Persidangan Ke 169 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 169.

3. Mesyuarat kali ini merupakan mesyuarat pertama bagi tahun 2010. Usaha-usaha penambahbaikan perkhidmatan hendaklah terus dilaksanakan. Analisis yang lengkap akan tahap pencapaian tahun 2009 hendaklah dilaksanakan secara objektif. Bedah siasat secara jujur harus dilakukan untuk menerima hakikat kelemahan-kelemahan yang berlaku sepanjang tahun 2009. Kesalahan dan kesilapan tidak harus cuba dilindungi kerana tindakan cuba menutup kesalahan dan kesilapan akan memberikan petanda salah yang akan menggalakkan berlakunya kesalahan dan kesilapan lebih besar. Langkah-langkah korektif secara cepat lagi tegas wajib disegerakan untuk menangani kesalahan dan kesilapan supaya ia segera dapat dibendung dari dibiarkan merebak hingga menjejaskan nama baik Majlis.

4. Para penjawat jawatan di dalam Majlis terutama di peringkat tertinggi bertanggung jawab kepada Majlis. Adalah menjadi tanggung jawab para penjawat jawatan tertinggi untuk segera melaporkan secara telus dan terbuka berhubung perkara-perkara yang berlaku di dalam Majlis terutama yang berkaitan dengan urusan kewangan, program-program Majlis dan tatatertib para pegawai di bawah Majlis. Adalah menjadi kesalahan jika amalan-amalan yang tidak sihat cuba diselindung dari pengetahuan Majlis.

5. Dalam hasrat mahu memantapkan struktur organisasi dan pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 telah dipinda. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) Pindaan 2009 telah dibentangkan dalam Mesyuarat Dewan Negeri Perak pada 28 Oktober 2009 dan telah diberikan perkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 18 November 2009 dan diwartakan pada 3 Disember 2009. Enakmen ini akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2010.

6. Berasaskan Enakmen Pindaan 2009 ini, jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis dipisahkan. Lantikan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis adalah di bawah kuasa mutlak Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dan Ketua Pegawai Eksekutif juga adalah bertanggung jawab memenuhi peranan Setiausaha dan Pentadbir Majlis serta menjalankan dasar-dasar dan ketetapan-ketetapan Majlis.

7. Adalah menjadi hasrat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan melalui pemisahan kuasa dan jawatan ini, Majlis dapat beroperasi dan berfungsi mencapai tahap kemajuan lebih tinggi, berupaya memperkenalkan budaya pengurusan yang lebih dinamik, inovatif, cekap lagi berkesan. Adalah menjadi tanggung jawab Beta meletakkan satu sasaran pencapaian tinggi menjadikan Majlis sebuah organisasi yang mencerminkan kecemerlangan dari segi kecekapan pengurusan, khidmat pelanggan serta memenuhi visi dan misi yang telah ditetapkan. Untuk itu Ketua Eksekutif yang dilantik adalah bertanggung jawab secara langsung dan terus kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

8. Keahlian Majlis juga akan ditambah untuk membolehkan penyertaan lebih ramai tokoh yang dapat mewakili pelbagai konstituen. Semoga dengan komposisi ahli yang lebih luas, Majlis dapat diperkaya dengan cetusan lebih banyak idea bernas lagi mantap lalu menghasilkan perbincangan mesyuarat yang lebih berkualiti dan produktif.

9. Majlis hendaklah mensasarkan kecemerlangan sebagai budaya. Kaki tangan Majlis hendaklah terdiri dari mereka yang akan menjadi contoh teladan, mengamalkan budaya pengurusan bersandarkan sifat amal makruf – nahi mungkar. Bahawa tugas yang dilaksanakan adalah amal, satu tuntutan fardu kifayah, satu perkhidmatan yang berupaya memenuhi keperluan dan membawa kegembiraan kepada ummah. Beta mahukan program-program yang lebih dinamik, berdimensi baru, yang lebih segar dan bernafas baru. Beta mahu difikirkan, diperkenalkan dan dilaksanakan program-program yang dapat membawa anak muda mendekati Islam dan menghayati Islam serta berbangga dengan Islam dan menjadi umat Islam.

10. Islam adalah agama perpaduan. Perpaduan adalah faktor yang sangat diutamakan. Perpaduan merupakan elemen untuk menjamin hubungan di antara insan dapat berlangsung secara harmoni. Perpaduan akan dapat dicapai melalui sifat persefahaman dan saling menghormati di antara satu sama lain. Perkara-perkara yang boleh meningkatkan persefahaman wajar disuburkan dan perkara-perkara yang boleh menimbulkan persengketaan hendaklah dielakkan. Untuk itu amatlah penting difahami elemen-elemen berbentuk provokasi yang boleh mencetuskan emosi ketidakselesaan dan kemarahan mana-mana pihak dalam hasrat ke arah mewujudkan perpaduan.

11. Warga perlu bijaksana mengenal pasti asas-asas yang dapat meningkatkan perpaduan begitu juga memahami implikasi negatif yang boleh dicetuskan akibat cuba menimbulkan perkara-perkara yang menjemput ketidakselesaan hubungan. Jangan dijolok sarang tebuan.

12. Perkara-perkara yang bersifat kontroversi sangat mudah menjemput reaksi yang akan menambahkan jurang salah faham malah berpotensi mencetuskan suasana konfrontasi. Sejarah banyak membuktikan bahawa peperangan dan pertentangan bermula dari perkara-perkara kecil. Sedarilah bahawa api yang besar lagi memusnahkan bermula dari bara-bara kecil yang gagal dipadamkan. Perkara-perkara berunsur kontroversi tidak harus dipandang kecil malah hendaklah dipadamkan segera di peringkat awal dari dibiarkan merebak. Kembalikanlah minda untuk mencapai kejayaan sejati yang tidak menjejaskan keharmonian insan dan perpaduan warga dari sifat tidak mahu berganjak semata-mata untuk mempertahankan ego masing-masing yang akhirnya mengakibatkan kesemua pihak menanggung rugi.

13. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan terus memberikan taufik dan hidayah dan merahmati negara dan ummah dengan keamanan dan kesejahteraan.

Wabillahi Taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

************

%d bloggers like this: