TITAH
DULI YANG TERAMAT MULIA
RAJA MUDA PERAK DARUL RIDZUAN
RAJA NAZRIN SHAH IBNI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
DI PERSIDANGAN KE 172
MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK
TARIKH: 1 JULAI 2010 (KHAMIS) JAM: 3.30 PETANG
TEMPAT: DEWAN PERSIDANGAN, TINGKAT 5,
KOMPLEKS ISLAM DARUL RIDZUAN, IPOH
Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, dengan rahmat dan izin dari ALLAH Subhanahu Wata’ala, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dapat mengadakan persidangan kali ke 172 pada petang ini.
3. Beta mengalu-alukan kehadiran buat pertama kalinya Yang Berbahagia Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja Diraja, Dato’ Dr. Syed Jaafar bin Syed Aznan dan Dr. Afifi Al-Akiti ke persidangan Majlis. Beta hargai kesediaan Dr. Afifi Al-Akiti, meruang waktu, melakukan perjalanan yang jauh dalam kesibukan tugas seorang Pensyarah di Oxford Centre for Islamic Studies untuk kembali ke tanah air, khusus bagi menghadiri persidangan ini. Beta telah disembah maklum bahawa Dr. Afifi akan mengadakan program-program keilmuan dengan Perak Academy pada 7 Julai di Hotel Syuen dan dengan Kerajaan Negeri pada 8 Julai di kediaman Yang Amat Berhormat Mamanda Menteri Besar, di samping beberapa program lain yang akan disusun dalam tempoh masa beliau berada di Malaysia sehingga 11 Julai 2010.
4. Persidangan pada petang ini merakamkan ucapan dukacita dan takziah kepada Yang Berbahagia Datin Fatimah binti Mohd. Rashid dan keluarga atas kembalinya ke Rahmatullah, Yang Berbahagia Dato’ Ismail bin Shah Bodin, pada petang Sabtu, 26 Jun 2010. Yang Berbahagia Dato’ Ismail, adalah ahli Majlis yang telah memenuhi peranan secara komited dan tekun kepada aktiviti-aktiviti Majlis. Dato’ Ismail telah mencatatkan rekod perkhidmatan yang menjadi contoh sebutan sebagai seorang yang tekun, berdisiplin, berdedikasi, jujur dan tegas dalam melaksanakan setiap tanggung jawab yang diamanahkan. Malah Allahyarham memperkenalkan pelbagai inovasi dalam setiap tugas yang dilaksanakan, bersifat merendah diri dan banyak terlibat dalam kegiatan-kegiatan sukarela dalam pelbagai badan bukan kerajaan. Majlis dan Negeri Perak Darul Ridzuan kehilangan seorang warga yang banyak berjasa. Semoga segala khidmat murni Allahyarham diterima sebagai amal yang turut diberikan ganjaran rahmat ketika berada di alam barzakh, begitu juga di hari kebangkitan. Sama-samalah kita membacakan Surah Al-Fatihah, dan apa jua ganjaran dari bacaan tersebut disampaikan oleh ILAHI kepada roh Allahyarham Dato’ Ismail bin Shah Bodin. Al-Fatihah.
5. Negara hari ini sedang berhadapan krisis moral yang semakin membimbangkan. Perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan 257,000 sijil kelahiran yang dikeluarkan antara tahun 2000 hingga Julai 2008 tidak mencatatkan nama bapa; bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan ataupun purata 84 kes setiap hari. Perangkaan di antara tahun 1999 hingga 2003, mencatatkan 70,430 anak luar nikah didaftarkan. Dari angka tersebut, 30,978 beragama Islam, 18,085 beragama Hindu, 17,236 beragama Buddha, 3,395 beragama Kristian. Walaupun dari segi angka mutlak, bilangan anak luar nikah dari kalangan yang beragama Islam kelihatan tinggi, tetapi bila dianalisis dari segi peratusan kepada jumlah penganut sesuatu agama, memperlihatkan bahawa ia berlaku secara proportional berkadar (proportionate). Di samping itu, umat Islam dilaporkan paling kurang bersedia melakukan pengguguran kandungan.
6. Kelahiran anak di luar nikah memperlihatkan trend yang meningkat. Umpamanya, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat, dari 16,100 dalam tahun 2007 kepada 16,541 dalam tahun 2008 dan meningkat lagi kepada 17,303 dalam tahun 2009. Nyatalah masalah anak luar nikah semakin meningkat. Lebih mendukacitakan, perlakuan desperate meninggalkan bayi baru lahir di pelbagai tempat, termasuk di tepi-tepi jalan dan di dalam tong sampah semakin menjadi-jadi. Perangkaan di antara tahun 2001 hingga 2009, mencatatkan berlaku secara purata 86.4 kes membuang bayi setiap tahun. Perangkaan Jabatan Kebajikan masyarakat mencatatkan sejak tahun 2004, berlaku 506 kes membuang bayi dengan jumlah terbesar 102 kejadian pada tahun 2008. Kejadian 16 pelajar dari Tingkatan 3 hingga Tingkatan 6 di sebuah sekolah di Terengganu di dapati hamil turut dilaporkan pada tahun ini. Adalah dipercayai kejadian hamil di kalangan pelajar telah banyak berlaku tetapi kebanyakan insiden di pilih untuk tidak dilaporkan.
7. Kajian telah dilakukan, data telah diperoleh, laporan telah dibuat, banyak komen disuarakan. Struktur utama masyarakat sebenarnya sedang dirobek, moral masyarakat sedang menuju laluan kehancuran, sebuah negara yang sejahtera tidak akan dapat diwujudkan dalam suasana masyarakat yang mempunyai nilai moral yang runtuh dan nilai budaya yang rendah. Dukacita sekali, penekanan terhadap usaha membina nilai moral, tidak memperlihatkan roh yang segar untuk dapat berfungsi secara berkesan lagi meyakinkan. Formula penyelesaian lebih bercorak struktural dan birokrasi, meletakkan tanggung jawab kepada agensi dan organisasi yang tertakluk kepada bajet kewangan serta pengaruh, keutamaan dan kesungguhan politik. Lalu berlakulah keadaan lebih banyak organisasi dituntut untuk ditubuhkan dan lebih banyak jawatan pegawai agama dan pegawai sosial diwujudkan, mengakibatkan keperluan tambahan belanja operasi negara, tambahan keperluan emolumen negara, tetapi masalah terus membesar, disusuli pula dengan birokrasi yang bertambah besar, belanja operasi yang bertambah besar, juga emolumen yang bertambah besar.
8. Masyarakat bagaikan lupa akan tanggung jawab institusi keluarga dan memandang ringan akan peranan institusi kejiranan yang sekian lama dalam budaya bangsa menjadi tiang utama kepada pembentukan nilai dan moral yang positif. Negara perlu meneliti faktor kos penyebab yang harus diubati. Betapa suasana ekonomi di luar bandar mencetuskan kemiskinan, dan kemiskinan tersebut telah menggalakkan berlakunya penghijrahan ke bandar, lalu meningkatkan bilangan kemiskinan bandar; betapa bentuk dan pembangunan kawasan kediaman golongan miskin bandar bagaikan kotak-kotak sarang merpati, yang tidak dilengkapkan dengan kawasan kemudahan riadah dan kemudahan aktiviti sosial untuk membolehkan adanya saluran bagi remaja melepaskan tekanan.
9. Kemiskinan mewujudkan tekanan terhadap kehidupan harian. Kemiskinan mempengaruhi tekanan emosi. Kemiskinan ekonomi telah mencetuskan berlakunya kemiskinan budaya, kemiskinan nilai dan kemiskinan moral di kalangan anggota masyarakat yang senantiasa tertekan. Kemiskinan menjadi punca penceraian, menjadi punca kepada aktiviti kurang bermoral, menjadi punca kepada keruntuhan moral dan menjadi punca kepada penggadaian harga diri. Kerana itu kemiskinan wajib diperangi dan ditangani secara berkesan. Dalam Persidangan Majlis kali ke 171, telah disuarakan saranan agar dilakukan penyelidikan impak pemberian zakat terhadap usaha mengatasi kemiskinan. Penyelidikan tersebut amatlah kritikal dipercepatkan. Program pemberian zakat yang dapat memberikan impak harus dilakukan. Cara pengagihan zakat berbentuk fire fighting ataupun adhoc mungkin tidak lagi sesuai bagi menangani cabaran di era ini kerana api kemiskinan bukan sahaja tidak dapat dipadamkan malah merebak dengan lebih besar hingga memusnahkan nilai masyarakat. Ilmuwan dan cerdik pandai Islam dipohon untuk mara ke hadapan membantu hasrat Majlis untuk menangani kemiskinan dengan cara yang lebih berkesan.
10. Urus setia Majlis wajib memulakannya dengan memiliki data yang kemas kini, mengenal pasti program berimpak tinggi, menjalin penyelarasan program dengan pelbagai agensi negeri dan persekutuan, memantau keberkesanan agihan zakat secara berkala dan melakukan bedah siasat untuk pembetulan di peringkat pelaksanaan hingga program-program tersebut mencatat kejayaan. Memerangi kemiskinan bukan sekadar fardu kifayah, tetapi wajib dijadikan satu jihad ummah. Untuk itu ummah wajib bersatu tanpa mengira fahaman dan aliran politik, melaksanakan satu tanggung jawab penting membela ummah – memerangi kemiskinan.
11. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan hidayat dan petunjuk kepada Beta dan ahli-ahli Majlis menemui sebaik rumusan untuk kesejahteraan ummah dan watan.
Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***********