Persidangan Ke 162 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, dengan rahmat, inayat dan izin dari Allah Subhanahu Wata’ala juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 162.

3. Umat Islam sedang menjalani ibadah puasa. Di samping berpuasa di siang hari, suasana masjid dan surau lebih bercahaya, dimakmurkan dengan amalan bersembahyang tarawih dan bertadarus di malam hari. Umat Islam juga menunaikan zakat fitrah di bulan ini. Menjadi kelaziman juga, umat Islam melakukan lebih banyak amal dan sedekah dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Di samping menahan diri dari makan, minum dan naluri berkelamin di siang hari, umat Islam turut mendisiplinkan diri dari mengeluarkan kata-kata tidak baik terutama yang berbentuk fitnah dan umpatan memburukkan orang lain. Berakhirnya Ramadhan disambut dengan Syawal, satu lagi bulan mulia apabila umat Islam bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, mengakrabkan hubungan keluarga – merapatkan hubungan silaturahim.

4. Demikian dunia dan kehidupan menjadi aman lagi tenteram, damai lagi indah, apabila di hati manusia tersemai niat untuk melakukan kebaikan dan menolak keburukan; apabila manusia memilih persaudaraan dan menolak perselisihan. Kerukunan kehidupan keluarga bergantung pada kerukunan hubungan di kalangan anggota keluarga. Betapa malangnya nasib anak-anak, dalam keluarga yang ibu bapanya senantiasa bersengketa. Demikian pula kerukunan sebuah negara bergantung pada kerukunan di kalangan warga. Bagaimana malangnya nasib warga, berada dalam negara yang barisan pemimpinnya terlalu banyak bersengketa.

5. Semangat Ramadhan sebagai asas membina akhlak mulia, disusuli semangat Syawal membina persaudaraan, hendaklah diterjemahkan dalam urusan harian berkeluarga, bermasyarakat, berkerajaan dan bernegara. Begitu besar nikmat jika perpaduan dapat dipupuk, malah rahmat akan dilimpahkan di kalangan warga dan negara yang berada dalam harmoni; di sebaliknya persengketaan akan berakhir dengan perpecahan hingga kemakmuran tidak mungkin tercapai.

6. Akal dan fikiran, ilmu dan pengetahuan, pangkat dan jawatan, harta dan kekayaan, adalah anugerah ILAHI. Anugerah ILAHI juga adalah satu amanah – satu ujian. Jika anugerah ILAHI itu dihargai, maka insan yang telah mendapat anugerah sedemikian wajib memperlihatkan kesyukuran dengan menggunakan anugerah tersebut bagi melakukan kebaikan, melaksanakan keadilan, menjalin perpaduan, membina kemakmuran. Lalu negara akan terjamin aman dan warga akan dapat menumpukan fikiran dan usaha untuk membangunkan sumber-sumber negara bagi kesejahteraan rakyat.

7. Dunia sedang menghadapi iklim ekonomi yang suram. Harga minyak dan harga makanan sudah berada pada paras harga lebih tinggi dari dahulu. Segala usaha perlu ditumpukan untuk meringankan tanggungan rakyat. Produktiviti negara perlu ditingkatkan, pelabur perlu diyakinkan, pekerjaan baru perlu diwujudkan dan bekalan bahan-bahan keperluan perlu terjamin. Ia merupakan cabaran besar kepada mana-mana kerajaan sekalipun. Ia tidak akan dicapai melalui retorik politik semata-mata. Ia tidak akan dicapai jika di kalangan barisan kepimpinan baik yang berada di dalam atau di luar kerajaan terus bersengketa. Di sebaliknya suasana muram ekonomi dunia, memerlukan para pemimpin di negara ini baik di dalam mahupun di luar kerajaan mentafsirkannya sebagai cabaran terhadap negara-bangsa, lalu sama-sama menumpukan fikiran dan usaha untuk melaksanakan kerja-kerja yang produktif. Jika cabaran berat ini gagal ditangani, dibimbangkan kestabilan dan ketenteraman negara akan terjejas; segala kejayaan yang telah dicapai sejak 51 tahun merdeka akan turut hilang dan pupus.

8. Selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Beta menyeru kepada barisan pemimpin Islam dan Melayu untuk menunjukkan sebaik-baik contoh teladan, menyemarakkan semangat persaudaraan, memperkukuhkan perpaduan, memberhentikan pertelingkahan dan menumpukan perhatian membangunkan kesejahteraan ummah. Perbezaan pendekatan dan kaedah, kelainan fahaman dan tafsiran, jangan sampai ke peringkat umat Islam dan orang Melayu berpecah dan terpisah, berpatah arang – berkerat rotan, hingga yang menang menjadi arang – yang kalah menjadi abu.

9. Semoga mesyuarat Majlis dapat berlangsung dalam suasana terbuka juga berterus terang, menghasilkan pemikiran yang dapat dijadikan panduan serta petunjuk kepada Majlis dan Jabatan merealisasikan hasrat untuk membangunkan umat Islam dan institusi Islam.

Wabillahi Taufiq Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

********************

%d bloggers like this: