Persidangan Ke 160 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 160 pada pagi ini.

  1. Beta mengalu-alukan kehadiran Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Mohammed Yusoff bin Hussain, Rektor, Kolej Islam Darul Ridzuan, Ipoh dan Yang Berbahagia Dato’ Sheikh Haji Mohamad Nor bin Haji Mansur Al-Hafiz, Imam Besar, Masjid Sultan Idris Shah ke II, Ipoh sebagai Ahli Majlis yang baru. Beta percaya pengalaman kerja kedua-dua mereka sebelum ini akan dapat menambahkan khazanah kepakaran untuk membantu majlis meningkatkan prestasi perkhidmatan yang lebih cemerlang.

4. Tahun Masihi 2007 dan Tahun Hijrah 1428 telah sampai ke penghujungnya. Negara tahun ini merayakan sambutan ulang tahun kelima puluh kemerdekaan. Betapa warga wajib bersyukur kerana terus dilimpahkan rahmat dan nikmat oleh Allah Subhanahu Wata’ala, hidup rukun dan damai, makmur dan sejahtera dalam negara yang warganya terdiri dari pelbagai kaum dan menganut agama yang berbeza. Suasana rukun dan damai, makmur dan sejahtera ini hendaklah dipelihara setiap masa.

5. Kejadian-kejadian jenayah dan perbuatan-perbuatan mengetepikan undang-undang negara, jika tidak ditangani secara tegas, boleh mengancam kestabilan dan keamanan yang sedang dinikmati oleh warga di negara ini. Jenayah perlu dibanteras secara tegas – secara berkesan. Warga dan masyarakat harus tampil ke hadapan membantu pihak berkuasa dalam usaha membanteras jenayah. Ketika negara dalam darurat menghadapi ancaman militan komunis, warga pernah menyahut seruan negara menyertai pasukan ‘home guard’ dan menubuhkan pasukan kawalan kampung. Demikian juga peranan aktif warga membantu pasukan keselamatan ketika negara menghadapi ancaman konfrontasi dengan Indonesia. ‘Citizen patrol’ atau mengadakan rondaan di kalangan warga pernah dilakukan melalui program Rukun Tetangga dalam usaha mengawal kejadian jenayah di awal tahun tujuh puluhan.

6. Kejadian-kejadian jenayah seperti mencuri bahan-bahan logam yang merupakan sebahagian dari komponen kepada prasarana dan khidmat utiliti boleh mengancam terputusnya bekalan perkhidmatan asasi yang sangat kritikal kepada warga. Kehadiran warga asing tanpa izin, yang diberikan naungan oleh majikan tertentu, tidak boleh dibiarkan berterusan. Pengedaran dadah, penyeludupan termasuk penyeludupan manusia, gangguan trafik di jalan raya oleh ‘Mat Rempit’ adalah antara perbuatan jenayah yang wajib dibanteras secara tegas.

7. Kos ekonomi dan kos sosial yang harus ditanggung oleh negara akan menjadi bertambah besar jika kehadiran warga asing tanpa izin tidak segera dibendung. Warga Malaysia wajib tampil ke hadapan, berperanan aktif, menjadi telinga dan mata, membantu usaha pasukan keselamatan untuk membanteras jenayah secara lebih berkesan. Sewajarnyalah Badan-Badan Islam, Jawatankuasa Masjid dan Kariah tampil ke hadapan memperlihatkan sebaik contoh, membantu usaha negara dan pasukan keselamatan membanteras jenayah terutama di kawasan-kawasan yang memperlihatkan perangkaan kejadian jenayah yang tinggi.

8. Di samping itu, seyogia Beta memperingatkan bahawa adat tertib bernegara dan berwarga hendaklah senantiasa dihormati. Negara dan warga haruslah bertindak secara bertamadun lagi bersopan dengan menghormati adat tertib bernegara dan berwarga. Undang-undang negara dan institusi penguat kuasa undang-undang hendaklah senantiasa dihormati. Perbuatan mencabar undang-undang dan mencabar institusi penguat kuasa undang-undang, dengan mengimport dan memperkenalkan budaya kekerasan, tidak merupakan budaya berpolitik yang sihat dan konstruktif. Keamanan dan kerukunan negara tidak harus dikorbankan kerana kepentingan atau matlamat perjuangan jangka pendek mana-mana kumpulan. Untuk itu warga Malaysia, wajib menghormati undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara. Jika hari ini proses yang menghormati undang-undang dibenarkan untuk dirampas oleh kumpulan tertentu hingga proses undang-undang tersebut boleh runtuh, dibimbangkan bahawa negara ini sedang berada pada titik permulaan untuk terheret menuju kepada satu anarki.

9. Beta menyeru kepada warga di negara ini, untuk senantiasa mengamalkan pemikiran rasional, memilih tindakan secara rasional dalam ruang lingkup undang-undang negara dan bertiangkan budaya bangsa dalam apa juga usaha untuk membawa kebaikan. Negara telah mencapai banyak kemenangan dan mencipta banyak kejayaan melalui budaya rundingan, budaya perbincangan dan budaya muafakat. Budaya bertindak yang asing dengan budaya kita hendaklah ditolak dan tidak dibenarkan bertapak di bumi ini. Seruan Beta, pilihlah jalan yang baik – pilihlah cara yang baik – pilihlah kaedah yang baik dalam hasrat mahu mencapai niat yang baik.

10. Semoga mesyuarat Majlis kali ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang bermakna dalam hasrat dan usaha untuk membangunkan umat dan institusi Islam. Beta menghargai pandangan, saranan, maklumat dan nasihat yang disembahkan kepada Beta.

Wabillahi Taufiq Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

********************

%d bloggers like this: