Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, dengan rahmat dan izin dari Allah Subhanahu Wata’ala jua, Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke-173 dapat diadakan pada petang ini.
3. Persidangan ini merakamkan ucapan dukacita dan takziah kepada Yang Berbahagia Toh Puan Datin Seri Raniah binti Mohd. Noor dan keluarga atas kembalinya ke Rahmatullah, Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Yang Amat Berbahagia Dato’ Seri Haji Abdul Malik bin Haji Noordin pada 19 Ogos 2010 yang lalu. Yang Amat Berbahagia Dato’ Seri Haji Abdul Malik, telah memainkan peranan signifikan membantu perkembangan Islam dan pembangunan umat Islam, begitu juga dalam memelihara Adat Melayu khususnya di negeri Perak ketika menjawat jawatan Mufti Kerajaan Perak dan selanjutnya dalam kapasiti sebagai Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan dan ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Persidangan ini turut merakamkan ucapan dukacita dan takziah kepada Yang Berbahagia Datin Hajah Halimaton Saadiah binti Jusof dan keluarga atas pemergian Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 29 September 2010 yang lalu. Dalam tempoh menganggotai Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Yang Berbahagia Dato Haji Abdul Latif telah memenuhi tanggung jawab membantu Jawatankuasa menghalusi perkara-perkara yang dibincangkan sebelum mencapai kata sepakat untuk merumuskan perakuan sesuatu fatwa. Semoga peranan dan jasa bakti kedua-dua tokoh tersebut mendapat keberkatan ILAHI dan diberikan ganjaran rahmat ketika berada di alam barzakh, begitu juga di hari kebangkitan. Sama-samalah kita membaca umul kitab, surah Al-Fatihah, semoga apa jua ganjaran dari bacaan tersebut disampaikan oleh ILAHI kepada roh Allahyarham Dato’ Seri Haji Abdul Malik bin Haji Noordin dan Dato’ Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman. Al-Fatihah.
4. Nilai moral yang betul dan kekukuhan institusi keluarga adalah kriteria penting yang ditekankan oleh Islam dan diamalkan dalam adat Melayu. Trend ketika ini memperlihatkan sedang berlaku fenomena keruntuhan nilai moral dan kerapuhan institusi keluarga.
5. Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan daripada tahun 2007 hingga Mei 2010, seramai 7,134 orang dilaporkan hilang[1]. Daripada jumlah ini hanya 3,653 atau 51.2 peratus sahaja yang berjaya dijumpai[2]. Jenayah juvenil dicatatkan telah meningkat dua puluh peratus dari 5114 dalam tahun 2007 kepada 6048 kes dalam tahun 2009[3]. Dalam tempoh masa yang sama, jenayah kejam seperti rogol, memperkosa dan rompakan bersenjata meningkat dari 1662 kepada 2394[4]. Paling mengejutkan kanak-kanak dalam usia tujuh hingga sepuluh tahun turut terlibat dalam perbuatan mencuri, merompak dan merogol.
6. Sepanjang tahun 2009 sehingga April 2010, dilaporkan 1293 kanak-kanak dan remaja kehilangan atau lari dari rumah dan 654 masih belum ditemui lagi.[5] Dari 1050 kanak-kanak dan remaja yang hilang dalam tahun 2009, seramai 839 adalah kanak-kanak dan remaja perempuan; sementara 215 dari 243 kanak-kanak dan remaja yang hilang sehingga April 2010 adalah perempuan.[6] Antara alasan yang menjadi punca mereka memilih untuk melarikan diri[7]:
Pertama: keinginan hidup bebas
Kedua: mengikut kekasih
Ketiga: diperdaya ke kancah pelacuran
Keempat: dilarikan ibu bapa (berkemungkinan disebabkan berlaku krisis rumah tangga)
7. Keruntuhan rumah tangga turut memperlihatkan perangkaan yang amat tidak sihat. Dalam tahun 2009, lima ratus lima puluh (550) perkahwinan didaftarkan sehari berbanding empat ratus (400) perkahwinan sehari yang didaftarkan dalam tahun 2001[8]. Namun keruntuhan rumah tangga berlaku pada peratusan yang lebih tinggi berbanding dengan perkembangan peratusan mendirikan rumah tangga. Bilangan perkahwinan meningkat 21% dari 153,318 dalam tahun 2002 kepada 199,586 dalam tahun 2009[9]; sedangkan bilangan penceraian memperlihatkan berlaku peningkatan 105%, dari 16,016 dalam tahun 2002 kepada 32,763 dalam tahun 2009[10].
8. Angka penceraian di Malaysia meningkat dengan mendadak. Dalam tahun 2002, berlaku nisbah satu penceraian bagi setiap 9.6 perkahwinan. Nisbah tersebut meningkat dalam tahun 2009, pada kadar berlaku satu penceraian bagi setiap 6.1 perkahwinan[11]. Dalam tahun 2002, Jabatan Pendaftaran Negara mencatatkan 2706 penceraian berlaku di kalangan pasangan bukan Islam dan meningkat kepada 5647 penceraian dalam tahun 2009[12]. Perangkaan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) mencatatkan penceraian meningkat 102% dalam tempoh tujuh tahun, dari 13,397 dalam tahun 2002 kepada 27,116 dalam tahun 2009[13]. Bermakna dalam tahun 2009, dari jumlah 32,767 perceraian yang berlaku, 82% darinya berlaku di kalangan pasangan beragama Islam. Dalam tujuh bulan pertama tahun 2010, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) mencatatkan berlaku 7428 penceraian di kalangan masyarakat Islam[14].
9. Perangkaan-perangkaan yang dibentangkan ini adalah fakta yang menjadi bukti akan pengaruh negatif terhadap nilai moral berikutan dengan kerapuhan institusi keluarga; lalu menjadi punca kepada kejadian jenayah, kejadian lari dari rumah dan penceraian. Urbanisasi, budaya negatif, industri hiburan tanpa kawalan, kemiskinan dan perasaan tersisir dari arus pesat pembangunan adalah antara faktor yang telah menjadi sebab kepada berlakunya ketempangan dalam masyarakat hari ini.
10. Institusi keluarga perlu dimantapkan. Pada masa yang sama generasi remaja perlu dibantu untuk dapat mengembangkan potensi mereka secara konstruktif lagi produktif. Ruang komunikasi antara generasi perlu dipermudah dan diperluaskan supaya jurang komunikasi dapat dirapatkan. Penerimaan terhadap peranan wanita dalam era moden perlu difahami. Masyarakat perlu menerima realiti akan kemajuan yang dicapai oleh kaum wanita serta peranan mereka yang semakin signifikan pada hari ini, beralih dari peranan tradisi sebagai isteri dan ibu kepada peranan yang telah membuktikan potensi dan keupayaan mereka; bahawa wanita semakin berupaya menggalas tanggung jawab lebih penting dan lebih berat dalam pelbagai profesion. Perimbangan tanggung jawab menjaga anak dan mengurus rumah tangga perlu dilaksanakan secara adil lagi saksama di antara pasangan suami isteri yang sama-sama bekerja dan mencari nafkah.
11. Program-program untuk mengatasi masalah kemiskinan wajib terus diberikan tumpuan malah amat perlu ditingkatkan. Pemimpin masih belum layak mendabik dada mendakwa kejayaan selagi masalah kemiskinan belum dapat diatasi secara lebih berkesan. Sasaran sifar kemiskinan adalah satu fardu kifayah yang wajib dicapai.
12. Sekali lagi Beta mengulangi seruan yang telah Beta zahirkan dalam Persidangan Majlis Ke 171 dan ke 172 untuk dilakukan kajian komprehensif akan impak program zakat dari segi mengatasi dan menangani masalah kemiskinan. Jika sesuai, Beta menyarankan agar Jawatankuasa Masjid dan Kariah di seluruh negeri Perak, dianjurkan mengadakan bengkel-bengkel perbincangan menurut zon masing-masing, membantu menghasilkan rumusan hingga dapat mencetuskan cadangan program-program bantuan zakat yang lebih memberi impak dalam usaha membasmi kemiskinan dan membangunkan ummah.
13. Di samping seruan tersebut, Beta juga menyeru supaya bengkel-bengkel perbincangan dapat mencetuskan idea baru, mencadangkan program lebih inovatif untuk dapat mengukuhkan institusi keluarga, menyemai nilai moral yang baik dan merapatkan jurang komunikasi antara generasi. Adalah menjadi hasrat Beta, mahu melihat penyertaan generasi remaja yang lebih ramai dalam bengkel-bengkel perbincangan yang dianjurkan. Malah generasi remaja hendaklah diberikan ruang yang membolehkan mereka mencetuskan idea-idea baru secara terbuka dan berterus terang. Jika sesuai, pengurusan Majlis begitu juga pengurusan Jabatan Agama Islam dan Adat Melayu Perak hendaklah meletakkan program-program tersebut dalam rangka format selari dengan pendekatan di peringkat nasional yang memperkenalkan kaedah Bidang Keberhasilan Utama Negara (National Key Performance Area-NKRA)
14. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan hidayat dan petunjuk kekuatan dan keberanian kepada Beta dan semua ahli majlis, begitu juga pengurusan dan kakitangan Majlis melakukan penghijrahan, berubah dari keselesaan budaya kerja lama melakukan transformasi untuk melakukan pembaharuan.
Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
1219