Persidangan Ke 155 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 155.

3. Beta merakamkan penghargaan kepada Yang Berbahagia Dato’ Abdul Hanan bin Alang Endut atas peranan dan perkhidmatan beliau semasa menjadi ahli Majlis. Beliau telah ditukarkan dari jawatan Setiausaha Kerajaan Perak dan mengambil tanggung jawab baru sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berkuat kuasa dari tarikh 15 Mei 2006. Beta doakan beliau terus mencapai kejayaan dalam melaksanakan tugas di tempat yang baru. Beta mengalu-alukan keahlian Yang Berhormat Dr. Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Kerajaan Perak yang baru dengan harapan bahawa Majlis akan mendapat manfaat dari pengalaman dan pengetahuan beliau terutama di peringkat membantu memantau dan melaksanakan secara cepat lagi berkesan keputusan-keputusan yang telah dirumuskan oleh Majlis.

4. Era teknologi maklumat memungkinkan maklumat tersebar dengan lebih cepat dan lebih meluas. Tidak semestinya setiap maklumat yang tersebar itu tepat, betul dan berasaskan fakta. Maklumat yang diterima perlu diteliti dan dianalisis, disahihkan kebenarannya sebelum dapat diterima. Prinsip ilmu itu berakar kepada kebenaran fakta yang sahih lagi teruji serta mempunyai bukti-bukti nyata untuk menyokong sesuatu kebenaran penemuan. Prinsip ilmu yang berakar kepada kebenaran itu amat selaras dengan pengajaran Islam, kerana Islam menyeru kepada kebenaran.

5. Kebijaksanaan meneliti, menilai, menganalisis dan mengurus maklumat berkaitan isu agama amatlah kritikal dalam sebuah negara yang warganya terdiri dari pelbagai penganut. Apatah lagi jika sesuatu pendapat dan pandangan itu menyentuh dan merentasi batasan antara agama. Dalam keadaan demikian, isu agama tidak akan terbatas kepada perkara agama semata-mata; jika tidak diuruskan dengan bijak, ia mungkin mempengaruhi hubungan antara penganut, ia mungkin mencetus suasana ketidakselesaan, ia mungkin menjejas hubungan harmoni; selanjutnya memungkinkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi serta ketenteraman awam dan keselamatan negara terancam.

6. Pada hemat Beta, isu-isu agama dan antara agama perlu ditangani secara bijaksana – secara rasional, secara mesyuarah – secara konsultasi; apatah lagi jika isu-isu tersebut boleh menimbulkan keghairahan dan berunsur provokatif. Isu-isu sensitif berhubung agama dan antara agama, perlu terlebih dahulu dibincangkan dalam forum tertutup secara bertanggung jawab tanpa perlu penghebahan. Tanggung jawab mengurus isu sensitif berhubung agama dan antara agama perlu dilaksanakan dengan keinsafan akan kemungkinan implikasi negatif yang mungkin dicetuskan. Oleh itu semua pihak terutama barisan pemimpin, para ilmuwan dan pihak media mempunyai tanggung jawab besar untuk saling membantu mengurus isu-isu sensitif agama dan antara agama secara bijaksana.

7. Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak ini merupakan antara forum yang baik untuk membincangkan isu-isu berkaitan agama, juga antara agama. Oleh itu, selain dari membincangkan perkara-perkara yang disediakan oleh urus setia, Beta menjemput ahli-ahli persidangan atas nama individu atau agensi yang diwakili untuk mengemukakan kertas-kertas perbincangan dalam persidangan ini. Kepelbagaian pengalaman dan latar belakang ahli-ahli, jika dapat dirangkum dan disatukan akan dapat menghasilkan formula dan pendekatan untuk membantu usaha pembangunan umat Islam secara khusus, negeri dan negara ini secara keseluruhan.

8. Setengah tahun telah pun berlalu. Prestasi tahun 2006 bagi enam bulan pertama hendaklah dibedah siasat dari segi keberkesanan, permasalahan, pencapaian dan perbelanjaan. Bedah siasat ini amat penting dilakukan terutama dari segi mengenal pasti kelemahan; pendekatan dan pengolahan baru mungkin perlu disuntik untuk enam bulan terakhir bagi memastikan sasaran yang telah ditetapkan bagi tahun 2006 dapat dicapai sepenuhnya. Jika bedah siasat ini dapat dilakukan dengan berkesan dan kelemahan berjaya diatasi secara berkesan, Insya Allah sasaran kerja yang telah digariskan bagi tahun 2006 akan dapat dicapai.

9. Semoga mesyuarat Majlis kali ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang bermakna dalam hasrat dan usaha untuk membangunkan umat dan institusi Islam. Beta menghargai pandangan, saranan, maklumat dan nasihat yang disembahkan kepada Beta.

Wabillahi Taufiq Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

********************

%d bloggers like this: