Persidangan Ke 177 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji bagi ALLAH, Pencipta langit dan bumi, yang menjadikan malaikat sebagai utusan untuk mengurus pelbagai urusan; ALLAH yang menambahkan pada ciptaan Nya apa yang dikehendaki Nya; sesungguhnya ALLAH Maha Kuasa atas segala sesuatu[1]. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan. Alhamdulillah, dengan taufik dan hidayah dari ILAHI, Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke 177 dapat dilangsungkan.

2. Persidangan hari ini merakamkan sembah takziah kepada Yang Teramat Mulia Raja Kecil Besar Perak dan keluarga Yang Teramat Mulia di atas kemangkatan Yang Maha Mulia Raja Perempuan Muzwin Perak pada 6 Oktober 2011. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melimpahkan belas rahmat kepada roh Allahyarhamah, AL-FATIHAH.

3. Beta mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri yang baru, Dato’ Haji Mohd. Ghazali bin Jalal, yang telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, dilantik menganggotai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, menggantikan Yang Berbahagia Dato’ Jamaluddin Al-Amini bin Haji Ahmad yang telah bersara wajib dari perkhidmatan awam. Semoga segala khidmat dan jasa bakti Yang Berbahagia Dato’ Jamaluddin ketika menyempurnakan amanah sebagai ahli Majlis dan sebagai Pegawai Kewangan Negeri, diterima sebagai ibadah dan amal yang mendapat ganjaran dunia – ganjaran akhirat; di doakan semoga beliau senantiasa berada dalam kesejahteraan.

4. Muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Oktober, melaporkan status empat bandar di Semenanjung Malaysia, dikategorikan sebagai bandar beracun kerana diancam pencemaran udara akibat asap kenderaan berlebihan. Tanjung Malim adalah salah sebuah dari empat bandar yang telah dikenal pasti. Laporan tersebut memanggil Beta untuk merujuk kepada kandungan titah yang Beta zahirkan dalam Persidangan MAJLIS kali ke 176. Beta telah menegaskan pentingnya diberikan perhatian terhadap usaha menjamin kelestarian alam sekitar yang harmoni.

5. Susulan dari titah tersebut, Beta menghargai usaha bersama yang dirintis oleh MAJLIS dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), mengaturkan acara menanam pokok ketika Beta berangkat ke masjid-masjid di sekitar negeri Perak sepanjang bulan Ramadhan. Sayugia Beta memperingatkan, agar acara tersebut tidak dilakukan secara bermusim, berbentuk kosmetik. Acara secara simbolik itu hendaklah menggambarkan komitmen dan kesungguhan sebenar Kerajaan Negeri untuk melaksanakan tindakan susulan secara serius dalam hasrat melestarikan alam sekitar yang harmoni. Program tanaman pokok jangan terbatas di kawasan masjid yang Beta lawati, tetapi dilaksanakan di semua masjid, dilaksanakan oleh semua jabatan dan agensi kerajaan negeri, digalakkan di semua sekolah dan institusi pengajian, dilaksanakan secara besar-besaran. Program menangani pencemaran janganlah di laksanakan sekadar ketika pembesar mengadakan lawatan dan kunjungan, sebagai satu pertunjukan, tetapi wajib dilaksanakan sebagai satu program yang dirancang dengan komitmen yang tinggi untuk benar-benar memberi impak dari segi mengimbangkan alam sekitar dan menyemaikan rasa kesedaran di kalangan warga.

6. Laporan yang disiarkan di dalam akhbar berkaitan, hendaklah membuka mata untuk Kerajaan Negeri bertindak segera melaksanakan program-program lebih terancang, serius dan bersungguh dalam usaha mewujudkan alam sekitar yang lebih sihat dan lebih selesa untuk warga. Pihak berkuasa kerajaan tempatan hendaklah diarahkan memberi perhatian berat untuk menangani masalah pencemaran dan setiap jabatan juga agensi Kerajaan memberikan segala sokongan. Kerajaan Negeri hendaklah menghormati dan memastikan pelaksanaan, dasar yang telah ditetapkan di peringkat nasional dari segi kawalan penggunaan hawa dingin pada paras suhu 24 darjah Celsius.

7. Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia yang berlangsung pada 26 dan 27 September 2011 telah merumuskan dua puluh resolusi. Rumusan dari Kongres tersebut janganlah terlalu lama berkampung dalam rekod catatan dan berakhir sebagai satu lagi timbunan kertas di dalam arkib. Semangat yang dihidupkan di dalam Kongres tersebut hendaklah diterjemahkan dengan tindakan susulan yang segera. MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK hendaklah menyambut resolusi Kongres tersebut dengan pelan dan jadual tindakan. MAJLIS hendaklah menubuhkan Pasukan Petugas khusus membincangkan rangka kerja pelan tindakan untuk melaksanakan resolusi-resolusi yang telah dihasilkan serta menetapkan jadual pelaksanaan rangka kerja pelan tindakan tersebut. Pemikir dan pakar-pakar dari luar hendaklah dibawa bersama dalam Pasukan Petugas yang ditubuhkan. Rangka kerja pelan tindakan dan jadual perlaksanaannya hendaklah dikemukakan apabila MAJLIS mengadakan Persidangan Pertamanya dalam tahun 2012.

8. Mulai tahun 2012, MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK hendaklah dirangka sebagai satu Dewan Persidangan Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan; dengan keanggotaan yang lebih representatif dari kalangan individu yang memiliki pelbagai kepakaran untuk menjadi tenaga penggerak profesional bagi mencetuskan inovasi serta melaksanakan aktiviti-aktiviti dalam bidang ekonomi, perniagaan, perdagangan dan pendidikan. MAJLIS hendaklah memiliki autonomi tertentu dan bebas dari pengaruh politik berparti sementara Jabatan Agama Islam hendaklah memahami secara jelas akan maksud dan keperluan penubuhannya yang berbeza dengan jabatan-jabatan kerajaan lain dengan melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan oleh MAJLIS dan berfungsi kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan. Enakmen yang sedia ada perlu dikaji dan jika perlu hendaklah diperkemas dan dipinda supaya dapat mengupayakan MAJLIS berfungsi dengan lebih berkesan.

9. Kegiatan membangunkan ekonomi ummah secara lestari hendaklah diberi keutamaan. Ia menuntut kepada penelitian semula corak dan bentuk program yang dilaksanakan oleh MAIP dan JAIP terutama kegiatan berkaitan ekonomi, dari segi peranan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Perak, zakat, Baitul Mal dan pengurusan dana. Perhatian hendaklah ditekankan kepada hasil (output) dan impak setiap program yang dilaksanakan dan setiap perbelanjaan yang dikeluarkan. Pengauditan yang dilakukan hendaklah tidak sekadar melihat perimbangan angka di baucar dan resit, tetapi turut menilai keberhasilan program dari segi kualiti dan impak untuk mencapai matlamat. Ketika membincangkan Bajet MAJLIS bagi tahun 2011, Persidangan ini telah menyarankan untuk dilakukan kajian impak zakat. Kajian tersebut hendaklah dijadikan asas untuk menerokai pelan tindakan selanjutnya yang benar-benar lebih berkesan. Bantuan zakat hendaklah beralih dari imej melakukan kebajikan secara umum (general welfare functions) menjadi instrumen pengupayaan (enabler) kepada kumpulan sasar di kalangan warga miskin.

10. Dalam wawasan MAIP dan JAIP untuk dapat memberi impak yang lebih bermakna, kedua-dua organisasi hendaklah meletakkan Indeks Pencapaian Utama yang lebih dinamik. Budaya pengurusan yang sedia ada perlu dirombak, budaya kerja ‘business-as-usual’ hendaklah diubah dalam setiap kegiatan yang dianjurkan. Setiap tahun, Beta berangkat ke Majlis-Majlis yang dianjurkan oleh MAIP begitu juga JAIP; antaranya termasuk acara-acara perayaan seperti ‘MAULIDUR RASUL’ dan ‘MAAL HIJRAH’. Banyak masa dan perbelanjaan yang digunakan. Setiap tahun program yang sama dan serupa berulang tanpa suntikan idea yang lebih inovatif dan kreatif yang boleh mencetuskan program yang dinamik. Program berbentuk ritual sedemikian, sekadar memenuhi takwim tahunan sangatlah luaran sifatnya, tidak mempunyai roh yang dapat menyentuh hati dan perasaan hadirin dan tentunya tidak kesampaian untuk memenuhi matlamat. Malah para peserta yang datang juga, bersifat sekadar memenuhi keperluan jemputan, gagal dipuaskan oleh penganjur dengan santapan rohani.

11. Jika tidak dilakukan penambahbaikan acara, maka program yang dijalankan tidak mungkin mencapai objektif, bermakna setiap perbelanjaan wang negeri untuk membiayainya bolehlah dianggap satu perbelanjaan yang tidak memberikan pulangan malah membazirkan sumber. MAIP dan JAIP hendaklah melakukan pendekatan baru dengan memberi imej dan kandungan (content) baru kepada program-program yang bakal dianjurkan dalam tahun 2012. Kandungan dan tempat program yang bakal dianjurkan, hendaklah dirancang lebih awal dan lebih teliti dan setelah diputuskan di peringkat jawatankuasa, hendaklah terlebih dahulu dipersembahkan untuk mendapat ulasan, pandangan dan perkenan Beta terutama dari segi implikasi kewangan. Percambahan minda yang mendalam hendaklah dilakukan dan minda hendaklah di bawa keluar menerokai alam yang lebih luas dan dibebaskan dari parameter pemikiran lama.

12. Rumusan Kongres Majlis Agama Islam memberikan perhatian berat terhadap status serta potensi membangunkan ekonomi ummah. Dalam hasrat menyediakan prasarana melaksanakan rumusan-rumusan berkaitan ekonomi, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak hendaklah mengambil langkah lebih agresif, melakukan rombakan dari segi struktur, begitu juga pengolahan semula dari segi kaedah operasi dengan melakukan pengubahsuaian kepada struktur organisasi dan melakukan adaptasi budaya kerja sektor swasta dan sektor perdagangan. Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam hendaklah berani menerokai orbit yang lebih luas dan bersedia mengambil peluang dan menghadapi risiko untuk bergerak secara lebih dinamik.

13. Kemiskinan warga adalah satu cabaran utama. Kemiskinan yang gagal di atasi secara berkesan akan menambahkan kejadian jenayah, menjejaskan ketenteraman awam dan mempengaruhi kestabilan politik. Usaha untuk mengatasi kemiskinan hendaklah dimulakan dari dalam rumah sendiri. Pengurusan MAIP dan JAIP sewajarnya melakukan bancian atau tinjauan sama ada kemiskinan turut berlaku di kalangan kakitangannya sendiri, terutama di kalangan mereka yang berjawatan rendah, dengan gaji yang rendah tetapi mempunyai tanggungan yang berat. Beta berpandangan kebajikan wajib dimulakan dari dalam rumah sendiri. Untuk itu Beta menyarankan supaya pengurusan MAIP dan JAIP melakukan soal selidik atau tinjauan akan status pendapatan berbanding tanggungan di kalangan kakitangan masing-masing terutama di kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Data tersebut hendaklah dilapur kepada Persidangan ini untuk dijadikan asas, supaya MAJLIS selepas ini, berupaya merangka program tanggung jawab sosial korporat di kalangan kakitangannya. Langkah membasmi kemiskinan hendaklah dimulakan di dalam organisasi MAIP dan JAIP sendiri. Betapa janggalnya bagi kedua organisasi ini, jika di bawah dagu masing-masing berlaku kemiskinan yang tidak diberikan pembelaan.

14. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala mengurniakan kita dengan kekuatan untuk bersedia menerima kebenaran kerana hanya kebenaran yang akan dapat menegakkan kebenaran. Lebih awal kebenaran dapat ditemui dan diterima, lebih awal dan lebih berkesanlah langkah pembaikan dapat dilakukan. Kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala dipohonkan untuk membuka pintu hati kita agar dapat menemui kebenaran dalam hasrat dan usaha untuk membina sebuah negara bangsa yang sejahtera dan mendapat keampunan ILAHI ‘BALDATUN TAYYIBATUN WA RABBUR GHAFFUR’ seperti yang di gambarkan dalam ayat 15 SURAH SABA.

Wabillahi Taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Al-Quran 35:1
%d bloggers like this: