Persidangan Ke 178 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIP)

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan. Alhamdulillah, dengan rahmat dan dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala jua, Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke 178 dapat dilangsungkan.

  1. Persidangan ini merafakkan sembah junjungan kasih di atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan melantik ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Januari 2012 sehingga 31 Disember 2014. Beta mengalu-alukan keanggotaan ahli-ahli baru terdiri dari, Yang Berhormat Dato’ Abdul Puhat bin Mat Nayan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang baru, Yang Dihormati Toh Seri Bijaya, Lt. Kol (B) Shaharudin bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Hulu Perak dan Yang Berusaha (Dr) Haji Abd Malek bin Haji Awang Kechil, Ketua Pengarah, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia. Beta turut mengalu-alukan keanggotaan ahli-ahli yang telah diperkenankan untuk dilantik semula. Beta menghargai kesediaan saudara-saudara Beta menerima tanggung jawab untuk membantu Beta menyempurnakan amanah yang telah diletakkan ke atas batang tubuh Beta oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.
  2. Ada di kalangan ahli Majlis yang lalu telah tidak dilantik semula, atas sebab persaraan dan atas faktor keuzuran sementara ada pula tidak dilantik semula dengan tujuan memberikan laluan untuk digilirkan dengan suntikan keanggotaan baru. Beta menzahirkan penghargaan kepada Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr Abdul Rahman bin Hashim, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ (Dr) Haji Ahmad Azizuddin bin Zainal Abidin, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Sidek bin Haji Fadzil, Yang Berbahagia Datuk Dr. Haji Mohammed Yusuff bin Hussain, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Majid bin Haji Zainal Abidin dan Yang Berbahagia Dato’ Abdul Wahab bin Dato’ Seri Azizul Hassan di atas peranan masing-masing sepanjang tempoh mereka menganggotai Majlis. Semoga segala jasa dan khidmat bakti yang telah mereka laksanakan akan diterima sebagai amal soleh di sisi Allah Subhanahu Wata’ala.
  3. Alhamdulillah ketekunan usaha warga MAIP, telah mendapat rahmat dan keberkatan ILAHI. Kutipan zakat di negeri Perak dalam tahun 2011, mencatatkan peningkatan 22.53 peratus. Penyata kewangan yang belum diaudit mencatatkan jumlah zakat dipungut mencapai 86.11 juta ringgit, meningkat 15.83 juta ringgit berbanding kutipan 70.28 juta ringgit dalam tahun 2010. Pencapaian ini berkemungkinan didorong oleh tiga faktor:

Pertama: masyarakat di negeri Perak semakin sedar akan kewajipan berzakat.

Kedua: semakin ramai masyarakat di Perak kini sudah termasuk dalam kategori yang berupaya menunaikan zakat.

Ketiga: hasil usaha gigih warga MAIP untuk menambah baik perkhidmatan pungutan zakat.

 

5. Beta menzahirkan penghargaan dan ucap tahniah kepada warga MAIP di atas prestasi pencapaian cemerlang ini. Sebagai menghargai kejayaan usaha warga MAIP menyempurnakan amanah secara tekun, bersungguh, dan berdedikasi, Pengurusan MAIP hendaklah mengusahakan persekitaran tempat kerja warga MAIP yang lebih selesa dan lebih kondusif dan warga MAIP hendaklah dibekalkan dengan peralatan kerja, terutama peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang terkini agar dapat terus membantu warga MAIP melaksanakan tugas secara lebih cekap, lebih cepat dan lebih produktif. Pada masa yang sama, segala usaha untuk menambah baik perkhidmatan zakat terutama dari segi mempermudah urusan bayaran, baik dari segi tempat begitu juga dari segi masa serta usaha menambah baik keselesaan para pembayar zakat hendaklah terus dilaksanakan.

6. Dalam tahun 2011, 69.4 juta ringgit dari kutipan zakat telah diagihkan, meningkat 4.2 juta ringgit daripada tahun sebelumnya. Tiga puluh tujuh perpuluhan tujuh lapan (37.78) juta ringgit diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin. Jumlah tersebut telah membolehkan 5,985 orang diluluskan bantuan bulanan, 13,434 pelajar menerima bantuan persekolahan, 182 orang diluluskan bantuan bina rumah sementara 205 orang mendapat bantuan pulih rumah. Sejumlah 9.62 juta ringgit disalurkan kepada 468 pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis manakala 178 orang lagi menerima bantuan dalam bentuk pembelian alat sokongan perubatan.

7. Empat perpuluhan enam (4.6) juta ringgit yang diluluskan untuk bantuan am pelajaran dapat dimanfaatkan oleh 10,183 orang pelajar. Pembiayaan 6.4 juta ringgit dalam bentuk dermasiswa peringkat pengajian tinggi diluluskan kepada 820 orang pelajar di luar Negara dan 825 pelajar di dalam Negara. Sejumlah 4.13 juta ringgit di bawah asnaf fisabilillah diluluskan untuk bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat, elaun guru al-Quran dan insentif mubaligh.

8. Pencerakinan terhadap data bantuan memperlihatkan bahawa 54.4 peratus, merupakan peratusan terbesar agihan, diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin; menandakan bahawa tugas untuk menangani isu kemiskinan ummah masih merupakan tugas besar.

9. Bantuan zakat pada umumnya adalah satu usaha pemangkin, laksana supplement untuk memberikan suntikan kekuatan kepada tubuh insan lemah yang perlu dibantu. Bantuan zakat kepada mana-mana pihak bukanlah untuk selama-lamanya, melainkan di kalangan penerima yang sudah terlalu daif dan uzur kerana usia atau menghidapi penyakit yang sukar sembuh. Matlamat bantuan zakat adalah untuk membina upaya memerdekakan insan hingga pada akhirnya mereka berupaya berdikari. Program zakat yang berjaya, adalah program yang pada akhirnya dapat mengurangkan bilangan ummah yang terpaksa bergantung kepada bantuan zakat. Program zakat yang berjaya akan dapat melahirkan lebih ramai ummah yang berupaya menunaikan ibadah zakat, yang merupakan salah satu dari Rukun Islam. Kerana itu Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam tidak menganjurkan membina tabiat insan yang sepanjang hayat terpaksa bergantung kepada bantuan kebajikan dari orang lain. Malah terkandung dalam pelbagai hadis, Baginda menyemaikan semangat untuk umat bekerja, mendapatkan harta, kemudiannya berbuat amal, menunaikan zakat dan melakukan sedekah dengan harta kekayaan yang telah dianugerahi ILAHI melalui usaha dan kerja.

10. Penegasan Baginda supaya ummah bekerja dan tidak mengemis, terkandung dalam kisah seorang fakir yang datang meminta bantuan, lalu Baginda bertanya: “Adakah kamu memiliki sesuatu?”. “Tidak” jawab lelaki tersebut. Apabila Baginda mengulangi pertanyaan, lelaki itu menjawab, “Saya ada sehelai hamparan, separuh dijadikan alas duduk dan separuh lagi dibuat selimut; di samping satu mangkuk yang digunakan untuk minum”. Baginda bersabda kepada lelaki tersebut, “Bawakan kedua-dua benda itu kepada Ku”. Setelah diserahkan kedua-dua benda itu, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam, menawarkan kepada hadirin yang berada di sisi Baginda jika ada sesiapa yang hendak membelinya, lalu berjaya menjual dengan harga dua dirham. Wang dua dirham diserahkan kepada lelaki tersebut sambil Baginda bersabda, “Belilah makanan untuk keluarga mu dengan satu dirham manakala satu dirham lagi belilah sebilah kapak”. Baginda menyuruh lelaki itu mencari kayu api dan mengingatkannya untuk tidak berjumpa Baginda sehingga 15 hari. Setelah 15 hari berlalu, lelaki tersebut kembali bertemu Baginda dengan membawa sepuluh dirham lalu berkata, “Ya Rasulullah, ALLAH telah memberkati saya pada kerja yang disuruh”. Maka Baginda bersabda, “Itu adalah lebih baik daripada kamu datang pada hari kiamat sedang pada muka mu ada bertanda meminta-minta”.

11. Zakat hanyalah satu dari komponen yang terkandung dalam syariat Islam. Keupayaan zakat memenuhi peranan lebih berkesan dalam menangani isu kemiskinan, sukar dicapai sepenuhnya jika zakat berfungsi secara isolasi. Zakat berpotensi memberi impak lebih besar jika syariat Islam berjaya dijana secara lebih menyeluruh dan lebih bersungguh. Kemiskinan ummah tidak wajar diukur berdasarkan aspek kuantitatif, dinilai dari segi kemiskinan kebendaan semata-mata. Kemiskinan ummah wajib turut ditinjau dari sudut kemiskinan iman, kemiskinan rohani dan kemiskinan minda. Minda, rohani dan iman yang miskin sukar dikayakan, sukar dibangunkan jiwa merdeka, malah ia menjadi faktor mendorong seseorang insan memiliki karakter seorang abdi. Mereka ini mudah menggadaikan prinsip dan mereka juga mudah diperalatkan. Malah jika sekalipun mereka dicurahkan bantuan kebendaan atau disalutkan dengan kekayaan keduniawian, mereka mudah melakukan penyelewengan, lalu membenarkan berlakunya ketirisan, akibatnya ummah terus kekal berada dalam orbit kemiskinan. Kerana itu, amatlah perlu dijanakan program pembasmian kemiskinan yang komprehensif berteraskan syariat Islam, supaya terbina jiwa merdeka, jiwa yang teguh berpegang kepada prinsip, jiwa yang berpegang teguh kepada kebesaran kuasa ILAHI, jiwa yang sama sekali tidak akan memperdagangkan prinsip, jiwa yang tidak syirik dan jiwa yang tidak tunduk dan akur kepada tekanan dan bisikan syaitan.

12. Kebijaksanaan Pemerintahan Sayidina Umar bin Abdul Aziz wajar dijadikan contoh kejayaan pelaksanaan sistem zakat yang berkesan berdasarkan syariat Islam yang menyeluruh. Baginda memperkenalkan program penambahbaikan kepada sistem sosial negara hingga berjaya membangkitkan kesedaran ummah. Baginda menekankan pentingnya dibangunkan jiwa merdeka dan mementingkan pengembangan ilmu pengetahuan. Baginda bersama para ulama berperanan penting menyalakan obor keilmuan untuk menerangi kehidupan insan. Di era pemerintahan Baginda, masjid senantiasa dimeriahkan dengan pelbagai majlis ilmu. Baginda menegaskan pentingnya kekayaan negara diagih secara saksama di kalangan ummah. Baginda insaf, bahawa keadilan masih belum terlaksana selagi kekayaan negara gagal diagihkan secara saksama hingga mengakibatkan masih wujud fakir dan miskin.

13. Sayidina Umar berada di tampuk pemerintahan selama tiga tahun sahaja, di antara tahun 99 sehingga 101 Hijrah. Namun tempoh pemerintahan yang singkat tidak menghalang Baginda untuk mencipta kejayaan. Dalam tempoh tiga tahun tersebut, dicatatkan dalam sejarah, bahawa di era pemerintahan Baginda tiada lagi orang miskin yang mahu menerima zakat. Meskipun masih terdapat orang yang miskin dari segi harta, namun pendekatan pemerintahan Baginda telah berjaya menyemaikan sifat ‘kaya hati’ dan ‘kaya fikiran’ di kalangan ummah, lalu ummah memilih berusaha sendiri untuk memenuhi keperluan hidup. Sementara para penjawat awam di era pemerintahan Baginda, memperlihatkan sifat-sifat amanah, jujur dan ikhlas, menghayati semangat dan tanggung jawab untuk membangunkan watan dan ummah bersandarkan syariat.

14. Kejayaan pemerintahan Sayidina Umar bin Abdul Aziz, wajib dijadikan sandaran setiap ummah, terutama di kalangan mereka yang telah diamanahkan kuasa. Status negara maju yang harus dijadikan sasaran tidak harus diukur semata-mata dengan pencapaian Keluaran Negara Kasar dan pendapatan per kapita. Faktor agihan kekayaan perlu dijadikan salah satu kriteria penentu. Tidak harus berlaku kemiskinan di dalam sebuah negara yang kaya, makmur dan maju. Oleh itu melaksanakan kebajikan dalam pemerintahan adalah tuntutan yang perlu dipenuhi. Menguruskan hasil kekayaan negara secara amanah dan saksama adalah satu kewajipan. Melindungi dan membelanjakan wang zakat dan wang negara secara berhemah adalah satu kemestian. Pemimpin yang menghayati syariat Islam akan senantiasa berwaspada terhadap tanggung jawab menjaga khazanah dan kekayaan negara. Pemimpin yang menghayati syariat Islam tidak akan membelanjakan wang negara secara muncah, tidak akan bermewah-mewah dan tidak sama sekali akan membenarkan berlakunya pembaziran, apatah lagi dalam suasana masih terdapat orang miskin di kalangan warga di negaranya. Pemimpin yang menghayati syariat Islam akan senantiasa mengamalkan sikap berhemah, akan senantiasa insaf tentang hari kebangkitan dan akan senantiasa gentar tentang hari pengadilan yang akan mengadili setiap perbuatan yang dilakukan di muka bumi ini.

15. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala senantiasa menganugerahkan petunjuk dan bimbingan kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan, kepada para ulama kepada para umara dan kepada setiap seorang yang telah dianugerahkan kedudukan, kuasa dan tanggung jawab untuk senantiasa berpegang kepada prinsip-prinsip amanah, ikhlas dan jujur, bersandarkan syariat Islam.

 

Wabillahi Taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

%d bloggers like this: