Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 154.
3. Persidangan yang berlangsung setiap tiga bulan sekali ini menimbangkan pelbagai cadangan dan merumuskan pelbagai keputusan. Segala yang diputuskan hendaklah disusuli dengan program bertindak yang serius untuk memberi makna kepada Persidangan yang diadakan. Beta sendiri dari masa ke masa telah menyuarakan ulasan, pandangan dan saranan dengan hasrat untuk melihat ianya diberikan perhatian secara serius dan disusul dengan program perlaksanaan yang berkesan.
4. Beta berulang kali telah melafazkan titah mahu melihat masjid berperanan lebih aktif, lebih dinamik dan lebih bermakna dalam memenuhi tanggung jawab serta usaha memperkayakan ilmu dan pengetahuan ummah di luar tajuk-tajuk agama. Tema-tema ceramah menyentuh kesihatan dan pemakanan, pelaburan dan ekonomi, pencemaran dan alam sekitar dan pelbagai lagi harus dianjurkan mengisi program-program ilmu di masjid-masjid. Dalam menghadapi ancaman pencemaran air yang semakin mengancam kesihatan insan, program pencegahan pencemaran dan pengawalan alam sekitar amat bertepatan untuk diadakan di masjid-masjid; apatah lagi bagi perkampungan dan mukim yang berada di pinggir-pinggir sungai.
5. Dalam menganjurkan program-program pembangunan minda, Jabatan Agama Islam hendaklah melaksanakannya secara berintegrasi dengan agensi-agensi lain baik dari sektor awam mahupun swasta. Jabatan Agama Islam harus menerima hakikat bahawa mereka tidak memiliki kepakaran dalam semua bidang dan oleh itu perlu menjalinkan rangkaian kerjasama dengan agensi-agensi lain dalam usaha memajukan ummah. Beta merasakan terdapat jurang yang masih jauh antara harapan dengan tahap pencapaian. Usaha-usaha lebih agresif, bersungguh dan terarah hendaklah ditingkatkan supaya perkara yang telah disarankan disusuli secara lebih bersungguh.
6. Dalam Persidangan Majlis kali ke 150 yang berlangsung pada 3hb. Jun 2005, Beta menyarankan agar satu program pembangunan insan secara menyeluruh untuk Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar hendaklah dirangka oleh satu pasukan petugas. Demikian juga program pembangunan modal insan dan modal budaya dibangunkan di Bandar Diraja Kuala Kangsar yang berpusat di Masjid Ubudiah lalu dirangkaikan dengan Maktab Idrisiah dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Beta amatlah berhasrat untuk dapat disembah maklumkan akan program yang telah dirangka dan kemajuan yang telah dicapai oleh Pasukan Petugas ini sejak 10 bulan yang lalu.
7. Dalam Persidangan kali ke 153, Beta telah menyarankan betapa pentingnya program-program memperingati acara-acara penting dalam kalendar Islam dilaksanakan dengan dimensi baru, melalui pendekatan baru, dengan program lebih hidup lagi dinamik supaya memberi satu impak yang lebih berkesan terutamanya kepada generasi muda. Pandangan itu Beta suarakan selepas menghadiri Pelancaran Sambutan Maal Hijrah 1427 betapa Beta dapati bahawa setiap tahun sambutan yang dianjurkan berbentuk begitu rutin dengan program yang hampir sama.
8. Beta ingin mengulangi saranan yang sama selepas menghadiri Pelancaran Sambutan Maulidur Rasul yang berlangsung pada 11hb. April yang lalu. Pada hemat Beta, tempoh masa program-program sambutan janganlah terlalu panjang dan terlalu berlarutan hingga menimbulkan kegelisahan dan kejemuan kepada hadirin. Jika pembaharuan tidak dilakukan, Beta bimbang masyarakat akan merasakan program-program yang berkaitan dengan acara penting Islam, tidak mempunyai tarikan malah membosankan. Sebagai Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Beta turut bertanggung jawab terhadap keupayaan Jabatan menganjurkan acara-acara secara menarik, dinamik dan lebih hidup. Jika perlu Beta sarankan supaya urus setia sambutan mendapat khidmat dari ‘agensi-agensi pengurusan acara’ (event managers) untuk membantu merangka dan melaksanakan program yang lebih menarik, berinovatif dan profesional serta meletakkan mercu tanda baru dalam pengendalian acara di negeri Perak. Idea dan pengalaman dari badan-badan dan individu swasta perlu diintegrasikan dalam program-program anjuran kerajaan. Malah Beta bersedia membantu memberikan nasihat dan pandangan dari segi pemilihan tenaga penceramah dan kandungan acara yang bakal dilangsungkan.
9. Beta gembira dengan peningkatan pungutan zakat yang telah meningkat kepada 27.6 juta bagi tahun 2005, peningkatan sebanyak 6.5% berbanding pungutan tahun 2004. Sistem kutipan zakat hendaklah terus dimajukan dengan memperbaiki sistem tersebut secara komprehensif untuk menjamin kutipan yang lebih tinggi bagi membolehkan pembiayaan keperluan-keperluan pembangunan umat Islam. Beta merasakan sudah tiba masanya keberkesanan sistem zakat melalui pendekatan korporat yang dilaksanakan di Majlis Agama Islam di negeri-negeri lain dijadikan satu perbandingan. Pendekatan Majlis Agama Islam di negeri-negeri lain menubuhkan Pusat Pungutan Zakat telah memperlihatkan satu kemajuan pesat dalam sistem zakat. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak wajarlah meneliti sistem yang telah memperlihatkan kejayaan ini dan jika sesuai dilaksanakan di negeri Perak.
10. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, Kerajaan Persekutuan turut membuat seruan supaya pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri bersama mengambil tanggung jawab fardu kifayah, berperanan aktif membangunkan ekonomi umat Islam dan membantu usaha pembangunan insan. Tanah dan harta wakaf di bawah tanggung jawab pihak berkuasa agama Islam negeri merupakan sumber modal umat Islam; jika dibangunkan secara produktif dapat membantu usaha mengimbangkan milik kekayaan, milik harta kediaman dan perniagaan umat Islam terutamanya di kawasan bandar. Beta menyarankan supaya satu kumpulan kerja yang arif dan berpengetahuan berhubung pembangunan hartanah dibentuk dari kalangan pihak swasta untuk menasihatkan Beta dan Majlis merangka satu program berkesan untuk merealisasikan aspirasi yang termaktub di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Kumpulan Kerja ini hendaklah mengenal pasti hartanah Milik Majlis dan mengunjurkan potensi pembangunan yang dapat dilakukan serta menggariskan nikmat dan peluang yang dapat diagihkan kepada institusi dan umat Islam di negeri ini.
11. Beta sekali lagi mengingatkan urus setia dan Jabatan Agama Islam Perak untuk melakukan tindakan susulan secara serius akan saranan-saranan dan ketetapan yang telah diputuskan di dalam Persidangan Majlis. Persidangan Majlis hendaklah mengamalkan budaya berorientasikan tindakan (action oriented) jika benar-benar serius untuk membantu pembangunan umat Islam dan jika bersungguh untuk memperlihatkan dinamisme organisasi dan institusi Islam. Telah berulang kali ditekankan pentingnya diperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat. Kemajuannya akan diukur dari segi perlaksanaan dan tindakan yang benar-benar berkesan dan dapat disempurnakan dengan kadar segera. Mamanda Menteri Besar dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri perlulah membantu Beta untuk merealisasikan misi yang ingin Beta penuhi. Sesungguhnya adalah menjadi hasrat Beta untuk membawa satu pembaharuan dinamik kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dalam memenuhi tanggung jawab yang telah diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan kepercayaan yang diamanahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak ke atas bahu Beta.
12. Pada Persidangan ini juga, Beta merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Arif Dato’ Haji Abd. Aziz bin Mohd. Yusof, Ketua Hakim Mahkamah Syarie dan Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry bin Haji Sury kerana telah dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak bersempena hari ulang tahun keputeraan Baginda kali ke 78 pada 19hb April yang lalu.
13. Semoga mesyuarat Majlis kali ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang bermakna dalam hasrat dan usaha untuk membangunkan umat dan institusi Islam. Beta menghargai pandangan, saranan, maklumat dan nasihat yang disembahkan kepada Beta.
Wabillahi Taufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
********************