Persidangan Ke 158 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 158 pada pagi ini.

3. Beta mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Dr. Abdul Rahman bin Hashim, dan kepada Yang Berhormat Dato’ Jamaludin Al-Amini bin Haji Ahmad, yang telah dikurniakan dengan anugerah Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) serta kepada Yang Berbahagia Profesor Madya Haji Md Salleh Bin Haji Md @ Haji Ahmad yang telah dikurniakan anugerah Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP), bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak pada 19 April yang lalu.

4. Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih atas jasa bakti dan perkhidmatan Yang Berhormat Dato’ Engku Nor Faizah binti Engku Atek bekas Penasihat Undang-Undang Negeri Perak yang telah bertukar mulai 1 Jun 2007 yang lalu, mengambil tanggung jawab baru sebagai Timbalan Penggubal Undang-Undang Parlimen, Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara. Beta mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Encik Ahmad Kamal bin Md Shahid, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak sebagai Ahli Majlis yang baru. Beta juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato’ Abd Aziz bin Bulat yang telah bersara dari jawatan Ketua Polis Perak, atas peranan dan perkhidmatan beliau ketika menjadi ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

5. Titah yang dilafazkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak bersempena sambutan ulang tahun keputeraan Baginda pada 19hb. April lalu, mengingatkan bahawa keamanan merupakan pra syarat kepada kebahagiaan, kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara bangsa. Titah Baginda, “betapa negara yang aman dapat menumpukan sumber negara, sumber kekayaan dan sumber manusia untuk membangunkan negara. Sesungguhnya keamanan itu adalah satu rahmat – satu nikmat”.

6. Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan itu, amatlah perlu diberikan perhatian. Keamanan negara wajib dipelihara. Memelihara keamanan lebih berat dari memusnahkannya. Pertelingkahan begitu mudah dicetuskan. Perlanggaran kecil di jalan raya atau bunyi bising jiran tetangga; dahan yang menimpa laman sebelah atau buah yang jatuh ke laman sendiri; gelaran yang tersalah sebut atau tempat yang tersilap duduk; sudah cukup untuk memulakan pertelingkahan.

7. Sering kali konflik dan krisis berlaku, kerana adanya jurang komunikasi. Malah tanpa komunikasi berkesan, jiran yang tinggal sekampung dan anggota keluarga yang tinggal sebumbung, boleh berakhir dengan konflik dan krisis. Apatah lagi cabaran yang dihadapi dalam sebuah negara yang mempunyai warga yang menganuti pelbagai agama, berlatar belakangkan pelbagai kaum dengan mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa. Tidak boleh sama sekali dibenarkan berlakunya jurang komunikasi di antara warga di negara ini. Saluran komunikasi secara berkesan amatlah penting diwujudkan, dilaksanakan secara bertamadun, dengan hati yang lapang dan minda yang terbuka; semoga akan terbina jambatan hubungan – akan terangkai tali persahabatan di kalangan warga.

8. Islam berkembang hebat ke serata dunia dalam tempoh masa yang singkat kerana terdapatnya mekanisme komunikasi yang berkesan hingga dapat merentas sempadan negara, sempadan politik, sempadan budaya dan sempadan bahasa. Mekanisme komunikasi yang berkesan itu telah tidak menimbulkan sebarang keraguan dan tidak mengandungi unsur paksaan atau kekerasan. Islam didampingi kerana kejayaan yang diperlihatkan dan kecemerlangan yang dipamerkan. Islam tidak berkembang secara paksaan, dengan suara kekerasan, atau dengan nada merendahkan orang lain. Di sebaliknya, di peringkat awal perkembangan ajaran yang di bawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, umat Islam yang menjadi mangsa kepada kekejaman kaum Quraish jahiliah. Namun barisan pimpinan Islam terus memperlihatkan sifat tamadun yang tinggi, mempamerkan hikmah yang setinggi-tingginya.

9. Untuk itu Beta menyeru supaya ahli-ahli Majlis Agama Islam Perak, barisan pemimpin Islam, organisasi Islam, institusi Islam dan umat Islam di negeri Perak, memperlihatkan satu pendekatan menangani isu berkaitan agama dan berkaitan kaum secara bijaksana, mempamerkan hikmah, dengan kekayaan budi, mencerminkan ketinggian akal. Umat Islam tidak perlu merasa gentar yang bukan bertempat dan tidak wajar melatah bukan pada masanya. Sebaliknya umat Islam hendaklah melengkapkan diri dengan kekuatan untuk membolehkannya berhujah berbekalkan pengetahuan – berbekalkan ilmu. Umat Islam tidak harus membina imej Islam yang ditakuti; di sebaliknya umat Islam harus membina imej sebagai insan yang dihormati kerana kekayaan ilmu dan kekayaan pengetahuan, kerana ketinggian tamadun dan ketinggian akal budi.

10. Beta mengikuti secara rapat laporan di akhbar-akhbar berhubung status kurang seimbang dan keistimewaan yang berbeza antara Hakim Mahkamah Sivil dan Hakim Mahkamah Syariah. Perkara ini perlulah diberikan perhatian dan diambil tindakan segera. Untuk itu, Beta menyarankan agar Mamanda Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan segera melakukan penilaian dan membuat perakuan sewajarnya. Perakuan tersebut hendaklah dipersembahkan kepada Beta untuk Beta angkat sembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan bagi mendapat pandangan dan perkenan Baginda.

11. Semoga mesyuarat Majlis kali ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang bermakna dalam hasrat dan usaha untuk membangunkan umat dan institusi Islam. Beta menghargai pandangan, saranan, maklumat dan nasihat yang disembahkan kepada Beta.

Wabillahi Taufiq Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

********************

%d bloggers like this: