Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke 179 dapat dilangsungkan. Beta mengalu-alukan penyertaan Profesor Dr. Haji Jamil bin Hashim, Rektor Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah yang telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dilantik sebagai ahli Majlis.
3. Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke 179, merafakkan sembah takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak di atas kemangkatan Yang Teramat Mulia Raja Kechil Sulung Perak, Raja Dato’ Seri Ashman Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada pagi Jumaat 30 Mac 2012. Atas kapasiti Beta sebagai Kakanda kepada Almarhum, Beta merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak, pelbagai agensi yang terlibat serta pelbagai pihak yang telah menguruskan permakaman Almarhum, mengutus perutusan takziah dan sama-sama mendoakan kesejahteraan ke atas roh Almarhum.
4. Persidangan kali ini turut mengucap takziah kepada Yang Berbahagia Datin Wan Saidah binti Wan Ibrahim atas kembalinya ke Rahmatullah pada 24 Mac 2012, Datuk Dr. Haji Mohammed Yusuff bin Hussain, mantan ahli Majlis dan mantan Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan. Ucapan takziah turut Beta zahirkan kepada Yang Berbahagia Dato’ Haji Salleh Haji Ahmad, atas kembalinya ke Rahmatullah isteri beliau Yang Berbahagia Datin Hajah Solehah binti Abdul Halim pada 5 April yang lalu. Sama-samalah kita membaca surah Al-Fatihah, memohon rahmat daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala, semoga apa jua ganjaran dari bacaan tersebut di sampaikan kepada roh-roh Almarhum, Allahyarham dan Allahyarhamah. Al Fatihah.
5. Sempena sambutan Hari Bumi, khutbah Jumaat yang telah disampaikan pada 20 April lalu, bertemakan “BENCANA ALAM KEWAJIPAN BERMUHASABAH”. Tema tersebut amatlah bertepatan dan selaras dengan peringatan yang pernah Beta zahirkan akan ancaman yang sedang dihadapi oleh umat manusia di seluruh dunia akibat dari berlakunya pelbagai bencana alam.
6. Ketika menzahirkan titah di Persidangan kali ke 176, Beta telah memetik peringatan yang terkandung dalam ayat 41 Surah Ar-Rum yang bermaksud;
“Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia; ALLAH menghendaki mereka agar merasa sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).(30:41)
7. Bahawa bencana alam yang berlaku di bumi ini ada hubungannya dengan perilaku tidak berhemah manusia terhadap alam semesta. Perbuatan manusia yang mengganggu keseimbangan ekologi secara keterlaluan telah mengakibatkan berlakunya pelbagai kerosakan alam. Tindakan-tindakan semata-mata berdasarkan kepentingan komersial kerana nafsu tamak manusia meraih keuntungan telah mencetuskan pelbagai ketidakseimbangan ekologi.
8. Alam semesta ini telah dicipta sebagai anugerah berharga untuk manfaat umat manusia serta setiap makhluk dan kehidupan ciptaan ILAHI. Alam ini mengandungi pelbagai rahsia formula keseimbangan ekologi secara semula jadi; diaturkan gunung ganang, bukit dan lembah, sungai, tasek dan laut; pohon, haiwan, unggas dan kehidupan laut, setiap satunya saling melengkapi antara satu sama lain. Firman ALLAH dalam ayat 38 dan 39 Surah Ad-Dukhan bermaksud:
“ Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dengan bermain-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan haq, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (44:38-39)
9. Di masa lalu, menjadi lazim, diamalkan oleh orang-orang tua dalam masyarakat Melayu, menanam sebatang pokok, sama ada pokok buah-buahan, pokok kelapa, pokok pinang dan paling kecil menanam pokok pisang menandakan kelahiran seorang bayi. Naluri tersebut, diamalkan tanpa sebarang fahaman saintifik, tetapi pada hakikatnya telah mewujudkan satu sistem perimbangan ekologi secara semula jadi. Setiap insan yang dilahirkan, menyedut oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida; sedangkan setiap pokok yang ditanam akan menyedut karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen.
10. Hari ini amalan tersebut tidak lagi dilakukan, mungkin kerana persekitaran hidup sudah tidak lagi mengizinkannya. Di sebaliknya, apa yang ketara berlaku adalah tindak tanduk yang semakin mencemar alam sekitar dan merosakkan ekologi. Meskipun manusia lebih menguasai dan berpengetahuan dengan ilmu-ilmu sains dan ekologi, namun terdapat jurang di antara memiliki ilmu dengan melaksanakan amal yang berpandukan ilmu. Hari ini, pertimbangan komersial ketara lebih diutamakan tanpa menghiraukan kesan negatif yang merosakkan alam sekitar.
11. Pada akhirnya, negara dan rakyat menjadi mangsa pencemaran alam dan terpaksa membayar dengan harga yang tinggi. Akhir-akhir ini, banjir kilat semakin berlaku di negeri Perak, malah turut melibatkan kawasan-kawasan yang dahulunya tidak pernah dilanda banjir. Hakisan tanah ditambah dengan timbunan sampah sarap dan bahan plastik semakin menghalang aliran air baik di parit, di longkang dan di sungai.
12. Sewaktu Beta berangkat melawat Universiti di Bahrain, Beta berasa cemburu, melihat kampus Universiti Bahrain berada dalam teduh rimbunan pohon-pohon hijau, walaupun kampus universiti tersebut terletak di sebuah padang pasir dan buminya jarang sekali mengenali hujan, berbanding persekitaran pusat-pusat pengajian di bumi sendiri yang terletak di sebuah negara tropika, dengan bumi yang subur dan kadar hujan yang tinggi. Demikian terbukti satu tahap pencapaian, bila ada wawasan, bila ada kesungguhan, bila ada pelan pelaksanaan yang didukung komitmen, dihayati sepenuhnya dan tidak sekadar satu program kosmetik.
13. Oleh itu inti pati khutbah yang telah disampaikan dari mimbar masjid-masjid di Negeri Perak pada 20 April lalu perlu dikembangkan dan terus dihidupkan sepanjang masa hingga ke peringkat di hayati oleh seluruh pelosok rakyat bermula dari barisan pimpinan negeri. Masyarakat perlu diingatkan nilai alam semula jadi ciptaan ILAHI. Ketika berlaku bencana tsunami dalam tahun 2004, banyak nyawa di Tamil Nadu, di Bangladesh dan di Indonesia terselamat di kawasan-kawasan yang hutan bakau masih tidak dicerobohi. Hutan bakau anugerah ILAHI itu telah menjadi penampan kepada ombak tsunami, menyerap di antara 70 ke 90 peratus tenaga ombak. Satu perbandingan untuk dijadikan pengajaran adalah bilangan kehilangan nyawa yang dialami di dua tempat yang berdekatan di Selatan Sri Lanka; perkampungan Kuphenwala hanya kehilangan dua nyawa berbanding dengan kehilangan 6,000 nyawa di Wanduruppa, kerana perkampungan Kuphenwala masih di kelilingi 200 hektar hutan bakau yang tidak dicerobohi berbanding dengan hutan bakau di Wandruppa yang telah dimusnahkan oleh manusia.
14. Kesuburan tanah dan air di kawasan hutan bakau ada nilai komersial untuk dijadikan pusat ternakan udang. Dilaporkan 75 peratus kawasan hutan bakau di Thailand telah dijadikan pusat ternakan udang. Akibatnya ketika berlaku tsunami, Thailand mengalami kemusnahan yang tinggi; dan di Indonesia di antara tahun 1960 hingga tahun 1990, 269,000 hektar kawasan bakau ditukar menjadi pusat ternakan udang. Negeri Perak turut dianugerahkan oleh ILAHI dengan kawasan-kawasan yang kaya dengan hutan bakau. Kurniaan ILAHI itu wajib dipelihara setiap masa. Segala yang berlaku wajib dijadikan pengajaran terutama di kalangan mereka yang diamanahkan dengan kuasa dan tanggung jawab.
15. Kajian-kajian saintifik menunjukkan suhu pada tahun 2012 adalah 0.48 darjah Celcius lebih panas berbanding purata suhu sepanjang tahun 2011. Pertubuhan Kaji Cuaca Dunia menjangkakan pengaliran gas rumah hijau ke atmosfera semakin bertambah yang boleh menyebabkan berlaku peningkatan suhu antara 2 hingga 2.4 Celcius bagi purata suhu dunia dan akan menyebabkan berlaku perubahan besar kepada keadaan tanah, alam sekitar dan lautan.
16. Beta sering kali mengingatkan agar Kerajaan Paduka Seri Ayahanda Beta memberikan perhatian serius dan mengadakan pelan tindakan bersungguh untuk membantu usaha memulihara alam sekitar. Masyarakat hendaklah dididik tentang amalan terbaik cara pembuangan sisa dan sampah terutama oleh pihak industri. Kempen meminimumkan penggunaan plastik dan kempen menyedarkan masyarakat supaya tidak membuang sampah ke longkang, ke sungai dan ke laut masih belum melihatkan impak.
17. Pihak Berkuasa Tempatan, Masjid, Surau, Sekolah dan semua pejabat kerajaan hendaklah digalakkan dan diberikan insentif untuk menanam pokok dan menghijaukan bumi. Dalam meluluskan pelan pembangunan kawasan perumahan dan komersial, elemen kepadatan penduduk hendaklah diberikan perhatian serius dan nisbah kawasan lapang yang seimbang dengan kepadatan penduduk hendaklah diwajibkan. Kurang ketegasan dalam menentukan kepadatan penduduk kerana kepentingan pemaju untuk mengaut keuntungan adalah antara penyebab yang boleh mencetuskan kesesakan lalu lintas dan berlakunya banjir kilat.
18. Banyak pokok yang telah ditumbangkan susulan kepada pelbagai kegiatan ekonomi, bagi tujuan pembalakan, perlombongan, kuari, pembangunan industri, perumahan dan pembinaan prasarana. Mengimbangkan ekologi di muka bumi negeri ini adalah satu keperluan yang tidak boleh ditangguhkan. Ia adalah satu tuntutan tanggung jawab fardu kifayah yang perlu dilaksanakan oleh para umara. Ia adalah komponen pembangunan yang tidak boleh dikorbankan demi menjamin kualiti hidup rakyat. Agenda menghijaukan bumi tidak boleh dilakukan secara kosmetik, melalui upacara tanaman pokok ketika Beta berangkat ke sesuatu Majlis atau ketika pembesar menghadiri sesuatu acara. Masih banyak kawasan yang meminta dan menawarkan ruang lapang untuk ditanam pokok di bumi ini, di tebing sungai, di pinggir jalan, di kawasan-kawasan perumahan, masjid, surau, sekolah dan pejabat. Agenda menghijaukan bumi hendaklah dijadikan agenda tetap Jawatankuasa Pembangunan Negeri.
19. Bahawasanya bumi ini telah banyak berbakti dan alam ini telah banyak berjasa kepada kehidupan manusia. Janganlah bumi dan alam ini dizalimi. Berbudilah kepada alam, berbudilah kepada bumi, demi kelestarian hidup ummah terutama untuk generasi masa hadapan.
20. Semoga Persidangan Majlis kali ke 179 mendapat petunjuk dan panduan ILAHI.
Wabillahi taufik, walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.