Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 164. Beta memilih memberikan perhatian kepada dua perkara bersempena Persidangan kali ini.
Pertama: Prestasi dan sasaran kerja jabatan berasaskan Indeks Prestasi Utama;
Kedua: Pengurusan Fatwa
3. Tahun Masihi 2008 dan Tahun Hijrah 1429 hampir sampai ke penghujungnya. Bermula dari Tahun Masihi 2009 dan Tahun Hijrah 1430, Beta menyarankan agar Jabatan Agama Islam Perak memperkenalkan sasaran kerja berasaskan Indeks Prestasi Utama (Key Performance Index). Di peringkat permulaan ini, Kaedah Indeks Prestasi Utama boleh diperkenal dan diguna pakai dalam aspek-aspek kerja berikut:-
Pertama: Pengurusan Kewangan yang memenuhi sasaran bajet dari segi pungutan dan perbelanjaan serta pengendalian urusan zakat.
Kedua: Pengurusan undang-undang dari segi sasaran dan kecekapan menyelesaikan kes-kes yang dikendalikan oleh Mahkamah Syariah, terutama yang melibatkan kepentingan keluarga Islam.
Ketiga: Program pembangunan modal insan dari sudut prestasi pencapaian dan kemajuan sekolah-sekolah agama terutama yang mendapat bantuan penuh Kerajaan Negeri.
Keempat: Pengurusan masjid dari segi pengurusan, kewangan, keharmonian dan kegiatan yang memperlihatkan perkembangan ilmu dan perpaduan ummah, diukur berasaskan program keilmuan yang inovatif lagi kreatif, serta memastikan masjid bebas dari disalah gunakan oleh kegiatan politik berparti, khutbah yang menyimpang, juga aktiviti berunsur politik berparti yang boleh memecah belahkan ummah. Untuk maksud memantau aktiviti masjid dari menyimpang, Beta dengan ini menitahkan Orang Besar Jajahan, Pegawai Tadbir Agama Daerah, Penghulu serta Polis Diraja Malaysia menyembahkan laporan secara mingguan sebaik sahaja berlakunya kegiatan yang menyimpang di dalam masjid di daerah atau jajahan masing-masing, terutama dari segi kandungan khutbah dan kandungan tazkirah.
Kelima: Hasil pencapaian usaha-usaha Jabatan dalam program membasmi kemiskinan dan keberkesanan pendekatan dinilai dari segi penggunaan tenaga serta kos berbanding hasil.
4. Pengarah dan pentabiran Jabatan hendaklah memperincikan kelima-lima aspek tersebut dan membentangkan kepada Majlis sebagai Kertas Pentadbiran dalam mesyuarat pertama Tahun 2009 akan pendekatan dan kaedah pengukuran berasaskan Indeks Prestasi Utama. Setiap tiga bulan sekali laporan kemajuan Indeks Prestasi Utama ini hendaklah dibentangkan di dalam mesyuarat Majlis, sebagai instrumen pemantauan. Beta mahu kaedah ini dijadikan instrumen pentadbiran membantu pendekatan pengurusan yang lebih dinamik dalam usaha meningkatkan imej dan prestasi Jabatan.
5. Dalam usaha mahu meningkatkan produktiviti dan kecekapan, sesebuah organisasi wajib bersedia memperkenalkan dan mengguna pakai kaedah penilaian yang lebih saintifik lagi telus, dan tidak boleh lari dari menggunakan kaedah penilaian kuantitatif bersandarkan analisis faktual perbelanjaan pembangunan dan kos operasi berbanding hasil pencapaian kerja.
6. Jabatan juga hendaklah meletakkan sasaran untuk memenangi anugerah-anugerah yang memberi pengiktirafan dari segi ukuran pencapaian pentadbiran, pengurusan kewangan dan pembangunan modal insan. Retorik perlu dikurangkan; di sebaliknya budaya kerja memenuhi pencapaian kuantitatif dan kualitatif hendaklah diamalkan secara lebih bersungguh. Jabatan juga perlu mendapatkan maklum balas pelanggan, memperkenalkan peti aduan awam serta bertindak melakukan pembaikan atas setiap teguran dan rungutan yang diterima dari pelanggan.
7. Perkara kedua menyentuh isu fatwa.
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ditubuhkan di bawah Perkara 11(a) Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, mengikut yang ditetapkan oleh Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat yang ke lapan puluh satu (81) pada persidangan hari kedua bertarikh 17 Oktober 1968. Perkara 14, Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menetapkan bahawa tugas Jawatankuasa Fatwa (Kebangsaan) ialah untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan Agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Termaktub dalam Perkara (14) bahawa ‘Jawatankuasa Fatwa (Kebangsaan) hendaklah mengemukakan pendapat-pendapatnya kepada Majlis (Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia) yang akan menghantarkannya bersama dengan pengesyoran-pengesyoran kepada Majlis Raja-Raja’. Perkara (16), memperingatkan bahawa ‘tiadalah apa-apa jua perbuatan Majlis (Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia) boleh menyentuh kedudukan, hak, kelebihan, hak kedaulatan dan kuasa-kuasa yang ada pada Raja sebagai Ketua Agama Islam dalam Negerinya dan sebagaimana yang ada diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan dalam Perlembagaan bagi Negerinya’.
8. Berpandukan Peraturan tersebut, bukan sahaja sebarang keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan perlu terlebih dahulu disembahkan kepada Majlis Raja-Raja malah proses permulaan untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa hendaklah terlebih dahulu dirujuk untuk mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja. Apa yang berlaku pada masa ini, terdapat satu lagi forum dikenali sebagai Muzakarah Jawatankuasa Fatwa. Badan tersebut telah melakukan pengumuman sesuatu fatwa secara langsung tanpa terlebih dahulu menyembahkannya kepada Majlis Raja-Raja. Keadaan ini jika tidak diperbetulkan boleh menimbulkan kekeliruan. Pada masa yang sama perlu diingatkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan untuk memberi arahan-arahan pentadbiran kepada pentadbiran agama Islam di negeri-negeri.
9. Demi menjamin hubungan yang harmoni dapat dijalin, adalah penting untuk bidang kuasa Jawatankuasa dan Jabatan masing-masing senantiasa difahami dan dihormati; terutama sekali untuk senantiasa memahami dan menghormati kedudukan, hak, kelebihan, kedaulatan dan kuasa-kuasa yang ada pada Raja mengikut yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Malaysia dan dalam Perlembagaan Negeri.
10. Beta juga mengingatkan kepada Memanda Menteri Besar, Pengerusi, Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan, Pengarah serta kakitangan Jabatan Agama Islam Perak untuk terlebih dahulu merujuk kepada Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, untuk diangkat sembah mendapatkan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan sebelum membuat apa-apa kenyataan awam dan kenyataan media bagi apa juga perkara yang jelas terletak di bawah bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.
11. Semoga persidangan ini mendapat pertunjuk dan hidayat dari ILAHI.
Wabillahi Taufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
**************