupaya membangunkan sumber insan yang dinamik – memahami realiti dunia dan realiti semasa, berfikiran rasional lagi terbuka. Beta menjemput kepada perbincangan yang aktif supaya idea dan pendekatan baru dapat diperkenalkan dalam program pendidikan di sekolah-sekolah agama.
8. Kerajaan Negeri Perak telah pun mengumumkan perancangan bagi menjadikan Perak sebagai negeri maju menjelang tahun 2015. Pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak serta semua jabatan-jabatan di bawah naungannya perlu mengatur perancangan strategik untuk membolehkan kerajaan merealisasikan wawasan tersebut. Sumber manusia merupakan input terpenting dan usaha membangunkan sumber manusia adalah satu pelaburan yang perlu dilakukan secara bijak.
9. Semoga mesyuarat Majlis pada kali ini akan terus menghasilkan rumusan-rumusan yang dapat dijadikan panduan dan pedoman bagi pembangunan Islam dan umatnya. Semoga usaha yang dirintis ini mendapat petunjuk dan bimbingan Ilahi.
Wabillahi Taufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*********************