Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, dengan rahmat, inayat dan izin dari Allah Subhanahu Wata’ala juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 163.
3. Beta mengalu-alukan kehadiran Yang Dihormati Toh Muda Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja, Ab. Wahab bin Dato’ Seri Azizul Hassan, Orang Besar Jajahan Manjung yang telah diberikan perkenan lantikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak sebagai ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak yang baru.
4. Kelangsungan kehidupan umat Islam tidak dapat dipisahkan dari aspek ekonomi. Ini dikuatkan lagi dengan kefahaman dalam Islam bahawa kemiskinan hidup itu adalah di antara sebab dan bencana kehidupan yang boleh menjerumuskan manusia kepada persengketaan bahkan boleh membawa kepada kekufuran. Islam mewajibkan zakat sebagai salah satu pendekatan bagi mengimbangi keadaan sosio ekonomi umatnya selain menyediakan dana bagi pembangunan asnaf-asnaf yang lain.
5. Dunia hari ini sedang menghadapi kemelut dan krisis kewangan yang serius mengakibatkan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Keadaan ekonomi dunia yang sedemikian turut mempengaruhi persekitaran ekonomi di negara ini. Jika krisis dan kemelut kewangan ini tidak berjaya ditangani secara bijak lagi berkesan, dibimbangkan iklim ekonomi yang suram akan berpanjangan. Pertumbuhan dan pembangunan ekonomi akan terjejas, pelaburan bukan sahaja tidak berkembang malah mungkin menguncup, peluang pekerjaan baru tidak dapat diwujudkan malah dibimbangkan akan berlaku pemberhentian kerja.
6. Sumber ekonomi dan sumber kekayaan adalah anugerah ILAHI. Sumber-sumber tersebut bukan sahaja perlu dibangun dan dimajukan secara bijak malah perlu diuruskan secara amanah lagi telus dan diagihkan secara adil dan saksama untuk manfaat ummah keseluruhannya.
7. Manusia wajib mengambil pengajaran dari rekod kejayaan dan kegagalan pengurusan sumber ekonomi dan sumber kekayaan di serata dunia. Ada negara yang dilimpahkan dengan kekayaan pelbagai sumber bumi, namun negaranya mundur, pembangunan prasarananya tidak seimbang dan hanya tertumpu di ibu negara atau beberapa buah bandar sahaja dan majoriti rakyatnya berada dalam kemiskinan serta memiliki taraf pendidikan yang rendah. Sementara ada negara yang tidak mempunyai sebarang kekayaan sumber alam, tetapi muncul sebagai negara maju, pembangunan prasarananya luas lagi menyeluruh, rakyatnya makmur serta menguasai tahap pencapaian ilmu dan pengetahuan yang tinggi.
8. Berdasarkan perbandingan senario tersebut, manusia wajib sedar bahawa kebijaksanaan pimpinan dan kebijaksanaan insan menguruskan sumber secara produktif, telus dan adil merupakan faktor penting menentukan tahap kejayaan dan kemajuan sesebuah institusi, sesebuah organisasi dan sesebuah negara. Dalam menghadapi cabaran yang senantiasa berubah, demikian juga peluang baru yang turut berlainan, manusia harus bersedia dan berani melakukan pembaharuan, menerima idea baru, mencambah pemikiran baru dan memilih kaedah baru yang berbeza dari hari semalam. Insan-insan yang berhasrat membawa dan mencapai kemajuan tidak takut dan tidak gentar melakukan perubahan malah mentafsirkan secara positif bahawa pembaharuan itu adalah anak tangga untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.
9. Hari ini Majlis bersidang untuk membincangkan Bajet Tahun 2009. Di samping meneliti angka-angka yang terkandung di dalam Bajet yang telah disediakan, ahli-ahli Majlis juga hendaklah bersedia meneliti keberkesanan program-program yang telah dilaksanakan selama hari ini terutama dalam usaha-usaha membasmi kemiskinan serta program pembangunan modal insan terutama usaha untuk melahirkan profesional, usahawan, teknorat dan ilmuan Islam. Ahli-ahli Majlis bertanggung jawab dan perlu berani mencetuskan idea baru, mengemukakan pemikiran baru hatta memberikan teguran berani untuk memberhentikan program-program yang sekadar berbentuk kosmetik yang tidak produktif. Beta mengalu-alukan cetusan idea meneroka kaedah dan pendekatan baru yang lebih relevan di era ini, supaya aktiviti-aktiviti berbentuk kosmetik, tidak produktif dan berunsur pembaziran tidak lagi diteruskan.
10. Beta mengalu-alukan teguran dan pandangan, pemikiran dan pendapat untuk membantu Beta dan Majlis yang bersidang pada hari ini dapat merumuskan keputusan yang benar-benar memberikan manfaat kepada umat Islam khususnya dan negeri Perak Darul Ridzuan secara seluruhannya.
Wabillahi Taufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
**************