Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, dengan rahmat dan izin dari ILAHI, Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu kali ke 175 dapat dilangsungkan pagi ini.
3. Beta mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Arif Dato’ Haji Muhamad Asri bin Haji Abdullah dan Tuan Haji Mohd Yusop bin Haji Husin, masing-masing telah diberikan amanah mengambil tanggung jawab sebagai Ketua Hakim Syarie dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan, dan selanjutnya telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dilantik menganggotai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Kedua-dua mereka bukanlah asing kepada Majlis. Yang Amat Arif Dato Haji Muhamad Asri telah pernah berkhidmat di negeri Perak sebelum berhijrah selama lapan tahun ke Putrajaya, sementara Tuan Haji Mohd. Yusop telah dewasa dalam perkhidmatan di Jabatan Agama Islam Perak. Persidangan ini merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato’ Abdul Aziz bin Mohd Yusof atas peranan dan perkhidmatan beliau semasa melaksanakan amanah sebagai Ketua Hakim Syarie begitu juga sebagai anggota Majlis. Semoga segala khidmat dan jasa bakti beliau diterima sebagai ibadah dan amal yang mendapat ganjaran dunia – ganjaran akhirat. Di mana sesuai, Majlis dan Jabatan sewajarnya terus menjalinkan hubungan dan mendapatkan khidmat nasihat dari kekayaan pengalaman dan pengetahuan beliau. Khazanah pengalaman dan pengetahuan beliau hendaklah dimanfaatkan oleh pusat-pusat pengajian di negeri Perak seperti Kolej Islam Darul Ridzuan.
4. Beta turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir yang dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Sultan Azlan Shah, kepada Yang Berbahagia Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin dan Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Majid bin Zainal Abidin yang dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak, serta Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti yang dikurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak, sempena perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan kali kelapan puluh tiga, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
5. Agama menentukan kompas moral kehidupan insan; menggariskan perkara-perkara utama untuk dijadikan panduan demi menjamin hubungan harmoni terjalin di antara manusia dengan Tuhan, di antara manusia sesama manusia dan di antara manusia dengan alam semesta yang luas. Kerana itu terdapat rukun-rukun perhubungan yang digariskan oleh agama merangkumi tingkah laku, adab berpakaian dan adat pertuturan dalam memenuhi rukun-rukun agama. Pepatah Melayu pula ada menyebut, “Hidup di kandung adat – Mati di kandung tanah”, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Demikian pentingnya adat yang didukung oleh pekerti yang mulia, perilaku yang sopan dan pertuturan yang tertib dalam membina budi pekerti masyarakat dan dalam membangunkan tamadun yang dihormati.
6. Pekerti yang mulia, perilaku yang sopan dan pertuturan yang tertib diperlihatkan melalui tingkah laku, keterampilan diri dan pemilihan kata-kata yang diungkapkan serta nada suara ketika bertutur. Insan yang memahami tertib – insan yang memahami adab akan memperlihatkan sifat-sifat murni, memahami dan senantiasa menghormati keperluan adat.
7. Dalam memenuhi rukun-rukun agama, Islam telah menggariskan pelbagai perkara termasuk cara berpakaian yang sesuai untuk sesuatu ibadah atau upacara. Ketika menyempurnakan ibadah haji dan umrah, umat Islam diperlukan berihram, bagi lelaki diwajibkan hanya memakai dua helai kain yang tidak berjahit, tanpa mengira sama ada dia seorang Raja atau Presiden, sama ada dia seorang hartawan atau fakir miskin; kesemua mereka perlu seragam menghormati bentuk pakaian yang telah ditetapkan. Begitu pula ketika menunaikan solat, ketika masuk ke masjid, ketika menziarahi makam, corak pakaian hendaklah bertepatan. Panduan berpakaian menghormati sesuatu peristiwa dan sesuatu tempat tidak hanya terdapat di dalam Islam. Umpamanya, lelaki yang memasuki gereja dikehendaki tidak memakai topi, sementara lelaki Sikh dikehendaki memakai serban ketika masuk ke Gurdwara, dan penganut agama Buddha begitu juga penganut agama Hindu mempunyai etika pakaian tertentu yang wajib dihormati baik di kalangan lelaki mahupun wanita, bersesuaian dengan sesuatu upacara ataupun tempat.
8. Selanjutnya, manusia menggunakan kebijaksanaan akal bicara berpakaian untuk disesuaikan dengan acara, sebagai tanda hormat kepada sesuatu situasi; umpamanya warna-warna terang dielakkan dari dipakai ketika menziarahi orang yang meninggal dunia, berbanding dengan pemilihan warna-warna ceria ketika menghadiri majlis perkahwinan. Begitulah bestarinya manusia yang bijak dan matang menggunakan akal bicara yang mencerminkan tahap ketamadunan menjadikan mereka manusia beradab.
9. Tamadun manusia juga selanjutnya mereka cipta rukun-rukun berpakaian yang memberikan identiti profesion, identiti aktiviti dan identiti upacara. Badan-badan beruniform dikenali dengan pakaian seragam yang melambangkan identiti profesion, para olahragawan dan ahli sukan memiliki identiti pakaian berdasarkan jenis sukan sementara pakaian-pakaian khusus direka cipta sesuai dengan sesuatu upacara. Adalah janggal bagi seorang polis trafik yang bertugas menjaga lalu lintas di jalan raya untuk memakai pakaian tidur, adalah janggal untuk seorang pemain bola sepak memakai pakaian renang di padang bola, adalah janggal untuk doktor yang bertugas di bilik bedah untuk memakai ihram, dan adalah janggal untuk seorang Raja ketika bersemayam di atas takhta di Balai Rong Seri hanya bersinglet dan bercelana pendek.
10. Cara berpakaian yang sejajar dengan sesuatu acara adalah sebahagian dari disiplin yang memperlihatkan ketinggian akal budi seseorang insan. Malah seseorang yang bertaraf Raja sendiri wajib memperlihatkan disiplin berpakaian sejajar dengan sesuatu acara yang dihadiri. Raja, meski berada di puncak takhta Kerajaan, tidak dikecualikan untuk berpakaian selaras dengan darjat sesuatu acara sebagai menghormati acara dan menghormati para tetamu yang hadir.
11. Ketika bertitah di Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia pada 30 Ogos tahun lalu, Beta pernah menzahirkan bahawa “Pencerobohan besar bermula dari pencerobohan kecil. Ia mungkin bermula dari sebuah surau, atau sebuah madrasah, atau sebuah masjid, atau sebuah mimbar. Ia bermula dari satu ungkapan, satu ucapan, satu khutbah, satu tazkirah atau satu doa”.
12. Sewajarnya Beta mengulangi ingatan tersebut, malah menegaskan bahawa penghakisan kemurnian adat dan penghakisan ketinggian budaya bangsa, boleh bermula dengan sifat memandang ringan dan sifat tidak menghormati adat berpakaian dalam sesuatu majlis. Sebagai bangsa yang bertamadun dalam negara bangsa yang berusaha membina tamadun yang tinggi, amatlah penting untuk dipastikan pencerobohan-pencerobohan secara halus ini sama sekali tidak dibenarkan berlaku. Adab dan budaya bangsa perlu dihormati, disanjung, dipertahankan dalam semangat di mana bumi di pijak – di situ langit dijunjung.
13. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memelihara bangsa dan negara kita dari perbuatan-perbuatan yang boleh menghancur dan memusnahkan kemurnian budaya bangsa. Semoga setiap warga yang memiliki ketulenan kesetiaan kepada negara bangsanya akan bersama membina perisai yang kukuh mempertahankan maruah dan kemuliaan budaya bangsanya. Semoga Persidangan kali ini akan dilimpahkan taufik dan hidayah dari Allah Subhanahu Wata’ala.
Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
******************