Persidangan Ke 156 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 156.

3. Beta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang hadir. Bulan Ramadhan telah pun berlalu. Beta terlibat secara langsung dalam program-program yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadhan. Program Ramadhan yang dianjurkan hendaklah mempunyai roh dan nilai ; dan menghasilkan kesan yang dihasratkan, bukan sekadar menganjurkan program semata-mata. Beta perhatikan program Nuzul Quran yang telah diadakan pada 9 Oktober lalu bagaikan gagal mengisi roh dan memenuhi falsafah peristiwa Nuzul Quran. Ianya satu lagi program yang berlangsung secara ‘mekanikal’. Program tersebut perlu dihalusi apabila dianjurkan pada tahun hadapan supaya dapat benar-benar memberikan kesan selaras dengan peristiwa Nuzul Quran dan setimpal dengan perbelanjaan yang dibelanjakan. Jangka masa program, kandungan program, urutan program, lokasi program, penceramah dan kandungan ceramah hendaklah setimpal dengan taraf majlis yang dihadiri oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.

4. Tahun 2006 telah hampir sampai ke penghujungnya. Semoga segala yang telah dirancang berjaya mencapai matlamatnya. Setiap kejayaan hendaklah dijadikan tangga untuk mendaki kejayaan lebih gemilang. Sebarang kegagalan wajarlah dijadikan pengajaran untuk melakukan pembaikan.

5. Beta telah merintis usaha ke arah mengubah pandangan umum terhadap bekas banduan dengan menjemput Encik Salleh Talib menghadap Beta pada 7 Oktober lalu. Peristiwa dalam kehidupan insan harus dijadikan pengajaran. Encik Salleh Talib telah menempuh pengalaman getir dalam melalui perjalanan hidup. Namun elemen-elemen positif yang ada pada setiap individu mestilah dimanfaatkan. Pengalaman Encik Salleh boleh dijadikan pengajaran dan peringatan di kalangan generasi muda hari ini agar lebih menghargai kehidupan mereka, supaya dapat menjadi warga yang berguna kepada masyarakat dan negara. Beta menyarankan agar Jabatan Agama Islam Perak mahu pun kerajaan negeri Perak mengambil langkah mengaturkan program yang sesuai terutama di kalangan generasi muda dan pelajar sekolah membolehkan Encik Salleh Talib menyampaikan peringatan dan mengambil pengajaran dari kesilapan beliau.

6. Pengurusan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak telah menyediakan bajet tahun 2007. Peruntukan disediakan turut merangkumi program pembasmian kemiskinan dan program peningkatan ilmu. Penyelarasan sewajarnya hendaklah dilakukan dengan peruntukan daripada Kerajaan Pusat dan peruntukan Kerajaan negeri agar dana yang disediakan itu benar-benar memberikan manfaat dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

7. Program-program yang disusun bagi pembasmian kemiskinan mestilah lebih bersifat jangka panjang dan tidak lagi terbatas kepada program berbentuk rutin. Golongan fakir miskin perlu dilibatkan secara aktif dalam kegiatan ekonomi secara produktif dan dalam program-program pembangunan tanah. Peluang secukupnya mestilah disediakan untuk membawa mereka keluar dari kemiskinan. Matlamat akhirnya adalah untuk membasmi kemiskinan sepenuhnya. Masyarakat sifar miskin boleh dicapai dan wajib dicapai.

8. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada DCP Dato’ Zainal Bin Mohd. Tahir, Ketua Polis Perak yang telah dinaikkan pangkat untuk menjawat jawatan Pengarah Jabatan Logistik, Polis DiRaja Malaysia mulai 1 November 2006. Beta berterima kasih atas peranan dan sumbangan beliau ketika menjadi Ahli Majlis. Beta mengalu-alukan keahlian P/DCP Dato’ Abd. Aziz Bin Bulat yang mengambil alih tanggung jawab Ketua Polis Perak berkuat kuasa mulai 3 November 2006. Semoga mesyuarat Majlis kali ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang bermakna dalam hasrat dan usaha untuk membangunkan umat dan institusi Islam. Beta menghargai pandangan, saranan, maklumat dan nasihat yang disembahkan kepada Beta.

Wabillahi Taufiq Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*******************

%d bloggers like this: