Persidangan Ke 170 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 170.

3. Persidangan kali ini diadakan khusus untuk mendengar laporan yang akan dibentangkan oleh Jawatankuasa Penyiasat Bebas, berhubung kes wang zakat disyaki hilang di Pejabat Pentadbiran, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Daerah Ipoh. Jawatankuasa tersebut ditubuhkan selaras dengan ketetapan Persidangan Majlis kali ke 169 yang berlangsung pada 14 Januari 2010. Beta telah memaklumkan ketetapan tersebut kepada Yang Amat Berbahagia Dato’ Seri Mohd. Annuar bin Zaini secara lisan pada 15 Januari 2010, bahawa tertakluk kepada perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan, beliau telah dipersetujui dilantik sebagai Pengerusi kepada Jawatankuasa Penyiasat Bebas. Beta turut menitahkan beliau segera bertindak, melantik ahli-ahli Jawatankuasa, melaksanakan siasatan dan melaporkan kepada Beta hasil siasatan pada atau sebelum 4 Februari 2010.

4. Pada 16 Januari 2010, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, berpandukan Subseksyen 22(5) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, telah memberi perkenan Baginda untuk perlaksanaan keputusan Persidangan kali ke 169, walaupun minit mesyuarat belum disahkan, khusus berkaitan penubuhan Jawatankuasa Penyiasat Bebas, dipengerusikan oleh Yang Amat Berbahagia Dato’ Seri Mohd. Annuar bin Zaini yang turut diberikan mandat melantik ahli-ahli Jawatankuasa mengikut bilangan yang difikirkan sesuai.

5. Pada 18 Januari 2010, Yang Amat Berbahagia Dato’ Seri Mohd. Annuar bin Zaini, telah menghadap dan mempersembahkan tiga nama untuk mendapat perkenan Beta menganggotai Jawatankuasa Penyiasat Bebas berkaitan, membantu beliau menyempurnakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Beta telah memberi perkenan kepada nama-nama yang disembahkan terdiri daripada:

  1. Encik Mustapha bin Mohamed
  2. Encik Azhar bin Harun
  3. Encik Izdihar bin Baharin.

Ketiga-tiga mereka adalah akauntan bertauliah dan mempunyai pengalaman kerja yang luas dalam bidang perakaunan dan audit.

6. Walaupun Persidangan kali ke 169 menetapkan bahawa Jawatankuasa Penyiasat Bebas diperlu melaporkan kepada Yang Dipertua Majlis dalam tempoh tiga minggu, pada atau sebelum 4 Februari 2010, namun Pengerusi Jawatankuasa berkenaan telah memohon pertimbangan Beta untuk dilanjutkan tempoh mereka menjalankan siasatan satu minggu lagi. Ini memandangkan ahli-ahli Jawatankuasa tidak dalam kedudukan dapat bertugas sepenuh masa kerana setiap mereka mempunyai tanggung jawab dan jadual tugas yang telah ditetapkan lebih awal dalam organisasi masing-masing.

7. Beta disembah maklumkan bahawa kerja-kerja yang dilaksanakan oleh Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa dari peringkat mengadakan perbincangan pertama, urusan perjalanan, menyelidiki dokumen, mengadakan temu bual dan akhirnya menulis dan menjilidkan laporan telah mengambil masa tidak kurang dari 200 jumlah jam bekerja atau 200 man-hour. Beta menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa yang telah memberikan komitmen dan perkhidmatan mereka kepada Majlis, terutama ketiga-tiga akauntan bertauliah yang menganggotai Jawatankuasa tanpa meletakkan sebarang fee atau mengenakan bayaran profesional.

8. Laporan awal telah dipersembahkan kepada Beta pada 12 Februari 2010. Setelah meneliti, bertanya soalan dan menzahirkan pandangan juga teguran, Beta akhirnya telah memberi perkenan supaya laporan tersebut dibentangkan dalam Persidangan Majlis ke 170. Beta telah menitahkan agar bilangan naskhah laporan yang cukup disediakan untuk diedarkan kepada ahli-ahli Majlis semasa pembentangan dilakukan. Atas hasrat mahu melindungi status kebebasan laporan tersebut, Beta telah menitahkan agar pentadbiran Majlis tidak terlibat memenuhi tanggung jawab menguruskan kerja mencetak dan mengedarkan laporan. Pada hemat Beta, adalah tidak wajar untuk laporan tersebut diserahkan kepada urus setia sebelum Persidangan berlangsung. Dengan itu Beta telah menitahkan supaya segala urusan menyediakan bilangan naskhah yang cukup, hendaklah diuruskan oleh kakitangan dan Pejabat Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak; dan kerja-kerja tersebut hendaklah diawasi sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Penyiasat Bebas.

9. Laporan akan dibentangkan dalam Persidangan ini. Atas asas untuk memberikan keselesaan perbincangan, anggota-anggota pentadbiran Majlis akan diminta meninggalkan Persidangan semasa pembentangan laporan dan perbincangan mengenainya diadakan. Beta juga telah menitahkan supaya Pengarah Audit Negeri Perak dijemput hadir bersama semasa pembentangan laporan tersebut. Ahli-ahli Majlis dijemput untuk mengemukakan sebarang pertanyaan lanjutan atau penerangan tambahan kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Penyiasat Bebas. Selepas selesai sesi soal jawab, Ahli-Ahli Jawatankuasa Penyiasat Bebas akan meninggalkan Persidangan; ahli-ahli Majlis selanjutnya akan membincang dan membuat ketetapan untuk menentukan tindakan selanjutnya.

10. Persidangan hendaklah berpegang kepada prinsip mahu mencari kebenaran, demi memastikan tidak ada pihak yang teraniaya. Elemen kebenaran dan keadilan perlu dijadikan asas pertimbangan. Nama baik Majlis perlu diutamakan dan dipertahankan. Majlis sama sekali tidak harus bertoleransi dan berkompromi terhadap kaedah pentadbiran yang tidak mematuhi prosedur atau membelakangkan peraturan.

11. Beta menjemput ahli-ahli Majlis memberikan huraian dan ulasan serta pandangan dan cadangan secara objektif dalam usaha menambah baik urusan pentadbiran Majlis. Semoga Beta dan ahli-ahli Majlis mendapat pertunjuk dan hidayat dari ILAHI.

Wabillahi Taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

************

%d bloggers like this: