Persidangan Ke 167 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 167.

3. Peristiwa serangan bom yang berlaku di Hotel JW Marriot dan Hotel Ritz Carlton Jakarta pada 17 Julai 2009 adalah kejadian malang yang memberikan kesan negatif kepada rantau ini. Dalam keadaan para pemimpin negara di rantau ini sedang berusaha untuk mengatasi pelbagai masalah rakyat berpunca dari kemelut ekonomi dunia di tambah pula menghadapi influenza A (H1N1), rantau ini kini menghadapi bebanan baru akibat peristiwa pengeboman tersebut.

4. Kemelut ekonomi dunia telah menyaksikan jutaan insan di rantau ini yang terjejas teruk dari segi pendapatan. Ratusan ribu diberhentikan kerja dan hilang sumber pendapatan. Influenza A (H1N1) yang menjejas sektor perkhidmatan terutama industri pelancongan, pengangkutan dan hospitaliti, turut menambahkan kos operasi kepada setiap kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan pencegahan dan perkhidmatan rawatan.

5. Imej rantau ini di kaca mata pelabur dan pelancong asing bertambah terjejas. Kos untuk memulihkan keyakinan melibatkan perbelanjaan yang tinggi dan memakan masa yang lama, itu pun jika tidak berlaku kejadian-kejadian baru. Peristiwa pengeboman bukan sahaja akan melihat berlakunya pembatalan perjalanan pelancong dan mempengaruhi pertimbangan untuk melakukan pelaburan, malah turut meningkatkan kos negara untuk membiayai keperluan tambahan peralatan dan operasi keselamatan. Ini mengalihkan penggunaan sumber kewangan negara kepada perbelanjaan yang kurang produktif. Akhirnya yang terpaksa menanggung rugi bersih adalah negara sendiri, rakyat tempatan yang seagama, sebangsa dan senegara.

6. Antara faktor yang mendorong kejadian dapat difahami. Ia adalah manifestasi kekecewaan umat Islam terhadap gelagat kuasa-kuasa besar yang bersifat menindas negara Islam dan umat Islam. Kuasa besar bukan sahaja tidak memperlihatkan kesungguhan untuk menyelesaikan krisis di Asia Barat secara adil terutama yang melibatkan, malah turut menjadi punca kepada konflik tersebut. Bagaimana penderitaan yang terpaksa dihadapi oleh negara Islam seperti Iraq, yang pernah memiliki kemakmuran ekonomi, hari ini menerima nasib malang berikutan campur tangan kuasa besar atas alasan mahu menjadi doktor politik, kononnya berhasrat untuk memberikan preskripsi politik bagi mengubati sistem kerajaan yang dianggap tidak demokratik.

7. Setiap campur tangan yang berunsur paksaan menggunakan kekerasan dan kuasa ketenteraan tidak memperlihatkan hasil yang meyakinkan. Kekerasan menjemput kepada reaksi kekerasan. Hari ini reaksi kekerasan itu tidak lagi terbatas dalam lingkungan sempadan negara-negara tertentu yang terlibat secara langsung. Malah seluruh dunia global ini menjadi sasaran mudah (soft target) kepada aktiviti terrorisme, dan amat malangnya kerugian bersih yang lebih tinggi terpaksa ditanggung oleh negara di mana tercetusnya kejadian terrorisme tersebut sedangkan kerugian atau kerosakan (damage) yang ditanggung oleh kuasa besar hampir tidak ada, kerana yang menjadi mangsa kepada serangan, walaupun dari kalangan warga dari negara kuasa besar, mereka adalah insan-insan yang tidak berdosa, terdiri dari para pelancong, pekerja, wanita, orang tua dan ada kalanya kanak-kanak.

8. Islam tidak pernah mengizinkan matlamat menghalalkan cara. Pemikiran ekstremisme – pemikiran fanatik bukan budaya Islam. Islam menganjurkan kepada perdamaian, perundingan dan sifat musyawarah dan syura. Islam tidak pernah menghalalkan nyawa insan yang tidak berdosa dijadikan sasaran membalas dendam atau menunjukkan marah. Kekecewaan yang sedang dihadapi oleh umat Islam di serata dunia hendaklah ditangani melalui usaha meningkatkan nilai tambah modal insan umat Islam dan menerokai peluang-peluang ekonomi baru agar lebih ramai umat dapat dikeluarkan dari alam kemiskinan.

9. Usaha ke arah meningkatkan tahap produktiviti sumber-sumber di negara Islam perlu ditumpukan untuk membangunkan sumber manusia berilmu, profesional dan berkemahiran. Elemen dan komponen pendidikan komprehensif yang dapat menambah nilai modal insan adalah sesuatu yang wajib. Institusi pendidikan Islam tidak boleh berada dalam isolasi untuk mengetepikan modul pendidikan yang tidak membekalkan insan dengan kurikulum pendidikan komprehensif yang dapat membangunkan potensi insan secara menyeluruh.

10. Insan-insan yang telah menguasai ilmu hendaklah menggunakan ilmu dan pengetahuan mereka untuk melaksanakan kerja-kerja konstruktif. Yang menjalankan tugas mengebom hingga membunuh diri sendiri ibarat seorang tentera pejalan kaki biasa (ordinary foot soldier). Di belakangnya ada perancang utama (master mind) yang jelas memiliki tahap pemikiran dan minda intelek yang tinggi dari segi strategi dan pengetahuan teknikal. Betapa beruntungnya ummah, bangsa dan negara jika kebijaksanaan akal dan kekayaan pengetahuan anugerah ILAHI itu dapat disalurkan untuk melakukan kerja-kerja konstruktif termasuk membantu membangunkan industri pertahanan untuk negara bangsanya.

11. Sama-samalah kita berdoa semoga rahmat, petunjuk dan nur ILAHI diresapkan ke dalam jiwa cerdik pandai Muslim untuk memiliki keinsafan dan kesedaran melakukan perkara-perkara konstruktif dan menjauhkan diri dari melakukan kerja-kerja yang destruktif.

12. Beta mengucapkan selamat melakukan ibadat puasa di bulan Ramadhan dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Semoga Ramadhan dan Syawal akan memberikan keberkatan kepada ummah dan negara. Semoga suasana Ramadhan dan Syawal akan meningkatkan semangat persaudaraan dan silaturahim di kalangan ummah.

Wabillahi Taufiq Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

****************

%d bloggers like this: