Persidangan Ke 171 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, dengan rahmat dan izin dari ALLAH Subhanahu Wata’ala juga, Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 171 dapat berlangsung pada pagi ini.

3. Buat pertama kalinya, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kini mempunyai seorang Ketua Pegawai Eksekutif sepenuh masa, satu jawatan yang berasingan daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. Mesyuarat pada pagi ini merakamkan rafak sembah junjungan kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan atas perkenan Baginda menerima calon yang telah Beta persembahkan, hasil dari tapisan, penilaian dan perakuan Panel Pemilih untuk melantik Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak. Di samping merakamkan ucap tahniah atas pelantikan tersebut, Majlis meletakkan harapan agar Dr. Syed Omar dapat menyuntik dinamisme kepada pengurusan hingga ke tahap berupaya meningkatkan prestasi pencapaian kerja Majlis ke tahap cemerlang.

4. Duli Yang Maha Mulia, Paduka Seri Sultan juga turut memberi perkenan melantik tiga orang ahli baru kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak terdiri dari, Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja Diraja, Dato’ Dr. Syed Jaafar bin Syed Aznan Jamalullail, Tan Sri Dato’ Dr. Wan Zahid bin Mohd Noordin dan Dr. Afifi Al-Akiti. Mereka bertiga mempunyai pengalaman yang luas dalam profesion selain memiliki pengetahuan yang mendalam dalam disiplin pengajian masing-masing. Mereka merupakan aset penting untuk membantu mengenal pasti usaha-usaha baru yang perlu dirintis di samping menambah baik usaha-usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Majlis untuk memajukan umat Islam.

5. Yang Amat Arif Dato’ Haji Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Ketua Hakim Syarie Negeri Perak diperkenankan lantikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan sebagai ahli Majlis untuk menggantikan Yang Arif Tuan Haji Mohd. Rahim bin Haji Abdullah, Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Perak sementara keahlian Dato’ Syeikh Mohamah Nor bin Mansor, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak sebagai ahli Majlis diperkenankan oleh Baginda selaras dengan pindaan seksyen 11, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004. Beta merakamkan penghargaan kepada Yang Arif Tuan Haji Mohd. Rahim bin Haji Abdullah atas peranan dan sumbangan beliau ketika menjadi ahli Majlis; demikian juga penghargaan dirakamkan kepada Dato’ Syeikh Mohamah Nor bin Mansor atas tanggung jawab yang telah beliau penuhi ketika diamanahkan menjalankan tugas-tugas Setiausaha Majlis serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis sebelum ini.

6. Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak adalah forum penting untuk membincang apa jua isu dan cadangan untuk kebaikan Islam dan umat Islam dalam negeri ini serta memperkenalkan usaha-usaha berterusan untuk memberikan gambaran bahawa Islam adalah agama yang progresif lagi dinamik. Bahawa Islam yang berjaya dihayati di peringkat pengetahuan dan berjaya diterapkan secara berkesan di peringkat pelaksanaan berperanan penting untuk mencerminkan budaya urus tadbir, budaya kerja dan budaya pemerintahan yang adil, saksama, telus lagi cekap hingga dapat membangunkan satu persekitaran politik dan persekitaran ekonomi yang boleh dijadikan rujukan oleh masyarakat dunia. Malangnya, pada hari ini Islam dijadikan rujukan kepada isu kemunduran, kelemahan, kegagalan dan kemiskinan; Islam dikaitkan dengan amalan ekstremisme dan keganasan, sementara pemimpin bagi organisasi-organisasi Islam lebih cenderung memilih untuk bertelagah dan bercanggah, lebih menumpu kepada suara-suara berunsur perbezaan dari persamaan, lebih cenderung untuk mendapat dan mempertahankan kuasa dari menguruskan kuasa yang telah dianugerahi ILAHI secara bijaksana, berhemah dan berkesan.

7. Salah satu dari tugas utama Majlis adalah untuk membantu tanggung jawab Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dalam hal ehwal Agama Islam dan Adat Melayu di negeri Perak. Urusan Agama Islam dan Adat Melayu terus berada di bawah kuasa mutlak Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan. Kuasa mutlak Paduka Seri Sultan dalam urusan Agama Islam dan Adat Melayu dalam sesebuah negeri hendaklah terus dipertahankan. Kuasa seorang Raja Pemerintah dalam urusan Agama Islam dan Adat Melayu tidak pernah diserahkan kepada mana-mana pihak lain termasuk ketika negeri-negeri di Tanah Melayu ini berada di bawah pengaruh pentadbiran British begitu juga di bawah pemerintahan penjajahan Jepun. Demikian pula selepas negara mencapai kemerdekaan, urusan Agama Islam dan Adat Melayu kekal di bawah bidang kuasa Raja Pemerintah di negeri masing-masing. Prinsip ini hendaklah terus dihormati. Sempadan pembahagian kuasa tersebut hendaklah senantiasa dipatuhi. Oleh itu kedudukan Raja-Raja Melayu hendaklah senantiasa dimuliakan. Pandangan dan pendirian Raja-Raja Melayu perlu terlebih dahulu dirujuk dalam apa juga perkara berkaitan Agama Islam dan Adat Melayu sebelum sesuatu fatwa, dasar, arahan pentadbiran atau penubuhan sebarang institusi diputuskan atau diumumkan. Jika prinsip asas ini mula diketepikan, adalah dibimbangkan ia berpotensi menjadi pencetus kepada salam faham, kekeliruan dan pergeseran di antara pelbagai pihak yang bertanggung jawab. Raja-Raja Melayu wajib dilibatkan di peringkat awal sebelum sesuatu perkara menyentuh Agama Islam dan Adat Melayu mahu dilakukan. Janganlah pandangan Raja-Raja Melayu itu hanya dirujuk dan dipohonkan restu sokongan apabila masalah dan polemik telah berlaku.

8. Semoga Beta serta ahli-ahli Majlis mendapat pertunjuk dan hidayat dari ILAHI untuk dapat merumus dan menghasilkan keputusan-keputusan yang memanfaatkan dalam mesyuarat Majlis pada pagi ini.

Wabillahi Taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

************

%d bloggers like this: