Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 165.
3. Beta mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat Mamanda Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato’ Dr. Zambry bin Abd. Kadir yang telah diberikan perkenan lantikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak menggangotai ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Beta juga mengalu-alukan peranan baru Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohamah Nor bin Mansor yang telah diberi perkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dilantik sebagai Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Beta dan Persidangan ini turut merakamkan penghargaan atas perkhidmatan dan peranan Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry bin Haji Sury ketika beliau menjawat jawatan Setiausaha Majlis. Semoga segala khidmat dan jasa bakti beliau diterima sebagai ibadah dan amal yang mendapat ganjaran dunia dan akhirat. Semoga beliau terus meningkatkan kemajuan kerjaya di tempat bertugas yang baru.
4. Kemelut ekonomi dunia semakin memberikan kesan negatif kepada ekonomi negara. Kehidupan seharian semua lapisan masyarakat semakin terjejas. Indeks Pengeluaran Industri bulan Januari 2009 mencatatkan penurunan 20.2% berbanding Januari 2008. Sektor pembuatan menurun 26.7% melibatkan ketujuh-tujuh sub-sektor pembuatan; sektor perlombongan menurun 6.1% dan sektor elektrik menurun 12.4%. Berbanding pengeluaran bagi bulan Januari 2008, pengeluaran bagi Januari 2009 menurun 7.3%. Perbandingan pengeluaran antara Januari 2008 dengan Januari 2009 memperlihatkan penurunan-penurunan berikut:-
Pengeluaran produk berasaskan getah dan plastik menurun | 27.1% |
Pengeluaran produk berasaskan kimia menurun | 29.9% |
Pengeluaran produk berasaskan elektrik dan elektronik menurun | 45.3% |
Peralatan dan mesin elektrikal menurun | 50.1% |
Peralatan radio, television dan komunikasi menurun | 44.8% |
Sektor makanan dan minuman menurun | 13.2% |
Pakaian dan tekstil menurun | 30.8% |
Bahan-bahan berasaskan kulit dan kasut menurun | 23.3% |
Kertas dan produk kertas menurun | 40.9% |
Perabut menurun | 37% |
5. Setiap peratus penurunan produksi menjejaskan ekspot negara – menjejaskan hasil dan pendapatan, menjejaskan majikan yang kehilangan pasaran, lalu terpaksa menurunkan produksi diikuti dengan memberhentikan pekerja. Keadaan ekonomi diramalkan akan melalui kemelut yang panjang. Dijangka ekonomi dunia pada tahun 2009 akan menguncup buat pertama kalinya sejak Perang Dunia Kedua. Perdagangan Dunia akan mencatatkan penurunan terbesar dalam tempoh 80 tahun. Tempoh pemulihan akan memakan masa yang panjang. Keadaan ini haruslah ditafsirkan sebagai peringatan ILAHI kepada umat manusia yang telah melakukan pelbagai kesilapan dalam mentadbir urus amanah dan melaksanakan tanggung jawab. Rakyat perlu diberikan penerangan akan situasi sebenar ini serta diberikan bimbingan dan panduan untuk menangani situasi ini. Khutbah dan majlis-majlis di masjid boleh mengambil peranan membantu menyampaikan mesej yang betul kepada rakyat.
6. Ketika menghadapi kemelut ekonomi yang buruk ini, jentera pentadbiran Kerajaan Negeri hendaklah memberi fokus kepada usaha-usaha untuk meringankan kesusahan rakyat. Orangramai yang kehilangan pendapatan akibat pemberhentian kerja atau berkurangan pendapatan akibat harga komoditi yang merudum, dan urusniaga yang semakin lembab perlu diberikan perhatian. Jentera Pentadbiran Kerajaan perlu mempermudahkan prosedur kerja bagi mempercepatkan tindakan dan mengurangkan karenah birokrasi. Keperluan asas rakyat dari segi bahan makanan, tempat tinggal, keselamatan, kesihatan dan pendidikan mestilah terus dijamin.
7. Keadaan ekonomi yang buruk ini berlaku di serata dunia. Ramai dijangka kehilangan kerja. Manusia akan melalui satu suasana hidup yang sangat tertekan. Ramai yang akan sampai keperingkat terdesak untuk melakukan apa sahaja untuk terus hidup. Kejadian-kejadian jenayah seperti ragut, pecah rumah, mencuri, merompak, menyamun dijangka meningkat. Aktiviti penyeludupan termasuk dadah dan kebanjiran imigran juga boleh meningkat.
8. Dalam suasana begini tenaga anggota polis amat perlu ditumpukan untuk mengawal keadaan jenayah, ketenteraman awam dan keselamatan negara. Badan-badan politik, badan-badan bukan kerajaan dan rakyat jelata hendaklah bersimpati dan memahami beban berat yang terpaksa dipikul oleh anggota polis.
9. Kegiatan-kegiatan politik yang keterlaluan dan berlebihan, akan turut menambah beban tugas polis. Perlu disedarkan bahawa setiap perhimpunan, perarakan haram atau tunjuk perasaan akan melibatkan kos tambahan di pihak Kerajaan kerana lebih ramai anggota pasukan keselamatan terpaksa digerakkan untuk melakukan kawalan. Di samping itu, setiap perhimpunan atau perarakan haram turut menjejaskan aktiviti ekonomi dari segi peniaga, pemandu teksi, pelancongan dan pelbagai kegiatan ekonomi. Untuk itu tindak tanduk yang tidak produktif hendaklah dihentikan. Tanggung jawab terhadap rakyat hendaklah dibuktikan secara tindakan yang bertanggung jawab dan bukannya melalui tindakan yang mencetuskan kacau-bilau.
10. Kemelut ekonomi ini boleh mengheret negara menghadapi situasi ‘darurat ekonomi’. Pada waktu negara sedang dilanda krisis ekonomi ini, rakyat sewajarnya membuktikan kesetiaan dengan membantu meringankan beban kerajaan. Badan-badan seperti Jawatankuasa Masjid, Jawatankuasa Penduduk dan Jawatankuasa Kampung boleh membantu meringankan tugas polis dengan mengadakan rondaan mengawal jenayah di samping memikirkan usaha-usaha mewujudkan tabung kebajikan bagi membantu rakyat yang benar-benar daif dalam kemiskinan.
11. Dalam Persidangan yang lalu, seorang ahli Majlis telah menyuarakan perlunya bagi Majlis turut memberikan perhatian kepada adat Melayu. Melayu itu adalah bangsa yang beradat lagi beradab, mengamalkan sikap sopan santun yang tinggi dan senantiasa menghormati institusi apatah lagi institusi keluarga, institusi masyarakat, institusi agama dan institusi Kerajaan Beraja. Telah menjadi amalan budaya bangsa bahawa ibu bapa dikasihi dan masyarakat dihormati, ulama disegani dan Raja ditaati. Itulah piagam budaya tidak bertulis yang menjadi faktor penyatuan dan faktor kekuatan umat Islam dan orang Melayu di bumi ini. Piagam budaya ini, kini kelihatan mahu diruntuhkan oleh gerakan-gerakan yang melakukan pelbagai kegiatan kerana matlamat perjuangan sempit untuk mendapatkan kuasa politik. Jika kegiatan ini dibiarkan, maka identiti bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini lambat laun akan terhapus. Bangsa Melayu yang berjati diri tinggi sama sekali tidak harus mengizinkan dirinya untuk menjadi alat menjaguhi suara perjuangan yang boleh memusnahkan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu.
12. Sedarilah, perdebatan, perbahasan dan tindakan politik keterlaluan, amat merugikan bangsa Melayu dan perpaduan umat Islam. Masyarakat mestilah dianjurkan untuk membina kesatuan umat. ‘Politiking’ yang keterlaluan hanya merugikan bangsa dan ummah. Banyak masa, tenaga dan sumber kewangan terbuang bagi menguruskan perkara yang tidak sepatutnya. Institusi masjid dan institusi pendidikan mestilah dijadikan medan bagi menjamin kelangsungan bangsa Melayu dan kesatuan umat Islam. Masyarakat Melayu dan Islam mestilah disedarkan agar tidak lagi terus menerus berbalah dan berpecah. Sejarah yang menimpa bangsa Melayu dan umat Islam yang sudah berlaku di negara lain, hingga meletakkan masyarakat Melayu dan Islam menjadi masyarakat pinggiran, mestilah dijadikan teladan.
13. Semoga mesyuarat Majlis dapat berlangsung dalam suasana terbuka juga berterus terang, menghasilkan pemikiran yang dapat dijadikan panduan serta petunjuk kepada Majlis dan Jabatan merealisasikan hasrat untuk membangunkan umat Islam dan institusi Islam.
Wabillahi Taufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
******************