Persidangan Ke 166 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 166.

3. Keindahan dan kesempurnaan Islam akan lebih terserlah dan lebih menyakinkan jika kegiatan-kegiatan yang dianjurkan atas nama Islam dapat diterjemahkan atau diperlihatkan kepada masyarakat umum. Islam tidak hanya indah secara teori bahkan lebih terserlah dalam amalan hidup seharian. Contoh teladan yang murni dan sifat `mengkota apa yang dikata’ merupakan pendekatan dakwah lebih ketara dan lebih bermakna berbanding aktiviti berbentuk kuliah dan ceramah.

4. Allah Subhanahu Wata’ala telah menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenal. Umat Islam hendaklah bijak mentafsir ciptaan ILAHI ini. Kepelbagaian etnik, budaya dan bahasa di kalangan umat manusia merupakan satu rahmat ciptaan ILAHI yang mesti dimanfaatkan untuk membuktikan bahawa Islam adalah universal sifatnya. Ciri-ciri budaya yang pelbagai adalah cerminan kekayaan ILAHI. Islam tidak menolak amalan-amalan budaya yang tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas ajarannya. Selagi budaya tersebut tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam, perkembangannya tidak harus disekat atau dihalang. Kegagalan mentafsir kepelbagaian budaya dan bahasa sebagai aset merupakan satu kelemahan yang perlu diatasi.

5. Justeru itu, persepsi Islam jangan sama sekali disempitkan. Penjelasan antara konsep-konsep dan hubung kait agama dengan budaya dan kumpulan etnik perlu difahami. Agama Islam adalah untuk seluruh umat dunia tanpa ada sempadan kaum atau budaya. Islam bukannya agama milik masyarakat Melayu semata-mata. Kaum-kaum lain yang mempunyai nilai-nilai budaya mereka mempunyai hak yang sama mengamalkan Islam dan merayakan peristiwa-peristiwa penting Islam berlandaskan nilai budaya masing-masing. Dakwah Islam dan penyebaran Islam akan difahami dan lebih dapat diterima melalui perantaraan bahasa dan budaya yang difahami oleh kumpulan etnik masing-masing.

6. Mengambil kira faktor masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kumpulan etnik, budaya dan bahasa, Beta telah memberi perkenan kepada permintaan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Taman Tasek Jaya Ipoh bersama Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh untuk membina sebuah masjid baru di Taman Tasek Jaya Ipoh. Kerajaan Ayahanda Beta melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 10 Ogos 2005 telah bersetuju merizabkan kawasan seluas 3776 meter persegi di Taman Tasek Jaya bagi tujuan pembinaan masjid ini.

7. Reka bentuk masjid tersebut akan menerima pakai ciri-ciri seni bina kebudayaan Cina. Masjid ini akan dapat menjadi pusat ibadat, pusat perkembangan ilmu, pusat maklumat, pusat kemasyarakatan untuk manfaat tujuh kawasan perumahan iaitu Taman Seri Tasek, Taman Tasek Baru, Taman Manikavasagam, Taman Tasek Jaya, Taman Musim Bunga, Taman Tasek Mutiara dan Taman Tasek Berlian. Beta suka menyarankan supaya komponen pusat niaga dan kafeteria turut dimasukkan supaya masjid ini memiliki kemudahan yang lebih lengkap lagi menyeluruh. Beta menghargai peranan aktif salah seorang ahli Majlis, iaitu Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ (Dr.) Haji Ahmad Azizuddin bin Haji Zainal Abidin berperanan menjadi penasihat utama kepada projek ini, di samping Yang Berbahagia Dato’ Dr. Fadzli Cheah Abdullah dan Yang Berbahagia Dato’ Sheikh Haji Mohamah Nor bin Mansor Al-Hafiz. Sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni ini, Beta mengumumkan geran pelancaran dua juta ringgit sumbangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak.

8. Perkembangan sistem teknologi maklumat pada hari ini melalui media internet dengan kewujudan lawan web, blog dan lain-lain telah digunakan secara meluas untuk memenuhi matlamat dan tujuan pelbagai kumpulan. Media cetak dan media elektronik konvensional tidak lagi menjadi pilihan utama dalam jaringan komunikasi moden tanpa sempadan. Ketidakupayaan mana-mana pihak untuk menggunakan serta memanfaatkan gelombang komunikasi baru ini akan menyebabkan umat Islam sekali lagi dilihat tidak berupaya mengikuti kemajuan dan perkembangan sains dan teknologi. Peningkatan kemahiran dan penguasaan penggunaan dunia ICT mestilah diakui sebagai pra syarat penting untuk membolehkan penyebaran Islam dapat dilaksanakan secara lebih berkesan untuk manfaat umat hari ini dan akan datang. Jangan sampai generasi akan datang terpaksa membayar harga, tertinggal di belakang disebabkan kealpaan generasi hari ini. Jangan dibenarkan berlaku senario yang membolehkan generasi akan datang menyalahkan generasi hari ini.

9. Oleh itu, Pentadbiran Islam di negeri ini wajiblah bersedia merangka satu dasar secara jelas akan program dakwah menggunakan gelombang media baru. Satu jalinan kerja di antara ulama’ dan ahli teknologi mestilah dirintis agar kebaikan dari teknologi gelombang dunia ICT dapat memberi manfaat kepada ulama’, pentadbir dan umat Islam.

10. Semoga segala hasrat dan usaha yang dilaksanakan mendapat keredaan ILAHI. Semoga kita semua kekal dalam perlindungan-Nya serta dijauhkan daripada segala mara bahaya dan dugaan yang tidak terdaya kita memikulnya. Semoga persidangan ini mendapat pertunjuk dan hidayat dari ILAHI.

Wabillahi Taufiq Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

****************

%d bloggers like this: