Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 168. Beta turut bersyukur ke hadrat ILAHI kerana telah membolehkan umat Islam di negara ini melaksanakan ibadah di bulan Ramadhan dan menyambut Syawal dalam suasana sebuah negara yang aman dan tenteram, serta dilindungi dari bala bencana dan mala petaka.
3. Suasana riang merayakan Idil Fitri di negara ini tidak terbatas sambutannya di kalangan umat Islam sahaja. Suasana sambutan Idil Fitri di negara ini memiliki identiti menganjurkan Rumah Terbuka dan melalui amalan kunjung mengunjungi itu terjalin hubungan muhibah antara kaum dari pelbagai agama yang turut dijemput dan menghadiri Majlis-Majlis Rumah Terbuka. Majlis Rumah Terbuka, dianjurkan sepanjang Syawal dan tidak terbatas anjurannya oleh orang-orang perseorangan, tetapi turut dianjurkan di istana untuk membolehkan Raja dan rakyat dapat bermesra, turut dianjurkan oleh para pemimpin politik dan kerajaan, turut dianjurkan oleh badan-badan swasta dan perniagaan, institusi-institusi dan badan-badan bukan kerajaan.
4. Suasana kemeriahan Rumah Terbuka diperlihatkan dengan hidangan beraneka juadah, pakaian pelbagai warna dan fesyen serta kehadiran tetamu pelbagai usia, profesion, pekerjaan, kaum dan agama. Jangka masa sambutan merentasi sepanjang bulan Syawal. Ia adalah satu amalan perayaan yang unik – sesuatu yang amat istimewa berlaku di bumi Malaysia; satu identiti – satu budaya yang dibina oleh negara bangsa Malaysia. Ia adalah satu pencapaian cukup besar, kejayaan membina semangat persaudaraan sewarga-senegara, malah tapak membina persaudaraan sejagat dari segi hubungan etnik dan hubungan ras serta hubungan antara agama dan antara budaya. Idil Fitri yang merupakan bulan kebesaran umat Islam menyambut kejayaan setelah berjaya melaksanakan ibadah puasa, turut menjadi pemangkin (catalyst) untuk membina semangat persaudaraan sewarga, senegara dan sejagat; membolehkan Islam lebih dapat difahami dan lebih mendapat apresiasi dari kalangan yang bukan Islam. Jalinan perpaduan sedemikian hendaklah terus dibina dan diperkukuhkan dalam hasrat membina sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu berpaksikan semangat SATU MALAYSIA.
5. Dalam suasana gembira sedemikian, umat Islam dan warga di negara ini perlu insaf, mengambil pengajaran akan malapetaka dan bencana yang membawa kesengsaraan kepada ratusan ribu mangsa akibat dilanda Taufan Ketsana di Filipina, gempa bumi yang membawa tsunami di Samoa dan gempa bumi yang berlaku di Sumatera Barat. Bencana-bencana tersebut telah meragut banyak nyawa, memusnahkan harta benda dan kehidupan. Ratusan ribu yang menanggung sengsara, ratusan juta perbelanjaan yang diperlukan untuk kerja-kerja penyelamat dan ribuan juta lagi perlu diusahakan untuk kerja pemulihan yang akan memakan masa yang panjang; pun demikian keadaan tidak akan sama dengan sebelum berlakunya bencana.
6. Setiap bencana adalah ujian ILAHI, bukan sahaja kepada kawasan yang ditimpa bencana tetapi sebagai peringatan kepada umat manusia yang berada di kawasan luar bencana. Tanda kesyukuran dan terima kasih kepada ILAHI kerana tidak ditimpakan bencana perlulah dicerminkan dengan rasa keinsafan dan semangat keikhlasan untuk menghulurkan pertolongan dan bantuan. Untuk itu, Beta menyeru kepada pelbagai institusi, kerajaan, swasta, badan-badan sukarela serta individu untuk tampil ke hadapan, melakukan usaha amal membantu mangsa-mangsa bencana berkaitan, dengan melakukan kutipan derma sama ada berbentuk wang ringgit, peralatan, perubatan, pakaian atau barang terpakai, juga perkhidmatan dan tenaga sukarela.
7. Beta menyeru Jawatankuasa Masjid di seluruh negeri Perak Darul Ridzuan untuk diadakan Tabung Khas kutipan derma mangsa bencana, pada waktu solat Jumaat 16 Oktober 2009. Malah Beta menyeru kepada Jawatankuasa Masjid di seluruh negeri Perak untuk secara ikhlas bersedia menderma kutipan tabung masjid pada hari tersebut untuk Tabung Khas ini. Beta juga menyeru supaya Jabatan Mufti menyediakan khutbah khusus atas tema menyeru keinsafan umat Islam dan menyeru kesediaan umat Islam melakukan amal, untuk disampaikan di semua masjid di negeri Perak Darul Ridzuan pada Jumaat 16 Oktober 2009.
8. Beta juga menyarankan supaya Kerajaan Paduka Seri Ayahanda Beta di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato Seri Dr. Zambry bin Abdul Kadir, bersama Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri mengadakan satu mekanisme dan kempen mewujudkan Tabung Khas kutipan derma bagi mangsa bencana. Kempen dan usaha kutipan tersebut hendaklah diadakan di seluruh negeri Perak Darul Ridzuan. Tadika dan sekolah-sekolah wajar dilibatkan dalam kempen yang diadakan, dengan menyampaikan mesej kesedaran akan penderitaan yang dihadapi oleh ratusan ribu mangsa, semasa di adakan perhimpunan mingguan sekolah (school assembly) di tadika dan sekolah-sekolah di negeri Perak, agar perasaan kemanusiaan dan semangat keinsanan serta semangat sedia membantu, mula disemai dan dididik sejak anak-anak masih kecil lagi.
9. Paduka Seri Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, telah memberi perkenan untuk merintis sumbangan pertama kepada Tabung Khas ini dengan menyampaikan sumbangan bernilai seratus ribu ringgit dari Tabung Yayasan Sultan Azlan Shah. Beta menyarankan supaya usaha pungutan ini dilaksanakan mulai hari ini dan berakhir pada 30hb. November 2009; dan urusan penyerahan bantuan disampaikan melalui saluran yang sesuai untuk dilaksanakan dalam pertengahan bulan Disember tahun ini.
10. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melindungi warga dan menjauhkan negara Malaysia dari ditimpa sebarang bencana. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melimpahkan negara kita dengan kemakmuran dan warganya hidup dalam rukun dan damai.
Wabillahi Taufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*******************