Persidangan Ke-176 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, dengan rahmat dan izin dari ILAHI, Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu kali ke 176 dapat dilangsungkan.

3. Persidangan ini merakamkan rasa dukacita dan ucap takziah kepada Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ (Dr.) Haji Ahmad Azizuddin bin Haji Zainal Abidin atas kembalinya ke Rahmatullah, isteri beliau, Puan Sri Datin Hajjah Asmah binti Haji Mohd Salleh pada 28 Jun yang lalu. Sama-samalah kita membaca surah Al-Fatihah, memohon rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala, semoga apa jua ganjaran dari bacaan tersebut disampaikan kepada roh Allahyarhamah, Al-Fatihah.

4. Alam sekitar yang semakin tercemar telah mengakibatkan pelbagai kemudaratan, antaranya pemanasan global. Pemanasan global merupakan ancaman besar kepada kehidupan alam dan keselamatan dunia. Pemanasan dunia telah mengakibatkan berlakunya pencairan glasier pada kadar yang tinggi lalu mengakibatkan paras air laut semakin meningkat dan telah mula menenggelami kawasan persisiran pantai di serata dunia. Saliniti tanah semakin meningkat, kesuburan tanah semakin menurun, menidakkan petani kepada kawasan yang selama hari ini diusahakan untuk menghasilkan makanan. Penduduk di negara-negara miskin adalah mangsa paling teruk menghadapi krisis alam sekitar yang sedang berlaku.

5. Di banyak tempat, cuaca panas mencecah lima puluh (50) darjah Celsius, mengakibatkan berlakunya kemarau paling teruk, memusnahkan tanaman dan mengorbankan ternakan. Bekalan air untuk keperluan manusia, ternakan dan tanaman kini semakin meruncing. Makanan semakin sukar didapati. Kos pengeluaran makanan semakin meningkat dan harga makanan di pasaran semakin melambung tinggi. Bekalan makanan semakin kritikal dan semakin ramai penduduk dunia menghadapi situasi kekurangan bekalan makanan. Di wilayah timur Afrika sebagai contoh, dua belas (12) juta penduduk di negara-negara Sudan, Kenya, Ethiopia, Djibouti dan Somalia, mengalami kesukaran mendapatkan makanan. Dilaporkan, setiap hari, enam puluh (60) bayi di kawasan tersebut meninggal dunia akibat kelaparan dan kekurangan zat makanan.

Ayat 30 surah Al-Mulk bermaksud,

“Terangkanlah kepada Ku jika sumber air kamu menjadi kering maka siapakah yang akan mendatangkan air yang mengalir bagi mu?”

6. Allah Subhanahu Wata’ala telah menciptakan langit dan bumi berlapis-lapis dan ciptaan ILAHI itu mempunyai keseimbangan. Di dalam surah Al-Mulk, ia itu surah yang menyebut tentang Kerajaan, Allah memerintahkan untuk manusia memerhatikan isi alam semesta. Allah telah menjadikan bumi sedemikian rupa untuk memudahkan manusia mencari rezeki.

7. Namun, kerosakan demi kerosakan berlaku berpunca dari krisis hubungan antara manusia dengan alam. Kerosakan yang berlaku dan terus dilakukan adalah kerana perbuatan zalim manusia; apabila manusia bersifat terlalu tamak, membina kekayaan dan menghambat kemewahan hingga gagal mengimbangkan secara saksama keperluan kehidupan makhluk dengan alam sekitar ciptaan ILAHI. Roh keinsanan bagaikan telah tiada dalam hati nurani sesetengah manusia. Perasaan belas, perasaan ihsan, perasaan kemanusiaan bagaikan telah padam di kalangan sebahagian mereka yang diberi amanah mengurus tadbir maya ini.

8. Krisis hubungan antara manusia dengan alam tidak dapat diselesaikan melalui resolusi, melalui formula saintifik, melalui teknologi atau melalui perundangan semata-mata. Ia memerlukan penghayatan roh keinsanan di dalam diri manusia dalam menjalinkan hubungan dengan makhluk dan alam semesta, serta ketakwaan kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala yang Maha berkuasa di atas segala kerajaan.

9. Manusia dicipta ILAHI sebagai khalifah di bumi ini dan diberikan panduan serta peringatan untuk mengurus tadbir bumi Allah ini dengan adil lagi saksama, membangunkan alam secara seimbang untuk membawa kesejahteraan yang hakiki.

Firman Allah dalam ayat 77, surah Al-Qasas, bermaksud:

“Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepada mu akan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagian mu daripada dunia ini serta berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepada mu dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan”.

10. Berasaskan Indeks Prestasi Persekitaran 2010[1], Malaysia menduduki tangga ke 54 daripada 163 negara yang dinilai, dan kedudukan ini menurun daripada tahun-tahun sebelumnya. Antara petunjuk utama yang diteliti oleh kajian ini termasuklah perubahan cuaca, aktiviti pertanian, perikanan, perhutanan, biodiversiti dan habitat, pencemaran udara serta akses kepada air. Kajian oleh Danish International Development Assistance (DANIDA) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai pembuangan sisa pepejal oleh isirumah (household waste)[2] luar bandar menunjukkan rakyat Malaysia masih belum peka dengan isu alam sekitar dan tidak menjaga alam dengan baik[3]. Rakyat membuang sampah di mana sahaja tanpa rasa bersalah sementara tempat pembuangan sampah gagal disediakan dan diuruskan secara sempurna oleh pihak berkuasa tertentu. Akibatnya pelbagai implikasi timbul, antaranya pencemaran bau, penyebaran penyakit, pembiakan tikus dan kerosakan muka bumi.

11. Para pemimpin negara dan penjawat awam ada tanggung jawab besar dengan kuasa yang telah diamanahkan. Kuasa yang diamanahkan hendaklah digunakan secara saksama untuk tidak mendatangkan penderitaan kepada alam dan kehidupan. Setiap rancangan pembangunan yang diluluskan dan setiap pembangunan yang dilaksanakan wajib memberi keutamaan terhadap pemuliharaan alam sekitar. Segala langkah yang dapat membantu mengatasi pencemaran wajib diperkenalkan. Program kitaran semula, program meminimumkan buangan sisa, program kawalan pembuangan sisa industri dan sisa toksik dan program meminimumkan penggunaan plastik serta bahan-bahan yang boleh mencemarkan alam hendaklah dilaksanakan secara serius – secara bersungguh. Indeks prestasi pencapaian dan instrumen mengesan secara berkala hendaklah diperkenalkan dengan mengambil iktibar akan peringatan dari Allah Subhanahu Wata’ala dalam ayat 41, surah Ar-Rum yang bermaksud:

“Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki kita agar merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”.

12. Memelihara alam sekitar adalah satu cabaran besar. Menjamin kelestarian alam sekitar yang harmoni adalah tanggung jawab setiap insan. Menangani cabaran besar memerlukan kesungguhan – memerlukan komitmen – memerlukan penglibatan ramai pihak – memerlukan tindakan bersepadu. Setiap warga ada peranan betapa kecil sekalipun; bermula dengan amalan membuang sampah. Amalan membuang sampah yang betul hendaklah dijadikan budaya setiap insan, dijadikan agenda negeri, diamalkan di setiap surau – di setiap masjid, di setiap rumah ibadat, di setiap sekolah, di setiap pejabat, di setiap kawasan perumahan dan di setiap kampung. Hari ini terdapat 623 masjid dan 2003 surau di negeri Perak; hari ini terdapat 244 sekolah menengah dan 850 sekolah rendah di negeri Perak; jika setiap masjid, setiap surau dan setiap sekolah mula mengambil langkah pertama menanam sebatang pokok di kawasan masing-masing pada minggu hadapan, negeri Perak pada minggu hadapan akan mempunyai 3720 pokok tambahan, yang akan membantu memberikan teduhan, membantu mengurangkan suhu kepanasan, juga membantu menambahkan bekalan oksigen.

13. Program pendidikan mengenai pengurusan alam sekitar bukan sahaja wajib diperkenalkan, malah perlu dipertingkatkan. Program kesedaran mengenai alam sekitar perlu dilakukan bukan bermusim malah hendaklah ditegaskan sepanjang masa. Program memulihara alam sekitar bukan sekadar satu retorik, ia wajib dilaksanakan sejak hari semalam, ia tidak lagi boleh ditangguhkan. Beta menyeru kepada pimpinan Negeri untuk segera melaksanakannya dan melaksanakannya secara bersungguh – melaksanakannya secara komited. Beta menyeru barisan pemimpin agama berperanan aktif mengingatkan manusia akan pentingnya dipelihara alam sekitar dan memperkenalkan pelbagai langkah yang dapat membantu memelihara alam sekitar.

14. Ramadhan yang penuh kemuliaan semakin hampir, disusuli kemudiannya dengan Syawal. Semoga setiap kita akan dilimpahkan Nur ILAHI, menginsafi segala ketelanjuran perbuatan dan diberikan keampunan; semoga setiap kita dilimpahkan Nur ILAHI dapat melakukan sebanyak dan sebaik amal. Semoga setiap kita dilimpahkan Nur ILAHI untuk mempererat hubungan persaudaraan terutama sesama umat Islam dalam semangat biduk berlalu –kiambang bertaut. Semoga setiap kita terus dilimpahkan rahmat dan diberikan petunjuk menemui jalan yang diredai.

Wabillahi Taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

******************

  1. Environment Performance Index 2010: Malaysia. http://epi.yale.edu/Countries/Malaysia
  2. The term “household waste” as defined under the Solid Waste and Public Cleansing Management Act 2007 includes any solid waste generated by a household and of a kind that is ordinarily generated or produced by any premise when occupied as a dwelling house, including garden waste.
  3. Malaysian Government and DANIDA (2010), Study on Rural Household Waste Management in Peninsular Malaysia
%d bloggers like this: