Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 157 pada pagi ini.
3. Beta mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1428H dengan harapan agar penghayatan semangat hijrah oleh setiap lapisan umat Islam dalam negeri ini terhadap perubahan kepada keadaan yang lebih baik daripada tahun sebelumnya menjadi satu nilai pegangan dalam kehidupan seharian.
4. Kita masih lagi tidak dapat melupakan bencana banjir yang menimpa saudara-saudara kita di Johor dan beberapa buah negeri lain dengan keadaan yang luarbiasa baru-baru ini. Beta berharap agar setiap individu di dalam negeri ini senantiasa bersiapsedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana-bencana yang tidak diingini. Pengalaman daripada mereka yang pernah menghadapi saat-saat dilanda banjir hendaklah diambil perhatian agar kesediaan kita senantiasa berada ditahap maksimum.
5. Beta mengambil iktibar dan pengajaran, bahawa bala dan bencana, diturunkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagai ujian kepada umat manusia dan alam semesta. Kepada yang menjadi mangsa, ia dugaan menguji ketabahan dan kesabaran, ketakwaan dan keimanan; meningkatkan keinsafan akan prinsip tauhid dan ketuhanan. Bahawa sesungguhnya, ada kuasa yang Maha Besar – Maha Agung, berada lebih tinggi mengatasi segala kebijaksanaan dan kekuatan insan. Pada masa yang sama Tuhan juga menguji gelagat dan sifat mereka yang tidak ditimpa bala; ketika berada dalam kesenangan dan kemewahan. Semoga akan dilimpah nikmat dan kasih ILAHI, di kalangan umat yang mengamalkan sifat kemanusiaan yang tinggi, tampil ke hadapan menghulur bantuan – menghulur pertolongan, secara ikhlas mengambil tanggung jawab sosial, membahagikan sebahagian kemewahan dan kesenangan kurniaan ILAHI, sebagai tanda syukur kepada Tuhan yang melindungi mereka dari mala petaka.
6. Beta juga mentafsirkan, bahawa bala dan bencana adalah juga peringatan Tuhan kepada manusia. Mungkin dalam kerakusan manusia yang merasakan telah begitu berkuasa, manusia telah banyak melakukan kezaliman kepada alam semula jadi. Mungkin dalam kesombongan manusia yang merasakan begitu bijak, manusia telah melakukan perancangan alam kehidupan secara mendadak, tanpa berfikiran jauh, tanpa melihat implikasi jangka panjang, dalam bentuk menghadapi pencemaran alam, pemanasan global dan pelbagai perkara yang menentang hukum alam secara keterlaluan.
7. Generasi hari ini mungkin terpaksa membayar dengan harga mahal kesilapan generasi terdahulu. Oleh itu, pada hemat Beta, amatlah penting untuk generasi hari ini mengambil iktibar dengan tidak mengulangi kesilapan masa dahulu, demi menjamin generasi masa hadapan tidak akan menderita kerana terpaksa menanggung dosa kesilapan yang dilakukan oleh generasi hari ini. Untuk itu, dengan penuh insaf Beta mengingatkan diri sendiri untuk melihat bala bencana yang begitu sering berlaku pada masa ini, sebagai suara ILAHI, memperingatkan hamba Nya untuk tidak melakukan kezaliman, tetapi hendaklah alam semesta dan isi dunia, diuruskan secara adil lagi saksama, berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi lagi mulia.
8. Perancangan secara teliti berdasarkan maklumat yang tepat adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam kerana ia akan menghasilkan pencapaian yang berkualiti. Pada hari ini kita akan mendengar hasil penyelidikan berkaitan potensi zakat dalam negeri Perak. Beta percaya ianya akan dapat membantu kita menyediakan satu perancangan dengan lebih baik. Beta juga meminta agar penyelidikan berkaitan isu-isu sosio-ekonomi umat Islam juga perlu dilaksanakan untuk mendapatkan sumber-sumber yang dapat membantu kita dalam membuat perancangan dimasa hadapan.
9. Budaya membuat penyelidikan (research and development) perlu dijadikan rutin. Ini boleh dilaksanakan dengan kerjasama institusi-institusi pengajian tinggi ataupun dengan pakar-pakar perunding. Beta yakin dengan kaedah ini akan dapat membantu kita membuat perancangan serta perlaksanaan dengan lebih baik dari apa yang diamalkan sekarang.
10. Beta sekali lagi didalam persidangan ini, ingin mengingatkan agar semua program-program pembasmian kemiskinan dan peningkatan ilmu yang telah disusun, dilaksanakan dengan melibatkan golongan fakir miskin secara aktif dan produktif dalam program-program yang telah dirancang supaya ia benar-benar memberikan manfaat dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
11. Semoga mesyuarat Majlis kali ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang bermakna dalam hasrat dan usaha untuk membangunkan umat dan institusi Islam. Beta menghargai pandangan, saranan, maklumat dan nasihat yang disembahkan kepada Beta.
Wabillahi Taufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
********************