Persidangan Ke 159 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 159 pada petang ini.

3. Ajal maut adalah ketentuan daripada ILAHI yang wajib diterima realitinya oleh setiap insan dengan penuh keinsafan dan keimanan. Begitulah ketentuan ILAHI terhadap salah seorang Ahli Majlis, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Osman yang telah kembali ke Rahmatullah pada jam 6.00 petang, hari Khamis 30 Ogos 2007, di Pusat Perubatan Universiti Malaya, pada usia 82 tahun.

4. Allahyarham telah menjadi Ahli Majlis sejak tahun 1985. Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan. Beta merakamkan takziah penuh hiba kepada keluarga Allahyarham. Semoga segala jasa bakti Allahyarham diterima sebagai amal soleh. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham. Bersamalah kita mendoakan semoga balu dan kaum keluarga Allahyarham menerima ketentuan ILAHI ini dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Marilah sama-sama kita bacakan suratul Fatihah, semoga bacaan tersebut diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan ganjaran pahala dariNya disampaikan kepada roh Allahyarham. Al – Fatihah.

5. Pengurusan kewangan secara cekap merupakan komponen penting menentukan kejayaan sesuatu perancangan. Pengurusan sumber kewangan secara cekap oleh mereka yang memiliki kepakaran dan kebijaksanaan yang tinggi akan dapat meningkatkan produktiviti yang dapat pula memberi manfaat kepada kumpulan sasaran. Disebaliknya pengurusan kewangan yang lemah berakhir dengan pembaziran lalu gagal mendatangkan hasil optimum.

6. Rasa tanggungjawab yang tinggi perlu ada dikalangan perancang dan pelaksana agar pengurusan kewangan dapat diuruskan secara telus dan penuh berhemah. Ketirisan kewangan akan berlaku jika sumber kewangan gagal diuruskan secara berhemah dan telus. Tatacara kewangan yang telah digariskan hendaklah dipatuhi sepenuhnya supaya amalan pengurusan kewangan memperlihatkan budaya pengurusan yang amanah lagi bertanggungjawab. Teguran dari Jabatan Audit hendaklah dijadikan kompas panduan bagi melakukan langkah-langkah pembetulan demi memastikan pengurusan kewangan mencapai tahap kecekapan yang lebih tinggi. Kelemahan-kelemahan yang ada perlu diperkemaskan supaya ruang untuk berlakunya salah guna kuasa dan penyimpangan dapat dielakkan dari berlaku.

7. Dana yang diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak dalam Bajet 2008 adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada para pelaksana. Pastikan pelaksanaannya dilakukan secara berkesan hingga manfaatnya dapat benar-benar dinikmati oleh kumpulan sasaran. Keberkesanan dalam pengagihan zakat kepada semua asnaf mestilah bersifat menyeluruh dan mendatangkan impak besar dan tidak dilihat sekadar dana berbentuk kebajikan. Program-program membangunkan modal insan dan membantu melahirkan usahawan mestilah diberikan keutamaan. Kesediaan menjalinkan kerjasama dengan pihak-pihak lain yang berpengalaman seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dalam program-program keusahawanan hendaklah terus diterokai. Pertukaran idea dengan Majlis Agama Islam negeri-negeri lain yang telah terbukti berjaya wajar dilakukan. Sikap tidak mahu keluar dari zon selesa sedia ada, merupakan penyakit yang akan menghalang pencapaian yang lebih gemilang. Idea bagi menubuhkan Pusat Agihan Zakat yang dimajukan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan hendaklah diteliti dan diadaptasi sebagai satu pembaharuan dalam usaha meningkatkan prestasi mengurus dana zakat.

8. Jabatan Agama Islam hendaklah berusaha untuk memperlihatkan tahap pengurusan kewangan yang dapat dijadikan teladan dan contoh. Jabatan Agama Islam haruslah menjadi tunggak dan teras kepada sifat-sifat amanah, telus dan bertanggung jawab. Kelemahan jabatan ini bukan sahaja memberi imej buruk kepada jabatan malah akan secara langsung menjejaskan maruah agama dan umat Islam. Sebarang salahlaku kakitangan dan anggota di bawah pengawasan majlis turut menjejaskan imej Islam dan umat Islam. Amatlah mendukacitakan apabila tersiar berita akan tindakan Badan Pencegah Rasuah terhadap salah seorang pegawai di Mahkamah Syariah Perak baru-baru ini. Kejadian seperti ini amatlah memalukan dan hendaklah dijadikan pengajaran dan dielakkan dari berulang kerana ia begitu menjejaskan imej Majlis dan Jabatan Agama Islam.

9. Tujuh belas hari lagi insya Allah, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Semoga umat Islam di seluruh dunia dapat menyambut hari kebesaran tersebut dalam suasana bahagia lagi menggembirakan. Kita berdoa semoga kita dilindungi dari sebarang malapetaka dan bencana. Dalam semangat persaudaraan Islam kita wajar insaf dan bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa malang dan bencana meski di mana juga mereka berada. Di negara ini suasana riang menyambut Aidilfitri ada kalanya menjadi duka kerana berlakunya bilangan kemalangan jalan raya yang tinggi serta kebakaran dan kemalangan disebabkan mercun dan bahan bunga api yang ditegah.

10. Untuk itu Beta menyeru kepada pihak-pihak berkuasa, penguat kuasa undang-undang terutamanya Polis Di Raja Malaysia untuk bertindak tegas membanteras tindakan penjualan mercun dan bahan-bahan api yang dilarang oleh undang-undang, demikian juga dari segi menguatkuasakan peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya. Pada masa yang sama Beta menyeru rakyat jelata untuk memperlihatkan sikap bertanggung jawab yang tinggi dengan menghormati undang-undang dan mematuhi peraturan. Peringatan ini eloklah dilakukan dan diulangi melalui khutbah Jumaat, ceramah dan saluran media.

11. Semoga mesyuarat Majlis kali ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang bermakna dalam hasrat dan usaha untuk membangunkan umat dan institusi Islam. Beta menghargai pandangan, saranan, maklumat dan nasihat yang disembahkan kepada Beta.

Wabillahi Taufiq Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

********************

 

%d bloggers like this: